Thursday, May 1, 2008

Pakatan Rakyat Memerintah Tahun Ini - Wajarkah ?

Wajarkah DSAI / Pakatan Rakyat Mengambil alih Kerajaan Dalam Masa Terdekat ?

Adalah sewajarnya PR mengambil lajak dulu sebelum memerintah negara. PR harus buktikan 5 negeri yang diperintah dalam penggal ini lebih efisyen, telus dan berkebajikan tinggi daripada pemerintahan konu UMNO.

Ramai di antara kita yang berpendapat, sudah 50 tahun PAS atau pembangkang bersabar dengan karenah politik UMNO dan BN, jadi apa salahnya menunggu untuk sekurang2nya 4 tahun lagi ? Mungkin kerana pihak Pakatan Rakyat yakin bahwa peluang untuk berkuasa itu cerah dan tiada sebab PR akan tewas dalam PRU 13 kelak dalam keadaan politik UMNO yang lemah 'sekarang'.

Betul. Dato' Seri Anwar Ibrahim harus bersabar dan saya yakin beliau boleh bersabar.

Cuma apa yang saya concern, kerajaan sedia ada akan memetik suis propaganda maksimum untuk meruntuhkan perpaduan PR. Isu babi yang tak berkesudahan sebagai contoh, masih lagi dimainkan oleh pihak2 yang nak cover kesalahan sendiri...

Pada pendapat saya, sebelum negara kita lebih hancur oleh pemerintahan UMNO dan BN ini, adalah lebih baik tindakan yang radikal diambil. Apakah kehancuran yang saya maksudkan ? Hancur merujuk kepada masalah ekonomi, jenayah, akidah, ketidakadilan, penindasan dlll.

Lihatlah apa jadi pada PRU-11 tahun 2004, persempadanan semula yang sangat memihak kepada kerajaan BN ! itu merupakan salah satu langkah menipu rakyat dan tidak mustahil ianya akan berulang dalam skala yang lebih BESAR ! dan pada waktu itu (selepas PRU13) akan terpampang di muka depan akhbar "rakyat kembali menyokong kerajaan dengan memberi semula majoriti duapertiga." dan kita terpinga-pinga... so, tunggulah 50 tahun lagi...

Ingatlah, kerajaan akan bermain dengan masa... akan lebih banyak gula-gula dihulur selepas ini... dan seperti yang kita semua faham, rm200 pun boleh beli undi org melayu... tapi melayu yang haprak lah...

Walaubagaimanapun, saya yakin PRU-13 akan menyebelahi Pakatan Rakyat. Perjuangan ini akan menjadi lebih hebat sebagai reformist dan sebagai bloggers. Akan tiba jua giliran UMNO jadi pembangkang... Yakinlah, Malaysia takkan rugi kalau bertukar tampuk pemerintahan dalam masa terdekat...

Akhir sekali, sila baca hasil tulisan Hishamuddin Rais seperti di bawah. Saya baca tulisan ini sebaik sahaja selesai penulisan di atas. I'm on my own dan rupanya sependapat dengan Hishamuddin Rais.

edyes

Hishamuddin Rais wrote on malaysiakini;

Ketika saya membesar di Jelebu, di minggu akhir di setiap bulan Ramadan saya akan memasang lampu pelita di sekeliling kawasan rumah saya.

Cahaya pelita ini tanda, nahu dan bahasa sebagai persediaan dari seorang kanak-kanak untuk menyambut malam Tujuh Liku atau malam kesampaian Lailatul Qadar. Satu malam yang paling suci lagi kudus berbanding dengan seribu malam yang lain.

Mitos malam Lailatul Qadar mengajar saya sebagai kanak-kanak untuk menyimpan harapan, mimpi dan niat. Kami kanak-kanak cukup bijak untuk menyimpangsiurkan ajaran agama yang kami sendiri pun kurang arif.

Kami cukup yakin bahawa pada malam Lailatul Qadar ini, ada suatu ketika apabila semua makhluk dan tumbuhan di bumi ini akan menyembah sujud kepada pencipta Yang Maha Esa.

Malam yang mana satu? Hari apa? Jam berapa? Detik dan saat manakah Lailatul Qadar ini akan sampai tidak pernah diketahui. Malam ini menjadi satu misteri untuk kami kanak-kanak.

Daripada apa yang disurahkan, malam kudus ini hanya akan ditemui oleh mereka yang warak, suci dan beriman. Tetapi untuk kami kanak-kanak – iman, suci dan warak bukan perhitungan.

Saya menunggu kesampaian malam ini kerana saya memiliki seribu satu macam permintaan yang ingin saya sampaikan kepada Yang Maha Esa.

Daripada surah orang tua-tua, malam Lailatul Qadar akan melawat satu kali sahaja kepada sesiapa yang bernasib. Kedatangannya mungkin dapat dilihat dan mungkin tidak dapat dirasai. Seperti ia sampai, malam ini juga akan pergi tanpa gendang dan nobat.

Pernah saya mendengar riwayat bagaimana seorang lelaki warak ketika ingin mengambil air sembahyang telah meletakkan songkoknya di tepi perigi. Apabila selesai berwuduk, si Alim ini terperanjat besar apabila songkoknya telah tersangkut tinggi di pucuk kelapa.

Fenomena ini berlaku kerana ketika si Alim ingin berwuduk, Lailatulqadar telah sampai. Rupa-rupanya songkok itu telah diletakkan di atas daun kelapa sewaktu pokok sedang bersujud kepada Yang Maha Esa.

Sayangnya Lailatul Qadar datang hanya sekali. Si Warak ini tidak membuat apa-apa permintaan.

Apa yang saya surahkan tadi sekadar mitos pada zaman saya masih kanak-kanak. Apa yang ingin saya sambung di sini bukan mitos tetapi politik yang dieja dengan huruf K – realpolitik.

Sesudah pilihanraya ke-12, Pakatan Rakyat telah ditubuhkan sebagai satu wadah untuk membawa politik baru. Pada awalnya ramai yang memiliki pendapat bahawa lima negeri yang telah dimenangi oleh Pakatan perlu dijadikan negeri contoh.

Ertinya ada ketelusan, ada keterbukaan dan ada sistem pentadbiran yang menyebelahi kepada tuntutan rakyat. Tanpa amalan rasuah dan tanpa birokrasi menyusahkan, maka negeri-negeri ini akan makmur. Pada pilihanraya akan datang, lima negeri Pakatan akan menjadi contoh untuk membawa masuk negeri-negeri lain pula.

Bodoh! Pandangan bodoh ini tidak memiliki asas politik dan ekonomi.

Pakatan Rakyat wajib mengambil kerajaan Persekutuan sekarang. Lailatul Qadar hanya datang sekali sahaja. Jika tidak diambil masa dan ketikanya sekarang, saat seumpama ini tidak akan berulang lagi. Jangan sampai songkok tersangkut di pucuk kelapa (tanpa sebarang niat!).

Kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah kerajaan yang enggan dan tidak memahami apa itu konsep persekutuan atau federalisme. BN yang selama 50 tahun dulu telah memerintah tanpa mengambil endah dan menghormati konsep federalisme. Persekutuan Tanah Melayu, Malaya dan Malaysia adalah negara federalisme yang membenarkan wujud dua kuasa serentak - kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Pemisahan ini jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan BN selama 50 telah meraban-raban ke hulu ke hilir dengan kuasa mereka tanpa sebarang halangan. Penyalahgunaan kuasa seperti ini wajib dijadikan sejarah.

Pakatan Rakyat wajib mengambil kerajaan Persekutuan secepat mungkin untuk memberhentikan penyalahgunaan kuasa BN ini. Lailatul Qadar hanya datang sekali sahaja.

Pakatan Rakyat hari ini sedang berhadapan dengan gerombolan BN yang telah kalah teruk. Kita tidak perlu membuka kitab Mao Zedong untuk memahami garis politik yang tepat - ketika musuh menyerang, kita berundur dan ketika musuh lemah, kita menyerang.

BN kini sedang nazak. Saat inilah masa yang tepat untuk terus menyerang dan membungkus mereka untuk dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah. Lailatul Qadar hanya datang sekali.

Perhatikan apa tingkah laku gerombolan BN ketika mereka nazak. Perjanjian antara negeri-negeri Pakatan dengan Kementerian Pelancongan telah dilupuskan. Ketua-ketua kampung di Perak telah diberhentikan (oleh kuasa BN).

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung diubah suai. Fail dan maklumat negeri (dulu) telah dimusnahkan. Keadaan ini muncul ketika mereka nazak.

Bayangkan jika mereka dapat bangun berjalan semula, pasti Pakatan Rakyat akan dipukul musnah.

Lihat pula apa yang terjadi di Selangor - dana NGO Balkis pimpinan isteri Mohamad Khir Toyo telah dipindahkan seolah-olah dana ini harta datuk nenek moyang mereka yang dibawa dengan tongkang dari Jawa.

Pemindahan ini tidak termasuk berapa banyak fail yang telah dikoyak-rabak dan dimusnahkan sebelum pentadbiran kerajaan baru Pakatan dapat memasuki pejabat kerajaan.

Silalah jangan lupa, apa yang terjadi kepada stesen radio Selangor? Stesen radio menggunakan ruang pejabat hak milik kerajaan negeri - tiba-tiba stesen radio ini dipindahkan ke Angkasapuri. Apakah perkara ini dengan niat jahat atau dengan niat baik?

Silalah jangan lupa, apa yang berlaku pada subuh 15 April 2008? Rumah Dr Wan Azizah Wan Ismail dan rumah menteri besar Selangor telah didatangi polis.

Polis telah diarahkan untuk mengambil kenyataan daripada Dr Wan Azizah dan MB Selangor kerana malam sebelumnya Pakatan Rakyat telah mengadakan satu rapat raksasa di Kampung Baru yang dianggap ‘perhimpunan haram’.

Dengan angkuhnya pihak polis enggan mengambil kenyataan Dr Wan Azizah dan MB Selangor di pejabat mereka. Polis mendesak mereka berbondong-bondong ke balai seolah-olah untuk dilihat umum sebagai orang jahat.

Tindakan polis ini arahan siapa? Mereka langsung tiada niat untuk menghormati menteri besar dan ketua pembangkang.

Bandingkan dengan kes raba-raba buntut pelayan yang pelakon utamanya JJ. Daripada laporan akhbar, kita diberitahu bahawa ketua polis yang sama telah menjalankan siasatan. Tetapi di mana kenyataan JJ ini diambil?

Daripada akhbar kita hanya diberitahu bahawa "pihak polis telah menemui bekas menteri ini di satu tempat". Satu tempat ini di mana? Kenapa JJ tidak diminta datang ke balai polis?

Kenapa Dr Wan Azizah dan MB Selangor dipaksa datang? Walhal kes raba-raba buntut itu satu jenayah seksual yang amat berbahaya.

Dua senario ini menjadi bukti bahawa pihak polis juga kini telah menjadi perkakas BN. Mereka ini akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan gerombolan Barisan Nasional.

Kerana itu Pakatan Rakyat tidak akan selamat jika tidak mengambil kerajaan Persekutuan secepat mungkin. Lailatul Qadar datang hanya sekali. Jangan nanti tercengang-cengang apabila melihat songkok tersadai di atas pucuk kelapa.3

Saya yakin dalam masa jangka yang singkat gerombolan BN dan United Malays National Organisation akan melakukan pelbagai bentuk sabotaj.

Berita telah mula keluar tentang dana persekutuan akan dikurangkan di lima negeri Pakatan Rakyat, walhal lima negeri inilah pembayar cukai terbanyak dan penjana ekonomi Malaysia.

Menjadi satu kesilapan besar jika ada penyokong Pakatan Rakyat berasa takut untuk terus mara merampas dan mengambil pentadbiran persekutuan. Warga dan para penyokong Pakatan Rakyat wajib bersedia dan jangan takut dengan kemenangan.

Jika gerombolan BN ini memahami dan menghayati konsep dan falsafah federalisme, maka tidak timbul saranan untuk merebut kerajaan Persekutuan. Tidak timbul tiupan sangkakala ini. Kerajaan dalam sistem demokrasi boleh beralih dan bertukar ganti.

Menjadi satu kesilapan politik besar jika para pemimpin Pakatan Rakyat cuba menunggu lama dan hanya melihat gerombolan BN yang telah tergelincir kuasa. Mereka yang tergelincir dan berkemungkinan hilang kuasa akan melakukan apa sahaja.

Bayangkan berbilion-bilion ringgit dana yang selama ini mereka rompak dan agihkan kepada suku-sakat mereka. Tiba-tiba pengaliran dana ini dihentikan oleh Pakatan Rakyat!

Bayangkan pula ratusan ribu hektar tanah yang tela diberikan oleh Mohamad Khir Toyo kepada para penyokongnya di Selangor. Bagaimana pula di Perak, di Negeri Sembilan, di Kedah dan di Pulau Pinang? Semua ini akan dikaji siasat.

Dan mereka sedar jika mereka tidak menyerang Pakatan Rakyat, mereka semua akan dibawa ke mahkamah. Tetapi buat masa ini, kerana mereka sedang bergaduh sesama sendiri, maka tenaga dan daya usaha mereka belum sempat dihadapkan kepada Pakatan Rakyat.

Justeru, apabila musuh lemah, kita menyerang. Jangan tunggu mereka kuat. Lailatul Qadar hanya datang sekali.

Pakatan Rakyat wajib belajar daripada apa yang telah terjadi di Terengganu. Apabila Haji Abdul Hadi Awang telah menemui ratusan ribu duit tunai dalam laci Wan Mokhtar Wan Ahmad pada malam kemenangan di Terengganu pada 1999, tidak ada apa-apa tindakan diambil - ini kesilapan besar.

Apabila musuh jatuh, itulah masanya kita menerkam. Apabila musuh lemah, itulah masanya kita menyerang. Dalam politik, kita mesti berani mencekik leher seteru politik kita. Jika tidak, musuh ini akan menyusun untuk bangun dan melawan kembali.

Rakyat sedang menunggu untuk merebut kemenangan. Kerajaan Persekutuan wajib diambil secepat mungkin. Saat dan masanya untuk bertindak ialah sekarang! Jangan biarkan saat itu beredar.

Malam Lailatul Qadar hanya datang sekali. Lima tahun dari hari ini, jangan ternganga dan tercengang kerana songkok tersangkut di atas pucuk kelapa.

No comments: