Tuesday, December 24, 2013

PRO TAIB PANIK HANYA KERANA LAWATAN KERJA SAMM KE SARAWAK 27 - 30 DISEMBER.

Kenyataan Umum
24 Disember 2013

PRO TAIB PANIK HANYA KERANA LAWATAN KERJA SAMM KE SARAWAK 27 - 30 DISEMBER.  

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan mengadakan lawatan kerja ke Sarawak pada 27 hingga 30 Disember 2013. Lawatan ini bertujuan bertemu dengan komrad SAMM Sarawak, menyusun massa muda melalui pertemuan dan siri diskusi sepanjang lawatan kerja ini.

Lawatan yang akan disertai oleh 11 Penyelaras dan Pengarah SAMM Kebangsaan dan diketuai oleh che'GuBard sendiri juga dibuat sebagai rentetan dari ziarah ke Baram pada 11 - 13 November lepas. sila klik sini untuk laporan ziarah Baram yang lepas.

Selain itu lawatan ini juga merupakan peluang bagi SAMM mengenali perlawanan peringkat akar umbi selain memahami isu di Sarawak. Sarawak amat penting kerana kurang dari 2 tahun akan berlaku Pilihanraya Negeri. Walaupun SAMM ialah gerakan anak muda non partisan tetapi mengambil sikap politik. SAMM melihat Sarawak perlu perubahan pemerintahan kerana jelas penindasan berlaku, negeri antara terkaya tetapi rakyat antara termiskin dan melihat betapa Sarawak menjadi kunci perubahan peringkat nasional, cuma cabaranya ialah kempen kesedaran perlu dilakukan dari sekarang demi mempertingkatkan tahap pendidikan politik pengundi.

Pasukan SAMM dijadualkan akan berada sejauh di pendalaman belantara Baram bersama pejuang aktivis yang mempertahankan tanah mereka dari dicerobohi projek Empangan. SAMM akan menyampaikan sedikit sumbangan dalam bentuk barang makanan asas selain akan mengadakan bengkel bagi menyusun perlawanan, antaranya ialah strategi perlawanan, hak anda dan polis serta bertukar pandangan mengenai perlawanan di tempat lain.

Miri juga bakal menjadi destinasi, beberapa pertemuan dengan anak muda Miri bagi menyusun perlawanan rakyat akan dibuat dalam bentuk bengkel dan diskusi.

Bagi aktivis atau anak muda setempat yang ingin menyertai program SAMM di Miri dan Baram boleh terus berhubung dengan 01115820525 Ray (Penyelaras SAMM)

29 Disember 2013 Pasukan SAMM akan bertolak dari Miri ke Kuching. 3 siri bengkel, pertemuan dan diskusi dijadualkan. Juga misi penting di Kuching ialah Pra Pelancaran Kempen 'Nyah Taib'.

Abdul Taib bin Mahmud (77 tahun) telah menjadi Ketua Menteri Sarawak selama hampir 33 tahun. Tidak dinafikan punya sedikit sebanyak khidmat jaya namun rekod rasuah dan salah guna kuasa hasil terlalu lama di tampuk pemerintahan sudah terlalu menyerlah. Sarawak antara negeri paling kaya kini kekal rakyat menjadi antara termiskin, namun tidak dinafi ramai terus mendokong dia kerana tertipu dengan imej 'raja puteh' yang tampil dengan politik 'santa clausnya'.

Kempen Nyah Taib bukan kempen parti politik namun ia kempen mensasarkan Taib seorang sahaja. Telah beberapa kali berjanji pada umum untuk berhenti namun sehingga kini sering mengelak dengan perbagai alasan. Ini secara tidak langsung turut menyekat naik pimpinan dari parti beliau sendiri.

Kempen 'Nyah Taib' ialah kempen oleh rakyat Sarawak mengajak semua rakyat Sarawak termasuk pendokong Bn di Sarawak untuk turun ke bawah bagi menyedarkan rakyat mengenai kepincangan dan keterlaluan Taib dan keluarganya mengumpul harta kekayaan dan gagal dalam memajukan Sarawak seiring dengan 'sedutan' kekayaan buminya.

Kempen ini belum bermula tetapi sudah menimbulkan ketakutan. Dari media rasmi hinggalah media internet pro Taib sudah digunakan bagi menyerang Lawatan Kerja SAMM kali ini. Malah ada pimpinan pengampu Taib juga cuba memutar belitkan kononya PKR mahu mengadakan demonstrasi pada 29 Disember depan rumah Taib. (sila klik sini)

Pertama sekali program pelancaran kempen 'Nyah Taib' ialah usaha SAMM Sarawak dengan sekutu aktivis dari perbagai latar bukan PKR dan ia bukan berbentuk aksi jalanan tetapi kempen kesedaran di mana bahan kesedaran seperti risalah, bahan audio visual akan diperturunkan hingga ke pendalaman bagi mempertingkatkan kesedaran. Sekumpulan anak muda juga akan dilatih sebagai agen penyebar maklumat bagi memastikan maklumat berkesan sampai kepada sasaran tepat.



Ketika Pilihanraya Negeri jauh lagi kempen ini juga dilihat bakal disokong oleh sebahagian pimpinan negeri Sarawak yang ramai sedar mengenai kemusnahan kerakusan yang dibawa oleh Taib serta keluarga tetapi tidak punya keberanian untuk menyatakan secara berdepan. Cuma sudah pasti yang pro Taib akan muncul cuba menjadi hero.

Oleh kerana panik yang tak tentu arah oleh kumpulan pro Taib dengan program lawatan kerja SAMM ke Sarawak kali ini maka SAMM menjangkakan gangguan menggunakan pihak berkuasa kemungkinan beberapa watak akan dihalang memasuki Sarawak sehinggalah gangguan menggunakan anasir tertentu secara ganas. Namun kita yakin dengan kebijakan pasukan keselamatan dalam menjalankan tanggungjawab secara profesional.

Bagi yang mahu bersama dalam program SAMM di Kuching pula boleh terus hubungi 0129198085 (Azan Akma).

Bagi misi lawatan kerja ke Sarawak kali ini antara tumpuan ialah menyampaikan bantuan makanan asas dan peralatan perkhemahan kepada pengongsi kem bantahan (blocked) di Baram maka kami amat mengharapkan sumbangan semua. Mereka yang berkumpul bagi memprotes pembinaan Empangan meninggalkan kampung halaman ada yang berjalan berhari - hari untuk bersama tinggal di Kem bantahan, tinggal dalam suasana yang daif. Sumbangan boleh disalurkan kepada akaun Solidariti Anak Muda - akaun Maybank 162106790728 (selepas menyalurkan sumbangan sila sms 0126937908 bagi mengesahkan sumbangan). Lawatan kali ini turut melibatkan kos besar seperti kos pengangkutan ke Belantara Baram dan lain - lain kos 'ground arrangement' lain. Kos penerbangan Kuala Lumpur Sarawak ditanggung oleh anggota rombongan sendiri.

sekian,

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


No comments:

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan