Thursday, September 8, 2011

MB Johor Contoh Terbaik Talibarut British? (Wajib Baca!!)



Perdebatan sejarah kemerdekaan kembali panas dengan pengakuan MB Johor, yang menukar pendiriannya setelah mengatakan Mat Indera sebagai Tokoh Terbilang suatu ketika dulu. Apakah tujuan MB Johor menukar pendirian? Apakah MB Johor ini ditekan oleh Umno Johor kerana kerisauan Johor juga bakal tumbang jika sejarah sebenar terungkai ?

Merujuk kepada kenyataan MB Johor dalam portal bernama;
Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Beliau berkata berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM), sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.

"Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan.

"Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

Sebelum diulas dengan lebih lanjut, mari kita renung apakah tindak tanduk penjajah British (atau boleh saya kata pengganas British?) ketika Mat Indera melancarkan gerakan kemerdekaan. British melabelkan Mat Indera sebagai pengganas komunis lalu meletakkan $75 000 untuk kepala Mat Indera. Keluarga Mat Indera juga diseksa dan dibuang daerah oleh British. Apabila Mat Indera ditangkap, hukuman untuk beliau adalah penyiksaan untuk berbulan lamanya dan akhirnya beliau dihukum gantung di Taiping.

Hari ini, Menteri Besar Johor membuat kenyataan bahawa Mat Indera seorang pengganas komunis yang kejam dan zalim walaupun dalam buku "Pengukir Nama Johor", MB Johor ini jugalah yang menamakan Mat Indera sebagai Tokoh Terbilang. Bukankah kenyataan MB Johor ini menyerupai imperialis Inggeris? Apakah kenyataan MB Johor ini melengkapkan kebenaran betapa Umno adalah talibarut British dan meneruskan legasi British?

Mungkin sedikit masa lagi akan ada pemimpin Umno yang tergamak mengatakan Tok Janggut juga sebagai pengganas kerana Tok Janggut juga membunuh polis melayu yang bernama Sarjan Che Wan di Pasir Mas, Kelantan. Tok Janggut yang dibunuh dan gantung secara terbali, kemudian diheret menyeberangi Padang Bank Kota Bharu, tidak pula dianggap pengganas dalam buku teks sejarah. Inikah yang dikatakan sejarah ?

Berbalik kepada kepahlawanan Mat Indera, beliau pada awalnya telah diiktiraf dalam buku Pengukir Nama Johor sebagai antara tokoh negeri Johor yang terbilang. Ironinya, yang mengiktiraf beliau sebagai tokoh terbilang itu adalah MB Johor sendiri, lantas MB Johor menyatakan;
Penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.
Dengan kata-kata di atas, apakah kita juga boleh melebel sejarah kemerdekaan oleh Umno yang tertulis dalam mana-mana buku teks sejarah yang diiktiraf itu adalah semata-mata bahan kajian di atas prinsip 'kebenaran akademik' untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan ?

Kenyataan MB Johor hari ini juga menyebut, apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan. Tetapi MB Johor tidak pula merungkaikan mengapa hanya hanya gerakan melayu Umno sahaja yang tidak diharamkan?

Ternyata pihak British tidak memberi ruang kepada semua gerakan kemerdekaan apabila mengharamkan PKMM, AWAS, API dan PKM. Semua nasionalis yang menuntut kemerdekaan tidak diberi pilihan. Hanya dengan menyertai kumpulan bangsawan elit Umno untuk kemerdekaan acuan British, atau berdepan dengan risiko merengkok dalam penjara atau lebih buruk, dibunuh menjadi pejuang tidak bernama.

Walaupun kenyataan MB Johor hari ini bersifat dangkal dan bodoh sombong, tetapi kita harus bersyukur kerana ia secara tidak langsung memberi petunjuk jelas betapa kemerdekaan yang dituntut Umno diberi laluan mudah oleh British dengan satu keraguan - Benarkah Umno talibarut British? Ia juga secara langsung membangkitkan ghairah lebih ramai anak muda untuk mengetahui sejarah sebenar kemerdekaan di sebalik sejarah doktrin penutup minda.

Setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah buat MB Johor yang serba flip-flop. Moga lebih ramai pemimpin Umno yang bersuara sepertimana kenyataan MB Johor hari ini. Keraguan sejarah kemerdekaan semakin terserlah dan memasuki era perdebatan terbuka. Benarlah kata orang, Umno akan dimakan sejarah, Umno sejarah...



Edyes @ edyesdotocom


2 comments:

ex-pkrman said...

Dan anda pula talibarut siapa?
Hanya kerana UMNO memilih jalan lembut untuk mencapai kemerdekaan, tidak bermakna UMNO tak berjuang untuk itu? Tidak ada satu hukum pun mengatakan perjuangan kemerdekaan mesti melalui gerakan radikal.
PKMM, API, AWAS dan sebagainya tidak menyertai UMNO bukan semata-mata kerana UMNO bersikap lunak kepada penjajah tetapi kerana gagal menyaingi pengaruh UMNO di kalangan orang Melayu. Dengan pengaruh yang dibawa oleh orang-orang seperti Mokhtarudin Lasso, agenda mereka juga lebih kepada pembentukan gagasan Melayu Rayanya bukan untuk Tanah Melayu tulen. Sama seperti PKM, agendanya ialah mengusir harimau (British) tetapi melontarkan Tanah Melayu ke mulut naga (China- Mao.
Pemerintah tidak pernah menafikan sumbangan pejuang-pejuang berhaluan kiri. Dalam teks sejarah nama-nama mereka diangkat sebagai pejuang. Hal berkaitan mereka boleh dibaca/lihat di perpustakaan arkib, muzium. Malah pengkisahan mngenai mereka sering muncul di dalam siaran-siaran TV milik pemerintah. Jika pemerintah mahu menggelapkan nama mereka, semua itu tidak akan wujud.
Tak usahlah berbohong dan membutakan mata daripada kebenaran. Belajarlah berfikir dengan akal bukannya dengan hati.

matsmart said...

Cuba baca ni:

Ketika para pencacai PAS terpaksa mencipta cerita kosong untuk memuji-muji kepintaran Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS itu telah mendedahkan sesuatu yang selama ini cukup tersimpan dalam almari khas PAS iaitu kebodohan dan kedangkalan mereka memahami sejarah negara ini.

Apabila para pemimpin PAS dan para penjilat mereka menuduh UMNO merupakan pewaris British yang terhasil daripada Malayan Union pada 1946, sebenarnya mereka sendiri mengakui bahawa PAS telah ditubuhkan oleh British bagi memastikan umat Islam di negara ini terus berpecah belah.

UMNO ditubuhkan pada 1946 menerusi persidangan 200 orang pemimpin-pemimpin Melayu dari pebagai golongan termasuklah daripada golongan kiri, kanan dan kaum ulama untuk menentang Malayan Union. Manakala PAS pula ditubuhkan pada tahun 1951 selepas sekumpulan pemimpin dalam UMNO tidak berpuas hati kerana mereka gagal memperolehi jawatan dalam pertandingan merebut jawatan-jawatan penting dalam UMNO.

Penubuhan UMNO membuktikan penyatuan para pemimpin Melayu membahayakan British. British akhirnya terpaksa merundingkan kemerdekaan negara ini selepas UMNO tertubuh. Namun British tidak mudah mengendur. Memerdekakan negara ini dalam kesatuan orang Melayu akan menyusahkan mereka terutama tentang nasib kaum imigran yang menjadi rakyat Ratu dan aset-aset British yang lain, termasuklah perladangan dan perlombongan yang sebahagiannya turut dimiliki oleh kaum imigran.

Dalam keadaan menghampiri kemerdekaan itulah, British membenarkan penubuhan PAS pada tahun 1951. Penubuhan PAS telah membawa satu perubahan penting, apabila PAS memainkan peranan sebagai pengacau tuntutan kemerdekaan.

Contohnya, pada tahun 1953, seorang pemimpin utama PAS menempelak UMNO kerana mahukan kemerdekaan negara. Alasan pemimpin PAS berkenaan, Tanah Melayu seharusnya merdeka bersama-sama Indonesia yang telah merdeka lebih awal. Seorang pemimpin PAS yang lain, turut mempersoalkan jus soli dan hak mengundi penuh yang diberikan kepada golongan imigran.

Ia kelihatan sangat relevan dengan Melayu dan PAS pada ketika itu menjadi sangat ultra Nasionalis. Tidak timbul sebarang usaha menjadikan PAS sebagai parti ulama seperti yang berlaku pada tahun 1977. Malah gelaran ulama juga kedengaran sangat janggal untuk dikaitkan dengan PAS.

Matlamat British untuk melihat orang Melayu berpuak-puak dan berpecah-pecah, terlaksana. Apatah lagi dengan penggunaan Islam sebagai pemecah belah Melayu, impian British untuk memastikan orang Melayu berfahaman seperti pengasas ajaran Qadiani, kelihatan semakin dekat.

Itu merupakan antara salah satu sebab mengapa PAS dibenarkan penubuhannya walaupun British sebelum itu telah menghapuskan Hizbul Muslimin. British tidak berasakan penubuhan PAS akan mengancam mereka, sebaliknya berpandangan jauh bahawa penubuhan PAS akan mengekalkan Melayu sebagai bangsa yang lebih sibuk dengan politik dan ketinggalan dalam bidang-bidang yang lain.