Tuesday, April 1, 2008

Pemuda dihalau soal isu Anwar + Penubuhan Pakatan Rakyat

Pemuda dihalau soal isu Anwar

Apr 1, 08 2:23pm

Seorang ketua pemuda Umno dihalau keluar dari forum anjuran kumpulan penyokong parti ketika beliau cuba membangkitkan persoalan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Belum sempat menghabiskan pertanyaannya, beliau disorak kuat sehingga gagal bersuara lagi di tengah-tengah laungan "keluar, keluar".

Beliau terus dibawa ke luar kawasan hotel tersebut, tempat berlangsung forum yang melibatkan tokoh-tokoh popular Umno - ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir. Forum bertajuk 'Umno Pasca Pilihanraya ke-12: Satu Penilaian', anjuran MyKmu.net disusuli ucapan dan sesi soal-jawab dengan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kira-kira 1,000 penyokong parti itu menyertainya - termasuk 300 di luar dewan dan lobi hotel.Pihak penganjur yang kesal dengan kejadian itu, dan jeritan-jeritan yang mengganggu ahli panel khususnya sewaktu Dr Mohd Khir memberikan jawapannya, berkata jika keadaan semakin buruk, mereka tidak akan menganjurkan lagi program seumpama itu.


edyesdotcom wrote:

Pertama, saya yakin ketua pemuda tersebut serta ahli-ahli tajaanya akan mendaftar sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat selepas dari kejadian ini. saya akan cuba untuk mendapatkan detail dan perkembangan lanjut mengenai pemuda ini.

Kedua, saya juga yakin bahawa UMNO dari mana-mana sudut sekalipun, baik di pakatan A (pro paklah) mahupun pakatan B (pro Najib monggolia) serta pakatan C (pro Mukhriz & Bapaknya) dan pakan D (pro Ku Li), berada dalam keadaan trauma dan ketakutan! Langsung tak boleh dengar nama Anwar, langsung tak boleh membincangkan soal DSAI.

Arakian Barisan Rakyat atau nama barunya PAKATAN RAKYAT semakin tegap bersatu, mereka-mereka di UMNO kian goyah dan persepakatan mereka seolah-olah berada di penghujungnya. Hayatilah artikel di bawah ini ;


Pembangkang tubuh Pakatan Rakyat
Apr 1, 08 2:15pm


Tiga parti pembangkang utama - PAS, DAP dan PKR - hari ini bersetuju untuk menubuhkan gabungan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

Penubuhan pakatan tersebut turut menyaksikan PAS dan DAP memulihkan kerjasama antara kedua-dua parti tersebut.Sebelum ini, DAP, PKR dan PAS, menganggotai Barisan Alternatif (BA) yang ditubuhkan pada tahun 1999. Bagaimanapun, DAP bertindak keluar dari barisan tersebut dua tahun kemudiannya kerana membantah agenda negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Keputusan menubuhkan pakatan tersebut dibuat dalam satu perjumpaan hari ini yang dihadiri oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail; pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang; dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang."Dalam perjumpaan hari ini, kami telah mencadangkan untuk menggabung kerjasama antara ketiga-ketiga parti tersebut di bawah nama Pakatan Rakyat," kata para pemimpin berkenaan dalam satu kenyataan bersama hari ini.Mereka berkata, nama tersebut dicadangkan sementara menunggu pengesahan parti-parti terbabit.

Majlis KepimpinanMenurut kenyataan itu lagi, Pakatan Rakyat berikrar untuk melindungi hak-hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan.Berikutan itu, kata mereka, kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor akan dikenali sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat."Dasar-dasar kerajaan-kerajaan negeri berkenaan akan dijalankan mengikut dasar-dasar yang dipersetujui Pakatan Rakyat," kata kenyataan itu lagi. Menurutnya lagi, bagi mengukuhkan lagi kefahaman bersama mengenai dasar-dasar berkenaan, satu konvensyen wakil rakyat Pakatan Rakyat akan diadakan pada 27 April depan.

Bagi mengukuhkan struktur Pakatan Rakyat, sebuah Majlis Kepimpinan ditubuhkan, yang dianggotai pemimpin tiga parti berkenaan.

Di samping itu, kata kenyataan itu lagi, Urusetia Bersama, yang dianggotai tiga pemimpin dari setiap parti terbabit, turut ditubuhkan dengan tugas untuk membina asas dan rangka kerja Pakatan Rakyat untuk disahkan oleh Majlis Kepimpinan.

No comments: