Monday, April 6, 2009

Kickdefella : Sokong Najib Razak


oleh sheikh kickdefella

Endorsement dari blog ini tidak membawa apa-apa makna kepada Malaysia amnya dan Najib Razak khasnya, bagaimanapun, sebagai pemilik blog ini, saya tetap mahu menyuarakan sokongan saya terhadap kepimpinan baru Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak.

Najib Razak menerima endorsement saya bukan kerana beliau membebaskan 13 tahanan ISA dan berjanji untuk menyemak semula keperluan undang-undang tersebut. Najid Razak juga menerima endorsement saya bukan kerana beliau menamatkan penggantungan sementara 3 bulan kepada Harakah dan Suara Keadilan. Najib Razak mendapat endorsement saya juga bukan kerana beliau telah turun padang dalam publisiti stunt untuk dilihat peduli rakyat di saat dilantik menjadi Perdana Menteri.

Sebaliknya, kalau kita suka untuk mengingati sejarah, Najib Razak sekadar mengulangi tindakan Tun Dr. Mahathir bila dilantik menerajui negara. Apakah Najib Razak juga akan mengikuti langkah seterusnya, membebaskan tahanan ISA supaya baik pulih dapat dilakukan ke atas Kem Tahanan itu untuk diisi dengan lebih ramai lagi selepas suatu pilihanraya umum di mana dia berharap memperoleh kemenangan besar?

Atau tindakan Najib sekadar satu tempelak yang tentu sekali Abdullah ter’guling bating’ setelah Abdullah menempelak Najib di Persidangan Agung UMNO yang lepas kerana khuatir Najib akan kembali ke zaman gelap kebebasan dan hak asasi manusia?

Atau mungkin juga pengantungan Harakah dan Suara Keadilan adalah satu perancangan liar oleh Najib dua minggu sebelum dilantik PM supaya dia sendiri dapat menamatkan penggantungan itu agar dilihat sebagai seorang pemimpin yang peduli hak kebebasan menyampaikan maklumat.

Atau lawatan Najib ke 3 lokasi rakyat jelata Cina, Melayu dan India adalah sepekara yang amat pelik dan tidak pernah dibuat oleh mana-mana PM sebelum ini? Hanya masa akan dapat menentukannya sama ada Najib akan menjadikan lawatan itu sebagai rutin tahunannya sepertimana Tun Dr. Mahathir melakukannya setiap Ramadan di Kuala Lumpur dan Alor Setar.

Pembebasan tahanan ISA dan semakan semula undang-undang itu amat mengejutkan bila tidak disambut dengan protes oleh puak-puak yang memertabatkan Ketuanan Melayu yang sanggup berdemonstrasi dalam kelompok-kelompok kecil yang memalukan sebelum ini.

Manakala tindakan menamatkan penggantungan sementara Harakah pula tentu mengecewakan segelintir puak dari Terengganu yang mungkin merasa rahmat dari penggantungan organ Parti yang dilihat terlalu banyak mempromosi puak Erdogan terutama menjelang pemilihan PAS di Muktamar akan datang.

Dan akhirnya, lawatan ke pasar-pasar rakyat tentu sekali merisaukan para penasihat ekonomi Negara dan Menteri-menteri tertentu kerana jika Najib menjadikan lawatan ke pasar-pasar rakyat yang sama sebagai acara tahunannya, dia akan dapat merasa sendiri kesan inflasi jika berlaku.

Namun begitu, saya tetap memberi sokongan padu kepada kepimpinan baru negara walau tanpa dijerat gula-gula. Sebabnya jelas, sesiapa sahaja yang mempunyai latar belakang perkhidmatan sepertinya tentu sekali berpengalaman penuh dalam hal pentadbiran negara dan oleh itu, dia sebenarnya berkelayakan.

Sesiapa yang layak tak perlu di lanyak. Siapa yang layak perlu disokong supaya beliau dapat melakukan yang terbaik tanpa berdepan dengan halangan dan rintangan melakukannya. Dan jika dia gagal, gagalnya bukan kerana tidak mendapat sokongan tetapi gagalnya adalah dari faktor lain. Jika itu berlaku, saya akan mengambil kira untuk menarik balik sokongan saya terhadapnya.

Saya menyokong Najib kerana saya mahu melihat Malaysia berjaya didalam banyak sudut dan antara yang paling penting ialah,

· Berjaya keluar dari kepompong perbicaraan Ketuanan Melayu sebaliknya melangkah menjadi sebuah negara yang memperkasakan hak setiap warganegaranya dan menjamin keadilan yang sama rata kepada semua tanpa mengira agama dan kaum.

· Berjaya keluar dari cengkaman kezaliman polis dan melihat perlaksanaan penuh saranan-saranan IPCMC yang sudah jelas terkubur.

· Badan kehakiman bebas sepenuhnya dari pertalian eksekutif dan kembalinya keyakinan terhadap institusi berkenaan.

· Rasuah dihapuskan sepenuhnya bermula dari dalam Istana hinggalah ke dalam Penjara.

· Reformasi dalam Suruhanjaya Pilihan Raya dan daftar pemilih.

· Ketirisan dalam pentadbiran kewangan negara yang berpunca dari kronisme dan political survival dihapuskan terus.

· Undang-undang yang menggangu-gugat hak asasi rakyat dan kebebasan bersuara dan meluahkan pandangan di semak semula diantaranya ialah akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan, Akta Universiti dan Kolej Universiti dan Akta Mesin Cetak.

Saya juga menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan baru negara kerana didalam melaksanakan segala pembahruan ini, Najib Razak akan pasti berhadapan dengan musuh paling ketatnya iaitu UMNO.

Elit-elit di dalam UMNO sudah tentu akan mengganggu-gugat sebarang transformasi yang boleh mengubah cengkaman mereka terhadap sumber kewangan negara dan keutuhan kedudukan mereka dari sudut politik.

Atas sebab itulah, kita melihat sudah dua pemimpin UMNO yang lalu terus gagal membawa perubahan ini disebalik permulaan yang hebat.

Mahathir Mohamad telah berusaha begitu juga dengan Abdullah. Akhirnya mereka samada tunduk kepada ketuanan UMNO lalu meneruskan penindasan rakyat Malaysia atau terpaksa akur dengan pelbagai bentuk perpecahan.

Berdasarkan liabiliti yang begitu membebankan yang terpaksa digendungnya ke pejabat barunya di Putrajaya, dan juga liabiliti berbentuk Maharani Balu yang terpaksa dipimpinnya ke Seri Perdana, ternyata adalah lebih mudah bagi Najib untuk mendapat simpati dan sokongan dari rakyat Malaysia terutamanya dari orang-orang Melayu.

Najib hanya perlu dilihat berusaha melakukan yang terbaik dan psikologi Melayu yang sentimental dan romantis akan jatuh cinta padanya.

Najib memiliki apa yang tidak ada pada Abdullah, iaitu rekod peribadi yang buruk pada mata rakyat. Abdullah sebaliknya memiliki jolokan ‘Mr. Clean’ yang sebenarnya menderaukan darah rakyat bila kelemahannya terbongkar di puncak Putrajaya.

Oleh yang demikian, tidak pelik jika Najib bertindak buruk pada rakyat tetapi amat pelik dan memukau jika Najib melakukan benda yang baik-baik. Itulah keuntungan Najib kerana imej yang berkarat.

Masa depan negara kini ditangan Najib Razak. Seharusnya yang terbaik untuk kita lakukan ialah memberinya sokongan kepadanya tetapi jika sokongan itu terlalu tinggi untuk diminta, maka setidak-tidaknya berikan beliau masa dan peluang.

Untung nasib Najib Razak belum tersurat, tapi Najib mungkin sedar bagaimana tenggelamnya Abdullah.

Tenggelamnya Abdullah bermula bukan dari hentakan Mahathir tetapi tenggelamnya Abdullah adalah dari perkembangan teknologi di dalam dunia siber.

Najib sudah pasti mampu melunakkan Mahathir tetapi hanya yang terbaik yang dilakukkannya akan dapat menjinakkan teknologi ke pihaknya.

Semoga Najib tidak terkehel dengan keajaiban Cobra Sultan, Pesawat Peribadi Baru, Istana di Australia dan lain-lain. Jika pun terkehel, semoga dia tidak tersembelih dirinya sendiri dengan penjelasan yang menghina taraf pemikiran rakyat.

Selamat mencuba tampuk kuasa.

No comments: