Tuesday, July 20, 2010

Mengapa Perlu 5 Tahun Tanpa Cukai ?

Salam Perjuangan,

Mengapa perlu 5 tahun tanpa cukai ? Hanya Datuk Husam punya jawapan.

Pada dasarnya saya tidak bersetuju dengan cadangan sepenggal tanpa cukai. Walaubagaimanapun, saya masih lagi tidak melihat dari aspek keseluruhan mengenai apakah yang dikatakan '5 tahun tanpa cukai' seorang pemimpin yang saya sanjung iaitu Datuk Husam Musa, maka saya tidak akan komen secara melulu.

Untuk meringankan beban rakyat, kita mempunyai banyak cara untuk memintas secara total dengan apa yang dilakukan oleh UMNO selama mereka memerintah. Pendidikan percuma dari tadika hingga ke universiti sebagai contoh, adalah antara manifesto kerajaan PR ketika PRU12, maka mantapkan lagi manifesto ini supaya ia benar-benar menjadi kenyataan.

Jika Kerajaan BN kerap mengamalkan pendekatan 'mengurangkan subsidi', kerajaan PR boleh mengatur untuk mengurangkan bayaran tol-tol di seantero Malaysia sekiranya menjadi kerajaan pemerintah, kerana tol lebuhraya adalah bebanan harian bagi mereka yang merentasi laluan 'ekpress' yang 'jammed' di setiap persimpangan kutipan tol.

Kerajaan PR boleh mengambil langkah yang lebih slowmotik dengan mengurangkan kutipan cukai lesen memandu dari RM30 setahun kepada RM30 untuk 3 tahun. Kerajaan PR juga boleh menenggelamkan beban rakyat apabila menawarkan ketelusan yang utuh dalam pemerintahan seraya segala ketirisan dan kebocoran yang selama ini berlaku, dapat dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk yang efektif.

Kerajaan PR mempunyai sepenggal untuk membuktikan mereka 10 kali ganda lebih baik daripada kerajaan yang ada sekarang, maka seharusnya lebih berhati-hati dalam mengatur langkah demi memenangi hati rakyat supaya kerajaan PR kekal ke penggal seterusnya. Jadikan kepincangan kerajaan PAS '99 sebagai pedoman.

Sekiranya yang penghapusan cukai dimaksudkan oleh Datuk Husam merujuk kepada cukai pendapatan, ingin saya jelaskan bahawa penghapusan jenis cukai pendapatan tidak banyak membantu orang yang berpendapatan rendah dan sederhana, ia hanya membantu golongan yang berpendapatan tinggi, high profile dan golongan yang kaya-raya di atas kekayaan tersendiri. Malah ia langsung tidak membantu dalam merapatkan jurang golongan miskin tegar, sederhana dan kaya.

Pendapatan tahunan di bawah RM 20ribu adalah bebas dari pembayaran cukai pendapatan, manakala pendapatan tahunan melebihi RM 20ribu pula akan di ambil kira faktor tanggungan seperti persekolahan anak-anak, tanggungan ibu-bapa dan tanggungan kepelbagaian perbelanjaan, membolehkan cukai pendapatan ini diberi pelepasan. Inilah pendapatan golongan rendah dan golongan sederhana yang merupakan golongan majoriti penduduk negara ini.

Oleh demikian, pelupusan cukai pendapatan secara keseluruhannya tidak membantu golongan yang sememangnya bebas dari membayar cukai pendapatan. Jadi mengapa perlu 5 tahun tanpa cukai ?

Sepertimana yang dimaksudkan pada permulaan entri ini, tiada spesifikasi oleh Datuk Husam berkenaan apa yang dimaksudkan '5 tahun tanpa cukai' sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Secara kasarnya, janganlah Datuk Husam mengemukakan cadangan yang serba berani ini hanya kerana ingin memancing undi, sedangkan mekanisma pembalikkan kewangan untuk kerajaan hasil dari pelupusan cukai itu tidak dibentangkan untuk dikongsi bersama. Saya percaya Datuk Husam sudah menghalusi cadangan ini sebelum diutarakan untuk difikirkan oleh umum.

Sekali lagi ingin saya tegaskan, bahawa saya tidak sekali-kali memandang rendah keupayaan Datuk Husam yang selama ini dianggap permata ekonomi negeri Kelantan. Untuk bertindak adil, Datuk Husam harus diberikan peluang. Mungkin Datuk Husam mempunyai kaedah yang tidak terjangkau dek akal mentaliti kapitalis, untuk melaksanakan agenda '5 tahun tanpa cukai' ini. Akan sampai juga masanya untuk Datuk Husam menerbitkan kepintaran ekonomi islam lantas mengembalikan era dinar islam !

Ayuh bersama kita pastikan kerajaan PR melakukan yang terbaik untuk rakyatnya, yang menyokong atau membangkang, selagi ia ditakrifkan sebagai rakyat.

2 comments:

Anonymous said...

Saya juga confius dgn cadangan si Husam ni, tapi bila pikir balik mungkin :-

-di gantikan dgn zakat yg tetap cara peratusan pembayaran nya dan wajib di bayar dan semua orang bayar.

-cukai korporat mungkin tidak berubah secara drastik.

-perubahan struktur ekonomi riba kepada ekonomi Islam sepenuh nya. Dimana keuntungan bukan matlamat tapi lebih kepada bantu - membantu.

-Rasuh zero, hasil nya kos turun mendadak.

-Duit rakyat yg di bawa lari keluar negeri dapat di ambil balik dan masuk dalam khazanah negara.

-Kisah Nabi Yusuf , 7 tahun ekonomi mengembang dan berbelanja secara berhimah dapat menyelamatkan negara selama 7 tahun kemarau dan ekonomi merudum.

-Sejarah pemerintahan Khalifah masa zaman kemuncak ekonomi, tiada penerima zakat, maksud nya rakyat dan negara mempunyai terlau banyak reserved fund.

-mungkin berlaku di Malaysia jika di takbir urus hasil negara dengan
amanah dan cekap, buat masa sekarang keadaan ini nampak tak logik tapi mungkin.....itu kut maksud Husam.

Edyes said...

Mengikut maklumat yg saya perolehi dari Pojie TPU, pelepasan cukai yg dimaksudkan oleh Datuk Husam ialah untuk golongan miskin dan sederhana. golongan kaya takkan dapat lari dari cukai.. hehe

saya suka pendapat saudara seperti di bawah...

-perubahan struktur ekonomi riba kepada ekonomi Islam sepenuh nya. Dimana keuntungan bukan matlamat tapi lebih kepada bantu - membantu.

sama-sama kita tolak kapitalis!