Wednesday, February 26, 2014

Kempen Kesedaran Persempadanan Semula BERSIH-SAMM Muar

Kenyataan Media

26 Februari 2014


Kempen Kesedaran Persempadanan Semula BERSIH-SAMM Muar berlangsung dengan jayanya


Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar bersama-sama dengan pasukan Tindakan dan Kajian Persempadanan (DART) BERSIH telahpun menjalankan kempen kesedaran sivik masyarakat berhubung cadangan persempadanan semula kawasan pilihanraya yang bakal dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya pada hari Ahad, 23 Februari 2014 di sekitar kawasan DUN Maharani -  Parlimen Muar, DUN Bentayan – Parlimen Bakri, DUN Gambir dan DUN Tangkak dalam Parlimen Ledang.

 

Kempen sehari yang bertujuan untuk memberikan kesedaran sivik dan membentuk kefahaman masyarakat terutamanya pengundi berdaftar akan peranan dan hak demokrasi mereka dalam perkara berkaitan persempadanan semula kawasan pilihanraya ini diketuai oleh Pengerusi BERSIH, Saudari Maria Chin Abdullah dan disertai oleh YB Saudara Er Teck Hwa, Ahli Parlimen Bakri, YB Saudara Chua Wee Beng, ADUN Bentayan serta barisan aktivis SAMM Muar dan aktivis pro-perubahan Muar.

 

Bermula jam 11 pagi, pasukan kempen telah mula bergerak mengedarkan risalah-risalah penerangan kepada khalayak umum di sekitar Hentian Bas Ekspres Bentayan dan kemudiannya terus bergerak di sekitar Bandar Muar. Sekitar jam 1 tengahari, konvoi kempen mula bergerak ke Bandar Tangkak di mana kami singgah ke Hentian Bas Tangkak yang terletak di tengah-tengah Bandar Tangkak. Dan selepas itu, konvoi kempen terus ke destinasi terakhir iaitu di pekan Bukit Gambir. Rata-rata khalayak yang ditemui menyambut baik usaha kempen ini yang memberikan mereka kesedaran akan hak mereka sewaktu persempadanan semula kawasan pilihanraya dijalankan dimana sebelum ini tidak ramai yang mengetahui apakah peranan mereka dalam proses ini.

 

Walaupun ruang masa yang agak singkat namun, SAMM Muar dan delegasi BERSIH sempat meluangkan masa berbincang untuk mengadakan satu sesi bengkel persempadanan semula dimana fokus dan objektif bengkel ini adalah untuk memberikan kefahaman yang utuh kepada seluruh aktivis dan rakyat Muar yang peduli terhadap salah satu pilar demokrasi Negara ini sekitar Mac nanti dan juga beberapa aktiviti pendemokrasian lain.

 

Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar menyambut baik dan sememangnya bersedia untuk bekerjasama dalam sebarang bentuk program yang dapat memberikan pencerahan minda kepada seluruh rakyat Muar dalam aspek hak dan peranan dalam membina Negara bangsa ini dan juga pengukuhan doktrinisasi demokrasi berperlembagaan kepada warga Muar.

 

Sememangnya menjadi hasrat SAMM Muar untuk sentiasa bersama-sama dengan pihak-pihak yang berminat dalam pembinaan masyarakat Madani di sekitar kawasan Johor Utara selain daripada turut serta dalam sebarang bentuk aktiviti perlawanan rakyat. Adalah diharapkan selepas ini lebih banyak aktiviti kerjasama di antara SAMM Muar dengan NGO-NGO atau pertubuhan-pertubuhan lain demi ke arah memperkukuhkan pengetahuan dan kefahaman masyarakat Muar dalam aspek bernegara.


SAMM Muar ingin mengambil kesempatan ini untuk terus menyeru anak-anak muda sekitar Muar dan Johor Utara yang peduli terhadap aspek demokrasi dan bernegara untuk bersama-sama kami dalam menjalankan pelbagai aktiviti agar akhirnya seluruh rakyat Muar dan Johor Utara mendapat manfaat yang baik. Kepada yang berminat untuk bersama-sama kami bolehlah menghantar butiran diri sama ada melalui email kepada samm.muar@gmail.com atau perkhidmatan Whatsapp kepada nombor 018-2864256. 

 

Ahmad Anwar Asyraf

Penyelaras

Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar

No comments: