Friday, April 12, 2013

Bancian Manifesto Pilihan di Portal Sinar Harian ‘Dipadam’ Atas Arahan Siapa?



Kenyataan umum
12 April 2013
Bancian Manifesto Pilihan di Portal Sinar Harian ‘Dipadam’ Atas Arahan Siapa?
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini berasa terkejut dengan sikap luar biasa yang ditunjukkan oleh portal Sinar Harian apabila beberapa kotak bancian online di sebelah kanan portal tersebut telah dipadam.
Sebagai media arus perdana baru yang mengamalkan ‘media baru’, SAMM memuji portal Sinar Harian di atas pelbagai bancian yang dipaparkan di satu sudut demi mendapat maklum balas dari pembaca. Ia Berbeza dengan era media konvensional yang sehala.
Namun bancian undian yang berkisar mengenai pilihan di antara manifesto Barisan Nasional dan juga manifesto Pakatan Rakyat tidak bertahan lama seperti kebiasaannya. Kali terakhir bancian tersebut kelihatan di portal Sinar Harian ialah pada lewat malam tadi.
Terdapat tiga bancian mengenai manifesto pilihanraya hilang dari paparan. Salah satu bancian berbunyi “Jika anda seorang pengundi, manifesto parti mana yang memikat perhatian anda?”. Hasil bancian dari lebih 10 ribu responden menunjukkan 81% memilih manifesto PR manakala selebihnya 19% berpihak kepada BN.
Mengapa bancian online tersebut hilang secara tiba-tiba? Sedangkan sering kali bancian online di portal Sinar akan terpapar sepanjang masa dan tidak hilang walaupun bancian yang baru masuk mengambil tempat.
Apakah ada tekanan dari Kementerian Dalam Negeri atau SKMM agar tiada bancian mengenai manifesto dipapar? Apakah bancian mengenai manifesto pilihan itu mengancam keselamatan negara dan boleh menimbulkan huru-hara sehingga perlu dipadam?
Dalam perkara ini, SAMM sesekali tidak menyalahkan pihak portal Sinar Harian. SAMM yakin dan percaya bahawa Sinar Harian merupakan media yang telus dan berani dengan penyiaran berita yang neutral. Dengan keberanian ini juga, Portal Sinar Harian telah menyiarkan bancian manifesto yang kemudiannya dipadam.
SAMM tidak menolak kemungkinan ada tekanan besar dari pihak yang terdesak agar bancian online itu ditarik dari terus dipaparkan.
SAMM juga mendesak supaya pihak portal Sinar Harian memberi sedikit penjelasan apa yang sebenarnya telah berlaku. Jika benar Sinar Harian ditekan, nyatakanlah kebenaran itu dan rakyat akan bersama dengan kebenaran.
Kesempatan ini juga SAMM mengucapkan syabas kepada media neutral Sinar Harian kerana acap kali melaporkan berita tanpa berselindung sepertimana yang diamalkan oleh media konvensional arus perdana yang lain.
Sekian,
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments: