Showing posts with label Bola. Show all posts
Showing posts with label Bola. Show all posts

Tuesday, November 29, 2011

Jangan Lupa Jasa Skuad B-23 Harimau Muda !





KENYATAAN UMUM
SOLIDARITI ANAK MUDA MALAYSIA (SAMM)
28 NOV 2011


Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang menimpa pasukan bawah-23 kebangsaan yang tewas secara 'terkejut' kepada pasukan bawah-23 Bahrain walaupun pasukan negara mendahului dua gol sehingga minit ke-79.

Mendahului pada minit ke-30 dengan satu jaringan yang menakjubkan oleh pemain termuda atas padang, Faiz Nazmi, dan pasukan Harimau Muda menambah satu lagi gol pada minit ke-67 oleh jaringan Mahali Jasuli setelah Bahrain bermain hanya dengan 10 pemain, tidak mampu menterjemahkah sebarang mata. Akhirnya harapan untuk ke Olimpik 2012 hanya tinggal kenangan.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengambil pendekatan akan tetap bersama pasukan Harimau Muda, ingin mengingatkan semua bahawa rata-rata pemain dari pasukan Harimau Muda ini sangat berjasa kepada negara apabila bukan sahaja menamatkan kemarau pingat emas sukan SEA dua tahun lalu dan mempertahankannya dalam edisi sukan SEA kali ini. Pasukan Harimau Muda juga sebahagiannya terlibat dalam menjulang Piala AFF Suzuki yang menobatkan pasukan kebangsaan sebagai Juara Asia Tenggara.

Pasukan yang sama juga mengembalikan maruah seluruh kontigen sukan SEA negara setelah dihina dan dicerca oleh tuan rumah Indonesia di sepanjang temasya berlangsung, akhirnya anak-anak harimau ini jugalah yang mempalit duka ke atas ratusan juta rakyat Indonesia. Bukanlah kita nak bergaduh dengan kem Indonesia yang kuat provokasinya terhadap kem negara, tetapi menumbangkan garuda pada final sukan SEA adalah begitu bermakna selain kepuasan menyentap ego mereka.

Pasukan bawah-23 negara adalah pasukan kebanggaan kita yang tidak harus dipersalahkan hanya kerana 5 minit terleka. Barangkali kita lupa sebelum masuk ke padang, pasukan Bahrain sebenarnya bukan pasukan setara mengikut ranking dunia. Kedudukkan pasukan kebangsaan adalah lebih 50 anak tangga di belakang pasukan Bahrain. Oleh demikian, apakah kita terlalu kejam menghukum apabila tewas 2-3 kepada Bahrain sedangkan tiada harapan yang menggunung diletakkan dalam perlawanan tersebut?

Walaupun kita kecewa, namun bagi SAMM kita harus bersama ketika susah dan senang. Itulah resam dalam memberi sokongan membina, bukan mengkritik semata-mata hingga membawa rebah. Janganlah hanya menyanjung tinggi ketika menang tetapi bila kalah terus buat pelbagai spekulasi.

Sikap sesetengah pihak termasuklah blogger yang penyokong kerajaan dan juga akhbar Kosmo yang menghina pasukan kebangsaan setelah kekalahan kepada Bahrain adalah sangat tidak wajar. Blogger Umno tersebut telah menyentuh peribadi salah seorang pemain kebangsaan manakala akhbar kosmo dalam tajuk utama sukan hari ini mengatakan "Harimau Malaya memalukan negara". Apakah sumbangan blogger dan juga penulis akhbar Kosmo ini kepada sukan tanahair sehingga tergamak berkata demikian? Pasukan Harimau Muda Layak ke peringkat kumpulan kelayakkan sukan Olimpik juga sebenarnya telah membuktikan pasukan ini adalah produk terbaik negara.

SAMM melihat pasukan Harimau Muda ini harus diberi ruang untuk menganalisi apa yang terjadi malam itu dan menjadikannya iktibar buat mana-mana peringkat pasukan yang mewakili negara. Pasukan Harimau Muda ini juga harus diberi pendedahan lebih meluas terutamanya dari aspek pertahanan mental dan masih belum terlambat skuad bawah 23 ini terus digilap.

Sebagai penggerak anak muda, SAMM hadir sebagai platform anak muda untuk berani bersuara, bukan hadir ke dalam kelompok sukan ini untuk berpolitik semata-mata. SAMM membawa resam anak muda yang mempertahankan hak serta kebenaran. Memandangkan sukan adalah bidang utama untuk anak muda, SAMM menyahut cabaran anak muda untuk bersama dalam pelbagai program termasuklah dalam memberi sokongan terhadap pasukan Harimau Muda. Ia merangkumi sebarang usahasama dengan NGO anak muda lain seperti Ultras Malaya, demi sukan negara.

Semoga skuad bawah-23 Harimau Muda negara mempamir aksi cemerlang dalam temasya atau perlawanan akan datang. SAMM tetap memberikan sokongan walau apajua keputusannya asalkan pasukan kebangsaan menunjukkan semangat dan juga permainan menarik seperti ketika mendahului 2 gol terhadap Bahrain.


Yaser Sheikh Abdul Rahman
Penyelaras SAMM segmentasi Anak Muda
www.anakmudamalaysia.com

Tuesday, November 22, 2011

Ayuh Bersama SAMM Esok ke Bukit Jalil Untuk Pertemuan M'sia-Syria Pula !!



Simbolik - Garuda dikejar Harimau Muda !

SAMM bersama Ultras Malaya menyokong Harimau Malaya dari Seksyen 7 Shah Alam
SAMM dan Ultras Malaya meraikan kejayaan pasukan kebangsaan. Turut bersama pemenang cabutan bertuah.
Videoklip akan dimuat-naik dalam sedikit masa


KENYATAAN UMUM
Solidariti Anak Muda Malaysia(SAMM)
22 November 2011


Tahniah buat pasukan Harimau Muda!!

120 minit yang amat mendebarkan semua pengunjung Restoran Al-Hakim Seksyen 7 Shah Alam, di mana Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) , mahasiswa SMM dan kumpulan Ultras Malaya berhimpun menonton perlawanan Akhir acara bolasepak sukan SEA ke-26.

Walaupun telah berhempas-pulas memenangi pingat emas sukan SEA, namun ia bukan suatu pelepasan cuti buat skuad bawah-23 kebangsaan. Pasukan Harimau Muda yang sama ini juga, yang telah menumbangkan ego tuan rumah sukan SEA iaitu Indonesia pada malam tadi, akan bertemu Syria pula dalam kelayakkan Sukan Olimpik pada malam esok!!

Komrad SAMM mengucapkan syabas kepada pasukan Malaysia kerana berjaya mempertahankan ibu segala pingat dalam sukan SEA iaitu emas dalam acara bolasepak. Kejayaan itu tidak datang dengan mudah tetapi dengan hanya semangat juang yang tinggi dan faktor pertahan maruah juga merupakan peranan penting merebut kejuaraan.

Edisi sukan SEA dua tahun lalu, pasukan Harimau menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas. Kejayaan kali ini dilihat oleh SAMM sebagai lebih manis apabila kita bukan sahaja pertahankan pingat emas tersebut, tetapi menumpaskan Indonesia pada 'saat Malaysia dicerca sepanjang temasya' adalah suatu yang amat bersignifikasi.

Bagi SAMM, tahap persembahan dalam perlawanan malam tadi tidak lagi menjadi ukuran. Menjengah ke perlawanan akhir sukan SEA acara bolasepak sudah membuktikan betapa pasukan negara bukanlah calang-calang pasukan. Malaysia dan bolasepak tidak lagi dikaitkan dengan pasukan belasahan, Malaysia dan bolasepak juga tidak lagi kenali sebagai jaguh kampung.

Adalah menjadi kebanggaan apabila malam tadi Malaysia muncul juara acara bolasepak sukan SEA untuk dua tahun berturut-turut. Harapan anak muda SAMM agar pasukan pelapis Harimau Muda berjaya mendapatkan hatrik dalam mempertahan pingat emas di temasha sukan akan datang yang dijangka jatuh pada 2013.

Garuda sudah dibaham harimau, tetapi halangan berikutnya tidak jauh di depan. Untuk perlawanan menentang Syria malam esok (23 November), komrad SAMM juga akan turun ke Stadium Bukit Jalil beramai-ramai untuk memberi sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya. SAMM juga menyeru kepada semua anak muda untuk hadir ke stadium sebagai bukti menjunjung semangat kecintaan terhadap tanahair.

Dalam aktiviti anjuran SAMM kebangsaan kali ini, che'GuBard ketua penyelaras SAMM juga akan turut bersama ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memberi sokongan kepada pasukan negara. 

Perlawanan menentang Syria adalah satu tugas berat buat skuad negara, namun dengan 'gelora' Bukit Jalil yang penuh ia pasti menjadi suatu kelebihan buat sang harimau muda.

Semoga malam esok Harimau Malaya berjaya kekalkan rentak sang juara! Bertemu Syria dalam kondisi kepenatan mengharungi jadual perlawanan yang padat sukan SEA, adalah suatu yang amat mencabar. Persetankan rasa penat itu, kami anak muda SAMM di belakang Harimau Malaya!!


Edy Noor Reduan (EDYES)
Pengarah Propaganda SAMM
www.anakmudamalaysia.com


Maklumat mengenai perlawanan malam esok;
Tiket-tiket untuk menyaksikan perlawanan kedua pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 antara skuad Olimpik kebangsaan menentang Syria telah ditetapkan pada harga RM40 bagi tempat duduk utama dan RM20 bagi tempat duduk terbuka.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, tiket-tiket tersebut boleh dibeli di Stadium Shah Alam, Selangor dan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 dan 23 Nov ini bermula pukul 9 pagi hingga 7 malam.
“Tiket-tiket juga boleh dibeli pada hari perlawanan (23 Nov) bermula pukul 9 pagi sehingga 3 petang di Stadium Shah Alam dan dari pukul 9 pagi sehingga waktu rehat perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil,” kata FAM.
Tiket-tiket berkenaan juga boleh dibeli secara on-line di www.tickethotline.com.my.

Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Nov ini bermula pukul 8.45 malam. Skuad Olimpik kebangsaan tumpas 0-2 kepada Jepun di Stadium Tosu, Fukuoka pada perlawanan pertama, 21 Sept lepas.