Friday, February 28, 2014

Transformasi: JPN yang dulu bukanlah yang sekarang

Tulisan Terbuka
28 Februari 2014

Transformasi: JPN yang dulu bukanlah yang sekarang

Dari dulu hingga kini, seperkara yang kita cuba elak berlaku dalam kehidupan seharian kita ialah kehilangan dompet. Setelah meluangkan masa beberapa minit hingga beberapa jam cuba mengesan kedudukan dompet tidak membuahkan hasil, maka perasaan yang tenang pada awalnya tadi merubah menjadi gundah gulana. 

Ya benar, tidak boleh buat 'misscall' jika dompet hilang. Misscall dibuat hanya untuk mengesan talipon bimbit yang keciciran atau missplace. Jika ada 'ringing' tetapi suasananya sepi, itu bermakna talipon bimbit itu masih selamat cuma kita tidak berada di tempat yang betul. Jika awal tadi ada 'ringing' kini sudah tiada, itu bermakna harapan tipis untuk mendapatkan semula talipon bimbit hilang tadi, telah musnah. Kita bukan berada di negara skandanavia atau di negara Iran.

Berbalik cerita kehilangan dompet tadi. Perasaan gundah gulana itu hadir bukan kerana jumlah duit yang memenuhi dompet. Sebagai seorang warga miskin kota, kebiasaannya jumlah duit yang tertinggal di dalam dompet itu tidaklah banyak mana, cuma ketika luar biasa sahaja dompet itu penuh empuk dengan wang ringgit. Kebarangkalian dompet hilang atau tercicir ketika dompet penuh wang ringgit adalah sangat rendah kerana sudah pasti tangan kita akan mendakap dompet itu setiap tiga minit.

Perasaan gundah itu hadir bukan kerana gambar kekasih lama yang terselit di kompartmen berzip, ditakuti dompet ini dikesan oleh isteri (lalu berlaku sesi spotcheck), maka gegak gempita lah tetangga kejiranan. Namun ini zaman 'anak kecil main ipad' agak mustahil gambar kekasih lama disimpan dalam dompet, melainkan ia disimpan di dalam ipad, iphone atau android talipon pintar. 

Bukan fasal duit, bukan fasal gambar kekasih lama, dan bukan juga fasal kad kredit. Ya memang benar dalam dompet tersebut ada beberapa keping kad kredit, malangnya kad kredit tersebut sudah tiada kredit atau dengan kata lain, sudah cecah limit. 

Perasaan gundah gersang itu hadir tidak lain dan tidak bukan, kerana memikirkan kad pengenalan (Mykad) yang turut hilang bersama dompet. Sesudah kehilangan MyKad, terbayanglah kita bermacam-macam musibah yang perlu dihadap. 

Pertama, kita tidak sedar berapakah denda yang bakal dikenakan kerana denda kehilangan Mykad berubah-ubah semakin mahal. Perketat pengeluaran MyKad kerana sindiket jual IC yang berleluasa sering dijadikan alasan maka warga Malaysia yang hilang Mykad akan dihukum seberat yang boleh. 

Kedua, selagi kita belum memiliki sijil pengenalan sementara, selagi itu kita mampu dicas sebagai warga asing. Kerana warga asing hari ini bukan saja ramai melimpah ruah, tetapi keterampilan mereka menghampiri keterampilan warga tempatan. Hanya berbeza dengan ketara pada vokalnya sahaja. 

Ketiga, terbayang juga sejauh mana lakunya sijil pengenalan sementara yang dibekalkan oleh JPN khususnya dalam soal urusan rasmi seharian. Berapa lama masa yang perlu ditunggu untuk mendapatkan semula Mykad yang baru juga tidak dapat dipastikan, apakah sebulan? 

Alkisahnya hari ini, seusai sebutan kes di Mahkamah Jalan Duta pagi tadi (kes himpunan malam tahun baru), saya telah singgah menjenguk Jabatan Akauntan Negara (JPN) di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Jalan Duta. 

Tujuan saya menjengah JPN adalah bukan kerana kehilangan Mykad sepertimana mukadimah saya tadi, tetapi kerana cip dalam MyKad milik saya sudah tidak beroperasi sejak sekian lama. Goreslah guna pemadam fabre castell sekalipun, cip tetap gagal dibaca.

Sampai di JPN saya terkejut pejabat itu lengang. Ini luar kebiasaan. Bila saya masuk pejabat JPN, datang seorang pegawai memaklumkan bahawa sistem offline sejak pagi dan tidak dapat menjamin waktu pulihnya, dicadangkan pula kepada saya untuk pergi ke Puduraya aras dua. Tanpa membuang masa saya beredar dan bergegas ke Puduraya. Saya tidak komplen sistem offline, saya cuma komplen jumlah parkir yang tidak mencukupi. Tidak menolak kemungkinan puncanya ialah pengangkutan awam yang sangat lemah.

Setibanya di JPN Puduraya, ketika mengurus penggantian MyKad, saya mengalami satu kejutan, saya tidak pasti apakah ia kejutan budaya? Urusan penggantian Mykad sangat mudah dan lancar, ini di luar fikrah yang terdoktrin sejak sekian lama.

Akhirnya saya hanya mampu merumuskan bahawa - saya bukan sahaja telah menerima layanan yang cukup baik, malah melihat sistem pengeluaran dan memperbaharui MyKad berlangsung sangat pantas dan penuh efisyen berbanding beberapa tahun lalu. Dari nombor giliran dipanggil (juga tidak ambil masa yang lama), hingga sesi bergambar, hanya mengambil masa tidak sampai 5 minit dan kad siap dalam masa beberapa jam. 

Tahniah saya ucapkan kepada JPN di atas transformasi ini. JPN yang dulu bukanlah yang sekarang, dulu berbulang sekarang hanya beberapa jam berselang. Kita tidak lagi perlu mengheret sijil pengenalan sementara ku hulu dan hilir sehingga lunyai fizikalnya. Kita tidak lagi terdedah untuk ditangkap sebagai warga asing kerna rupa kita juga tidak jauh berbeda.

Namun dalam masa yang sama, kita juga harus berdoa agar sistem yang efisyen dan telah di'transformasi' ini tidak disalahguna khususnya bila tiba musim pilihanraya. 

Sekian

EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda SAMM

No comments: