Wednesday, October 10, 2012

Rapat (Pengurusan) SAMM Kebangsaan 03/2012 , Sekinchan Selangor






Rapat (Pengurusan) SAMM Kebangsaan 03/2012 
5-6 Oktober 2012
Sekinchan, Selangor


Selepas Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, Rapat (Pengurusan) SAMM Kebangsaan memasuki pusingan ketiga bagi tahun 2012 dengan giliran Selangor menjadi tuan rumah. 



Bertempat di sebuah hotel yang cukup sederhana sekitar Sekinchan, kelompok utama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dari seluruh negara berhimpun untuk sesi retreat sepanjang hari menyusun dan memperkemas gerakan anak muda. Rapat yang diadakan seharian bermula jam 8.30 pagi dan berakhir jam 10.00 malam.


Di sini Rapat Kebangsaan Berlangsung - Hotel Paddy Village

Rapat kali ini turut disertai oleh dua kelompok besar keluarga baru SAMM. SAMM Muadzam Shah yang menyertai SAMM sekitar April tahun ini dan juga SAMM Parit Buntar yang baru sahaja dilancarkan dengan gemilang awal September yang lalu. Seramai 28 Pengarah, Penyelaras Kebangsaan dan Penyelaras negeri, serta seramai 58 delegasi yang mewakili setiap negeri dari seluruh pelusuk tanahair hadir dalam Rapat Kebangsaan Selangor.



Untuk rekod, Rapat Kebangsaan sebelum ini di Penanti, Pulau Pinang banyak mendatangkan hasil apabila SAMM di semua negeri bergerak hebat menganjur pelbagai program kemasyarakatan setempat mahupun program kebangsaan. Walaupun memasuki bulan Ramadhan ketika itu, seluruh negara digegar dengan nama SAMM di mana setiap SAMM negeri memainkan peranan menganjur pelbagai program. Kemuncaknya, SAMM dilihat sangat berjaya dalam penganjuran Sambutan Ambang Kemerdekaan Janji Demokrasi dan himpunan rakyat itu berlangsung tanpa sedikitpun penglibatan parti politik, ia adalah himpunan rakyat, ia juga himpunan anak muda dan SAMM sebahagian dari peneraju utama.

Antara kepimpinan utama
Rapat Kebangsaan di Selangor kali ini sesuai dengan cabaran anak muda menghadapi saat paling genting menentukan hala tuju negara. Tema kali ini berbunyi “Pecutan Akhir Anak Muda menjelang PRU ke 13″ dengan kesimpulan menumbangkan regim Barisan Nasional sebagai agenda utama selain penyusunan gerakan massa. Tidak dinafikan, hanya dengan menumbangkan regim ini sahaja mampu tanahair ini diselamatkan maka peranan SAMM menggerakkan massa ke arah reformasi dan revolusi ini menjadi perhitungan.


SAMM perlu bukan sahaja dilihat kuat sebagai peneraju anak muda, tetapi SAMM perlu menjadi sandaran terpenting bagi anak muda meletakkan harapan dalam menyelamatkan negara ini. Rapat Kebangsaan ini terpanggil bagi meletakkan SAMM ke landasan paling tepat dan perkiraan ini adalah terhasil dari resolusi-resolusi terbaru oleh kelompok terbaik komrade SAMM. 

Senario politik hari ini menyaksikan pertembungan besar bakal berlaku bagi meniti detik reformasi dan revolusi Malaysia baru. Percayalah samada regim yang zalim itu tumbang ataupun bertahan, revolusi tetap berlaku dan ia hanya dipisahkan oleh suatu detik iaitu pembubaran parlimen. Di sinilah perbincangan paling penting dan peranan SAMM ketika krisis memuncak ditentukan.

Sesak dan padat, cukup untuk SAMM
Berbalik kepada rapat kebangsaan, dimulakan dengan pembentangan program dan aktiviti setiap negeri di mana semua delegasi pengurusan berpeluang berkongsi modul dan mengaplikasikan di peringkat semua SAMM negeri. Pembentangan yang mengambil masa yang panjang saling berganti dengan slot jemputan yang telah diatur. Rapat kebangsaan kali ini begitu padat dengan kehadiran tiga tetamu jemputan yang diyakini mampu menjana idea yang memperkasa gerakan anak muda.

Tepat jam 10.30 pagi jemputan pertama Cik Faekah Husin hadir memberikan ucapkata seterusnya merasmikan Rapat SAMM Kebangsaan (03/2012) Selangor. Cik Faekah yang bertugas sebagai S/U Politik MB Selangor cukup berbangga dengan kehadiran anak muda SAMM seluruh negara ke negeri Selangor sambil menyifatkan Kerajaan Selangor mampu diselamatkan dari serangan Umno dengan modul "Jelajah Anak Muda Selangorku" yang dibentang oleh SAMM Selangor.  

Bertukar pandangan dan idea bersama Cik Faekah
Sebelum masuk waktu rehat tengahari, Prof Aziz Bari mengambil tempat untuk slot jemputan kedua. Perbincangan dua hala bersama Prof Aziz Bari lebih berkisar kepada hala-tuju negara dan nasib rakyat sekiranya BN terus memerintah negara. Juga turut dibincang persoalan pemimpin negara bermewah dalam aktiviti rasmi dan peribadi ketika kedudukan perbendaharaan negara menghampiri muflis.

Pembentangan Penyelaras Perlis dibantu slideshow
Pegawai Seranta SAMM memberi taklimat program "Santai RIDER Anak Muda"
Pembentangan berlangsung hingga ke awal malam sebelum resolusi terhasil

Rapat Kebangsaan diteruskan dengan pembentangan SAMM Negeri memasuki fasa kedua iaitu peringkat akhir melengkapkan kertas kerja dan penyusunan gerakan. Antara gerak kerja program yang disusun adalah termasuk Jelajah Nasional Skandal Scorpene : Dakwa 'Najib' Petualang Negara. Dengan usahasama SUARAM, jelajah ini penting bagi memberi pencerahan membuktikan kehilangan wang negara serta pengkhianatan terhadap tanahair ekoran penjualan rahsia negara.

Sudut delegasi Pahang/Terengganu dan Johor

Slot jemputan terakhir diisi oleh sdr Haris Ibrahim yang menjadi sekutu utama SAMM dalam pergerakan ABU (Asalkan Bukan Umno). Kemunculan Haris di akhir petang sangat memberangsangkan dengan sesi soal jawab yang panas menyentuh perihal detik bubar parlimen sehingga ke detik pengumuman keputusan pilihanraya.

Haris Ibrahim hadir memantapkan gerakan
Semua tetamu jemputan diberikan cenderahati oleh tuan rumah Rapat Kebangsaan kali ini. Kepenglibatan ketiga-tiga tetamu jemputan dalam rapat kali ini memberikan banyak input dan output serta masing-masing antara delegasi SAMM dan jemputan banyak bertukar idea.

Prof Aziz Bari menerima cenderahati

Rapat Kebangsaan SAMM masuk ke fasa terakhir yang juga fasa terpenting setiap kali rapat diadakan. Sesi terakhir iaitu sesi membentuk resolusi yang menjadi pedoman pergerakan SAMM diperdebatkan dan 8 resolusi terbentuk, adalah seperti berikut;
1. Negara ini sememangnya bermasalah maka diputuskan walau apa pun terjadi, regim Barisan Nasional harus ditumbangkan demi menyelamatkan tanahair ini dan SAMM dengan seluruh kekuatan, strategi dan kebijaksanaan akan memastikan kemerdekaan rakyat yang sebenar.
2. Isu scorpene merupakan isu penting bagi membuktikan kehilangan wang negara serta pengkhianatan terhadap tanahair ekoran penjualan rahsia negara yang melibatkan pemimpin negara. Isu ini perlu diadili dalam negara. SAMM akan jelajah ke seluruh negara dalam usaha mengheret Najib Razak untuk dibicarakan di mahkamah Malaysia dalam skandal penyelewengan pembelian kapal selam Scorpene. Perbincangan awal telah dibuat bersama SUARAM, dalam masa terdekat akan diumumkan siri Jelajah Nasional Skandal Scorpene : Dakwa ’Najib’  Pertualang Negara.
3. Media arus perdana yang tidak adil, melampau dan berniat jahat mempamer betapa terdesaknya regim pemerintah dan perkembangan ini harus dikekang maka SAMM melalui segmentasi latihan telah sedia untuk melahirkan seberapa banyak anak muda berkebolehan untuk menjadi agen penyampai yang efektif. Satu siri latihan dan gerak kerja penyampaian maklumat telah disusun di seluruh negara untuk perlaksanaan segera.
4. Selangor merupakan lubuk emas negara sehingga Umno dan Bn dilihat begitu terliur untuk mendapatkannya dengan perbagai usaha untuk merampas Selangor dari tangan rakyat. Najib sendiri menjadi Pengerusi Umno / Bn di Selangor untuk tujuan jahat itu. SAMM melihat usaha penyingkiran ‘Najib’ harus bermula di Selangor. Maka SAMM akan memberikan penumpuan khusus bagi menyusun massa muda di Selangor bagi tujuan itu.
5. SAMM mengajak rakyat melihat kemewahan luar biasa dalam aktiviti rasmi mahupun aktiviti peribadi pemimpin negara ketika hutang Malaysia hampir mencecah paras 'negara muflis' harus menjadi faktor penting mengapa kontrak pemerintahan regim ini wajib tidak diperbaharui. SAMM akan meneruskan usaha pendedahan penyelewengan regim dari masa ke semasa. SAMM akan terus berkerjasama dan menghargai usaha semua termasuk kakitangan awam yang mendedahkan maklumat penyelewengan. Kakitangan awam yang berani tampil mendedahkan penyelewengan regim adalah hero rakyat dan bagi kes tertentu SAMM akan memastikan identiti mereka terus dirahsiakan.
6. Selama ini Sabah dan Sarawak menjadi 'fix deposit' parti regim untuk terus menguasai negara namun melalui dua tinjauan mutakhir ini menyimpulkan ia tidak lagi sedemikian rupa. SAMM dengan ini akan turut memberikan tumpuan kepada perkembangan Sabah dan Sarawak dalam usaha menukar pemerintah negara. Satu program khusus sedang dirangka sesuai dengan maksud tersebut. Sebuah ormas yang dikenali sebagai APS dikenalpasti sesuai untuk menjadi rakan strategik SAMM.
7. SPR tetap gagal berfungsi dan sudah hilang kredibiliti maka SPR wajib dibubarkan terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubar.  Sudah terbukti warga asing yang memiliki IC palsu keluaran JPN telah didapati sah mengundi oleh SPR, menerbitkan situasi tiada pilihan selain melancarkan kempen 'Tangkapan dan Tindakkan Awam' terhadap warga asing serta agen tempatan yang membawa warga asing ini untuk mengundi secara tidak sah. Ini adalah kempen terbaik untuk memastikan tidak ada warga asing berani menghampiri pusat pembuangan undi sepanjang hari pilihanraya seterusnya menyelamatkan ibu pertiwi dari dirogol oleh musuh dan pengkhianat.
SAMM dalam rapat kebangsaan sebelum ini telah memberi amaran keras dan merancang kempen 'Tangkapan dan Tindakkan Awam' telah disambut hebat dan mendapat respon yang sangat positif supaya kempen ini dilaksanakan. Percayalah bahawa ada ketikanya semua agensi kerajaan yang seharusnya neutral tidak lagi boleh diharapkan apabila condong menjadi aparat pemerintah, ketika itu jugalah harapan untuk mempertahankan maruah kedaulatan negara ini dari tergadai hanya terletak di tangan rakyat sendiri.
Rakyat pasti berani mengambil bahagian dalam kempen ini dan tidak mungkin akan membiarkan warga Indonesia, Filipina, Bangladesh, Myanmar dan Vietnam menentukan masa depan negara dan anak bangsa. SAMM mengajak rakyat berfikir dalam satu contoh, bagaimana nasib rakyat Malaysia sekiranya ditangkap ketika cuba campurtangan mengundi dalam pilihanraya Indonesia? Sedangkan pertelagahan kecil antara dua negara ini menimbulkan ancaman bunuh terhadap rakyat Malaysia di Indonesia, inikan pula soal campurtangan menentukan halatuju negara.
8. SAMM juga membuat keputusan tidak melayan usaha kebudak-budakan segelintir manusia yang bertopeng pejuang reformasi tetapi bertelagah sesama sendiri demi kepentingan peribadi. Sememangnya wujud musang berbulu ayam dan mereka ini seharusnya diperhatikan namun ia seharusnya tidak menghilangkan fokus menyatu gerakan menumbang regim. Sentimen Asalkan Bukan Umno (ABU) menyatu gerakan rakyat menumbang musuh utama akan diteruskan. Kerjasama dengan sekutu – sekutu diperbagai peringkat akan dipertingkatkan. SAMM akan berkerjasama dengan semua pihak yang punya maksud sama iaitu menyelamatkan Malaysia.
Tepat jam 10.00 malam, Rapat (Pengurusan) SAMM Kebangsaan (03/2012) Selangor ditangguhkan untuk kali ini dan rapat akan datang menyaksikan negeri pantai timur bakal menjadi tuan rumah.


Syabas dan tahniah diucapkan buat penganjur SAMM Selangor yang menyediakan segala kemudahan dan keperluan dengan begitu lengkap selain penginapan yang selesa untuk anak muda, sajian makanan juga enak yang mana ia paling mendapat pujian. 



SAMM, bergerak cara anak muda, berbincang cara anak muda dan juga memasuki medan perlawanan sebagai anak muda kerana sesungguhnya dunia ini milik anak muda! SAMM terus berjuang menggerak massa meniti perubahan. Perubahan bukan satu takdir yang harus ditunggu sebaliknya merupakan satu tanggungjawab anak muda untuk sama mendesak dan menggerakkan massa ke arahnya.


Perjuangan yang kita lakukan hari ini ialah warisan perlawanan rakyat yang ditindas sebelum ini. Perjuangan ini ibarat mata rantai, kita bukan yang dahulu tetapi kita bukan yang terakhir. Cuma lakukan yang terbaik ketika zaman kita, anak muda harus berani mencipta sejarah.

Inilah “Pecutan Akhir Anak Muda menjelang PRU ke 13″!

Laporan disediakan oleh


Norazizi Abdul Aziz
Pengarah Sekretariat
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
www.anakmudamalaysia.com


No comments:

Tukar Tiub - Brader Isham

Terkini di blog Aduka Taruna

Pak Bakaq si Penarik Becha

Comandante Che gue Bard

iklan