Showing posts with label Akta Auku. Show all posts
Showing posts with label Akta Auku. Show all posts

Friday, January 27, 2012

Autonomi Dengan AUKU Umpama Kereta Tanpa Enjin



Kenyataan Umum
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
27 Januari 2012

Autonomi Dengan AUKU Umpama Kereta Tanpa Enjin

Semalam Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan bahawa lima Institusi Pengajian Tinggi Awam - Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia and Universiti Teknologi Malaysia – akan diberikan autonomi. Walaubagaimanapun langkah ini tidak bermakna sekiranya Akta Universiti dan Kolej Universiti yang mencengkam kebebasan universiti masih berkuatkuasa.

Selama ini AUKU telah terbukti sebagai penghalang utama autonomi universiti dan kebebasan akademik. Keputusan kerajaan untuk meminda Seksyen 15 AUKU tidak membawa sebarang makna memandangkan pindaan ini tidak mengatasi budaya ketakutan dan pemusatan kuasa yang telah yang disebarkan oleh AUKU selama ini. Mahasiswa, masyarakat sivil dan pihak pembangkang telah secara konsisten menyatakan pendirian ini tetapi hanya selepas ditempelak mahkamah sendiri dalam keputusan UKM 4 barulah pihak kerajaan menerima hujah ini.

Kami juga masih menunggu jawatankuasa dwi-parti yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah untuk menjadi realiti. Jawatankuasa tersebut, sekiranya menjadi realiti – akan meneliti akta alternatif kepada AUKU yang telah dicadangkan oleh pimpinan mahasiswa pada 2008.

Kewujudan AUKU (akta 174 dan akta 555) sendiri telah diwujudkan dengan semangat ingin mengekang aktivisma di kalangan mahasiswa dan kakitangan akedemik di IPTA dan IPTS. Maka atas semangat ingin melihat IPT menjadi tempat melahirkan modal insan, maka undang-undang yang wujud atas semangat mengongkong ini seharusnya bukan dipinda tetapi dimansuhkan terus. 

SAMM bertegas supaya undang-undang AUKU yang bersifat draconian terhadap mahasiswa serta merencat kebolehan sebenar mahasiswa ini harus ditamatkan segera tanpa berdolak-dalik.

SAMM melihat pengumuman pemberian autonomi semalam oleh Menteri hanya bersifat retorik semata-mata, apa erti autonomi universiti jika AUKU terus berkuat-kuasa ? Autonomi IPT dengan AUKU masih beroperasi memenjara hanyalah ibarat memberikan kereta tanpa injin. Hiasan kosmetik bagi meredakan luapan amarah mahasiswa.

Pada masa yang sama, SAMM turut kesal dengan keputusan Kolej Universiti Insaniah Kedah (KUIN) untuk menggunakan AUKU terhadap lima mahasiswanya. Sedarlah tindakan di KUIN akan memberikan impak negatif kepada PR secara keseluruhan apabila dilihat tidak mampu mengotakan janji yang telah dibukukan (Buku Jingga) selain akan memberikan persepsi cakap tak serupa bikin. Tindakan di KUIN umpama mensabotaj kempen buku jingga PR yang antaranya memberikan tumpuan kebebasan akedemik, menjamin aktivisma pelajar dan pemansuhan AUKU.

Kami berharap keadilan akan tertegak di dalam kes ini dan semua negeri-negeri Pakatan harus menunjukkan komitmen mereka menentang AUKU dengan tidak membenarkan peristiwa tersebut berulang. Kita telah berjuang sekian lama untuk menentang ketidakadilan tersebut.

Dalam kesempatan ini juga, SAMM ingin memaklumkan sebuah program Pentas Anak Muda anjuran bersama SAMM Wilayah dan Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak. Pentas turut menampilkan ramai mahasiswa termasuklah Adam Adli, Safwan Anang, Khalid Ismath, Yuyu Luna, wakil anak muda SAMM dan penampilan Srikandi Keadilan untuk menyampaikan pidato menggegar rostrum. 

Program tersebut jatuh pada 29 Januari (Ahad) bertempat di Dewan Pak Mustafa, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak bermula jam 8.30 malam. Semua dijemput hadir termasuk pengamal media.


Wan Farrel
Penyelaras Segmentasi Mahasiswa SAMM Kebangsaan
www.anakmudamalaysia.com

Thursday, November 24, 2011

Perdana Menteri: Mahasiswa Akan Dibenar Menjadi Ahli Parti UMNO !



Berikut adalah kenyataan Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi di dalam laman sosial twitter;

PM umum akn pinda Sek 15 AUKU: benarkn msiswa jd ahli parti politik, w'pun tak benar brjawatan parti. 


Kenyataan di atas juga bermaksud - Perdana Menteri akan mengumumkan akta AUKU seksyen 15 akan dipinda seterusnya membolehkan setiap mahasiswa menjadi ahli kepada parti politik. Walaubagaimanapun, mahasiswa tidak dibenarkan memegang jawatan dalam parti.

Ini merupakan suatu langkah transformasi yang baik. Mengumumkan pelbagai langkah baik adalah merupakan sesuatu yang mudah. Sebagai contoh, kerajaan melalui Perdana Menterinya boleh sahaja mengumumkan harga barang itu dan ini turun ke harga siling yang selesa kepada rakyat. Namun apakah ianya berhasil dalam aspek perlaksanaan?

Contoh seterusnya ialah, apabila kerajaan mengumumkan pemansuhan ISA dalam satu majlis yang gilang gemilang dengan liputan paling meluas beberapa minggu yang lalu. Ketika itu hampir semua saluran telivisyen menyiarkan ucapan Najib Razak mengumumkan ISA dimansuhkan. Bukalah TV123, pelbagai saluran radio dan beberapa penyiar swasta, nasional dan internasional, semuanya menjadi saksi ucapan Najib memansuhkan akta keselamatan dalam negeri.

Tetapi malang bagi rakyat Malaysia kerana mempunyai bukan satu, tetapi dua Perdana Menteri flip-flop. Tidak sampai dua bulan selepas mengumumkan pemansuhan akta ISA, akta yang sama ini terus digunakan kepada rakyat dengan penahanan 11 orang di Sabah, antara yang ditahan ialah aktivis PAS. 

Apakah hukuman setimpal untuk rakyat yang menggelar Perdana Menteri penipu, apabila sebenarnya Perdana Menteri itu memang menipu? Atau bagaimana jika kita gelar Najib adalah Bapa Penipuan?

Kali ini, Perdana Menteri yang sama iaitu Najib Razak akan membuat satu lagi pengumuman. Najib bakal mengumumkan sebuah pindaan akta AUKU yang membolehkan mahasiswa berpolitik. Benarkah??

Edyes tidak pasti apakah sebenarnya pindaan akta AUKU ini bermaksud, membenarkan semua mahasiswa menyertai parti politik asalkan ianya UMNO dan rakan-rakan sebarisan? Manakala mahasiswa yang menjadi ahli politik pembangkang pula akan ditukarkan ke kampus-kampus tercorok? Ini biasa sahaja berlaku dikalangan penjawat awam dan cikgu-cikgu yang menyokong pembangkang secara terbuka mahupun secara terkantoi.

Mahasiswa wajib melihat pengumuman ini sebagai satu taktik licik. Ketika mahasiswa dibenarkan berpolitik atau menjadi ahli politik sepertimana pindaan yang diumumkan kelak, ditakdirkan mahasiswa ditangkap kerana menyertai ceramah umum yang bakal digelar perhimpunan haram setelah akta perhimpunan aman dilaksana, maka mahasiswa ini akan didenda dan mungkin dibuang dari universiti. Ibarat taktik penjajah, inilah yang dinamakan 'transformasi'.

Bermodalkan slogan 'transformasi' yang diadaptasi daripada filem Transformers, tindakkan Najib sekali lagi diragui. Logikanya daripada filem Transformers, lori akan bertukar menjadi robot mengikut kesesuaian dan keperluan, robot yang sama juga akan bertukar menjadi lori bila diperlukan sedemikian. Maka boleh kita rumuskan 'transformasi' yang dibawa oleh Najib Razak adalah perubahan yang sama, cuma berbeza rupa-bentuknya sahaja mengikut keperluan semasa!

Oleh demikian, perlukah kita percaya dengan pengumuman Najib yang seterusnya? Memansuhkan ISA, penyediaan jawatankuasa khas parlimen untuk pilihanraya, Rang Undang-Undang akta perhimpunan aman, pindaan akta AUKU, dan pelbagai lagi pengumuman, di kala rakyat negara ini menghadapi krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri, masihkah ada yang boleh dipercayai ?!

Sebagai mahasiswa, harus lebih bijak dalam membuat tafsiran. Sebagai rakyat marhain, berjuanglah menuntut hak kebebasan dan menuntut taraf kehidupan yang lebih layak untuk sebuah negara kaya seperti... Malaysia


EDYES @ edyesdotcom
Court of Public oPinion