Friday, May 6, 2016

DEBAT PERDANA 16 MEI - "DEKLARASI: MANA PERGI RAKYAT"

Kenyataan Media
7 Mei 2016

DEBAT PERDANA 16 MEI - "DEKLARASI: MANA PERGI RAKYAT"

Setelah lebih dua bulan Deklarasi Rakyat dilancarkan, dapat kita lihat pelbagai suara reaksi serta ekspresi ditunjukkan oleh banyak pihak. Ada yang menyokong tanpa syarat, ada yang menyokong dengan syarat dan ada juga yang menolak dengan hujah tertentu. 

Lantas mewujudkan dua kumpulan terbesar yang berbeza pendirian terhadap Deklarasi Rakyat, iaitu menyokong dan menolak deklarasi namun boleh dikatakan hampir semua pihak mempunyai tekad yang sama - menyelamatkan tanahair tercinta. 

Pelbagai pentas forum dan dialog juga telah disajikan kepada umum demi menyampaikan penerangan serta mendapatkan sokongan. Tidak kurang juga usaha di sebelah pihak lagi mementaskan forum kesedaran umum mengenai kelemahan deklarasi ini dan kemungkinan peluang emas untuk menyelamatkan negara terkubur.

Di atas permintaan yang memuncak, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan inisiatif teman aktivis, NGO dan mahasiswa, akhirnya berjaya merealisasikan sebuah pentas debat marathon yang kali pertama mempertemukan dua pihak antonim yang pro dan kontra kepada penubuhan Deklarasi Rakyat.

Debat Perdana bertajuk "Deklarasi – Mana Pergi Rakyat?" bakal merungkai persoalan apakah faedah dan keuntungan rakyat daripada Deklarasi Rakyat, akan dilangsungkan pada 16 Mei 2016 jam 8 malam, bertempat di dewan KLSCAH. 

Aksi debat diperhebat dengan penampilan trio Dato' Ambiga Sreenevasan, Dato' Seri Khairuddin Abu Hassan dan YB Khalid Samad di pihak pro-deklarasi manakala di pihak pro-reformasi total pula diwakili oleh cheGuBard (PKR), Arutchelvan (PSM) dan juga sdr Haris Ibrahim (ABU). Moderator diserahkan kepada Pengerusi Kesatuan Mahasiswa, sdr Azzan Aznan.

SAMM melihat pembentangan hujah secara matang melalui kaedah dua hala mampu menghasilkan percambahan idea dalam mencari jalan terbaik menyelamatkan negara, berbanding forum sehala yang bias dan tepu kepada satu sudut pandangan semata-mata. Pertembungan ini juga harus diraikan sebagai satu medan buat rakyat menilai secara langsung, malah persoalan yang saling dijawab oleh kedua pihak mampu menjadi pedoman buat rakyat dalam menentukan bagaimana seharusnya tanahair gersang ini diselamatkan.

Ini merupakan peluang terpenting bagi kedua belah pihak memberi ungkapan yang terbaik bagi mengolah persetujuan umum terhadap pendirian masing-masing. Harapan SAMM agar rakyat di luar sana melihat debat ini dengan deria positif dan memupuk iltizam tinggi dalam mencari penyelesaian optimum, betapa negara masih perlu diselamatkan.

Kehadiran adalah terbuka buat semua tanpa mengira fahaman kepartian. Pengamal media adalah dialukan untuk membuat liputan penuh secara langsung.

Edy Noor Reduan

Pengarah Program Debat Perdana
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

1 comment:

wijaya kezuma said...

Pohon buat rakaman dan post utube..

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan