Wednesday, September 24, 2014

Tindakan Kejam DBKL Undang Respon Negetif Pengguna Media Sosial

Kenyataan Media
24 September 2014

Tindakan Kejam DBKL Undang Respon Negetif Pengguna Media Sosial

Telah tersebar secara meluas di laman sosial, sebuah klip footage berdurasi hampir 3 minit yang menunjukkan bagaimana kejamnya pendekatan penguasa DBKL ketika menjalankan tugas. Klip tersebut memperlihatkan penguasa DBKL merampas barang peniaga untuk tujuan disita hingga menimbulkan pergelutan antara penguasa dan orang awam.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memandang serius cara yang sangat tidak beretika pihak DBKL menangani peniaga kecilan yang juga merupakan rakyat tempatan. Apakah DBKL tidak mempunyai perasaan dan hati perut?

Harus diingat, rakyat Malaysia ketika ini menghadapi kemelut kewangan yang parah. Fakta menunjukkan nisbah hutang isi rumah telah mencecah 854 bilion bersamaan 86.8% Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK). Hampir 80% rakyat Malaysia tidak mampu menyimpan (saving) di atas kesempitan hidup dengan kenaikan harga barang/perkhidmatan yang tidak terkawal.

Justeru, berniaga secara kecil-kecilan menjadi trend rakyat Malaysia untuk menampung keperluan bulanan selain kerja tetap. Dalam masa sama, peluang untuk mendapat ruang perniagaan telah dimonopoli oleh golongan tertentu termasuklah warga asing. Ini yang berlaku dalam negara dan ia tidak dapat dikawal.

Sebagai contoh, wujud pasar kemboja, pasar vietnam di merata ceruk. Pusat perniagaan Chow Kit pula telah dikuasai warga asing manakala pusat perniagaan barang tiruan terbesar negara iaitu Petaling Street telah diiktiraf sejak sekian lama. Malah, Petaling Street dibangunkan dengan bumbung dan pintu gerbang yang menelan perbelanjaan besar serta mendapat layanan istimewa dari penguasa.

Mengapa wujud perbezaan layanan seperti ini? Apakah kerana rakyat tempatan yang baru hendak mulakan perniagaan tidak mampu membayar 'wang perlindungan' maka perniagaan halal mereka diberkas?

Persoalan ini turut diluahkan oleh ramai pengguna laman sosial yang telah menonton klip tersebut. Orang ramai berpendapat DBKL tidak berani mengambil tindakan terhadap warga asing yang berniaga di merata tempat tetapi bertindak kasar dengan warga tempatan. Ini bukan kes pertama DBKL bertindak buas dan tidak berperi kemanusiaan, banyak lagi gerai rakyat tempatan diroboh penguasa DBKL telah dilaporkan.

SAMM memberi amaran kepada DBKL supaya tidak menguji kesabaran rakyat. Janganlah bertindak seperti zionis terhadap rakyat sendiri, malah zionis Israel tidak pernah menindas rakyatnya sendiri.

SAMM juga mencadangkan supaya diwujudkan mekanisma pengeluaran permit 'on the spot' kepada peniaga tempatan, dengan syarat-syarat tertentu seperti tahap kebersihan jualan (jika berbentuk hidangan) dan persekitaran. 

Pokoknya, soal peniaga kecilan ini wajar diselesaikan cara yang berhemah dan tiada keperluan untuk bertindak kasar khususnya terhadap warga tempatan. 

"Rakyat bersatu tidak dapat dikalahkan"

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tuesday, September 23, 2014

D7 Bukit Aman dan KDN Perlu Lebih Serius Perangi Sindiket Perdagangan Seks

Kenyataan Umum
23 September 2014

D7 Bukit Aman dan KDN Perlu Lebih Serius Perangi Sindiket Perdagangan Seks

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Segmentasi Wanita Muda menolak kenyataan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, SAC Roslee Chik yang mengatakan bahawa kegiatan perdagangan seks di Malaysia tidak sebesar mana. 

Carian kami mendapati untuk tahun 2014 ini sahaja telah beberapa kali PDRM melakukan OPS NODA yang mensasarkan kepada pusat-pusat hiburan dan rumah urut yang menawarkan khidmat GRO dan pekerja seks warganegara asing. Ramai yang telah ditahan kerana menyalahgunakan pas masuk ke Negara ini untuk
bekerja sebagai pekerja seks di pusat-pusat tersebut. Inilah menunjukkan penularan kegiatan perdagangan seks di dalam Negara ini.

Kewujudan laporan video "Trapped - The Underage Sex Industry in Malaysia" juga tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja oleh Bukit Aman. Seharusnya, D7 Bukit Aman mengambil langkah yang proaktif dan lebih serius dalam
memerangi sindiket perdagangan seks ini.

Kerana itulah, SAMM Segmentasi Wanita Muda melihat ada kewajaran Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia Amerika Syarikat Tahun 2014 yang telah menurunkan Malaysia ke Tier 3 kerana tidak memenuhi standard minimum dalam memerangi pemerdagangan manusia.

Tidak perlulah hanya tertumpu untuk menangkap GRO dan Pekerja Seks semata-mata sebaliknya ia perlu juga untuk mensasarkan kepada pihak yang merintis jalan memalsukan dokumen pengenalan diri dan penyalahgunaan pas
kemasukan ini dan individu-individu yang menyimpan mereka-mereka ini.

Adalah amat dikesali kerana Pengarah Cawangan D7 lebih berminat untuk bermain hujah mengenai definisi "industri seks" daripada bercakap mengenai langkah memeranginya. SAMM bersetuju bahawa memang benar seks bukanlah satu industry di Malaysia seperti di Thailand yang menghalalkan industry seks, namun ia juga bukanlah satu rahsia bahawa industry ini berkembang mekar secara bawah tanah.

Khidmat urutan istimewa ini bukan hanya terdapat di Bandar-bandar utama sahaja malah telah menular sehingga ke Bandar-bandar kecil. Lebih teruk lagi, ada juga pengusaha kedai makan yang menyediakan khidmat layanan
istimewa China-Doll ini di dalam sebuah lading seperti yang pernah dilaporkan oleh media.

SAMM Segmentasi Wanita Muda menyeru Kerajaan Persekutuan untuk lebih peka terhadap isu ini dan perlu segera memerangi sindiket pemerdagangan manusia terutamanya melibatkan aktiviti seks secara serius dan menyeluruh. 

Bukan hanya setakat di permukaan sahaja, sebaliknya operasi ini perlu juga turun sehingga ke akar masalah ini. Jika tidak, aktiviti ini akan terus membarah dan mengakibatkan penularan penyakit sosial yang mengancam
pembangunan modal insan Negara.

Kegagalan untuk memerangi kegiatan ini secara komprehensif bukan sahaja akan mencalarkan imej negara di mata dunia, malah turut sama menghina maruah kaum wanita dengan menjadikan wanita sebagai bahan perdagangan dan
ekploitasi seks semata-mata tanpa ada iltizam serius untuk memeranginya.

Sekian,

Young Syefura Othman
Penyelaras Segmentasi Wanita Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Monday, September 22, 2014

Kemelut Selangor Akan Berpanjangan Jika Lantikkan MB Tanpa Sokongan Ahli Dewan

Kenyataan Media
22 September 2014

Kemelut Selangor Akan Berpanjangan Jika Lantikkan MB Tanpa Sokongan Ahli Dewan

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menolak sebarang usaha melobi diri sendiri untuk ditabalkan sebagai Menteri Besar sepertimana dalam perkembangan mutakhir ini. Perlantikan Menteri Besar Selangor seperti yang termaktub dalam undang-undang tubuh negeri hanya mempunyai satu jalan iaitu dengan sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri.

Melobi diri sendiri untuk suatu jawatan disifatkan melanggar ruh perjuangan reformasi yang selama ini menjadi harapan rakyat melihat tanahair ini merubah menjadi sebuah negara lebih baik. Bagaimana sosok ini berdepan dengan rakyat sekiranya dilantik sebagai Menteri Besar tidak bertauliah?

SAMM tidak mencampuri urusan siapa yang akan dinaikkan sebagai Menteri Besar Selangor asalkan ia mengikut lunas undang-undang. Namun SAMM tetap bertegas bahawa kemelut ini harus diselesaikan segera. SAMM menjangka sekiranya yang dilantik menjadi MB Selangor itu tidak mempunyai sokongan ahli dewan, maka Selangor akan terus bergolak dan rakyat bakal menjadi mangsa.

Sebagai penggerak anak muda yang cintakan tanahair, SAMM melihat keluhuran perlembagaan dan pendemokrasian negara akan punah jika perlantikan MB Selangor diluar nas undang-undang dijadikan 'precedent case'. Rukun Negara kini menjadi pertaruhan.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM

Jika “badan tidak dipilih” Memilih Ketua Kerajaan, Masa Depan Negara Akan Tidak Menentu

Kenyataan Umum
22September 2014

 Jika "badan tidak dipilih" Memilih Ketua Kerajaan, Masa Depan Negara Akan Tidak Menentu

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyokong penuh kenyataan Gabungan BERSIH bahawa sistem demokrasi berparlimen akan hancur khususnya jika kemelut pemilihan Menteri Besar Selangor berakhir dengan mengenepikan pihak yang mempunyai majoriti (Adun).

Pengerusinya Marian Chin Abdullah dilaporkan dalam Malaysiakini berkata, jika "badan tidak dipilih" memilih ketua kerajaan, masa depan negara selepas pilihan raya umum ke-14 akan tidak menentu.

SAMM yang juga bernaung di bawah Gabungan BERSIH berpendapat, undang-undang tubuh negeri harus dipatuhi oleh semua pihak. Jika 'rule of law' ini dilanggar atas kepentingan tertentu, negara akan menjadi kucar-kacir setelah perlembagaan dipinggirkan malah Rukun Negara yang diikrar menjadi pertaruhan.

Dikesempatan ini selaku mewakili aspirasi kelompok muda,  memperingatkan PKR, Anwar mungkin atau tak mungkin menjadi PM, kemelut Selangor mungkin atau tidak mungkin selesai mengikut kehendak kita tetapi ia bakal mejadi sejarah adakah parti yang mendabik dada menjaja tema Reformasi ini bakal akur dan tersungkur dengan tekanan dalam mempertahankan asas demokrasi iaitu majoriti. 

Tidak timbul soal derhaka dengan menghantar satu nama, Dr. Mahathir sendiri menyatakan dia sendiri hantar satu nama kepada semua Istana ketika dia PM. Pilihlah sendiri sama ada kita memilih melawan dengan prinsip atau tunduk menyerah dengan desakan feudalisma kerana kita akan dikenang sejarah seperti mana yang kita mahukan. Jangan sia siakan berbelas tahun sejarah perlawanan panjang.

Ya kita menjunjung Raja berpelembagaan tetapi kita sama sekali menolak feudalisma sempit yang mengikut membuta tuli.

Sekian.

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia

Friday, September 19, 2014

PERDAGANGAN MALAYSIA-ISRAEL: KERAJAAN TERUS BERMUKA-MUKA

Kenyataan Media
19 September 2014

PERDAGANGAN MALAYSIA-ISRAEL: KERAJAAN TERUS BERMUKA-MUKA

Portal berita Times of Israel pada tarikh 14 September 2014 telah mengeluarkan satu artikel bertajuk Malaysia favors Palestinians But Buys From Israel. Artikel tersebut telah mengesahkan berlakunya hubungan perdagangan dalam diam antara Malaysia dan Israel walaupun Malaysia sering menunjukkan sikap kritikal terhadap Israel.

Malah, Times of Israel juga memetik angka dan statistik yang sama seperti yang didedahkan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) selama ini iaitu peningkatan drastik jumlah perdagangan dengan Israel bagi tahun 2013 dan juga mengesahkan sumber maklumat yang diperolehi SAMM adalah benar dan tepat.

Kegagalan MITI dan Kerajaan Persekutuan untuk berlaku tegas dalam melaksana kempen Boycott, Divestment and Sanction dan menarik balik kelulusan kabinet tahun 1996 itu, telah menjadikan Perdana Menteri dan Malaysia ditonjolkan sebagai seorang yang bermuka-muka oleh media asing.

Turut didedahkan oleh portal berita tersebut bahawa statistik perdagangan dengan Israel telah dimasukkan ke dalam ruangan "Lain-lain Negara". Sifat munafik pemerintah cuba disorok dan rakyat negara ini disajikan dengan air mata pemimpin terhadap nasib Palestine.

Lebih mengejutkan, portal tersebut menyebut bahawa selain daripada perdagangan yang dinyatakan dalam statistik rasmi, sebenarnya terdapat banyak lagi perdagangan tersembunyi yang berlaku. Adakah MITI tahu mengenai transaksi perdagangan tersembunyi yang dilakukan oleh pedagang-pedagang kapitalis ini? Apakah tindakan MITI terhadap transaksi tersembunyi ini?

MITI dan Kerajaan Persekutuan terus angkuh dan mengingkari janji untuk menilai semula perdagangan dengan Israel. SAMM sebelum ini telah mendedahkan nilai perdagangan yang menjangkau USD 1.5 billion bagi tahun 2013 dan untuk tempoh 6 bulan pertama tahun 2014, nilai transaksi berjumlah USD 884.7 juta iaitu peningkatan 27% daripada tempoh yang sama tahun 2013.

Apalagi helah dan dolak-dalik yang akan dikemukakan oleh MITI dan Kerajaan Persekutuan kali ini? 

Kamu teruskan berbohong kepada rakyat Malaysia tetapi SAMM tidak akan berhenti membongkarkan transaksi perdagangan antara Malaysia-Israel terutamanya dalam transaksi yang melibatkan hasil pertanian negara yang dihantar ke Israel.

SAMM juga akan membongkar satu lagi pendedahan terbaru mengenai hubungan dagang Malaysia-Israel dalam masa terdekat.

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Wednesday, September 17, 2014

Kenyataan Menteri Kerja Raya Berhubung Kadar Tol Tambak Johor Adalah Satu Wayang Opera

Kenyataan Umum

17 September 2014


Kenyataan Menteri Kerja Raya Berhubung Kadar Tol Tambak Johor Adalah Satu Wayang Opera


1. Susulan kepada kenyataan Menteri Kerja Raya, Dato' Fadillah Yusof bertarikh 13 September 2014 seperti yang disiar di laman BERNAMA bahawa langkah menaikkan kadar tol di Causeway adalah hak prerogatif negara Singapura. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor sangat maklum akan hak prerogatif sesebuah negara merdeka seperti Malaysia dan Singapura untuk menentukan kadar tol dalam negara masing-masing. 


2. Namun begitu, situasi di Tambak Johor ini sedikit unik. Penetapan kadar tol di pintu masuk antara negara ini adalah berkadar langsung antara satu sama lain. Ia bukanlah satu amalan asing, sebaliknya telah lama digunapakai. Kerana perjanjian ini maka sudah pastilah, Singapura akan turut menaikkan kadar tol Causeway sebaik sahaja Malaysia menaikkan kadar tol EDL-CIQ. Begitulah juga yang akan berlaku, jika Malaysia bersedia untuk memansuhkan tol di CIQ. 


3. BERNAMA juga menyatakan "Pada masa yang sama, beliau berkata kadar tol di Tambak Johor kekal RM2.90". SAMM Johor menuntut penjelasan daripada Menteri akan tol manakah yang dirujuk oleh beliau dalam kenyataan tersebut. 


4. Umum telah mengetahui bahawa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telahpun mengumumkan kadar caj tol baharu EDL-CIQ berkuatkuasa 1 Ogos 2014. Kenaikan pada kadar 470%. Jadi, adakah Menteri tidak mengetahui kenaikan ini atau Menteri sedang bercakap mengenai kadar tol yang lama?


5. Ataupun secara tidak langsung, Menteri memberikan pengesahan bahawa kenaikan tol EDL-CIQ 1 Ogos adalah untuk menampung pembiayaan pampasan pengambilalihan EDL. Di mana kadar tol yang sebenar adalah RM2.90 untuk kenderaan dari Singapura ke Malaysia. Dan lebihan RM 6.80 itu dibayar kepada MRCB. 


6. Menteri berkenaan juga menyatakan bahawa kenaikan caj tol di CIQ, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) adalah untuk penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan yang disediakan di BSI. Hasil carian maklumat SAMM Johor, BSI adalah dimiliki oleh Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri dan Perkhidmatan Pengurusan Fasiliti pula diuruskan oleh Advance Maintenance Precision Management. Sedangkan LLM menyebut kadar tol baharu CIQ BSI adalah untuk membolehkan pemegang konsesi EDL, untuk mengutip tol bagi menampung kos pembinaan dan penyelenggaraan lebuhraya tersebut. 


7. Sudah terang lagi bersuluh, kenaikan kadar caj tol EDL-CIQ ini adalah kerana untuk membayar pemegang konsesi tol, maka Menteri tidak harus menggunakan "trick" usang dengan mengeluarkan alasan untuk penyelenggaran BSI. Menteri tidak patut menjadikan rakyat untuk turut sama keliru dengan penjelasan-penjelasan begini. 


8. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pada tarikh 29 Julai 2014 telah menyatakan, "goverment to ensure local road users not burden with CIQ toll". Apakah yang telah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan sehingga kini? 


9. Telah dua bulan kenaikan kadar tol CIQ ini dikuatkuasakan. Dan bulan Oktober 2014, Singapura pula akan mengikut jejak langkah Malaysia. Adakah ini salah satu usaha Kerajaan Persekutuan untuk tidak membebankan pengguna? 


10. Ini menunjukkan kenyataan TPM yang berasal dari Johor itu hanya satu wayang kulit untuk menyedapkan hati rakyat Johor sahaja. Mana mungkin orang nombor dua dalam Kerajaan Persekutuan Malaysia tidak mengetahui akan perjanjian pakej tol Malaysia-Singapura dimana bayaran tol di Singapura adalah sama dengan bayaran tol yang dikenakan oleh Malaysia. 


11. Hakikatnya, Kerajaan Pemerintah seringkali tunduk kepada pelobi kapitalis besar dan kemudiannya mengeluarkan kenyataan wayang opera untuk menunjukkan bahawa mereka sedang melakukan usaha terbaik untuk rakyat Johor.


12. SAMM Johor dengan ini menyeru Kerajaan Persekutuan tidak lagi bermain wayang sebaliknya mula mengambil langkah yang betul untuk mengurangkan beban pengguna dan kaum pekerja yang berulang-alik ke Singapura setiap hari. Perdana Menteri atau Menteri Luar harus segera mengadakan perundingan dengan Kerajaan Singapura dalam isu berkepentingan bersama termasuklah isu kenaikan kadar tol dan VEP. Kedua-dua Kerajaan Pemerintah haruslah memberikan justifikasi kenaikan kadar tol dan VEP dengan cara yang lebih munasabah dan penuh semangat kejiranan. 


13. Perlumbaan kedua-dua Kerajaan Pemerintah untuk menaikkan kadar tol dan VEP ini akhirnya memangsakan rakyat kedua-dua negara yang sering berulang-alik antara Malaysia-Singapura. Tambahan lagi, Kerajaan Persekutuan juga perlu memikirkan impak kenaikan tol ini kepada ekonomi domestik Johor termasuklah menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga kecil dan sederhana di bandaraya Johor Bahru. 


SETIA BERSAMA JOHOR


ROSLEE MOHD SHARIFF

Penyelaras

Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor

Adakah Malaysia Telah Bersetuju Untuk Bersama Dalam Kerangka Asia Pivot US?

Tulisan Umum
17 September 2014

Adakah Malaysia Telah Bersetuju Untuk Bersama Dalam Kerangka Asia Pivot Amerika Syarikat?

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah pun mengeluarkan satu kenyataan mendesak penjelasan dan respons daripada Perdana Menteri susulan kenyataan US Chief of Navy Operation berhubung penempatan pesawat risikan P8-A Poseidon di Sabah pada 12 September 2014.

Menteri Pertahanan telah menafikan kenyataan tersebut dan juga menafikan Malaysia telah memberikan kebenaran kepada Tentera Laut Amerika Syarikat.

Lanjutan daripada itu, SAMM telah melakukan sedikit kajian dan mendapati kemasukan Tentera Amerika Syarikat ke negara ini adalah lebih kerap selepas kunjungan Presiden Obama pada bulan April lepas.

Bulan Jun 2014, satu eksais yang dinamakan Cope Taufan 2014 telah dilakukan di utara semenanjung di antara Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (RMAF). Eksais ini melibatkan pesawat tempur berteknologi tinggi milik USAF iaitu F-22 Raptor.

Eksais ini adalah merupakan kali pertama F-22 datang ke Asia Tenggara walaupun Amerika Syarikat mempunyai sekutu rapat di Singapura dan Filipina. Malah, Tentera Udara Singapura juga perlu membayar kos yang tinggi untuk menyertai latihan dengan F-22 dalam eksais Red Flag Alaska.

Jadi, mengapakah USAF memilih untuk menghantar F-22 Raptor dalam latihan ketenteraan bilateral bukannya multilateral dengan negara yang bukan sekutu Amerika Syarikat?

Dari 25 Ogos sehingga 2 September 2014, satu lagi siri latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat dilakukan di Kampung Tanduo, Sabah. Latihan yang dinamakan MALUS AMPHEX 2014 menggunakan aset US Marine Assault Amphibious AAV-P7 ini disertai oleh pasukan US Marines dan pasukan tentera kita.

Dan bermula 13 September hingga 26 September 2014, latihan ketenteraan Keris Strike Siri 18/2014 pula menyaksikan kehadiran tentera dari United States Army Pacific Command (USARPAC) di Pantai Timur Semenanjung.

Adalah sesuatu yang agak pelik kerana secara tiba-tiba Malaysia kelihatan seperti sangat mesra dengan ketenteraan Amerika Syarikat. Dalam tempoh kurang daripada 6 bulan, nampaknya Amerika Syarikat telah berjaya melaksanakan latihan ketenteraan dengan Malaysia yang meliputi pertahanan darat, laut dan udara.

Apakah mungkin jika tiada apa-apa kelebihan atau perjanjian, Amerika Syarikat akan menawarkan peluang kepada negara bukan sekutu mereka secara bilateral untuk berlatih dengan aset-aset ketenteraan dan taktikal mereka yang serba canggih itu?

Adakah Malaysia telah mengambil peluang kehadiran Presiden Obama tempohari untuk menyatakan persetujuan untuk bersama-sama dalam kerangka Asia Pivot tajaan Presiden Obama? Salah satu pilar Asia Pivot adalah hubungan perdagangan dan ketenteraan. Dan Malaysia sedang dalam rundingan TPPA, apakah mungkin juga kita akan memulakan hubungan ketenteraan dengan Amerika Syarikat?

Walaupun Menteri Pertahanan telah membuat penafian, namun seharusnya tindakan yang lebih tegas dan affirmatif perlu diambil oleh Kerajaan Malaysia dalam isu kenyataan oleh US Chief Of Naval Operation, Jonathan W. Greenert tersebut.

Dengan siri latihan ketenteraan bersama Tentera Amerika Syarikat yang meliputi darat, laut dan udara serta kenyataan tawaran Malaysia kepada Tentera Amerika Syarikat itu dikeluarkan oleh seorang Pegawai Tinggi Tentera Laut Amerika Syarikat dan juga merupakan penasihat operasi ketenteraan maritim kepada Presiden Amerika Syarikat, sudah pastilah ia akan memberikan isyarat yang tidak betul kepada dunia. Maka, ia tidak harus dinafikan dengan satu kenyataan di media massa sahaja oleh Menteri Pertahanan.

Sehubungan itu, SAMM mendesak Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri untuk segera mendesak rakan sejawatan mereka dari Amerika Syarikat agar meminta maaf dan menarik semula kenyataan yang dikeluarkan oleh US CNO tersebut.

Kegagalan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan dalam memberi maklum balas akan memberikan isyarat yang salah kepada dunia dan berpotensi mendatangkan impak negatif bukan sahaja kepada aspek negara berkecuali malah dibimbangi akan melarat hingga aspek keselamatan negara dan hubungan perdagangan yang besar dengan negara-negara dunia yang lain.

Sempena dengan semangat ulangtahun Kemerdekaan negara, SAMM menyeru agar Kerajaan Pemerintah memastikan kedaulatan negata tidak digadai kepada mana-mana kuasa besar. Malaysia harus kekal sebagai sebuah negara NAM yang bebas tidak berpaksi kepada mana-mana kuasa besar.

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras Kebangsaan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Thursday, September 11, 2014

Dr MAZA juga akan ditahan Akta Hasutan


Petikan kata-kata DrMAZA.com:

- Demi Allah! Debu yang berada di hidung kuda para sahabat nabi s.a.w yang berjuang bersama Nabi s.a.w lebih mulia dari kebanyakan sultan atau raja yang ada dalam dunia ini. [2011]

- "Jiwa feudal melayu...nak hidup zaman macam ni pi hidup zaman hang tuah lah! Sampai Sultan Melaka suruh pi curi anak dara orang Tun Teja pun pi! Takkan itu contoh pahlawan Melayu..kalau itu contoh pahlawan melayu, teruklah melayu! [2011]

Twitter @realDrMaza:

- Jika golongan raja itu tidak boleh dipertikaikan tindakan dan perangai mereka, bererti rakyat mempertuhankan mereka dan memperhambakan diri. [30Mei2012]

- Apa jadi negaraku, penjenayah bertahta, pelapor direman dan didera. Kita wajib berubah n mengubah!! [8Julai2012]

- Ketika mata si zalim lena, mata yang dizalimi terbuka. Si zalim nyenyak beradu, pada Allah yang dizalimi mengadu. Harinya akan tiba jua. [9Julai2012]

- Melayu salah baca sejarahnya; Jebat sebenarnya tidak derhaka tapi Sultan Melaka yg celaka. Menzalimi rakyat tapi mendakwa berdaulat. [9Julai2012]

Pautan twitter kaitan: https://twitter.com/realDrMAZA

"JEBAT tidak derhaka, sultan Melaka yang celaka!"

Wednesday, September 3, 2014

APAKAH MENOLAK BN CENDERUNG KEPADA PENGHARAMAN?

Kenyataan Media
03 September 2014

APAKAH MENOLAK BN CENDERUNG KEPADA PENGHARAMAN?

Deretan pendakwaan Akta Hasutan 1948 yang telah dijanjikan pemansuhannya oleh Perdana Menteri semenjak 2012, tangkapan PPS dan amaran tangkapan terhadap Unit Amal PAS adalah merupakan tindakan opresif dan desperado Putrajaya dalam berhadapan dengan suara-suara atau kelompok yang tidak senada dengannya.

Ini merupakan satu lagi bentuk intimidasi politik dan ini juga merupakan satu bentuk kemusnahan demokrasi yang sedang dialami negara.

Tindakan desperado ini hanya satu sifat yang terzahir ekoran daripada kelirunya Menteri berkait amalan demokrasi. Tidak lagi dapat membezakan antara pentadbiran Kerajaan dengan sentimen politik kepartian.

Apa saja yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat akan dilihat sebagai haram dan membahayakan. Apa saja organisasi sama ada bernaung di bawah Pakatan Rakyat atau pun cenderung kepada menolak Barisan Nasional akan dicop haram, subversif dan sebagainya.

Menteri KDN seharusnya melihat kewujudan badan-badan sukarela seperti PPS dan Unit Amal PAS ini sebagai satu bentuk organisasi atau gerakan yang boleh dijadikan platform kepada anak muda Malaysia untuk terlibat dalam aktiviti kesukarelaan.

Adakah Menteri KDN tidak suka melihat sekumpulan anak muda yang sukarela melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan juga dididik untuk mempunyai pegangan agama dan akhlak yang baik? Sejak bilakah membuat amal merupakan satu kesalahan jenayah?

Adakah Menteri KDN gemar melihat pewaris masa depan negara ini terkinja-kinja di kelab-kelab malam ataupun ditangkap di dalam bilik-bilik hotel murah setiap kali menjelang ambang Merdeka dan Tahun Baru? Inikah citra pelapis yang diinginkan oleh Menteri Dalam Negeri?

Dan dalam masa yang sama, Menteri KDN membisu terhadap PERKASA, ISMA dan Ridhuan Tee yang sering mencetuskan api perkauman seolah-olah mempunyai agenda sulit yang ingin memecahbelahkan negara.

Malahan, Menteri KDN sendiri sering bermain dengan ucapan rasis. Apakah PDRM akan membuka kertas siasatan terhadap Zahid Hamidi?

Menteri KDN sepatutnya menjadi seorang individu yang sangat bertanggungjawab dalam memelihara keselamatan dan kesejahteraan dalam negara.

Adalah menyedihkan selama 57 tahun Merdeka ini, kita masih lagi mempunyai Menteri Kabinet yang keliru dan penuh prasangka jelek terhadap rakyat yang berlainan warna kulit.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia