Wednesday, June 6, 2012

Parti Politik Perlu Peka Terhadap Kemaslahatan Moraliti Masyarakat



Kenyataan Terbuka
6 Jun 2012

Parti Politik Perlu Peka Terhadap Kemaslahatan Moraliti Masyarakat

Dalam Himpunan Jutaan Belia Negara yang lepas, Penganjur telah dikritik hebat ekoran adanya konsert K-Pop yang jelas menyinggung sensitiviti beberapa pihak dengan etika pakaian yang terlalu menjolok mata. SAMM Johor sememangnya memandang berat isu hiburan keterlaluan dan melalaikan ini menjadi hidangan minda kepada masyarakat Malaysia khasnya anak muda. SAMM Johor telah menyatakan kekesalan kami di atas penganjuran konsert tersebut melalui laman microblogging Twitter kami.

Satu lagi klip video tarian menjolok mata dalam satu majlis jamuan telah tersebar dalam media sosial, Facebook. SAMM Johor menyelar tindakan tarian separuh bogel yang berlaku dalam majlis jamuan yang dianjurkan di Kepala Batas tersebut. SAMM Johor mohon supaya pihak penganjur yang bertanggungjawab dalam program tersebut untuk tampil memohon maaf pada semua masyarakat dengan menunjukkan kredibiliti secara berhemah dalam menyambut teguran orang ramai dalam laman sosial. Justeru,permohonan maaf tersebut dapat menunjukkan kematangan kepada rakyat.

SAMM Johor amatlah berharap agar semua pihak termasuk Parti-Parti Politik tidak kira sama ada Regim Pemerintah atau Pembangkang perlulah lebih peka terhadap kemaslahatan moraliti anak muda negara. Janganlah dirosakkan minda mereka dengan santapan jiwa yang merosakkan dan melalaikan. Adakah kita terus ingin anak muda Negara ini terbiar dalam kebejatan sosial? Dimanakah tanggungjawab sosial parti-parti politik dalam menjaga aspek sosial anak muda? Jangan perjudikan anak muda dengan aktiviti-aktiviti sebegini demi untuk meraih sokongan. Hadapilah permainan politik dengan nilai-nilai murni bukan politik murahan & melalaikan. Kembalikanlah politik bermaruah dan politik kejujuran dalam Negara.

SAMM Johor tidak menolak aspek hiburan kerana ia merupakan keinginan anak muda namun ia harus difahami hiburan itu perlulah yang mendidik bukan lebih menggalakkan ke arah gejala sosial dan merosakkan minda anak muda Negara sebagai pewaris masa depan negara. Cukuplah dengan kebejatan sosial yang sedang dialami sekarang ini.

SAMM Johor juga menyeru setiap rakyat tanpa mengira aspirasi politik untuk bangkit menegur pihak-pihak yang alpa dan khilaf tidak kira Regim Pemerintah atau Pembangkang. Inilah nilai politik baru yang perlu diamalkan. Kuasa Rakyat, Hak Rakyat untuk memberikan peringatan kepada semua yang berada di koridor kuasa agar apabila mereka memegang tampuk kuasa mereka akan lebih peka terhadap aspirasi rakyat bukannya bertindak sewenang-wenangnya. Rakyat menanti kelahiran Malaysia Baru.

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras Negeri
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor

No comments: