Kenyataan Umum
14 Februari 2013
Dimalukan Artis Korea: SAMM Gesa Najib Berundur Cara Terhormat
Sebagai anak muda, sebagai rakyat Malaysia dan sebagai orang biasa, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tidak dapat menyembunyikan perasaan terkejut dan malu dari peristiwa yang telah berlaku terhadap orang nombor satu negara apabila artis Korea Psy tidak muncul untuk menggaul Loh Sang bersama dalam satu acara di Pulau Pinang baru-baru ini.
Selama lebih lima minit Perdana Menteri Malaysia menunggu di pentas, namun Psy tetap tidak muncul walaupun berkali-kali namanya diseru. Keadaan menjadi kelam-kabut di atas pentas apabila meja Loh Sang dialih keluar-masuk beberapa kali, akhirnya tiada aksi ‘makan besar’ setelah Psy menghancurkan segala ‘mood’ yang ada.
Apakah peristiwa ini memberi gambaran betapa ‘standard’ Perdana Menteri Malaysia hanya berada di bawah seorang artis Korea?
Walaupun SAMM secara amnya dalam banyak perkara tidak bersetuju dengan Perdana Menteri ‘pilihan’ perwakilan Umno, namun ini sahajalah Perdana Menteri yang ada dalam negara ini maka seorang Perdana Menteri yang mewakili Malaysia tidak harus membenarkan diri dimalukan. Berita Perdana Menteri dimalukan ini juga mendapat liputan antarabangsa dan juga menjadi bahan ketawa warga internet.
SAMM sebelum ini beberapa kali pernah mendesak Najib Razak berundur dari mengepalai negara Malaysia di atas pelbagai sebab dan alasan, antaranya ialah kerana gejala Najib yang berdiam diri dari pelbagai tuduhan dan juga ketika kegagalan Najib mendepani perhimpunan Bersih. Namun kali ini agak berbeza, SAMM berpendapat sudah sampai masanya Najib Razak berundur kerana telah memalukan negara.
Bagi SAMM, malu ini bukanlah percuma. Mengikut resam kebiasaan, orang membayar satu jumlah untuk mengelak dari mendapat malu tetapi apa yang berlaku terhadap Najib, Umno dan BN adalah sebaliknya. Inilah satu-satunya kes malu yang ‘dibayar’ dengan harga yang tinggi, difahamkan dari laporan media melebihi RM2 juta.
Jika sebelum ini desakkan supaya Najib undur tidak mendapat perhatian, mungkin kali ini Najib sendiri sedar betapa dirinya tidak lagi setara sebagai Perdana Menteri apabila acap kali menjadi bahan ketawa rakyat. SAMM menasihatkan kepada Perdana Menteri agar berundurlah secara terhormat, cukuplah dari terus dimalukan.
SAMM juga dalam masa yang sama memberi amaran kepada Umno dan Barisan Nasional, rakyat akan bangkit jika berlaku penipuan dalam PRU ke 13. SAMM kini selesai Roadshow #AmaranPRU di selatan dan pantai timur tanahair, dan roadshow SAMM akan menjengah ke Sabah 15-17 Februari dan utara semenanjung pada 18-21 Februari ini sebelum kemuncak ‘Konvensyen Tuntutan Rakyat’ di Dewan Perhimpunan Cina (KLSCAH) pada 22 Februari ini, iaitu tarikh yang dijangka pembubaran parlimen berlaku.
Sekian,
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM
twitter: @edyesdotcom
No comments:
Post a Comment