Thursday, February 5, 2015

SAMM Pertimbang Bertemu Menteri KPDNKK Desak Penurunan Harga Barang

Kenyataan Umum
5 Februari 2015

SAMM Pertimbang Bertemu Menteri KPDNKK Desak Penurunan Harga Barang

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan sekutu telah lama mendesak agar harga barang dan perkhidmatan di pelbagai peringkat diturunkan memandangkan situasi harga minyak dunia yang rendah kebelakangan ini.

Isu peniaga meraih kesempatan mengaut lebihan keuntungan dari situasi ini menjadi hangat apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani terkhilaf apabila memasukkan sedikit hujah yang menyentuh satu etnik di dalam komentar beliau mendesak penurunan harga barang.

SAMM cuba melihat ruang yang ada untuk menggunakan sepenuh peluang ini bagi memulakan kempen dalam fasa kali ini dengan cetusan kemarahan rakyat di setiap peringkat. 

SAMM berpandangan dalam isu penurunan harga barang ini, isu kenyataan perkauman itu bolehlah diketepikan sebaliknya masyarakat dan semua lapisan pemimpin politik perlu kembali kepada persoalan pokok iaitu harga barang dan perkhidmatan yang masih lagi tinggi.

Walaupun ramai yang berkata dengan turunnya harga bahan bakar, rakyat akan mempunyai lebihan pendapatan untuk dibelanjakan namun, dengan harga barang yang masih kekal tinggi ia tidak banyak membantu meringankan beban rakyat dan tidak melebarkan pendapatan boleh guna rakyat ketika ini.

Dalam masa yang sama, SAMM menyambut baik saranan dan desakan daripada Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Kulai, YB Teo Nie Ching agar Tenaga Nasional Berhad menurunkan tarif mereka. Walaupun TNB menyatakan penurunan harga bahan bakar mentah dunia tidak memberikan kesan kepada mereka, tetapi sebagai sebuah pemain monopoli industri tenaga ini, TNB wajar menurunkan sedikit tarif mereka.

Sewaktu kenaikan harga bahan bakar mentah dunia, TNB telah mendesak Kerajaan untuk menaikkan tarif dengan alasan input kos bahan bakar telah naik maka seharusnya TNB juga mempunyai sikap setiakawan dengan rakyat dan menurunkan sedikit tarif mereka. 

SAMM amat teruja sekiranya pengurusan TNB bersedia untuk mengurangkan sedikit margin keuntungan mereka demi memastikan rakyat dapat bernafas semula di kala keadaan ekonomi yang semakin tidak tentu ini.

Oleh itu, SAMM sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mengatur pertemuan dengan Menteri dan Pegawai Kementerian terbabit bagi menyatakan desakan agar tindakan segera diambil oleh Kementerian dan menandakan permulaan kempen ini.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

No comments: