Kenyataan Umum
29 Februari 2016
Tuntutan Negara Perubahan SAMM Mendepani Situasi Politik Tanahair
1. Enam bulan yang lalu, Segmentasi Pemikir Muda SAMM telah mengadakan Bengkel "Rethinking Merdeka - Jalur Tuntutan Negara Perubahan" yang menghimpunkan anak muda Malaysia dari pelbagai latar dengan satu matlamat - menggarap idea mengenai perubahan sistem yang diperlukan bagi meletakkan negara ini kembali ke landasan sebenarnya.
2. SAMM sememangnya berpendirian dan berpandangan bahawa negara ini sedang menuju ke arah 'Negara Gagal' walaupun ramai yang memperlekehkan usaha SAMM. Hari ini, ternyata pendirian dan pandangan "Negara Perubahan" yang didesak SAMM itu adalah satu langkah yang tepat. Ia dapat dilihat apabila ketika ini rata-rata pemuka politik mula melontar pandangan mengenai perubahan sistem. Usaha SAMM yang awalnya dilihat menyongsang arus itu akhirnya tidak sia-sia.
3. SAMM telah menyedari kepincangan sistem urus tadbir, politik dan ekonomi ini berlaku semenjak 20 hingga 30 tahun kebelakangan ini yang dicetuskan oleh Dr. Mahathir. Kini, semakin melarat dan tidak terkawal malah turut merosakkan struktur sosial dan hubungan antara masyarakat.
4. Anwar Ibrahim telah mencetuskan kesedaran perubahan sistem ini semasa gelombang kebangkitan 1998. Ia dinamakan Reformasi, lahir dari perlawanan jalanraya di atas roh dan semangat perjuangan menyelamatkan tanahair.
5. Hakikatnya, gelombang Reformasi ini semakin perlahan kerana ramai antara pemuka politik tanahair lebih terpesona dan tertarik dengan kuasa dan keuntungan politik yang terhasil daripada sistem yang bejat ini. Malah kerusi empuk kedudukan kuasa yang sedikit sudah cukup menjadikan 'pihak pembangkang' selesa untuk terus membangkang seolah melupakan asas aspirasi rakyat dan negara yang benar-benar merdeka.
6. Justeru itu, Perubahan Sistem bukanlah satu retorik yang hanya disebutkan untuk meraih laba politik semata-mata. Tetapi ia perlu didokong dengan iltizam politik dan keberanian untuk menjadikannya satu realiti. Pertembungan demi pertembungan menyaksikan rakyat terus menjadi mangsa. SAMM sebagai gerakan anak muda tidak akan berdiam diri bagi memastikan sistem dan polisi negara yang mencengkam rakyat dan meranapkan tanah air ini perlu diubah segera.
7. SAMM sekali lagi menegaskan tuntutan untuk mewujudkan Kerajaan Sementara (Caretaker Goverment) meliputi semua parti politik dalam tempoh maksima 18 bulan bagi menyelesaikan semua krisis yang sedang berlaku dan, menambahbaik dan memulihkan sistem termasuk sistem pilihanraya bagi mempersiapkan Malaysia untuk menghadapi Pilihanraya Umum yang bersih, adil dan telus. Kerajaan Pemerintah selepas itu perlu melaksanakan fasa pemulihan sistem mengikut acuan yang ditetapkan.
8. SAMM juga dalam masa terdekat ini bersedia untuk berkongsi blueprint Jalur Tuntutan Negara Perubahan SAMM kepada semua pihak yang bersifat pelaksana bagi memastikan gagasan perubahan sistem ini dapat direalisasikan demi masa depan negara yang lebih cerah.
9. SAMM dengan ini mengajak semua pemain politik yang telah mempunyai kesedaran ini untuk kembali ke papan lukisan. Tinggalkan kepentingan politik kepartian yang sempit ini dan bersama-sama kita lakar satu gagasan perubahan sistem yang boleh direalisasikan bagi membaikpulih sistem negara kita hari ini.
10. Satu pengumuman akan dibuat oleh anak muda dengan perkiraan masalah negara hari ini gagal diselesai oleh orang-orang tua yang mabuk kuasa.
Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
1 comment:
Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.
Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)
Post a Comment