Tuesday, December 17, 2013

SAMM Pahang Rakam Terima Kasih

Kenyataan Terbuka
17 Disember 2013

SAMM Pahang Rakam Terima Kasih

Bencana banjir yang berlaku di Kuantan baru-baru ini telah menyebabkan banyak kemusnahan harta benda, termasuk hampir 40000 mangsa banjir telah dipindahkan ke pusat pemindahan.

Ini disebabkan musim tengkujuh luar biasa yang telah melanda dan bertembung dengan air laut pasang besar yang menyebabkan banyak kawasan ditenggelami air termasuklah pusat bandar.

Atas kesedaran ini, SAMM Pahang selama 2 minggu lalu telah mengorak langkah awal dengan menghantar mangsa-mangsa banjir ke pusat pemindahan menggunakan pacuan 4 roda memandangkan banyak jalan yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan biasa.

Aksi tersebut disusuli pula bantuan bersiri oleh SAMM Kebangsaan bersama SAMM Negeri Sembilan, SAMM Johor, SAMM Kedah SAMM Terengganu dan SAMM P.Pinang. Kehadiran aktivis SAMM seluruh negara ke Kuantan bukan sahaja menghantar bantuan dari segi keperluan asas yang dikumpulkan dari pusat pengumpulan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin, malah turut membantu dalam operasi pembersihan.

Baru-baru ini SAMM Malaysia telah melancarkan Misi Kemanusiaan SAMM #OpsBersih Banjir yang diketuai oleh saudara Md Sani Md Shah ke Kuantan. Tujuan misi ini dilaksana berikutan masih banyak mangsa banjir yang belum mendapat bantuan dan masih banyak rumah-rumah yang belum boleh diduduki akibat banjir. 

Antara yang menarik perhatian ialah, barangan persekolahan turut dibekalkan untuk kanak-kanak hasil sumbangan kerajaan negeri Selangor, NGO dan orang ramai.

Kegembiraan jelas terpancar dari wajah mangsa banjir atas kehadiran delegasi-delegasi SAMM seluruh Malaysia ke perumahan mereka. Walaupun beban kerugian yang besar itu tidak tertanggung, namun ia bantuan yang diberi mengurangkan derita mangsa banjir.

SAMM Pahang merakam jutaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana sudi menghulurkan bantuan dari pelbagai sudut demi membantu kami di Kuantan ini. 

Inilah yang dikatakan penyatuan hati. Berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.

Sekian,

Amirul Syazwan
Penyelaras SAMM Pahang

No comments: