Tuesday, October 14, 2014

Bajet 2015 : Penstrukturan Semula Kabinet dan Perjawatan Awam

Kenyataan Media
14 Oktober 2014

Bajet 2015 : Penstrukturan Semula Kabinet dan Perjawatan Awam

Pemikir Kaum Muda SAMM (PKM SAMM) melihat ketempangan nyata dalam sistem pentadbiran Kerajaan sedia ada ketika ini. Pertindihan portfolio antara agensi juga menyebabkan peningkatan belanja mengurus kita. Justeru, penstrukturan semula kabinet dan perjawatan awam mampu menjimatkan perbelanjaan pengurusan Kerajaan Persekutuan.

1. Jemaah Kabinet

Zaman pentadbiran Najib mempunyai bilangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ramai. Ketika ini menjangkau kepada 10 orang Menteri. Ini sudah pasti melibatkan perbelanjaan emolumen bertaraf Menteri yang tinggi termasuklah kepada elaun-elaun dan kemudahan-kemudahan lain yang diterima sebagai Menteri. 

Selain itu, budaya perlantikan 2 Menteri bagi Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran juga menyebabkan berlakunya peningkatan belanja mengurus kementerian terbabit. Umum mengetahui bahawa gaji dan elaun bagi Menteri bukan kecil jumlahnya. 

Apakah Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan tidak mempunyai kecerdikan untuk memacu kementerian ini secara bersendirian? 

Jika bebanan tugas sebagai seorang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dijadikan alasan untuk melantik seorang lagi Menteri, maka PKM SAMM melihat PM dan TPM perlu melepaskan jawatan mereka sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran. 

Pemikir Kaum Muda SAMM mencadangkan Perdana Menteri sepatutnya melihat semula kesesuaian kesemua Menteri di JPM. Jika Menteri hanya memegang port-folio kecil adalah lebih baik jika port-folio itu diserahkan kepada Timbalan Menteri. Sumber yang ada jika dimanfaatkan sepenuhnya dengan lebih efisyen pasti akan menjimatkan.

Jika di Kementerian Pelajaran terdapat keperluan untuk mengasingkan antara pelajaran peringkat sekolah dan peringkat tertiari, pengasingan ini boleh dibuat diperingkat Timbalan Menteri sahaja. 

2. Perjawatan Awam

Bagi sektor perjawatan awam juga, PKM SAMM juga tidak dapat melihat kewajaran kewujudan dua orang Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelajaran. KSU ini sama ada berada di gred gaji Turus atau JUSA A yang semestinya menelan perbelanjaan gaji dan elaun yang tinggi. 

Apakah keperluan 2 KSU diwujudkan dan dalam masa yang sama juga KPM mempunyai 3 TKSU iaitu TKSU Pembangunan Pelajaran, TKSU Pengurusan dan TKSU Pembangunan Pelajaran Tinggi. Kesemua mereka ini akan dibantu oleh Ketua Pengarah dan barisan pengarah yang lain mengikut portfolio masing-masing. 

Begitu juga dengan Kementerian Dalam Negeri yang mempunyai 5 orang TKSU iaitu 2 orang TKSU Kanan bertaraf JUSA A dan 3 orang TKSU bertaraf JUSA B. 

Bukankah 5 orang TKSU di sesebuah kementerian terlalu ramai? Pada masa yang sama, KDN juga mempunyai beberapa jabatan yang mempunyai Ketua Pengarah masing-masing. Ketua Pengarah ini masih boleh berfungsi di bawah kawalan KSU dan Menteri. TKSU hanyalah satu peringkat fasilitasi dalam membantu dan mewakili kuasa KSU sahaja. 

Sehubungan itu, Pemikir Kaum Muda SAMM melihat adalah wajar sekali Perdana Menteri menilai semula saiz kabinetnya dan JPA untuk meneliti aspek perjawatan khidmat awam ini. 

Seperti yang didedahkan oleh PKM SAMM selepas pembentangan bajet, yang menunjukkan perbelanjaan mengurus-tadbir negara adalah terlalu tinggi merangkumi 82% dari keseluruhan Bajet 2015.

Dengan penstrukturan semula Kabinet dan Penjawat Awam Tertinggi akan dapat menjimatkan perbelanjaan Pengurusan dan seterusnya penjimatan ini dapat disalurkan kepada perbelanjaan pembangunan yang lebih memberi manfaat langsung kepada rakyat. 

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Sunday, October 12, 2014

PTPTN : Dalil dan Tindakan Yang Sama Terhadap Hutang Kroni Berkepentingan

Kenyataan Media
13 Oktober 2014

PTPTN : Dalil dan Tindakan Yang Sama Terhadap Hutang Kroni Berkepentingan


Perdana Menteri dalam ucapan pembentangan Bajet2015 telah menuturkan bahawa roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab berhutang, waima dosa orang mati syahid pun diampuni, melainkan hutangnya. Ia dipetik daripada hadith riwayat Muslim dalam mengingatkan peminjam-peminjam PTPTN untuk mengambil iktibar dan membuat pembayaran balik.

Pemikir Kaum Muda SAMM (PKM SAMM) suka memperingatkan Perdana Menteri agar turut mengambil iktibar daripada hadith tersebut dalam mengurus-tadbir negara ini. Perdana Menteri tidak boleh sengaja melupakan bagaimana pentadbirannya telah melupuskan hutang berjumlah RM589 juta oleh Tan Sri Tajuddin Ramli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Berhad.

Ini adalah satu contoh paling klasik bagaimana pihak Kerajaan Persekutuan memberikan layanan sungguh istimewa kepada kaum kapitalis kroni terpilih.

PKM SAMM ingin bertanya kepada Perdana Menteri, adakah hanya roh peminjam PTPTN sahaja yang akan tergantung-gantung tetapi kelompok kapitalis kroni terpilih ini tidak termasuk dalam golongan seperti diriwayatkan oleh Hadith tersebut?

Perdana Menteri dan kerajaan tidak patut mensasarkan kepada kelompok-kelompok rakyat biasa yang masih lagi bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dengan mempergunakan dalil-dalil dan hadith-hadith bagi tujuan mengutip hutang. Malahan, kelompok kapitalis kroni ini terus sahaja dibiarkan bebas berkeliaran walaupun mempunyai bebanan hutang ratusan juta ringgit.

Sangat menyakitkan hati rakyat, Kerajaan Persekutuan juga dengan sewenangnya menawarkan pelan pelupusan hutang atau pelan penstrukturan hutang termasuklah tawaran penstrukturan hutang kepada saudagar permaidani, Deepak Jaikishan. Ini satu lagi contoh layanan istimewa terhadap hutang kelompok kroni terpilih ini.

Kepada rakyat pula, kerajaan bertindak kejam apabila menawarkan ugutan CCRIS dan halangan imigrasi kepada peminjam PTPTN. Puluhan ribu lepasan universiti berdepan muflis apabila disenaraikan dalam sistem CCRIS.

Tambah pedih luka di hati rakyat, apabila kerap kali Kerajaan Persekutuan atas nama menjaga keberdayaan ekonomi, sering menggunakan pelan tindakan bail-out bagi menyelamatkan syarikat yang mempunyai kepentingan kroni dengan melupuskan berbilion ringgit. Tetapi dalam amsa sama, memilih untuk mempergunakan hadith untuk rakyat.

Mengapa tidak kerajaan mengemukakan penstrukturan semula buat semua peminjam PTPTN yang mempunyai masalah pembayaran? PKM SAMM mencadangkan penstrukturan semula pembayaran serendah RM50 sebulan dengan syarat tertentu contohnya tanggungan yang besar.

Dengan cara ini, setengah juta peminjam PTPTN mampu memulangkan jumlah yang besar setiap bulan, walaupun tempoh pembayaran menjangkau 30 tahun, biarlah asalkan pembayaran dibuat. PKM SAMM mengingatkan semula, pinjaman pendidikan tidak harus dijadikan sumber keuntungan mana-mana agensi, malah ia sepatutnya berbentuk biasiswa.

Asrul Nizam
Penyelidik Segmen
Pemikir Kaum Muda SAMM

SAMM Parit Sulong Bersama Bank Rakyat Sampaikan Sumbangan Kepada Pesakit Jantung

Kenyataan Media
13 Oktober 2014

SAMM Parit Sulong Bersama Bank Rakyat Sampaikan Sumbangan Kepada Pesakit Jantung

Pada tanggal 10 Oktober 2014, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Zon Parit Sulong, Johor bersama-sama dengan Bank Rakyat Kluang telah menyampaikan cek bantuan kewangan kepada pesakit jantung, adik Mohd Aqil Rida Bin Mohd Akmar. 

Bantuan berjumlah RM 32,000 sumbangan daripada Bantuan Zakat Bank Rakyat itu telah disampaikan oleh Encik Mohd Jamal Nasir, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kluang kepada bapa pesakit tersebut di kediamannya di Parit Sulong, Johor. 

Adik Mohd Aqil merupakan pesakit jantung yang memerlukan rawatan pembedahan jantung di Institut Jantung Negara yang telah tertangguh selama ini ekoran daripada ketidakmampuan untuk menampung perbelanjaan kos pembedahan yang berjumlah RM 32,000. 

SAMM Parit Sulong mengambil inisiatif memanjat tangga-tangga pejabat dan institusi kewangan bagi mencari penyumbang dan syukur ke hadrat Illahi akhirnya, Bank Rakyat sudi menghulurkan bantuan kepada pesakit ini. 

Program khidmat kebajikan SAMM ini adalah kesinambungan daripada program Kembara Ramadhan yang lalu di mana SAMM Parit Sulong turut giat menyantuni golongan fakir dan tidak berkemampuan. 

Sehubungan itu, SAMM Parit Sulong ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan dan warga kerja Bank Rakyat di atas kesudian dan kemurahan hati untuk tampil bersama-sama kami dalam memberikan harapan baru kepada adik Mohd Aqil Rida ini. 

SAMM Parit Sulong juga turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Adik Mohd Aqil Rida dan keluarga. Semoga Adik Mohd Aqil Rida akan segera sembuh seperti sedia kala. 

SAMM Parit Sulong akan terus menjalankan aktivisme kesukarelawan dan kebajikan kepada masyarakat sekitar dan menyeru agar lebih ramai anak muda Johor untuk bersama-sama kami dalam beraktiviti serta berharap lebih banyak lagi syarikat swasta tampil seperti Bank Rakyat untuk faedah dan kemaslahatan masyarakat. 

Mohd Heder
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Zon Parit Sulong

Saturday, October 11, 2014

BAJET 2015: PENGHARAPAN YANG KECUNDANG

Kenyatan Umum
10/10/2014

BAJET 2015: PENGHARAPAN YANG KECUNDANG

Setiap tahun rakyat Kelantan termanggu di depan televisyen melihat Menteri Kewangan membentangkan belanjawan. Pengharapan yang cukup tinggi untuk melihat sesuatu mengalir ke bumi Kelantan.

Tahun ini sekali lagi bajet yang kononnya untuk rakyat mengecewakan rakyat Kelantan. Di saat rakyat Sabah mendapat manfaatnya bila PM mengumumkan pembinaan lebuhraya Borneo sejauh 1000 kilometer lebih. Rakyat Kelantan masih bergelut dengan lebuhraya maut.

Lebih memeritkan, disaat hasil bumi Kelantan yang disedut secara rakus oleh Petronas seolah kami ini umpama  tidak mempunyai apa-apa hak yang sewajarnya.

Dato Mustapha Mohd yang juga Menteri penuh dalam kabinet Najib seakan mengiyakan dan membiarkan Kelantan diperlakukan sedemikian.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kelantan melihat situasi ini dengan cukup serius. Adakah hanya kerana perbezaan politik yang berlainan, Kerajaan Pusat menafikan hak rakyat Kelantan? Apakah rakyat Kelantan tidak mempunyai maruah sehingga begitu teganya Kerajaan Pusat mempermainkannya.

Selain lebuhraya, rakyat Kelantan juga melihat isu Royalti dan menaiktaraf Lapangan Sultan Ismail sepatutnya diberikan keutamaan dan hak yang sepatutnya. Namun seperti tahun-tahun sebelumnya ia hanya mimpi.

SAMM Kelantan berjanji, akan bersama-sama rakyat Kelantan mengembeleng tenaga untuk menuntut hak ini. Hak yang dinafikan oleh rejim zalim BN.

Hj Osama
Penyelaras SAMM Kelantan

Rumusan Bajet 2015 : Dasar Yang Baik Namun Perlu Pemantauan Perlaksanaannya

Kenyataan Media
10 Oktober 2015

Rumusan Bajet 2015 : Dasar Yang Baik Namun Perlu Pemantauan Perlaksanaannya

Secara dasarnya Pemikir Kaum Muda SAMM (PKM SAMM) melihat Bajet 2015 sebagai satu belanjawan yang sedikit baik jika dibandingkan dengan belanjawan-belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

PKM SAMM menyambut baik pengumuman skim perumahan belia yang membolehkan belia membeli rumah melalui perkongsian pintar Kerajaan, bank dan pelbagai agensi. Walaubagaimanapun, jumlah rumah yang ditawarkan agak kecil berbanding nisbah populasi golongan muda dalam negara.

Selain itu, skim pembiayaan sewa-beli bagi skim PR1MA untuk individu yang tidak berupaya mendapat pembiayaan daripada bank juga merupakan satu langkah yang baik yang diutarakan dalam bajet kali ini.

Strategi ke 7 Bajet 2015 juga mensasarkan kepada peningkatan pengangkutan awam. Beberapa insentif peningkatan pengangkutan awam diperkenalkan seperti projek LRT 3 dan MRT namun begitu ia tidak menyeluruh kepada ibu-ibu negeri dan bandar-bandar utama di seluruh negara.

Adalah diharapkan agar pihak Kerajaan dapat memperincikan sepenuhnya pelan peningkatan pengangkutan awam ini agar meliputi ibu-ibu negeri lain dan bandar-bandar utama di seluruh negara.

Pembangunan bandar juga perlu turut sama mengangkat aspek kebersihan alam sekitar dan juga membina perumahan lengkap untuk komuniti dalam bandar.

Dengan mengambil Jepun sebagai contoh, Jepun menjadikan laluan sistem rel sebagai kunci kepada penyusunan bandar mereka. Di mana terdapat integrasi di antara stesen pengangkutan rel dengan bangunan-bangunan sekitar. Malah, pusat-pusat tumpuan komuniti juga dibina berdekatan dengan stesen-stesen pengangkutan rel bagi memudahkan pengguna.

Selain itu, PKM SAMM melihat Bajet 2015 ini akan membawa satu transformasi sosial kepada negara. Dengan penekanan kepada pengukuhan peranan wanita dalam aspek pembangunan negara dan pembuat keputusan adalah satu langkah yang baik dalam mengangkat martabat wanita kita.

Bagi kelompok anak muda pula, Bajet 2015 memberikan tumpuan untuk memberdayakan usahawan muda melalui Program MaGIC, SME Bank, Agro Bank dan Online Resource Centre. Bajet 2015 ini juga memberikan tumpuan ke arah mempromosikan aktivitisme dan kesukarelawan kepada anak muda yang mana akhirnya ia akan membantu kepada pembinaan modal insan negara.

Bajet 2015 juga menarik apabila menawarkan dan mengukuhkan lagi insentif-insentif kepada majikan untuk memberikan latihan-latihan kepada pekerja mereka bagi meningkatkan diri kepada tenaga separa mahir dan mahir.

Secara tidak langsung dengan peningkatan melalui latihan seperti ini juga, pekerja dapat juga meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka nanti.

Namun begitu, PKM SAMM juga masih melihat Kerajaan Persekutuan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan mengurus yang agak besar ekoran daripada saiz kabinet yang agak besar dan pertindihan bidangkuasa di antara agensi-agensi. Seharusnya pihak Kerajaan dapat menilai semula kewujudan beberapa portfolio Menteri di JPM dan agensi-agensi yang dilihat bertindih kuasa agar perbelanjaan mengurus dapat dikecilkan jumlahnya.

Rumusannya, PKM SAMM menyambut baik Bajet 2015 yang agak komprehensif ini namun dalam masa yang sama menyeru kepada rakyat dan masyarakat sivil yang lain untuk memantau perlaksanaan setiap dasar yang digariskan dalam Bajet 2015 ini. Ini adalah perlu bagi memastikan Bajet 2015 ini benar-benar mencapai sasaran yang diharapkan dan tidak tersasar sehingga mengakibatkan kita terus menanggung defisit demi defisit untuk tahun-tahun mendatang.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Wednesday, October 8, 2014

Wanita Muda SAMM: Realisasikan 'Langkah Kajang' ke Putrajaya

Kenyataan Umum
8 Oktober 2014

Realisasikan 'Langkah Kajang' ke Putrajaya

Segmentasi Wanita Muda SAMM (Wanita Muda) mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Selangor yang baru, YAB Azmin Ali dan juga barisan EXCO negeri Selangor yang baru. Sepertimana yang pernah dinyatakan SAMM sebelum ini, krisis pertukaran MB Selangor harus ditamatkan dengan segera.

Wanita Muda menghargai sikap YAB Azmin yang melantik lebih ramai barisan exco dari kalangan anak muda seperti YB Nik Nazmi, YB Amir dan YB Zaidy. 

Seperti mana yang kita sedia maklum, langkah kajang dicaturkan bagi menukar MB Selangor selepas MB terdahulu dilihat gagal untuk terjemahkan manifesto yang diumum Pakatan Rakyat.

Antara slogan 'Langkah Kajang' ialah untuk melangkah ke Putrajaya. Sebagai NGO yang mesra PR, suka kami mengingatkan tentang salah satu janji pilihanraya PR ialah Pendidikan Percuma. Isu yang melibatkan anak muda khususnya golongan mahasiswa ini wajar diambil perhatian.

Walaupun PR tidak berjaya menguasai kerajaan persekutuan pada pilihanraya umum lalu, tetapi PR masih mengekalkan penguasaan besar terhadap kerajaan selangor, sebuah kerajaan maju, kaya dan sangat mirip dengan persekutuan malaysia dari segi komposisi kaumnya.

Pendidikan Percuma

Sehubungan itu, besar harapan Wanita Muda mahu melihat YB Nik Nazmi selaku pengerusi tetap pendidikan melakukan sesuatu untuk melaksanakan manifesto PR bersesuaian dengan kemampuan kerajaan negeri.

Wanita Muda Mencadangkan; 

1. Pendidikan percuma kepada semua pelajar institusi selangor ialah unisel, kuis dan inspens, atau

2. Pendidikan percuma kepada pelajar anak selangor di institusi Selangor, atau

3. Pendidikan percuma kepada pelajar miskin di institusi pendidikan Selangor atas inisiatif mengesan golongan ini dengan lebih tepat.
 
Jika pendidikan percuma dapat dilaksana, Unisel contohnya boleh menjalankan temuduga terbuka bagi memilih pelajar terbaik dari seluruh negara. 

Namun sebagai menghormati dasar hak belajar dan pendidikan percuma untuk semua, Wanita Muda mencadangkan supaya ditetapkan kuota bagi memberi keadilan sewajarnya seperti 40% untuk anak selangor,  30% pelajar-pelajar pintar dari seluruh negara, 20% pelajar pertengahan dari keluarga miskin dan 10% pelajar antarabangsa. 

Wanita Muda SAMM percaya YB Nik Nazmi mempunyai idea yang lebih baik, bagaimana cadangan ini mampu dilaksanakan.

Program ini jika berjaya dilaksanakan,  mampu melonjak istitusi pendidikan selangor dengan cepat dan membuka mata rakyat malaysia bahawa pendidikan percuma bukanlah mustahil.

Dasar Perumahan

Masalah seterusnya yang membelengu anak muda ialah soal perumahan. Kini kawasan-kawasan yang dahulunya dilihat sebagai terkebelakang seperti Puncak alam, Kundang, Rawang dan lain-lain telah membangun dengan begitu pesat, pembangunan tersebut turut menyebabkan harga rumah melambung tinggi. 

Jika dahulu kerajaan melaungkan slogan rumah mampu milik, kini rakyat hanya membaca slogan tersebut sebagai rumah mampu tengok. Ia langsung tidak mencecah kadar mampu dari sudut pendapatan bulanan.

Kerajaan selangor perlu segera menyelesaikan permasalahan ini, samada dengan membina rumah mampu milik yang boleh dibeli oleh rakyat melalui kaedah sewa beli ataupun membina rumah rumah untuk disewa oleh rakyat dengan kadar yang berpatutan.

Permintaan terhadap perumahan dan permainan dalam industri perumahan boleh juga dikurangkan dengan kaedah waqaf. Di mana, waqaf Selangor membeli rumah-rumah dikawasan strategik dan menyewakannya kepada rakyat dengan syarat-syarat tertentu. 

Ini jika dilakukan tentu dapat menyekat nafsu golongan berkemampuan untuk menambah bilangan hartanah untuk disewakan, di mana mangsa sewaan mahal ialah golongan miskin, anak muda dan pelajar. Jika permintaan terhadap perumahan berkurangan, dengan sendiri harga rumah mampu diturunkan.

Sekian,

Young Syefura Othman
Penyelaras Segmentasi Wanita Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tuesday, October 7, 2014

Ayuh Bersama Serah Memorandum Protes Harga Minyak dan Bantah GST di Parlimen

Kenyataan Media
7 Oktober 2014

Ayuh Bersama Serah Memorandum Protes Harga Minyak dan Bantah GST di Parlimen

Penurunan jumlah subsidi yang juga menyebabkan kenaikan harga bahan api tempatan dijangka akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup rakyat. Malah respon umum menunjukkan penurunan subsidi yang disebut 'tak sengaja' oleh Perdana Menteri, cukup mengguris perasaan orang ramai.

Harus diingat, subsidi adalah hak milik rakyat Malaysia sebagai galang-ganti kepada setiap hasil galian khazanah negara yang ditemui, termasuklah petrolium, gas asli, bijih besi dan semua hasil bumi. Maka sekiranya mana-mana subsidi dipotong tanpa alasan yang kukuh, ia menjadi satu rompakkan terbuka hak milik rakyat.

Lebih parah, kenaikkan harga minyak berlaku ketika kerajaan dalam rangka memperkenalkan cukai baru iaitu GST. Secara tidak langsung, semua kenaikkan harga barang/perkhidmatan yang berpunca dari kenaikan harga minyak akan dikenakan jumlah cukai yang lebih besar. Ini menguntungkan pihak kerajaan berkali ganda manakala rakyat pula yang sengsara.

Justeru itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyokong penuh usaha gabungan NGO Bantah GST dan PROTES menyusun gerakan massa. 

Bersempena perbahasan pembentangan bajet yang bakal berlangsung, satu aksi perarakan serahan memorandum akan diadakan di perkarangan Parlimen. Memorandum bantahan ini akan diserahkan kepada ahli parlimen dari pihak Pakatan Rakyat dan juga pihak ahli parlimen penyokong kerajaan (BBC) di mana kedua-dua belah pihak telah dimaklumkan.

SAMM menyeru kepada semua pihak, NGO atau NGI, berparti atau tidak berparti, penyokong kerajaan mahupun sebaliknya, untuk bersama dalam aksi tersebut adalah seperti berikut;

Perarakan dan penyerahan memo bantahan
Tarikh: 8 Oktober 2014 (Rabu)
Masa: 10 pagi
Lokasi: Depan Parlimen (berkumpul di Tugu Negara)

Kepada semua yang tidak bersetuju dan rasa tertipu dengan janji-janji yang tidak ditepati, anda dijemput hadir dalam aksi ini. Mohon juga kerjasama semua pihak khususnya pihak media untuk bantu hebahan dan membuat liputan.

Ayuh kita lihat, wakil rakyat mana yang benar-benar ambil peduli keresahan rakyat dari kerakusan demi kerakusan pemerintah. Terjemahkan undi anda dengan lebih berhati-hati agar tidak ditipu lagi.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


Kegagalan 2 Temasya Sukan Berprestij, Khairy Perlu Fokus Kerja Bukan Berzumba

Kenyataan Media

7 Oktober 2014


Kegagalan 2 Temasya Sukan Berprestij, KJ Perlu Fokus Kerja Bukan Berzumba


Khairy Jamaluddin memulakan karier sebagai seorang Menteri Belia dan Sukan dengan penuh bergaya dan berketerampilan. Dengan memperlihatkan keterbukaan penuh progresif seorang Menteri muda, Khairy Jamaluddin berjaya menggamit perhatian ramai anak muda di kala prestasi ramai anggota Kabinet Persekutuan dipersoal. 

Namun selepas berakhir dua temasya sukan yang punya prestij tersendiri iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia, nampaknya Khairy terus bergelut dengan prestasi pelbagai sukan negara kita. 


Kegagalan mencapai sasaran emas di Sukan Komanwel dan ditambah dengan persembahan yang jauh tersasar dalam Sukan Asia menambah perit Khairy. Tambah buruk seorang atlit kita terperangkap dalam persoalan penggunaan bahan larangan hingga mengakibatkan pingat emas yang dimenangi telah ditarik balik.

 

Dalam temasya Sukan Komanwel, prestasi atlit kita bukan sahaja tidak dapat mencapai sasaran pingat, malahan kita berada di kedudukan lebih bawah daripada seteru jiran, Singapura. Manakala dalam Sukan Asia pula, jumlah pingat emas yang diperolehi setaraf negara Mongolia.

 

Mengapa mutu sukan kita semakin merosot? Apakah kita tidak mempunyai atlit-atlit yang baik di sebalik 30 juta rakyat kita berbanding Singapura yang hanya mempunyai populasi 4 juta lebih penduduk sahaja? Atau pun KBS telah hilang keupayaan untuk menggarap dasar pembangunan sukan kita?

 
Khairy perlu segera mencari formula kemenangan jikalau tidak mahu mengikut jejak kegagalan Menteri terdahulu dalam mengangkat martabat sukan negara. Sama ada rombakan MSN dan ISN dengan suntikan "orang baru" yang ingin dilaksanakannya itu akan berjaya, hanya masa yang menentukan.

 
Tetapi sebagai seorang Menteri Kabinet berkelulusan Oxford sepatutnya Khairy telah mempunyai satu perancangan menyeluruh pembangunan sukan sebaik sahaja menjejakkan kaki di Pejabat Menteri KBS. Bukannya menunggu sehingga imej sukan negara terus merosot dan tercalar dalam dua aksi sukan berprestij ini.

 
Masakan Khairy tidak mempunyai idea progresif untuk pembangunan sukan seperti mana yang ditonjolkan dalam aksi Zumba sempena pelancaran FIT Malaysia? Masakan Khairy tidak mempunyai bakat sebagai seorang Menteri dan pemimpin muda seperti mana bakat yang ditonjolkan di layar perak?

 
SAMM mempersoalkan di manakah Khairy ketika negara perlu melahirkan lebih ramai atlit pelapis masa depan? Apakah Khairy tidak dapat melihat keperluan untuk memunculkan pelapis Dato' Lee Chong Wei? 


Apakah Khairy sedar akan kelemahan Persatuan Sepak Takraw hingga menyebabkan skuad kita tewas kepada Korea Selatan?

 

Khairy perlu berbuat sesuatu jika mahu terus glamour di kalangan anak muda, tetapi bukan dengan aksi zumba dan aksi lakonan layar perak tetapi perlu hadir dengan idea progresif untuk membangunkan sukan negara kita. Janganlah hanya berbelanja besar dalam bidang sukan tetapi hasilnya memualkan - ini suatu tragedi. 

 
Jika kegagalan mencapai sasaran emas dalam temasya-temasya sukan berprestij sebegini terus berulang, tidak dapat tidak Khairy perlu berbisik kepada Perdana Menteri untuk menukar ke Kementerian lain ataupun menghantar sepucuk surat perletakkan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.


Khairy Jamaludin menteri kelahiran Oxford yang disangka hebat, rupanya hanya seorang hero 'bed time story' semata.


Zuraidi Abdullah

Penyelaras Segmentasi Sukan SAMM

Solidariti Anak Muda Malaysia

Sunday, October 5, 2014

Maknanya, kita TAK SENGAJA menaikkan harga minyak - Najib Razak

"Kita bukan menaikkan harga minyak, kita mengurangkan subsidi. Ada bezanya, maknanya kita TAK SENGAJA menaikkan harga minyak" - Najib Razak

"Tapi adakah maknanya SENGAJA turunkan subsidi sebab kebocoran sempadan dan ketirisan dalam pentadbiran?" - Edy Noor Reduan

Friday, October 3, 2014

Bersyukur Atau Protes: SAMM Jawab Kenyataan Menteri

Kenyataan Media
3 Oktober 2014

Bersyukur Atau Protes: SAMM Jawab Kenyataan Menteri

1. Kenyataan Menteri KPDNKK, YB Datuk Hassan Malek yang meminta rakyat bersyukur dengan kenaikan harga bahan bakar dilihat begitu menghiris perasaan rakyat. Sama ada Menteri ini tidak sengaja mengeluarkan kenyataan itu atau sememangnya tidak mempunyai tahap pemikiran seorang pemimpin.

2. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melihat pihak kerajaan tidak mempunyai alasan yang releven untuk kenaikan harga bahan bakar yang menjadi kunci kenaikan kos sara hidup. Ketika ini harga minyak pasaran dunia merundum ke aras paling rendah dalam tempoh 3 tahun. Mengapa kerajaan tergamak menaikkan harga minyak domestik?

3. Kata-kata untuk menjimatkan perbelanjaan negara, pembangunan luar bandar, menaiktaraf sistem pengangkutan awam, menambah kadar BR1M dan sebagainya hanyalah satu penyedap halwa telinga sahaja. 

4. Imbas kembali, zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu kenaikan harga bahan bakar mencecah 78 sen seliter, yang ketika itu harga minyak global mencanak tinggi. Maka lebihan pendapatan dari kenaikan itu kononnya digunapakai untuk menaik-taraf pengangkutan awam. Apa hasilnya? Hanya lambakan bas-bas Rapid yang tersadai menjadi besi buruk kerana urustadbir yang penuh ketirisan.

5. September 2013, Perdana Menteri YAB Dato' Seri Najib Razak umum kenaikan harga bahan bakar RON95 dan Diesel untuk menjimatkan perbelanjaan negara. Sama juga alasannya ketika ini. Namun, siapakah yang boros dan tidak amanah dalam mengurus perbelanjaan? Rakyat atau Kerajaan? Banyak kelompongan dalam pengurusan perbendaharaan negara yang tidak diatasi sehingga kini.

6. Alasan menteri kononnya kenaikan harga bahan bakar kali ini didorong oleh langkah untuk mencegah penyeludupan. SAMM melihat sepatutnya pihak kerajaan pertingkat operasi di pintu sempadan untuk mencegah penyeludupan. Bukan menghukum rakyat di atas kebocoran sempadan. Semua lorong-lorong tikus laluan penyeludup perlu dipantau rapi yang melibatkan pelbagai agensi. Atau apakah agensi-agensi terbabit di pintu sempadan telah gagal sama sekali sehingga Kerajaan Persekutuan terpaksa mengambil langkah menaikkan harga bahan bakar?

7. Sekali lagi, Kerajaan Persekutuan menggunakan hujah kononnya harga bahan bakar kita antara yang termurah. SAMM berpandangan tidak patut jika ingin dibandingkan dengan negara "net importer" lain kerana hakikatnya kita adalah negara "net exporter" petroleum. Rakyat juga sering dimomokkan dengan ungkapan sumber minyak negara semakin habis sedangkan penemuan-penemuan telaga minyak baru sering sahaja dirahsiakan daripada pengetahuan khalayak umum.

8. Adalah tidak adil juga jika kita membandingkan harga bahan bakar di antara negara kita dan negara jiran dengan menggunakan matawang kita. Umum mengetahui bagaimana nilai matawang kita yang semakin rendah berbanding matawang negara jiran. Tambahan lagi, kita juga harus melihat Pendapatan Per Kapita negara tersebut berbanding dengan kita. Dengan kuasa beli mereka yang besar walaupun harga minyak mereka tinggi, ia tidak akan mengganggu keadaan taraf hidup rakyat mereka.

Apa pun hujahnya, kenaikan harga bahan bakar ini menunjukkan kegagalan dahsyat Perdana Menteri dan Kabinetnya dalam menjaga amanah menguruskan perbendaharaan negara. Lantas, mengambil jalan mudah menaikkan harga bahan bakar bagi membendung defisit yang semakin membesar.

Untuk kesekian kalinya, rakyat Malaysia harus membayar harga yang mahal diatas siri kelemahan dan kegagalan Perdana Menteri dan kabinetnya mengurustadbir negara. Maka rakyat harus protes, bukan bersyukur membabi-buta.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Badan Penyelidik SAMM
Solidariti Anak Muda Malaysia