Thursday, December 12, 2013

Rakyat, Pencuci Dosa Kebejatan Urus Tadbir Pemerintah

Tulisan Umum
12 Disember 2013

Rakyat, Pencuci Dosa Kebejatan Urus Tadbir Pemerintah

Laporan Global Financial Integrity (GFI) berhubung aliran keluar wang haram negara tidaklah mengejutkan ramai. Ukuran kemampuan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan l, Najib Tun Razak sepanjang menggalas tugas ini sememangnya boleh diduga. Negara terus mengalami peningkatan defisit drastik dalam tempoh ini malahan, aliran keluar wang haram negara juga begitu tinggi semenjak beliau menerajui negara. Peningkatan dari USD 34.51 billion (2009) kepada USD 64.51 billion (2010) dan USD 54.18 (2011).

Negara juga telah menggubal dan menguatkuasakan Akta Anti Pengubahan Wang (Anti Money Laundering Act - AMLA) semenjak tahun 2001. Tetapi mengapa kadar aliran keluar wang haram ini terus berlaku malah semakin drastik untuk tahun 2010 dan 2011 berjumlah USD 118.69 billion iaitu bersamaan RM 356 billion. Jumlah aliran wang haram ini melebihi peruntukan Bajet Persekutuan 2014.

Sekiranya rejim Pemerintah mempunyai kemampuan mengawal perkara ini paling tidak pun seperti tahun 2009, kita pasti mempunyai sedikit lebihan dana untuk mengawal kadar defisit negara. Tidak perlu diperkenalkan sebarang bentuk dasar atau percukaian yang memeras kantung rakyat seperti GST, rasionalisasi subsidi minyak dan kenaikan tarif elektrik, tol, harga barang serta tambang pengangkutan awam.

Kegagalan rejim Pemerintah dalam mengawal aliran keluar wang haram dan kadar defisit negara akhirnya memangsakan rakyat seolah-olah rakyat menjadi pencuci dosa kepada kebejatan urus tadbir rejim Pemerintah. Bagaimana rakyat boleh menaruh kepercayaan kepada  rejim Pemerintah seperti yang dipinta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Kebolehpercayaan rejim Pemerintah ini sering tidak konsisten apatah lagi untuk meletakkan sebarang harapan dan kepercayaan masa depan negara dalam rundingan TPPA.

Sebelum PRU 13, negara dikejutkan dengan pendedahan Global Witness lengkap dengan rakaman video bagaimana ahli keluarga yang rapat dengan rejim Pemerintah Sarawak dalam memanipulasi undang-undang dan percukaian negara. Malahan, rakaman video tersebut jelas menyiarkan petikan bagaimana mereka menyembunyikan wang haram mereka di Singapura dengan perancangan yang begitu baik. 


Setelah 8 bulan, apakah tindakan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, dan pelbagai lagi aparat Pemerintah bagi menyiasat dan mengheret mereka ke muka pengadilan. Bagaimana kita boleh meletakkan lagi kepercayaan kepada rejim ini? Apakah kerana mereka ini rapat dengan rejim Pemerintah maka mereka akan terlepas begitu sahaja?

Inilah contoh sebenarnya pengkhianat tanahair tercinta ini bukannya rakyat biasa yang berusaha keras menyabung tenaga demi sesuap nasi dan akhirnya di panggil pengkhianat hanya kerana menentang perlaksanaan GST atau mana-mana rejim percukaian regresif yang ingin dikenakan kepada rakyat.

Sememangnya negara ini di dalam krisis yang dahsyat. Kegagalan setiap instrumen dalam negara telah memangsakan masa depan cerah negara ini. Hilangnya daya saing di peringkat antarabangsa, kebocoran dan ketirisan kewangan negara, defisit berterusan dan aliran wang haram keluar yang tinggi sehinggalah kepada penurunan taraf pendidikan Sains dan Matematik seperti dalam laporan PISA adalah berpunca dari hilangnya sikap kebertanggungjawapan dan amanah rejim Pemerintah hari ini.

Mereka terus berdansa dalam panggung khayalan mereka. Menari mengikut unjuran di atas kertas semata-mata sedang hakikat negara ini berada dalam keadaan mengundur. Rakyat terus digula-gulakan dengan pemberian BR1M setahun sekali sedangkan rejim terus-terusan mencabut nikmat kehidupan setiap masa.

Ahmad Anwar Asyraf (ComradeAAA)
Penyelaras SAMM Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia

No comments: