Tuesday, April 14, 2009

Kickdefella : Kabinet 'Buah Tumpang'

Maka, apa yang kita dapat ialah satu Kabinet yang dibuat atas desakan Tun Mahathir Mohamad dan desakan komponen-komponen BN. Semuanya dibuat dengan tujuan-tujuan yang lebih utama dari falsafah One Malaysia, People First, Performance Now.

Ramai salah mengerti bila saya cuba berkias. Ramai kurang arif perubahan yang sebenarnya boleh dilakukan oleh Najib Razak menerusi perlantikan kabinet barunya. Perubahan kabinet negara bukan sekadar menukar nama orang. Orang boleh ditukar oleh sesiapapun, tetapi kalau sistem dimana orang itu berada tidak ditukar bersama orangnya, apa benda KPI sekalipun akan lenyap dan akhirnya kembali ke asal.

Pi mai pi mai tang tu jugak.

Kabinet baru Najib sekadar kabinet saranan Mahathir. Melantik orang yang dilihat bersih dan diletakkan di dalam suasana yang penuh peluang dan ‘loop hole’ untuk melakukan aktiviti tidak bersih tanpa ‘check and balance’ yang ‘proper’.

Tiada tindakan kreatif dalam memastikan kabinet ini akan menidakkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Tiada tindakan kreatif dalam memastikan kabinet ini menggalakkan persaingan kuasa dikalangan pemimpin politik dan tiada tindakan dalam perlantikan kabinet ini bagi menjamin tidak akan berlaku politik wang lagi di dalam UMNO.

Najib telah terlepas keretapi.

Keretapi ini mungkin tidak akan sempat tiba di stesen seterusnya untuk membolehkan Najib menukar ke keretapi lain.

Apa yang diharapkan berlaku tetapi tidak dilakukan Najib? Sebelum kita menjawab persoalan itu, kita lihat apa yang dilakukan oleh Najib dalam senarai baru kabinetnya.

1. Kabinet baru Najib kelihatan sekali pandang lebih kecil sedikit dari kabinet Abdullah.

2. Dua kali pandang, kabinet Najib memiliki 29 orang Menteri dan 40 orang Timbalan Menteri dengan seorang yang tidak disebut namanya dilantik ke taraf Menteri. Jumlah keseluruhannya ialah 69 orang.

3. Kabinet Abdullah mempunyai 32 orang Menteri dan 38 Timbalan Menteri. Jumlah keseluruhan 71 orang.

4. Kabinet Najib bukan kabinet rakyat sebaliknya kabinet Barisan Nasional.

5. Ia bukan kabinet untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan tetapi kabinet untuk memuaskan hati parti-parti komponen BN supaya mereka berpuashati dengan Najib.

6. Najib lebih utamakan BN dan masa depan BN bukan rakyat dan masa depan rakyat didalam kabinetnya.

Apa yang Najib terlepas peluang untuk melakukkannya dan membentuk kabinet rakyat sebenar-benarnya?

1. Najib harus mengurangkan lantikan ahli kabinet dari kalangan pemegang jawatan di dalam parti-parti yang membentuk kerajaan. Ini akan memberi isyarat kepada pemegang-pemegang jawatan di dalam parti bahawa jawatan di dalam parti bukan pas untuk dilantik ke dalam kabinet. Secara langsung ini akan mengurangkan kepanasan perebutan dalam pemilihan parti terutamanya UMNO.

2. Apabila ini berlaku, ia juga akan mengurangkan dan seterusnya menamatkan politik wang di dalam UMNO. Tiada guna berhabis wang berkempen dan membeli undi kerana mendapat jawatan dalam parti hanya bererti mereka akan menabur khidmat kepada parti mereka dan bukan negara.

3. Pemegang jawatan didalam parti tidak akan mendapat peluang terus untuk mengaut balik ‘pelaburan’ mereka dan penyokong mereka menerusi projek-projek kerajaan.

4. Jika ahli kabinet bukan dari pemegang-pemegang jawatan parti, ia akan dapat meringankan tugas ahli kabinet seterusnya lebih fokus kepada prestasi kepada kementerian mereka tanpa menyalahgunakan kemudahan mereka sebagai Menteri untuk tujuan parti.

5. Pada hari ini, para Menteri menggunakan kemudahan yang diterima sebagai ahli kabinet untuk membiayai kerja parti mereka seperti tiket penerbangan, elaun, keraian, pengangkutan darat dan lain-lain.

6. Jika Menteri bukan pemegang jawatan di dalam parti, penyalahgunaan kuasa ini lenyap.

7. Seterusnya, Najib seharusnya mengurangkan jumlah ahli kabinet dari anggota Dewan Rakyat seterusnya ini boleh mengurangkan masalah melobi di dalam parti untuk menjadi wakil rakyat menjelang pilihanraya.

8. Ahli-ahli wakil rakyat dari pemerintah juga akan dapat menumpukan lebih perhatian kepada tugas mereka sebagai penggubal undang-undang di Parlimen dan sebagai Wakil Rakyat di konstituensi mereka.

9. Pada waktu ini, seorang ahli politik bergelar Menteri, setidak-tidaknya adalah seorang Wakil Rakyat, sebagai ahli Majlis Tertinggi Partinya dan sebagai Ketua Bahagian Partinya. Oleh itu, terlalu banyak sumber kerajaan yang disalahguna untuk mereka melaksanakan tugas mereka. Ini mengakibatkan pengagihan kekayaan negara yang tidak seimbang. Ini juga mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung pelbagai jawatan lantikan politik untuk membantu Menteri itu melaksanakan amanah-amanah yang dipikulnya.

10. Seorang Menteri juga terpaksa menganugerahkan tender dan peluang-peluang projek dari kementeriannya kepada bukan sahaja partinya, tetapi kepada penyokongnya yang membiayai kempennya dalam pilihanraya umum dan pemilihan parti.

11. Di atas sebab demikian, sebersih mana sekalipun seorang Menteri itu diperingkat awalnya, dengan kuasa besar yang ada ditangannya dan dengan tanggungjawab yang bertindan-tindan serta untuk ‘survival’nya di pelbagai peringkat, terpaksa jugalah dia menggunakan kedudukannya dengan cara yang tidak beretika.

Oleh yang demikian, dari manakah harus dilantik Menteri-menteri ini?

1. Menteri-menteri boleh dilantik dikalangan sesiapa sahaja yang layak dan mempunyai kepakaran yang diperlukan oleh Perdana Menteri untuk melaksanakan misi dan wawasannya.

2. Tangan PM tidak terikat untuk memuaskan hati partinya dan parti-parti komponen lain.

3. Komposisi ahli kabinet boleh dilakukan berdasarkan persetujuan BN.

4. Perlembagaan Negara membenarkan ahli kabinet dilantik dari ahli Parlimen beerti tidak semestinya Wakil Rakyat tetapi Senator juga.

5. Oleh yang demikian, dengan cara ini, Dewan Negara akan mula dipenuhi oleh mereka yang mempunyai kepakaran tinggi yang dilantik sebagai Senator bagi membolehkan mereka menganggotai kabinet. Dewan Negara tidak lagi diisi oleh mereka yang tewas dalam PRU atau mereka yang diangkat ke situ bagi mengurangkan ketegangan dalam parti.

6. Ini akan membuka pintu kepada pengasingan kuasa antara eksekutif dan perundangan walaupun tidak menyeluruh pada mulanya.

Apa yang dijelaskan diatas adalah satu gagasan transformasi di dalam Kabinet Negara oleh seterusnya berpeluang menghapuskan masalah politik wang, rasuah dan amalan penyalahgunaan kuasa.

Mengapa Najib tidak melakukan apa yang tersenarai di atas jika beliau benar-benar mahu melakukan perubahan segera.

1. Najib dan penasihatnya sebenarnya ‘clueless’ dengan apa yang dikatakan transformasi dan reformasi dalam peringkat tertinggi Kerajaan.

2. Atau Najib sebenar-benarnya tidak berniat untuk melakukan sebarang perubahan selain hanya sekadar perubahan kosmetik semata-mata. Dalam erti kata lain, Najib tidak ikhlas dalam mahukan perubahan.

3. Atau Najib sebenarnya di dalam keadaan terancam dan tidak berani untuk berubah kerana takut kehilangan sokongan dan mengakibatkan huru hara di dalam BN disebabkan parti-parti komponen BN hanya mahukan kuasa untuk survival dan bukan kuasa untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat.

Maka, apa yang kita dapat ialah satu Kabinet yang dibuat atas desakan Tun Mahathir Mohamad dan desakan komponen-komponen BN. Semuanya dibuat dengan tujuan-tujuan yang lebih utama dari falsafah One Malaysia, People First, Performance Now.

Jika falsafah tadi di dokong sama oleh komponen BN dan UMNO khasnya, maka tidak perlu timbul soal kuota parti-parti komponen dan soal pemegang jawatan parti perlu diutamakan. Yang penting ialah soal ‘performance’ dan sesiapa sahaja dari kalangan rakyat Malaysia tanpa kira agama dan keturunan, asalkan yang terbaik yang ada, maka dia wajib dipelawa untuk menjadi ahli kabinet.

Kegagalan Najib mentransformasikan kabinetnya, diikuti pula kegagalan untuk mewujudkan reformasi dikalangan ahli-ahli kabinet.

Di dalam usaha memenangi hati rakyat, anggota kabinet bukan sahaja perlu disukai rakyat tetapi juga perlu bersifat sebagai rakyat. Hanya dengan bersifat sebagaimana rakyat maka kabinet ini dapat berfungsi sebagai kabinet rakyat.

Saya merasakan satu reformasi fizikal dalam kabinet diperlukan. Ia bukannya reformasi kosmetik seperti di zaman Tun Dr. Mahathir, di mana kabinet bermesyuarat di lokasi-lokasi berlainan di negeri berlainan kerana ini bukan sekadar kosmetik tetapi pembaziran yang besar.

1. Sebagai permulaan, reformasi kabinet perlu bermula dengan setiap Menteri diwajibkan menggunakan kemudahan awam pada setiap hari mesyuarat Kabinet di adakan. Ini akan menjadikan Menteri tersebut masuk ke dalam mesyuarat kabinet dengan satu mood yang berlainan. Bayangkan mereka masuk ke mesyuarat kabinet dengan bergegas kerana terlewat atau ‘barely make it on time’ setelah tersangkut di dalam kesesakkan lalulintas. Bayangkan mereka masuk ke dalam mesyuarat kabinet dengan memori mereka masih segar dengan bau hapak ketiak rakyat di dalam kenderaan awam. Setidak-tidaknya, jika ini berlaku, setiap keputusan dibuat akan lebih dekat dengan rakyat kerana yang berhujah di dalam kabinet itu adalah orang-orang yang baru sahaja bergelumang bersama rakyat.

2. Seterusnya, setiap aktiviti Menteri hendaklah tidak melibatkan penutupan jalan raya dan hanya melibatkan kawalan keselamatan yang minima. Setiap Menteri seharusnya bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan termasuk jenayah seperti juga rakyat jelata.

3. Setiap kali menggunakan pernerbangan, Menteri harus menggunakan penerbangan tambang murah atau terbang dengan kelas ekonomi supaya mereka dapat menghabiskan lebih masa untuk beramah mesra dengan rakyat jelata. Menteri tidak perlu memberi alasan mereka perlukan segala kesempurnaan kerana mereka banyak kerja dan tidak cukup masa, kerana menghabiskan masa dekat dengan rakyat massa adalah kerja utama mereka.

4. Menteri tidak boleh membuat tuntutan claim keraian dihotel-hotel sebaliknya hanya claim di restoran biasa sahaja. Wang rakyat tidak boleh dihabiskan untuk tujuan keraian mewah.

5. Kunjungan ke kelab-kelab ekslusif tidak dibenarkan. Segala urusan rasmi hendaklah dilakukan di premis awam. Menteri digalakkan di lihat di kopitiam, warung dan restoran mamak.

Anggota kabinet perlu dielakkan dari sebarang kemewahan kerana anggota kabinet sentiasa perlu sedar bahawa setiap sen yang digunakan oleh mereka adalah hasil titik peluh rakyat. Mereka menjadi ahli kabinet bukan untuk merasai kemewahan tetapi untuk membawa kebaikan kepada negara.

Hanya dengan menerapkan sifat-sifat rakyat, barulah ianya sebuah kabinet rakyat.

Mungkin ini terlalu berat untuk dilaksanakan oleh BN kerana keikhlasan untuk berubah yang amat cetek.

Mungkin juga Anwar Ibrahim boleh berikrar bahawa, asas-asas sifat rakyat ini akan dilaksanakan oleh kabinetnya jika mereka dapat mengambil alih pentadbiran negara dalam PRU 13 kelak. Sementara itu, ciri-ciri ini digalakkan digunakan di Negeri-Negeri Pakatan Rakyat yang belum mengamalkannya. Saya tahu sebahagian besar ciri-ciri ini telah lama diamalkan oleh Pentadbiran PAS di Kelantan.

Kepada Yang Maha Kuasa Malaysia berserah.

SHEIKH KICKDEFELLA


edyes wrote:

Artikel yang baik dan berkesan jika dapat dilaksanakan. Untuk menjadikan ia realiti, harus pastikan PRU13 menjadi milik Pakatan Rakyat.



1 comment:

Melukut Tepi Bukit Gantang said...

konsep satu malaysia yang dibawa najib razak lebih cenderung kepada memenagi hati kaum bukan melayu yang telah menjauh dari menyokong kerajaan kini.

Sebagai bukti, pemansuhan MECD meragut keistimewaan yang dikecapi oleh melayu, dimana pelbagai kemudahan disediakan khusus untuk orang-oarng melayu selama ini telah hilang sekelip mata.

Walaupun janji dibuat, hak melayu tetap diutamakan, tetapi sejak awal lagi saf kabinet baru menampakkan penghinaan kepada melayu.

Koh Tsu Koon dilantik sebagi menteri di JPM, dengan tugas untuk perpaduan dan memantau prestasi menteri-menteri dan timbalannya, adakah beliau seolah-olah timbalan perdana menteri kedua???

Dalam PRK Bukit Gantang,boleh dikatakan hampir tiada undi dari kaum cina, dan jarang nampak pemimpin mca atau gerakan yang turun padang membantu pihak umno. Tiba-tiba mereka ini diberi tempat dalam kerajaan.

Kita boleh terima perkongsian kuasa, tetapi perkongsian hanya untuk yang menang, bukan yang kalah macam Koh Tsu Koon. Apakan Najib dah hilang pertimbangan???

Saya menyeru..wujudkan semula MECD, buang menteri yang x patut dilantik...ATAU...menerima keklahan yang memalukan dalam beberapa PRK yang mendatang dann PRU13 nanti.

Nantikan...