Tuesday, February 16, 2016

Masuk 1.5 juta Bangla Umpama 'Serah' Negara

Kenyataan Media
16 Februari 2016

Masuk 1.5 juta Bangla Umpama 'Serah' Negara

Pengumuman Kerajaan untuk membawa masuk sejumlah 1.5 juta pekerja Bangladesh lagi akan hanya menyaksikan populasi bukan warganegara meningkat kepada 8.2 juta orang jika berdasarkan kepada statistik November 2014. Ini meliputi 27% daripada populasi negara yang berjumlah lebih kurang 30 juta hari ini.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menolak keras usaha mengarut ini dengan fakta dan pandangan berikut;

1. Populasi warga asing seramai 8.2 juta akan menjadi jumlah etnik kedua terbesar mengatasi populasi cina Malaysia yang berjumlah 6.64 juta.

2. Warga Bangladesh yang akan berjumlah 2.1 juta selepas ini akan menjadi populasi etnik ketiga terbesar menggantikan etnik India. Malah jumlah mereka adalah jauh lebih besar dari populasi penduduk Negeri Sembilan dan Melaka (dicampurkan).

3. Kerajaan tidak pernah membentangkan statistik sebenar keperluan pekerja asing mengikut sektor dan industri, malah jumlah warga asing sedia ada jika diperuntukkan untuk bekerja dalam sektor-sektor tertentu seharusnya mencukupi. 

4. Kegagalan kerajaan untuk merangka pelan penambahbaikan produktiviti buruh tempatan dan, struktur gaji dan imbuhan akhirnya jalan mudah diambil dengan mengimport tenaga kerja asing seperti apa yang berlaku hari ini. 

5. SAMM cadang supaya hanya sektor pembinaan, pertanian, perkilangan, perhotelan dan pembantu rumah sahaja dibenarkan untuk diisi oleh warga asing. 

6. Kerajaan harus bertegas memastikan sektor industri perniagaan khususnya restoran dan kedai makan, hanya boleh diisi oleh warga tempatan. Warga asing juga tidak boleh bekerja sebagai penjual di mana-mana premis, jadi kita akan melihat warga asing yang berniaga itu adalah salah dan wajib diberkas. Maka, secara tidak langsung kelopongan sektor ini akan menawarkan jumlah gaji yang lebih tinggi untuk diisi oleh warga tempatan.

7. Ingin disebut juga di sini, Industri makanan dan minuman juga tidak boleh diisi oleh warga asing di atas faktor kebersihan dan kesihatan.

8. Jika alasan pekerja tempatan tidak mahu menceburi bidang pekerjaan yang 'kotor' seperti kata menteri, bagaimana pula dengan ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja dalam industri yang sama di Singapura sedangkan di sini pekerjaan itu diisi oleh pekerja asing?

9. SAMM juga melihat adanya unsur pengambilan untung pantas dengan jumlah bilion ringgit dalam mengurus kemasukkan 1.5 juta warga Bangladesh ini. Malah laporan media yang mengatakan syarikat adik Timbalan Perdana Menteri juga terlibat menimbulkan konflik kepentingan yang berprofil tinggi. Ini sangat tidak wajar sekali, umpama menyerah negara ini untuk disesakkan oleh warga asing.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)