Ayuh, bangkitlah. Saya percaya, setiap anak Pahang mempunyai darah kepahlawanan Mat Kilau, setiap anak Perak mempunyai semangat menentang penjajahan Datuk Maharajalela, setiap anak Terengganu mempunyai resam Rahman Limbung, dan akhir sekali, setiap anak Malayu mempunyai darah Jebat dalam memartabatkan keadilan. Bangkitlah bangsaku, menentang penjajah era baru, Kerajaan Penjajah. - Edy Noor Reduan
Tuesday, January 29, 2013
[GEMPAR] Sidang Media Anugerah Kontrak Nilai BILION Ikut Pintu Belakang Kepada Syarikat Asing
Kepada semua editor,
Mohon jasa baik semua rakan media agar dapat menghantar wakil membuat liputan program berikut:
Sidang Media Khas
Pembongkaran Skandal nilai Billion Wang Negara libat syarikat asing
Tarikh: 29 Jan 2013 (Selasa)
Masa: 11.30pg
Tempat: Dewan Perhimpunan Cina Selangor (SCAH), KL
Pertanyaan: 0102675872 (edy)
Orang ramai juga dijemput hadir dalam pendedahan terbesar mutaakhir ini!
Sekian,
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Tuesday, January 22, 2013
FORUM TETAP BERLANGSUNG WALAU TANPA KEHADIRAN SHARIFAH ZOHRA
Kenyataan Umum
22 Januari 2013
FORUM TETAP BERLANGSUNG WALAU TANPA KEHADIRAN SHARIFAH ZOHRA
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kebangsaan mengucapkan tahniah buat anak muda dari Segmentasi Mahasiswa SAMM, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan INSTEF di atas kerjasama utuh untuk menjayakan sebuah forum "Kebebasan Akademik dan Hak Asasi" yang akan berlangsung jam 8 malam ini di KLSCAH.
Dengan hasrat mempertemukan semula dua ikon yang bertembung idealisma dalam satu forum di UUM bulan lalu sehingga menerbitkan sebuah fenomena, forum malam ini merupakan medan terbaik untuk Sharifah Zohra Jabeen dan KS Bawani berhujah dengan tatacara yang sebenar. Sharifah Zohra dari Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M) manakala KS Bawani pula aktivis Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), adalah satu pertembungan antara wakil dua NGO yang dikira sepadan. Malah forum ini juga membuka ruang yang begitu meluas kepada SW1M dan JERIT untuk memperkenalkan roh perjuangan masing-masing.
Mutaakhir ini kita sering mendengar beberapa kenyataan yang dikeluarkan secara sehala oleh Sharifah Zohra. Kenyataan berbaur tagihan simpati dari Sharifah Zohra kononnya penyebaran klip-video 'listen' itu sebuah taktik licik yang berjaya membiakkan tindakan yang mengutuk, membenci, dengan memalukan dan mengejek seorang wanita yang tidak bersalah (merujuk kepada dirinya).
Kemudian Sharifah tampil lagi dengan mengatakan sedia untuk memaafkan semua orang dan akhir sekali Sharifah membuat telahan bahawa KS Bawani sengaja "menyusup untuk mencetuskan provokasi" dalam forum kontroversi 8 Januari lalu. Walaupun berbunyi agak songsang dan angkuh namun ianya adalah sebuah ekspresi kekecewaan mungkin menyedari tiada ruang yang konklusif untuk Sharifah Zohra membela diri.
Maka atas sebab itu, SAMM melalui Segmentasi Mahasiswa menyediakan lapangan yang terbaik cukup luas untuk Syarifah Zohra menyatakan segala pandangan dan meluahkan kecelaruan yang bermain di minda masyarakat umum. Adil untuk semua pihak, KS Bawani juga berpeluang menjawab telahan sehala dari Sharifah Zohra menjadikan pertemuan ini cukup menarik dan saling melengkapi. Forum malam ini juga menjadi medan sesuai untuk semua pihak juga di atas keperluan dan permintaan rakyat seluruh negara, demi mendengar sendiri lontaran idea yang terhasil dari persediaan yang cukup, bukan secara spontan sepertimana fenomena 'listen' terhasil.
Melalui respon dari pelbagai pihak, forum "Kebebasan Akademik dan Hak Asasi" ini mendapat sambutan yang sangat luar biasa malah mengundang kehadiran pelbagai saluran media untuk membawakan cetusan idea malam ini keudara secara langsung ke seluruh negara. Forum malam ini bukan lagi sekadar medan percambahan ilmiah, tetapi menjadi tumpuan utama hingga ke peringkat antarabangsa kerana wakil media dari Singapura, Indonesia dan Australia juga menyatakan kesediaan untuk hadir.
Penolakkan
Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada sebarang penolakkan rasmi dari panel-panel jemputan, yang bermakna semua panel sedia untuk hadir. KS Bawani telah menyatakan kesediaan lebih awal untuk menjadi panel forum, begitu juga dengan Prof Dr Aziz Bari. Dalam kes Sharifah, surat jemputan telah difax dan dihantar dengan serahan tangan ke pejabat SW1M dengan dikembalikan satu salinan penerimaan bersama cop dan tandatangan. Penyelaras Mahasiswa SAMM, Wan Farel yang hadir ke pejabat SW1M mengesahkan tiada sebarang tanda penolakkan dari pihak SW1M malah disambut dengan baik oleh staf yang bertugas.
Hanya secara lisan diketahui dari beberapa portal berita yang menyatakan Sharifah Zohra tidak sudi untuk bertemu KS Bawani dalam aksi debat mahupun forum. Jika benar Sharifah mengambil keputusan untuk tidak tampil malam ini, itu adalah haknya dan kita wajar hormati. Apa yang termampu telah disediakan ruangan yang selesa untuk semua, namun bukanlah sehingga mengampu untuk Sharifah Zohra hadir malam ini. Terpulanglah kepada tuan punya badan untuk menunjuk keberanian sebenar yang kena pada tempatnya kerana kehadiran Sharifah Zohra malam ini seribu kali lebih baik daripada hanya menyorok di sebalik tembok dan hanya berdehem dengan kenyataan sehala yang sebenarnya lebih mengeruh keadaan.
Harus semua tidak lupa, bagaimana Ketua Pemuda Umno mencemuh dan memperlekeh Sharifah Zohra walaupun susuk ini cuba untuk membela pihak kerajaan, malah secara terbuka Khairy menghina SW1M dengan mengatakan NGO tersebut tidak dikenali dan tidak mewakili kerajaan. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah juga memberikan respon negetif yang mengundang jenaka apabila cuba menjauhkan diri dari entiti bernama SW1M, termasuklah yang bernama Sharifah Zohra. Mungkin forum malam ini boleh menjadi medan untuk menyentap keegoan mereka yang prejudis, itupun jika peluang direbut baik oleh Sharifah Zohra. Mungkin malam ini maruah SW1M boleh ditebus semahunya kerana malam ini, satu Malaysia akan dengar dan 'listen'.
Akhir sekali perlu ditegaskan bahawa, walaupun tanpa kehadiran Sharifah Zohra forum akan tetap berlangsung dan SAMM Kebangsaan yakin forum tetap dimeriahkan oleh panelis yang membuktikan keberanian itu demi kebenaran khususnya buat KS Bawani dan juga seorang penterjemah undang-undang yang juga berani menongkah arus iaitu Prof Dr Aziz Bari. Kepada Sharifah Zohra SAMM Kebangsaan mengucapkan selamat maju jaya, semoga mampu menerajui SW1M dengan baik dan tidak punya masalah seperti burung yang kakinya terikat.
SAMM Kebangsaan juga menjemput semua pihak termasuk pengamal media untuk terus hadir malam ini ke Dewan Cina KLSCAH tanpa prejudis terhadap kehadiran Sharifah Zohra Jabeen.
Sekian,
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM
twitter: @edyesdotcom @SAMMalaysia
email: samm4anakmuda@gmail.com
Friday, January 18, 2013
Pengakuan Tun Mahathir: Akhirnya Terbukti Umno Jual Negara Demi Kuasa!
Kenyataan Umum
18 Januari 2013
Penghinaan Tun Mahathir terhadap bekas Perdana Menteri yang Umno sendiri gelar sebagai Bapa Kemerdekaan dilihat agak keterlaluan. Kekalutan Tun Mahathir cuba membela diri dengan mensabitkan seseorang yang sudah mati, yang sudah tentu tidak mampu menjawab tuduhan bagi membela diri adalah sangat tidak 'gentleman'. Tidak cukupkah penghinaan yang Tun Mahathir lakukan kepada Tunku Abdul Rahman ketika beliau masih hidup?
Ayuh anak muda bersama SAMM, bangkit dan lawan !
EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda SAMM
www.anakmudamalaysia.com
twitter: @edyesdotcom
Thursday, January 17, 2013
Menteri Dalam Negeri Lupa “Berjalan Demi Demokrasi” Itu Menuju Stadium Merdeka!
Kenyataan Terbuka
16 Januari 2013
Menteri Dalam Negeri Lupa “Berjalan Demi Demokrasi” Itu Menuju Stadium Merdeka!
Kenyataan Menteri Dalam Negeri baru-baru ini mendakwa huru-hara yang berlaku ketika perhimpunan Bersih 3.0 tahun lalu kononnya kerana pihak penganjur enggan menerima tawaran kerajaan supaya himpunan dilangsungkan di stadium adalah satu kenyataan dangkal dan sangat tidak cerdik.
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menepis dakwaan Dato Seri Hishamuddin yang sememangnya telah lupa sejarah perhimpunan aman yang telah dihuru-harakan sendiri oleh pihak polis melalui Kementerian Dalam Negeri. DS Hishamuddin juga telah lupa bagaimana permintaan penganjur untuk menggunakan Stadium Merdeka ketika bersih 2.0 tidak dilayan.
Mengimbas kembali tanggal 9 Julai 2011, lebih seratus ribu rakyat menuju ke Stadium Merdeka dengan motto “Berjalan Demi Demokrasi” atau “Walk For Democracy” telah dihalang daripada masuk ke Stadium Merdeka dengan rintangan kawat berduri dan seterusnya rakyat diserang dengan pancuran ‘watercanon’ beserta ribuan tembakkan gas pemedih mata. Ketika itu, huru-hara mula berlaku apabila pihak polis cuba halang rakyat dari masuk ke perkarangan Stadium Merdeka. Di manakah Hishamuddin ketika itu? Begitu mudah Hishammuddin melupakan peristiwa Bersih 2.0 yang turut membabitkan kehilangan nyawa?
Ini jelas bermakna penganjur terdahulu telah memilih Stadium Merdeka tetapi tidak diberi laluan oleh kerajaan mahupun KDN. Hishamuddin jangan berdolak-dalik melepaskan diri dan mencuci tangan di sebalik pertempuran rakyat dengan penguasa zalim ketika Bersih 2.0.
Begitu juga dengan insiden yang berlaku pada tanggal 28 April 2012 Bersih 3.0 – Duduk dan Bantah. Perhimpunan dengan kekuatan 250 ribu rakyat berlangsung aman telah bertukar menjadi huru-hara selepas pihak polis merusuh dan membelasah peserta perhimpunan aman tanpa belas kasihan. Tindakkan kerajaan dan KDN tidak membenarkan penggunaan Dataran Merdeka ketika itu menjadi punca berlakunya perkara yang tidak diingini sedangkan jika diberi kebenaran sudah pasti perhimpunan rakyat akan berlaku dengan aman sebagaimana berlangsungnya Hari Kebangkitan Rakyat (HKR) KL112 di Stadium Merdeka Sabtu lalu.
Justeru SAMM ingin menegaskan bahawasanya, sekiranya pihak kerajaan dan KDN membenarkan penggunaan Stadium Merdeka mahupun Dataran Merdeka dalam himpunan-himpunan yang lalu, maka kejadian rusuhan dan huru-hara pasti dapat dielakkan.
Penganjur HKR telah membuktikan himpunan KL112 dapat berlangsung dengan aman tanpa kekacauan dari pihak polis. Peniaga juga mengecapi keuntungan luar biasa, begitu juga dengan pengusaha hotel dan konsortium pengangkutan awam. Tanpa trak FRU, penganjur mampu mengawal 500 ribu rakyat dan juga mampu bersurai dengan baik tanpa sebarang insiden.
Kejayaan HKR KL112 adalah kejayaan rakyat yang bersatu membawa sepanduk tuntutan yang tidak diendahkan kerajaan, janganlah pula menteri KDN dan kerajaan pemerintah cuba merampas kredit kejayaan ini sewenangnya. SAMM juga mendesak Kerajaan dan Menteri KDN harus mohon maaf kepada rakyat di atas kejadian huru-hara yang berlaku dalam perhimpunan terdahulu.
Rakyat kini sudah celik dengan satu persoalan, bagaimana secara tiba-tiba kerajaan pemerintah memberi kebenaran menggunakan Stadium Merdeka? Jawapannya ialah, kerajaan hari ini sudah panik dan terpaksa akur dengan kebangkitan rakyat maka ini satu simbol kemenangan buat rakyat dan pastinya ia akan diterjemah secara positif dalam PRU ke 13.
Akhir sekali, DS Hishammuddin turut menyebut kehadiran 500 ribu rakyat yang berlangsung 12 Januari 2013 itu kononnya adalah sebahagian minoriti rakyat dan bukan suara majoriti rakyat. Persoalan di sini ialah, mampukah kerajaan Umno mengumpul walau seribu orang hadir tanpa bayaran, tanpa artis kpop, tanpa beras sekampit, tanpa t-shirt dan topi percuma? SAMM percaya, Hishammuddin atau mana-mana pemimpin Umno/BN tidak mampu mengumpul walaupun seratus orang tanpa ‘door gift’ seperti yang disebut.
Jumlah 500 ribu rakyat yang berhimpun adalah lambang penyatuan rakyat dan pastinya jutaan lagi di luar sana sedia untuk keluar ke jalanraya menuju ke mana pun sasarannya pada masa akan datang, khususnya jika kerajaan menipu dalam pilihanraya yang menjelang. Amaran rakyat: Tipu PRU, rakyat akan bangkit humban kamu!!
Sekian
EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda SAMM
@SAMMalaysia
Thursday, January 10, 2013
Monday, January 7, 2013
Friday, January 4, 2013
Kematian Azrul: Sebuah Noktah Déjà vu [Wajib Baca!!]
4 Januari 2013
Kematian Azrul: Sebuah Noktah Déjà vu
Peristiwa kematian seorang remaja Mohd Azrul Zulkifli yang maut selepas motosikal yang dipandunya didakwa ditendang seorang anggota polis merupakan satu lagi detik hitam yang mencerminkan keganasan penguasa di dalam negara ini. Pihak polis tidak akan mengaku bersalah di atas motto ‘polis sentiasa betul’ yang diamalkan sejak sekian lama. Apa lagi yang boleh diharapkan, Mohd Azrul Zulkifli telah pun meninggal dunia dan polis yang bertanggungjawab akan akhirnya dilepaskan dari kandang pesalah. Ini hakikat dari pengalaman rakyat.
Kejadian yang berlaku ini adalah episod sekual dari insiden malang yang menimpa arwah Aminulrasyid suatu ketika tidak lama dulu. Hanya yang berbeza ialah tiada sebarang tembakkan dilepaskan oleh pihak polis berbanding 21 das tembakkan yang dilepaskan ke arah kereta yang dipandu Aminulrasyid, namun fundementalnya – kasualiti nyawa tetap berlaku. Ia melambangkan kegagalan demi kegagalan pihak polis dalam menjaga keselamatan awam, dan ia menjadi lebih gagal apabila pihak polis langsung tidak mengakui kesilapan apatah lagi untuk pihak polis secara rasminya mengungkapkan permaafan.
Dari sudut moraliti pula, kejahatan pihak polis lebih terserlah apabila berlaku cubaan untuk ‘melepaskan diri’ dengan menuduh si mati sebagai penjenayah sedangkan siasatan belum lagi dijalankan. Sudahlah mangsa mati dibunuh, dituduh pula penjenayah pra-perbicaraan. Kebiadapan tahap apa lagi yang boleh ditakrif untuk diterima akal? Apakah polis sendiri tidak faham polisi perundangan?
Mengimbau kembali peristiwa yang berlaku di Shah Alam tidak lama dulu, sebilah parang secara tiba-tiba ditemui dalam kenderaan yang dinaiki oleh arwah Aminulrasyid dan sahabatnya sedangkan parang tersebut sengaja diada-adakan atau dalam erti kata lain – suatu fabrikasi. Juga dilaporkan kononnya kenderaan yang dipandu arwah Aminulrasyid dipandu secara ‘gostan’ setelah terbabas maka tembakkan dilepaskan oleh anggota polis, tetapi kiraan logik tidak mampu disangkal – bagaimana kenderaan itu mahu di‘gostan’ jika ketika itu pemandunya hanya tinggal jasad tidak lagi bernyawa?
Dalam masa yang sama, media perdana juga turut bersekongkol menjual persepsi kepada umum apabila saban minggu berita kenakalan remaja yang ekstrem dilagukan dalam berita pada ‘musim’ insiden Aminulrasyid. Pelik tetapi tidak benar, minggu yang sama banyak berita kejadian pecah gudang, pecah rumah dan rompakkan cybercafe dikenalpasti dilakukan oleh remaja bawah umur. Semuanya disusun rapi demi menafikan kebenaran.
Setelah perbicaraan Aminulrasyid berlangsung, anggota polis yang melepaskan 21 das tembakkan itu didapati bersalah dalam menjalankan tugas dan telah dijatuhi hukuman hanya 5 tahun penjara oleh mahkamah seksyen Shah Alam. Walaupun dirasakan tidak setimpal mengambil kira dari kehilangan sebuah nyawa namun cukuplah untuk memberi pedoman kepada anggota polis yang lain agar lebih berhati-hati, tidak lalai dalam menjalankan tanggungjawab melindungi orang awam.
Namun demikian, panas yang diharap sampai ke petang, hujan pula di tengahari. Setelah melalui pelbagai proses perundangan termasuklah rayuan di peringkat mahkamah tinggi akhirnya Hakim Abdul Rahman Sebli membatalkan hukuman lima tahun penjara terhadap anggota polis tersebut lantas memintas keputusan Mahkamah Seksyen Shah Alam September lalu. Maka analisis mudah di sini ialah – Pihak polis telah menjalankan tugas dengan baik melindungi orang awam dengan tembakkan 21 das dan Aminulrasyid tetap bersalah walaupun dibunuh hanya kerana tidak mempunyai lesen memandu ketika memandu.
Apakah dengan keputusan mahkamah tinggi ini memberi kebenaran untuk lebih ramai pihak polis mengundang kecelakaan ke atas orang awam? Apakah telah hadir kurnia ‘a licence to kill’ atau ‘fire at will’ ?
Selepas keputusan mahkamah tinggi membebaskan anggota polis yang membunuh Aminulrasyid, ia menjadi sebuah menifestasi kepada anggota polis lain untuk bertindak sesuka hati seperti menendang penunggang motorsikal yang sedang meluncur laju hingga menyebabkan kematian. Ia umpama memberi ‘lesen’ kepada anggota polis untuk membunuh dengan jaminan kelak akan dilepaskan tanpa bersalah.
Inilah yang berlaku terhadap arwah Mohd Azrul Zulkifli, seorang lagi anak bangsa yang mati ditangan pihak berkuasa. Seperti juga arwah Aminulrasyid yang tidak mendapat pembelaan dan keadilan sewajarnya, apalah yang boleh diharapkan lagi? Apakah keluarga Mohd Azrul akan bertempur turun-naik mahkamah dan akhirnya Mohd Azrul juga akan senasib Aminulrasyid tidak mendapat pembelaan dan keadilan? Sedarlah, apa yang berlaku terhadap arwah Mohd Azrul sangat malang apabila ia membabitkan institusi polis dan ingatlah juga bahawa mana-mana rakyat juga tidak terlepas dari kemungkinan berhadapan dengan situasi genting sebegini.
Setakuk demi setakuk, rakyat mula faham erti kata sebenar menuntut keadilan dalam sebuah negara polis. Sesudah mendiang Kugan yang mati di lokap, seterusnya mendiang Teoh Beng Hock dan arwah Sarbini yang mati dalam custody SPRM, seterusnya arwah Baharuddin Ahmad yang terkorban dalam Bersih 2.0, seterusnya arwah Aminulrasyid yang ditembak mati bagaikan pengganas, dan pasti bukan yang terakhir ialah arwah Mohd Azrul Zulkifli yang mati di kaki polis. Takuk-takuk ini adalah takuk kesedaran betapa tidak relevan lagi untuk terus membazir dan membuang masa untuk mengiringi bait-bait perbicaraan.
Justeru itu, adalah disarankan agar keluarga Mohd Azrul tidak membuang masa, tidak membazir uwang dan kuderat untuk menuntut keadilan di pentas milik ‘mereka’. Janganlah lagi diharapkan keadilan itu hadir bergolek-golek ke depan mata. Masanya kini bukan lagi untuk menanti kekecewaan, kita tidak kecewa kerana ini memang hakikatnya. Masanya kini untuk bangkit dan melawan, ini zaman melawan dan rakyat akan bersama dengan anda dalam pertembungan ini, yang juga diiktiraf sebagai perlawanan rakyat menentang penguasa zalim!
Usah toleh ke belakang, teruslah mara ke depan untuk melawan! Rakyat yang berjuta ini ramai yang kian memahami betapa mereka juga bakal senasib dengan anda kerna saban hari kesedaran itu sudah melekat di jiwa dan menanti masa untuk diekspresikan.
Usah lagi membuang masa, ayuh kita menyusun massa. Yakin dan percayalah, rakyat akan bersatu melawan kezaliman ini! Tanggal 12 Januari 2013 menjadi medan paling ideal, KL112 menjadi kod terpenting dalam sejarah penyatuan rakyat. 12 Januari 2013 Hari Kebangkitan 1 juta Rakyat akan turun membanjiri Kuala Lumpur.
Demi semua nama arwah dan mendiang yang disebut di atas, juga demi pemilik nasib malang yang tidak direkodkan, kematian kamu semua tidak akan menjadi sia-sia. Rakyat akan bersatu menggembeling kekuatan demi mengembalikan maruah dan keadilan. Ayuh semua kita noktahkan Déjà vu ini.
Kepada anggota polis dan pihak berkuasa, kepada SPR dan SPRM, kepada semua aparat pemerintah, kepada semua baharua regim, kami tidak kecewa kerana kami yakin tiada lagi yang boleh diharapkan dari kalian. noktah!
Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda SAMM
Subscribe to:
Posts (Atom)