Wednesday, August 21, 2013

Fiasco Pembatalan Lesen 1.7Juta Pemandu: Siapa Hero Seterusnya?

Kenyataan Umum
21 Ogos 2013

Fiasco Pembatalan Lesen 1.7Juta Pemandu: Siapa Hero Seterusnya?

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memberi amaran kepada pihak berkuasa supaya tidak sesekali menduga kemarahan rakyat apabila seringkali menghadirkan cadangan yang tidak berperi-kemanusiaan.

Pengumuman Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebentar tadi bahawa seramai 1.7 juta pemandu yang disenarai hitam oleh polis trafik supaya dibatalkan lesen memandu jika enggan bayar baki tertunggak saman lalu lintas, adalah keterlaluan dan umpama hilang kewarasan.

Cadangan 'jahat' ini dilihat lebih menjengkelkan dengan alasan kononnya tidak berpuas hati dengan keputusan statistik kemalangan Ops Selamat ketika Aidilfitri lalu. Apakah kaitan antara tidak bayar saman dengan peningkatan jumlah kemalangan?

Jika KPN tidak berpuas hati dengan statistik kemalangan, sila buat kajian lebih terperinci punca kemalangan berlaku, sudah pasti bukan kerana pemandu tidak membayar saman. Namun pemikiran yang mungkin dipengaruhi oleh kedudukan kantung kewangan kerajaan maka lahirlah idea yang menafikan hak untuk rakyat memandu.

Apalah nasib rakyat Malaysia, dari menteri sampai ke polis, semuanya seolah berniat untuk menganiaya rakyat. Rakyat yang tersepit dengan kesempitan hidup tidak mampu untuk membayar saman, akhirnya dihukum lagi dengan pembatalan lesen memandu sekaligus bagaikan menghalang seorang ayah menghantar anak ke sekolah.


Jika semalam dapat disaksikan cadangan peminjam PTPTN disenarai dalam CCRIS dan Menteri Belia dan Sukan mendapat nama hasil dari kemelut ciptaan sendiri, kali ini menteri mana pula yang bakal menjuarai isu kononnya membela nasib pemandu yang punya saman ini?

Cukuplah bersandiwara, rakyat bukan bahan eksperimen untuk dicucuk-cucuk dengan cadangan yang menguji kesabaran. SAMM mendesak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang cadangan, kaji sebelum diumumkan.

SAMM berjanji jika cadangan ini dilaksanakan, SAMM akan menggerak mobilisasi besar mengajak semua pemandu yang mempunyai saman supaya mempertahankan hak untuk 'hidup' di tanahair ini.

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia

1 comment:

Anonymous said...

Memang ramai kaki bodek nak tunjuk hero! Dan memang kaki bodek bersifat pentingkan diri sendiri.