Sunday, December 29, 2013

PDRM Atau Sesiapa Jangan Alih Isu Kenaikan Kos Sara Hidup, Protes Rakyat Ambang Tahun Baru Diteruskan!

Kenyataan Media
29 Disember 2013

PDRM Atau Sesiapa Jangan Alih Isu Kenaikan Kos Sara Hidup, Protes Rakyat Ambang Tahun Baru Diteruskan!

Merujuk kepada sidang media pihak polis yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Wilayah, Datuk Amar Singh Ishar Singh, dengan ini Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) rakam rasa terkejut dan mengecam tuduhan yang mengaitkan che'GuBard dan SAMM kononnya menganjurkan himpunan untuk guling kerajaan pada 31 Disember nanti. Tuduhan tersebut lebih jijik lagi apabila disambung dengan propaganda jahat iaitu perancangan mengebom dan sebagainya.

SAMM menjelaskan dengan tegas beberapa perkara adalah seperti berikut;

1. Rakyat terhimpit dengan kenaikan kos hidup, ini berkait rapat dengan kegagalan pemerintah yang mungkir janji PRU tujuh bulan yang lalu. Janji BN untuk turunkan bayaran tol secara berperingkat dan kurangkan bebanan rakyat, namun BN terus umum naik kenaikan berantai parah dari petrol, gas, gula, elektrik dan lain-lain.

2. Maka muncul cadangan untuk rakyat turun ke Dataran Merdeka menunjukkan protes terhadap kenaikan kos sara hidup. Cadangan ini bermula dengan persetujuan yang diolah ribuan anak muda melalui media sosial facebook.

3. Ekoran itu beberapa NGO seperti SAMM menyambut baik persetujuan yang diolah secara organik ini dengan menyusun promosi untuk protes 31 Disember dan seumpamanya, malah satu panitia dari kalangan rakyat ditubuhkan.

4. Namun pemerintah yang menganggap kebangkitan kesedaran rakyat sebagai tekanan telah memulakan propaganda dengan memunculkan persepsi jahat terhadap himpunan protes kenaikan kos hidup sebagai 'himpunan guling kerajaan'. Maka media arus perdana digunakan sepenuhnya bagi mengalih isu dari kenaikan kos sara hidup kepada guling kerajaan.

5. SAMM antara yang bersetuju dengan hak rakyat berhimpun telah berkali-kali menegaskan melalui kenyataan persendirian dan kenyataan bersama, bahawa himpunan ini cuma himpunan protes rakyat secara aman bagi menyatakan protes kenaikan kos sara hidup, bukan untuk guling kerajaan apatah lagi berbentuk keganasan.

6. Tidak dinafikan banyak juga pihak termakan propaganda dan dakyah jahat yang mengaitkan himpunan malam tahun baru nanti dengan keganasan menggulingkan kerajaan. Cuma tidak dapat dipastikan samada PDRM merupakan pihak yang terpedaya dengan propaganda jahat tersebut atau sendiri terlibat menjayakan propaganda jahat.

7. Kemuncaknya semalam, Datuk Amar Singh Ishar Singh telah buat sidang media seolah-olah ada maklumat gempar, seperti menjadi lidah kepada propaganda jahat tersebut apabila menyebut nama beberapa individu dan beberapa organisasi termasuk nama che'GuBard dan gerakan Solidariti Anak Muda Malaysia sebagai terlibat anjur himpunan guling kerajaan pada malam tahun baru, dikaitkan pula konon punya simpanan bom tangan dan sebagainya.

Datuk Amar Singh Ishar Singh kononnya ada maklumat dan sumber mengenai tuduhan itu. Namun pendedahan menjadi 'lawak' apabila dia umum himpunan guling kerajaan oleh NGO-NGO kecil ini hanya ratusan dijangka hadir. che'GuBard kasihan dengan Datuk Amar Singh Ishar Singh, seorang pegawai polis kanan sanggup kelihatan begitu bodoh apabila menjadi alat aparat dakyah regim.

8. Saya dengan ini mendesak fitnah ini ditarik balik oleh Datuk Amar Singh Ishar Singh dan permohonan maaf dituntut. Dia harus dedah apa sumber dia, dan dedah bukti gred A sekiranya ada. Saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Amar Singh Ishar Singh dan semua media jahat yang menjadi lidah penyambung fitnah tersebut. Isnin ini (30 Disember), che'GuBard dan SAMM akan menghantar notis undang-undang terhadap Datuk Amar Singh Ishar Singh dan media-media terbabit. Saya akan memulakan proses saman sebanyak RM100 juta ke atasnya.

10. Mohon semua bertenang dan jangan terkesan dengan pengalihan isu. Acara protes kenaikan kos hidup tetap akan berlangsung kerana mana mungkin SAMM batalkan sedangkan kami bukan penganjur. Himpunan protes ambang tahun baru ini dianjurkan oleh rakyat untuk perjuang nasib sendiri.

Semua harus datang secara aman, jika ada yang membawa senjata dan membuat provokasi menghasut keganasan, ia akan dikenalpasti sebagai agen jahat maka rakyat sendiri akan tangkap dan serah kepada polis. Polis juga sudah tentu tidak mahu menandakan permulahan tahun baru ini dgn titik hitam hubungan polis dan rakyat.

Ayuh, kita datang hanya bersenjatakan banner, poster dan laungan. kita jumpa di Dataran Merdeka nanti.

Sekian,

Che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

*Che'GuBard ketika ini baru keluar dari belantara Baram untuk program SAMM dan komuniti orang asal yang bakal menjadi mangsa dan bangkit menentang pembinaan empangan Baram.

No comments: