Monday, June 17, 2013

Peserta 'Flashmob' Diberkas: Ini Satu Kegilaan!

Kenyataan Media
17 Jun 2013

Peserta 'Flashmob' Diberkas: Ini Satu Kegilaan!

Diberkas oleh tiga orang anggota polis, digari dan berada dalam tahanan polis selama hampir lapan jam di Balai Dang Wangi tidak mungkin akan mematahkan semangat 15 peserta 'flashmob' yang diberkas pada hari Sabtu minggu lalu. Ia sama sekali tidak mungkin berjaya menakut-nakutkan anak muda untuk terus beraksi dalam banyak lagi siri 'flashmob' selepas ini menjelang himpunan 22 Jun 2013.

Kejadian pada 15 Jun lalu di depan pusat beli-belah Sogo menyaksikan hampir 50 anggota polis telah bertindak di luar dugaan apabila menangkap orang ramai yang tidak bersalah. Apakah pihak polis tersilap maklumat bahawa sebenarnya tiada himpunan dianjurkan pada hari tersebut? Jumlah anggota polis yang menghalang 'flashmob' ini jika ditugaskan menjaga keselamatan awam di seluruh pelusuk bandaraya K.Lumpur, pasti banyak kes jenayah sebenar dapat dikekang.

Jika ada perhimpunan sekalipun, ia bukan berlangsung di depan Sogo tetapi di Padang Merbuk Jalan Parlimen pada 22 Jun nanti. Di depan Sogo tempohari hanyalah sebuah aksi spontan yang dipanggil 'flashmob'. Polis jelas tidak memahami konsep 'flashmob' apabila cuba menggunakan Seksyen 9(1) yang menetapkan notis sepuluh hari untuk sebarang himpunan. Jika beri notis 10 hari, itu bukan 'flashmob'. Malah dalam akta yang sama, polis tiada peruntukkan untuk membuat tangkapan.

Jika diarahkan bersurai sekalipun, peserta 'flashmob' bertekad tidak akan meninggalkan kawasan tersebut kerana sangat jelas mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, tidak mengganggu orang awam, tidak mengganggu lalu lintas malah keadaan Jalan Tunku Abdul Rahman sememangnya sesak setiap hari Sabtu. 

'Flashmob' Sabtu lalu juga bertujuan mengolah persetujuan orang ramai bahawa pilihanraya 5 Mei dijalankan dengan penuh kecurangan. Ketika demokrasi digelapkan pada PRU-13 dan kemenangan rakyat dicuri, rakyat yang tidak bersetuju dan bersuara melalui aksi memegang 'kad manila' telah ditangkap - Inilah Malaysia.

Sikap panik kerajaan hingga menangkap peserta 'flashmob' dengan isyarat ugutan sebenarnya telah berjaya membangkit lebih banyak aksi 'flashmob' di seluruh negara. Sehari selepas tangkapan 'flashmob15', beberapa flashmob dilancarkan termasuk salah satunya di depan Queensbay Mall, P.Pinang. Hari ini juga satu 'flashmob' anak muda di Ipoh, esok di beberapa lokasi lagi termasuk di pekan Sg Besar, Selangor. 

Rabu ini, fasa kedua 'flashmob' seperti yang dijadualkan di Jalan Tun Perak akan tetap diteruskan bermula jam 5 petang, juga akan berlangsung di Bandar Melaka. Khamis pula di Flashmob K.Terengganu, Kemaman, Port Dickson dan pekan Pontian, semua bermula jam 5 petang. Lebih banyak lokasi 'flashmob' pada hari Jumaat iaitu sehari sebelum hari besar #KL622 - Hari Rakyat Lawan Penipuan SPR. Makluman penuh akan dikeluarkan berbentuk jadual dalam sedikit masa.

Anak muda resamnya, lebih kuat ditekan, lebih kuat bangkit melawan. Akhirnya dunia ini milik anak muda. Ayuh 'flashmob' seluruh negara, angkat manila kad anda yang kreatif, lakonkan aksi spontan. Menangkap peserta 'Flashmob' adalah satu kegilaan! 'flashmob' bukan jenayah! 


EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan