4 Julai 2013
RAPAT SAMM (PENGURUSAN) KEBANGSAAN 02/2013 : PASCA PRU13 - MENDEPANI MASSA
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan mengadakan sebuah Rapat Kebangsaan peringkat pengurusan SAMM pada 5hb-7hb Julai 2013 bertempat di Ampang Pecah Training Centre, Kuala Kubu Baharu.
Rapat Kebangsaan yang akan bermula esok merupakan retreat kedua untuk tahun 2013 selepas yang pertama di Melaka pada Februari lalu. Ini juga retreat tergempar setelah SAMM melalui fasa genting pasca 5 Mei yang membawa kepada penglibatan penuh SAMM dalam aksi Black505, Himpunan KL622 dan juga aksi bersejarah di depan parlimen pada 24 Jun lalu.
Rapat SAMM Kebangsaan kali ini dianjurkan sendiri oleh SAMM Pusat, bakal menerima kunjungan delegasi dari SAMM seluruh negara namun dalam skala kecil atas jemputan dari SAMM Kebangsaan. Secara jujur, pentingnya pertemuan kali ini bagi meletakkan halatuju perjuangan SAMM ke jalan yang lebih dinamik, kembali ke landasan yang lebih tepat dan kena dengan aspirasi anak muda.
Beberapa tokoh dari pelbagai latarbelakang juga telah dijemput untuk menjayakan retreat SAMM antaranya termasuklah tokoh mahasiswa, dari pengamal media dan juga tokoh dari arena politik tanahair. Tokoh-tokoh jemputan ini juga akan memberikan pandangan umum terhadap SAMM selain turut sama dalam perbincangan dan penyusunan gerakan.
Retreat SAMM ini juga bakal menyaksikan persediaan penuh SAMM dalam menghadapi pertembungan untuk memastikan demokrasi yang digelapkan pada 5 Mei lalu dituntut dan kemenangan rakyat dikembalikan. Penipuan besar SPR pada PRU13 tidak harus dibiarkan maka di sinilah SAMM menyusun kekuatan dan strategi bagi meruntuh tembok SPR dari terus menjadi dalang dan aparat pemerintah.
Turut dalam perkiraan;
SAMM perlu bukan sahaja dilihat kuat sebagai peneraju anak muda, tetapi SAMM perlu menjadi sandaran terpenting bagi anak muda meletakkan harapan dalam menyelamatkan negara ini. Rapat kebangsaan ini terpanggil bagi meletakkan SAMM ke landasan paling tepat dan perkiraan ini adalah terhasil dari resolusi terbaru oleh kelompok terbaik komrad SAMM.
Maka SAMM sekali lagi berganding kebijaksanaan, walau di mana pun lahirnya komrad SAMM samada di sekolah politik atau di jalanraya, SAMM tetap akan mara dan mata rantai perjuangan diteruskan.
Semoga gerakan anak muda SAMM terus ditunjukkan kekuatan, kepantasan dan keberanian utuh demi menggegar tanahair menyelamatkan ibu pertiwi dari terus dijarah oleh pemerintah legasi penjajah.
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
No comments:
Post a Comment