Kenyataan Umum
22 Januari 2013
FORUM TETAP BERLANGSUNG WALAU TANPA KEHADIRAN SHARIFAH ZOHRA
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kebangsaan mengucapkan tahniah buat anak muda dari Segmentasi Mahasiswa SAMM, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan INSTEF di atas kerjasama utuh untuk menjayakan sebuah forum "Kebebasan Akademik dan Hak Asasi" yang akan berlangsung jam 8 malam ini di KLSCAH.
Dengan hasrat mempertemukan semula dua ikon yang bertembung idealisma dalam satu forum di UUM bulan lalu sehingga menerbitkan sebuah fenomena, forum malam ini merupakan medan terbaik untuk Sharifah Zohra Jabeen dan KS Bawani berhujah dengan tatacara yang sebenar. Sharifah Zohra dari Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M) manakala KS Bawani pula aktivis Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), adalah satu pertembungan antara wakil dua NGO yang dikira sepadan. Malah forum ini juga membuka ruang yang begitu meluas kepada SW1M dan JERIT untuk memperkenalkan roh perjuangan masing-masing.
Mutaakhir ini kita sering mendengar beberapa kenyataan yang dikeluarkan secara sehala oleh Sharifah Zohra. Kenyataan berbaur tagihan simpati dari Sharifah Zohra kononnya penyebaran klip-video 'listen' itu sebuah taktik licik yang berjaya membiakkan tindakan yang mengutuk, membenci, dengan memalukan dan mengejek seorang wanita yang tidak bersalah (merujuk kepada dirinya).
Kemudian Sharifah tampil lagi dengan mengatakan sedia untuk memaafkan semua orang dan akhir sekali Sharifah membuat telahan bahawa KS Bawani sengaja "menyusup untuk mencetuskan provokasi" dalam forum kontroversi 8 Januari lalu. Walaupun berbunyi agak songsang dan angkuh namun ianya adalah sebuah ekspresi kekecewaan mungkin menyedari tiada ruang yang konklusif untuk Sharifah Zohra membela diri.
Maka atas sebab itu, SAMM melalui Segmentasi Mahasiswa menyediakan lapangan yang terbaik cukup luas untuk Syarifah Zohra menyatakan segala pandangan dan meluahkan kecelaruan yang bermain di minda masyarakat umum. Adil untuk semua pihak, KS Bawani juga berpeluang menjawab telahan sehala dari Sharifah Zohra menjadikan pertemuan ini cukup menarik dan saling melengkapi. Forum malam ini juga menjadi medan sesuai untuk semua pihak juga di atas keperluan dan permintaan rakyat seluruh negara, demi mendengar sendiri lontaran idea yang terhasil dari persediaan yang cukup, bukan secara spontan sepertimana fenomena 'listen' terhasil.
Melalui respon dari pelbagai pihak, forum "Kebebasan Akademik dan Hak Asasi" ini mendapat sambutan yang sangat luar biasa malah mengundang kehadiran pelbagai saluran media untuk membawakan cetusan idea malam ini keudara secara langsung ke seluruh negara. Forum malam ini bukan lagi sekadar medan percambahan ilmiah, tetapi menjadi tumpuan utama hingga ke peringkat antarabangsa kerana wakil media dari Singapura, Indonesia dan Australia juga menyatakan kesediaan untuk hadir.
Penolakkan
Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada sebarang penolakkan rasmi dari panel-panel jemputan, yang bermakna semua panel sedia untuk hadir. KS Bawani telah menyatakan kesediaan lebih awal untuk menjadi panel forum, begitu juga dengan Prof Dr Aziz Bari. Dalam kes Sharifah, surat jemputan telah difax dan dihantar dengan serahan tangan ke pejabat SW1M dengan dikembalikan satu salinan penerimaan bersama cop dan tandatangan. Penyelaras Mahasiswa SAMM, Wan Farel yang hadir ke pejabat SW1M mengesahkan tiada sebarang tanda penolakkan dari pihak SW1M malah disambut dengan baik oleh staf yang bertugas.
Hanya secara lisan diketahui dari beberapa portal berita yang menyatakan Sharifah Zohra tidak sudi untuk bertemu KS Bawani dalam aksi debat mahupun forum. Jika benar Sharifah mengambil keputusan untuk tidak tampil malam ini, itu adalah haknya dan kita wajar hormati. Apa yang termampu telah disediakan ruangan yang selesa untuk semua, namun bukanlah sehingga mengampu untuk Sharifah Zohra hadir malam ini. Terpulanglah kepada tuan punya badan untuk menunjuk keberanian sebenar yang kena pada tempatnya kerana kehadiran Sharifah Zohra malam ini seribu kali lebih baik daripada hanya menyorok di sebalik tembok dan hanya berdehem dengan kenyataan sehala yang sebenarnya lebih mengeruh keadaan.
Harus semua tidak lupa, bagaimana Ketua Pemuda Umno mencemuh dan memperlekeh Sharifah Zohra walaupun susuk ini cuba untuk membela pihak kerajaan, malah secara terbuka Khairy menghina SW1M dengan mengatakan NGO tersebut tidak dikenali dan tidak mewakili kerajaan. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah juga memberikan respon negetif yang mengundang jenaka apabila cuba menjauhkan diri dari entiti bernama SW1M, termasuklah yang bernama Sharifah Zohra. Mungkin forum malam ini boleh menjadi medan untuk menyentap keegoan mereka yang prejudis, itupun jika peluang direbut baik oleh Sharifah Zohra. Mungkin malam ini maruah SW1M boleh ditebus semahunya kerana malam ini, satu Malaysia akan dengar dan 'listen'.
Akhir sekali perlu ditegaskan bahawa, walaupun tanpa kehadiran Sharifah Zohra forum akan tetap berlangsung dan SAMM Kebangsaan yakin forum tetap dimeriahkan oleh panelis yang membuktikan keberanian itu demi kebenaran khususnya buat KS Bawani dan juga seorang penterjemah undang-undang yang juga berani menongkah arus iaitu Prof Dr Aziz Bari. Kepada Sharifah Zohra SAMM Kebangsaan mengucapkan selamat maju jaya, semoga mampu menerajui SW1M dengan baik dan tidak punya masalah seperti burung yang kakinya terikat.
SAMM Kebangsaan juga menjemput semua pihak termasuk pengamal media untuk terus hadir malam ini ke Dewan Cina KLSCAH tanpa prejudis terhadap kehadiran Sharifah Zohra Jabeen.
Sekian,
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM
twitter: @edyesdotcom @SAMMalaysia
email: samm4anakmuda@gmail.com
2 comments:
Dengar kata sharifah buat saman kat SAMM, betul ke?
dia yg kurang ajaq dia plak saman org????
nila dia... alif mim nun wau = sarkas
Post a Comment