Friday, June 28, 2013

SPR Terus Perbodoh Rakyat: Tiada Logik Dakwat Kekal Untuk PRK


Kenyataan Media

28 Jun 2013

SPR Terus Perbodoh Rakyat: Tiada Logik Dakwat Kekal Untuk PRK

Cukup-cukuplah dengan penipuan demi penipuan yang dilakukan SPR untuk menutup kegagalan sistem dakwat kekal, rakyat terus diperbodohkan lagi dengan cadangan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya kecil N1 Kuala Besut.

Apakah SPR tidak memahami hukum logik sistem penggunaan dakwat kekal sebelum melontarkan cadangan yang kononnya bertujuan meredakan kemarahan rakyat?

Logiknya penggunaan sistem dakwat kekal ialah untuk memastikan setiap pengundi dicalit dakwat tersebut sebagai tanda sudah mengundi, dan ia melibatkan semua pengundi pada pilihanraya umum. Dakwat seharusnya kekal selama 7 hari memandangkan hampir 300 ribu pengundi awal dan pengundi pos membuang undi mereka 5 hari sebelum hari mengundi. Maka jika sistem ini berjalan baik, mereka yang sudah mengundi samada pengundi awal atau pengundi biasa, tidak boleh mengundi kali kedua kerana dakwat masih dijari. Ini konsepnya.

Tetapi apa yang berlaku pada 5 Mei lalu ialah ratusan ribu pengundi awal telah terdedah untuk mengundi lebih dari sekali malah pengundi yang membuang undi 5 Mei juga boleh berbuat demikian kerana didapati dakwat kekal itu sebenarnya pewarna tiruan sahaja, tidak mampu kekal walau 5 minit merujuk kepada banyak kes dan laporan polis. Integriti pilihanraya hancur dan undang-undang PRU-13 dicemari dengan teruk sekali.

Kini setelah SPR hilang sepenuhnya kepercayaan rakyat dan didesak oleh majoriti rakyat supaya berundur, SPR yang sama telah cuba untuk perbodoh rakyat dengan cadangan sistem dakwat kekal di PRK K.Besut. Mana mungkin sebuah pilihanraya kecil mengamalkan sistem dakwat kekal melainkan pengundi di seluruh negara selain pengundi DUN K.Besut ditandakan dakwat kekal terlebih dahulu sehari sebelum hari pengundian N1 K.Besut.

Dengan kata lain, menandakan dakwat kekal kepada hanya sekelompok pengundi di K.Besut sedangkan berbelas juta pengundi tempat lain bebas untuk masuk dan menyamar sebagai pengundi. Dakwat kekal untuk pilihan raya kecil adalah sangat tidak relevan. 

Justeru itu, SAMM melihat cubaan Timbalan Pengerusi SPR membuktikan dakwat yang bakal digunakan di PRK K.Besut lebih kekal dari 5 Mei adalah berniat jahat untuk menutup isu sebenar. Rakyat kini tidak mahu lagi dakwat kekal, rakyat mahu dakwat kekal pada 5 Mei dan kegagalan berbuat demikian sepatutnya kamu dan semua koncu kamu meletakkan jawatan.

Cubaan yang baik dari SPR, namun rakyat semakin bijak dan semakin kental untuk terus melawan! Biarpun ada ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menerima keputusan pilihanraya sepertimana ahli parlimen Barisan Nasional, namun rakyat tetap menolak keputusan yang penuh penipuan, menggelapkan demokrasi yang juga merampas kemanangan rakyat.

Anak muda akan lawan sampai menang! Rakyat bersatu tidak akan dikalahkan!

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda 
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

SAMM desak gugur tuduhan ke atas Azhar Achil


Kenyataan Media

28 Jun 2013


SAMM desak gugur tuduhan ke atas Azhar Achil


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini mendesak regim minoriti Umno / Bn agar menggugurkan pendakwaan ke atas Azhar Achil.


Azhar Achil salah seorang Penyelaras SAMM telah dihadapkan pada 27 Jun 2013 ke Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas pertuduhan menganjurkan perhimpunan haram di Sabak Bernam dekat Klang minggu lepas. Tertuduh didakwa menganjurkan perhimpunan jelajah #suararakyat505 dengan tidak memberikan notis kepada Ketua Polis Daerah dalam tempoh 10 hari sebelum program itu diadakan.


Azhar didakwa melakukan kesalahan itu di Dataran Tembak 10, Sungai Besar, Sabak Bernam, pada pukul 9 malam, 18 Jun lepas serta didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 9 (5) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000.

Tuduhan ini merupakan tuduhan terpilih dan atas tekanan politik semata - mata. Banyak program terbuka berkepentingan politik Bn bukan saja gagal memenuhi syarat akta diatas tetapi mendapat sokongan agensi kerajaan.

Program tersebut telah berlangsung aman, bersih dan langsung tidak ada kejadian tidak diingini, malah turut dihadiri oleh orang - orang Umno setempat yang dikenali. Maka ini menjadikan pendakwaan semakin tidak relevan.

Jika kerajaan ini demokratik maka ia harus sedar semua ini berlaku kerana kepincangan dan penipuan SPR dalam pilihanraya. Ini diakui sendiri oleh SPR dengan dakwat yang tidak kekal dan pengakuan membazirkan RM7.1 juta hanya untuk pewarna makanan bagi mencalit jari. Namun mungkin benar telahan rakyat regim minoriti ini tidak ada cara lain dari terus berkuasa selain dari terus membela SPR yang jelas menipu.

Azhar ketika dalam Mahkamah mengaku tidak bersalah tanpa diwakili peguam dibenarkan diikat jamin dengan nilai RM4,000. Kes ini akan disebut semula pada 20 Julai 2013.

Bermula dengan pendakwaan che'GuBard di Mahkamah Petaling Jaya 4 Jun lepas, SAMM menjangkakan lebih ramai komrad SAMM akan didakwa berikutan penglibatan aktif SAMM dalam mobilisasi rakyat bagi isu penipuan PRU ke 13 ini.

Untuk itu SAMM memohon jasa baik orang ramai bagi sama menyumbang bagi mengumpulkan dana bagi tujuan proses mahkamah seperti ikat jamin dan sebagainya. Sumbangan orang ramai boleh dibuat terus akaun Solidariti Anak Muda (akaun maybank 555041113224).

SAMM berjanji akan terus menyusun massa rakyat khususnya anak muda dan terus berjuang memperkasakan rakyat ke arah pembebasan tanahair ini.


Norazizi Aziz
Pengarah Seketeriat Solidariti Anak Muda Malaysia

Thursday, June 27, 2013

Dari Padang Merbok ke Parlimen: SAMM Ambil Tanggungjawab Penuh

Kenyataan Media
27 Jun 2013

Dari Padang Merbok ke Parlimen: SAMM Ambil Tanggungjawab Penuh

Berkenaan protes berkhemah di Padang Merbok dan protes di depan Parlimen, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengambil tanggungjawab penuh dengan beberapa ketegasan, adalah seperti berikut;

1. Aksi protes bermula di Padang Merbok selepas himpunan Black505 dan kemuncaknya di depan Parlimen pada pagi 24 Jun 2013 ini tidak ada kena mengena dengan boikot angkat sumpah. Pihak media telah mengalih isu sebenar iaitu Protes mendesak  SPR meletak jawatan.

2. Tujuan utama aksi depan parlimen ialah untuk asak ahli parlimen secara serius membawa isu penipuan SPR, SPR harus dibubarkan dan SPR baru harus ditubuhkan di bawah Parlimen dan bukan lagi sekadar kakitangan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

3. Sebaik sahaja himpunan KL622 yang diterajui oleh Pakatan Rakyat dan Gabungan NGO Suara Rakyat 505 tamat sekitar jam 6 petang, SAMM bersama beberapa NGO dan kumpulan anak muda, mahasiswa telah memutuskan untuk berkhemah di Padang Merbok bagi memanjangkan protes seterusnya memperhebat tekanan terhadap SPR supaya undur. Semuanya berjalan dengan baik, aman, bersih dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

4. Segalanya berjalan lancar, pihak organisasi dan individu menjalin kerjasama yang baik demi matlamat SPR letak jawatan, sehinggalah pada malam kedua jam 4.30 pagi, ratusan anggota DBKL bersama sejumlah anggota polis bersenjata automatik telah menyerang, merampas khemah termasuk barang-barang yang ada di dalam khemah ketika ada yang sedang tidur di dalamnya. Ada yang ditendang dan dikasari. Namun tahniah kepada semua kerana mengikut arahan untuk tidak melawan dan menyerahkan khemah dengan aman kerana fokus utama bukan DBKL atau polis tetapi SPR.

5. SAMM pelik mengapa kejadian ini boleh berlaku sedangkan sekitar jam 1 pagi sebelum itu saudara Arulchelvam,setiausaha PSM selaku wakil perunding telah mendapat persetujuan dari penguatkuasa untuk mengosongkan Padang Merbok pada jam 8 pagi tersebut (24 Jun). Ketika khemah dirampas semua terkejut namun semua bersikap tenang dan hampir 500 orang bertahan di Padang Merbok hingga pagi.

6. Tepat jam 8.45 pagi, semua peserta protes bergerak menuju ke Parlimen membawa pelbagai sepanduk. Ketika sampai di jalan masuk Parlimen, kelihatan OCPD Dang Wangi dan sejumlah anggota polis yang agak ramai telah bersedia. Protes diputuskan dalam bentuk duduk dan bantah. Mahasiswa diketuai Safwan telah putuskan melahirkan rasa kecewa dengan berbaring di tepi jalanraya beramai-ramai.

7. Peserta protes telah memutuskan untuk menghantar sebuah memorandum kepada wakil ahli parlimen dari pihak kerajaan dan pihak Pakatan Rakyat. Dalam perbincangan awal, seramai 10 wakil dari demonstran telah dipilih untuk memasuki parlimen. Keadaan panas berjerebu di luar parlimen tidak halang demonstran menunggu namun setelah lebih satu jam menunggu telah menimbulkan curiga. Maka Pengerusi SMM Safwan Anang telah ambil keputusan mengajak semua demonstran cuba menghampiri pagar parlimen untuk menyerahkan memorandum tersebut.

8. Tidak dinafikan berlaku asak mengasak apabila gerakan untuk hampiri parlimen dihalang. Namun tindakan pihak polis yang mula memukul demonstran telah mengundang kemarahan anak muda yang sejak jam 4.30 pagi dikasari dan barangan mereka dicuri.

9. Beberapa teman mahasiswa ditangkap, ia bukan salah kami malah pihak polis terlebih dahulu mengasari dan memukul demonstran. Kami mendesak agar teman mahasiswa dibebaskan tetapi permintaan ini dibalas dengan kekerasan pihak polis. Beberapa anggota polis juga kelihatan bertindak seperti gangster, berlagak sombong dengan bergerak seorang diri cuba untuk menangkap peserta demonstran. Mungkin ketika inilah berlakunya pergelutan yang menyebabkan anggota polis tercedera.

10. Kami juga berjaya merakam gambar anggota polis berbaju seperti demonstran seperti tshirt black out 505, ABU dan SAMM.

11. Akhirnya saya cuba tenangkan keadaan dan desak polis supaya tidak bertindak ganas, namun ia tidak berjaya apabila seorang demi seorang anak muda diberkas dengan cukup kasar sehingga ada yang retak kaki akibat dipijak.

12. Maka untuk memastikan keselamatan teman-teman, untuk memastikan keadaan reda, saya sendiri bersama teman lain meluru ke arah OCPD, membenarkan diri ditahan dengan syarat polis hentikan memukul demonstran. Tindakan saya dan teman - teman juga bagi memastikan tangkapan berhenti dikasari dan dilayan baik.

13. Walaupun tidak melawan tetapi ketika dalam perjalanan ke trak polis, saya sendiri terus dikasari dengan pukulan curi walaupun langsung tidak melawan. Malah salah seorang seorang warga emas iaitu aunty Annie (70 tahun) turut ditendang dan terjatuh di depan tangga trak.

14. Apapun bagi SAMM, penguasa DBKL dan anggota polis sebenarnya juga adalah mangsa yang diperalat oleh arahan sebuah kerajaan minoriti yang menang di atas penipuan pilihanraya yang dibantu SPR. Kami tidak mahu teralih isu. Isunya kini ialah majoriti rakyat tolak keputusan PRU. Kami protes bukan atas arahan mana-mana politikus, tetapi kami menzahirkan rasa hati rakyat yang menentang penipuan pilihanraya.

Faktanya ialah, majoriti pengundi telah menolak Barisan Nasional, BN hanya menang dengan penipuan, BN terus berkuasa dengan penipuan, BN terus rakus menjajah negara ini dengan penipuan. Semua ini dalangnya adalah SPR dan rakyat wajib bangkit memastikan SPR dihumban.

Kami buktikan, gerakan menuntut SPR undur harus lebih keras dari biasa.


CHE'GUBARD
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Sunday, June 23, 2013

Alhamdulillah, Padang Merbok Berjaya Dipertahan Untuk Malam Kedua!

Kenyataan Umum
23 Jun 2013 - 7.30pm

Alhamdulillah, Padang Merbok Berjaya Dipertahan Untuk Malam Kedua!

Walaupun telah diberi notis oleh DBKL supaya menutup khemah pada jam 10 pagi tadi, namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga kenyataan ini ditulis. Notis tersebut memberi masa kepada peserta protes selama dua jam dan sepatutnya berakhir pada jam 12.15 tengahari tadi.

Ini satu perkembangan yang sangat positif dan khemah terus bertambah mengikut kadar kehadiran orang ramai yang juga bertambah. Kejayaan untuk dapat bermalam lagi sehari iaitu malam kedua di Padang Merbok ini pastinya mengundang lebih ramai peserta. Sekitar petang tadi juga menyaksikan cuaca jerebu bertambah baik dan orang ramai juga dijemput untuk bersama-sama bermalam di Padang Merbuk. 

Protes NGO #SuaraRakyat505 yang mensasarkan SPR meletakkan jawatan kerana penipuan PRU-13 ini dijangka akan membuat keputusan mengejut dalam satu sidang media tergempar pada jam 9.15 malam ini. Semua wakil media dijemput untuk membuat liputan dan memberi bantuan hebahan secara maksima.

Sesungguhnya melawan kezaliman dan penindasan adalah satu aksi yang dituntut khususnya apabila demokrasi terus dicabul. Inilah masanya untuk mencipta sejarah, inilah detik terbaik untuk memberi tekanan terbesar kepada pemerintah yang menipu untuk terus berkuasa. Atau kita selamanya terus ditipu dan membenarkan negara ini dijarah oleh bangsa elitis bangsawan.

Bangun dan terus lawan kerana akhirnya dunia ini milik anak muda

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Saturday, June 22, 2013

Anak Muda Terus Berhimpun, Dijangka Bertambah Ramai dan Tidak Pulang Sehingga SPR Undur!

Kenyataan Umum
22 Jun 2013 - 7pm

Anak Muda Terus Berhimpun, Dijangka Bertambah Ramai dan Tidak Pulang Sehingga SPR Undur!

Himpunan di Padang Merbuk masih lagi diteruskan dan masih ramai yang tidak akan pulang selagi 7 anggota tertinggi SPR tidak melepaskan jawatan masing-masing. 

Sehingga jam 7 petang tadi, hampir 100 buah khemah telah dinaikkan sedikit demi sedikit. Kelihatan juga bukan sahaja khemah dari kumpulan NGO #SuaraRakyat505, tetapi terdapat banyak lagi khemah datangnya dari orang ramai yang menyokong perhimpunan lebih dari sehari ini. 

Dijangka ramai yang kembali memenuhi Padang Merbuk dengan persiapan dan kelengkapan yang cukup. Juga akan bersama sepanjang malam ini adalah termasuk YB Tian Chua, YB Ustaz Marzukh (MP Bachok), Isham Rais, Haris Ibrahim, Arul PSM, che'GuBard dan ramai lagi.

Satu sidang media juga akan diadakan pada jam 9.30 malam ini di kawasan tapak perkhemahan Padang Merbuk. Semua wartawan dijemput untuk membuat liputan.

Ayuh bersama, kita mampu menjadikan kelainan untuk kali ini, Pulang hanya bila menang, anak muda mencipta sejarah. Biarlah malam ini menjadi satu permulaan yang hebat!

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, June 21, 2013

Minta Bantuan Askar Bukti Polis Panik

Kenyataan Terbuka

21 Jun 2013

Minta Bantuan Tentera Bukti Polis Panik

Cadangan pihak polis untuk meminta bantuan tentera bagi menghadapi kemaraan rakyat pada himpunan kemuncak Black505 cuba dilihat sebagai satu ugutan serius. Namun SAMM berpandangan sebaliknya setelah menghalusi polemik terbaru caturan regim pemerintah. 


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) percaya cadangan dari Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat Rasid bukan sahaja satu usaha untuk menakutkan rakyat, tetapi juga kerana kedudukan pihak polis hari ini yang tidak lagi mendapat kepercayaan dan kepedulian daripada rakyat. 

Satu demi satu arahan polis dilanggar oleh rakyat kerana rakyat percaya arahan polis ini dilontarkan oleh mereka yang mendirikan sebuah kerajaan hasil dari penipuan pilihanraya. Buktinya, di Kelana Jaya ratusan ribu hadir walaupun diancam oleh pihak polis. Situasi sama juga berlaku di hampir seluruh negara apabila bermacam arahan polis untuk mengagalkan himpunan Black505 dilanggar oleh rakyat.

Juga, satu demi satu tindakan pihak polis dalam mengekang kebangkitan rakyat membuktikan pihak polis lebih mengutamakan 'kedudukkan' kerajaan 46% Barisan Nasional berbanding keselamatan dan aspirasi rakyat. Bermula dengan penangkapan beberapa pimpinan parti dan aktivis ketika menjelang perhimpunan aman #SuaraRakyat505 di Amcorp Mall 25 Mei lalu, kemudian sekali lagi pihak polis hilang pertimbangan apabila menangkap anak muda yang melakukan aksi spontan 'flashmob' di depan Sogo baru-baru ini. 

Dalam perkembangan sama, pihak polis juga muncul dengan begitu ramai anggota mengepung lokasi flashmob seluruh negara memperlihatkan betapa paniknya regim terhadap gerakan mobilisasi ke arah 22 Jun. Harus diingat, peserta flashmob tidak melakukan apa-apa kesalahan, hanya 'mencuri' perhatian dengan aksi spontan dan ia bukan satu jenayah.

Malah jumlah kematian dalam lokap yang tinggi dengan tiada penyelesaian yang konklusif juga telah memberi impak besar mencalarkan reputasi polis. Maka apabila semua permasalahan yang melibatkan institusi polis ini dicampur, rakyat hilang rasa hormat.

Di atas kelemahan ketara ini, maka timbullah idea mengarut untuk memanggil askar datang membantu. Idea menggunakan tentera ini mengimbau kembali peristiwa berdarah Lahad Datu beberapa bulan lalu. Maka jelaslah rakyat negara sendiri yang berhimpun menuntut demokrasi dikerah berdepan dengan askar sedangkan pengganas Suluk diberi layanan istimewa. Hanya selepas 3 minggu perkampungan di Lahad Datu 'ditawan' barulah askar diberi ruang untuk masuk campur. Ini hanya berlaku di Malaysia, rakyatnya yang ditipu terus ditindas penuh kezaliman.

SAMM yakin institusi ketenteraan negara punya kredibiliti yang cukup untuk tidak dicemari oleh arahan-arahan berkepentingan tertentu, berbeza dengan institusi polis. 

SAMM juga yakin walau apa pun terjadi, walau apa jua halangan, jutaan rakyat berani akan menuju ke Padang Merbuk Jalan Parlimen pada tanggal 22 Jun bagi merebut kembali demokrasi yang digelapkan dan seraya itu mengembalikan kemenangan rakyat yang dirampas. Semua sedia hadir dan tidak pulang sehingga dalang penipuan PRU13 iaitu SPR tidak meletak jawatan.

Ingat kita takut? jangan mengarut, kita tunjukkan RAKYAT KEDEPAN!

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda 
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Thursday, June 20, 2013

Kali Ini Pasti Berbeza: Sedia Untuk Lebih Dari Sehari

Kenyataan Umum
20 Jun 2013

Kali Ini Pasti Berbeza: Sedia Untuk Lebih Dari Sehari

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) selaku penggerak Gabungan NGO #SuaraRakyat505 yang juga terlibat secara langsung dalam kemuncak #Black505 22 Jun 2013 di Padang Merbok menegaskan;

1. Himpunan akan tetap diteruskan secara aman dan terancang seperti yang dijadualkan.

2. Semua pihak jangan gundah gulana kerana himpunan mega ini bukan bertujuan untuk guling kerajaan sebaliknya tujuan utama himpunan ini untuk desak SPR yang menjadi dalang penipuan pilihanraya harus letak jawatan dan hadapkan ke muka pengadilan kerana penipuannya. Namun jika regim itu lemah sangat dan terguling dgn sendirinya itu bukan salah kita. 

3. Tiada sebarang perancangan sulit dan setiap kata putus telah diumum secara terbuka untuk elak prasangka. Maka semua dijemput hadir ke dewan perhimpunan KLSCAH pada 21Jun ini (8.30mlm) untuk taklimat akhir menjelang esoknya himpunan besar. Pimpinan utama parti politik dan NGO turut hadir menyampaikan taklimat dan pedoman penting.

4. SAMM juga mengakui akan bersama beberapa kumpulan anak muda telah merancang untuk melanjutkan protes bantahan ini secara aman dengan berkhemah seramai mungkin. Semua protes akan dilakukan dalam menjunjung tinggi semangat perlembagaan negara dan deklarasi kemerdekaan negara. 

5. Semua harus sedia mental dan fizikal untuk aksi rakyat secara aman lebih dari sehari khususnya tarikh 24Jun apabila dunia bakal menyaksikan protes rakyat pada hari parlimen malaysia mengangkat sumpah. SAMM menyediakan 150 khemah sebagai kemudahan, turut menggesa orang ramai turut hadir membawa kelengkapan untuk bermalam seperti khemah dan 'sleeping bag'. 

Ayuh semua anak muda kita turun bersama mencipta sejarah mengambil semula kemenangan rakyat dan kedaulatan negara.

CHE'GUBARD
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)



Makin Ditekan Makin Dilawan: Aksi Flashmob Seluruh Tanahair

Kenyataan Terbuka
20 Jun 2013

Di atas inisiatif SAMM, SMM dan kumpulan aktivis anak muda, gabungan NGO #SuaraRakyat505 menerpa kejayaan beberapa dalam aksi flashmob. Menjelang perhimpunan terbesar paling bersejarah melawan penipuan PRU pada 22 Jun nanti, kami mengambil peranan tersendiri untuk mobilisasi maksima.

Kejadian tangkapan di depan Sogo 15 Jun lalu tidak langsung memberi kesan kepada anak muda untuk meneruskan aksi Flashmob ke seluruh tanahair. Walaupun diberkas oleh anggota polis, digari dan berada dalam tahanan polis selama hampir lapan jam, ia tidak mungkin akan mematahkan semangat malah membangkit adrenaline menuju aksi sebenar 22 Jun 2013 di Padang Merbuk 

Setakat semalam, beberapa lagi flashmob telah berjaya dilaksanakan termasuklah di P.Pinang, Sg Besar Selangor dan semalam di Jalan Tun Perak Kuala Lumpur. Namun salah satu venue iaitu di Kuantan mendapat tentangan hebat dari pihak polis hingga memaksa flashmob yang dimulakan beberapa minit terhenti.

Semalam ketika di Jalan Tun Perak juga terdapat lebih 30 orang polis berkawal. Flashmob diteruskan juga dan berakhir sejam kemudian dengan matlamat yang tercapai. Rahsia kejayaan kali ini ialah, memastikan mereka yang berkumpul memegang sepanduk tidak lebih dari empat orang. Setiap spot hanya disertai berempat dan terdapat 6-7 spot di sepanjang jalan Tun Perak.

Kami ingin menegaskan bahawa pada tarikh selain 22 Jun 2013, tidak ada sebarang perhimpunan jalanan dianjurkan. Hanya aksi spontan sambil menyampaikan ekspresi bantahan terhadap penipuan pilihan raya sambil mengolah persetujuan orang ramai. Flashmob bukan jenayah, tidak mengganggu, tidak merosakkan dan tiada peruntukkan undang-undang yang membenarkan perserta flashmob ditangkap.

Walaupun gagal di Kuantan, ia tidak terus berakhir. Aksi flashmob di Kuantan dan venue lain terus disusun dan dilancarkan mengikut jadual, dengan strategi bagi memastikan matlamatnya sampai. 

Seperti dijanjikan, di bawah adalah senarai aksi flashmob di seluruh negara.

SENARAI AKSI FLASHMOB #SuaraRakyat505 Menuju #KL622#Black505 20&21HB (HARI INI DAN ESOK)

Flashmob TERENGGANU | Khamis 20Jun | 5pm | Depan Giant K.T'ganu 
Flashmob KEMAMAN | Khamis | 20Jun | 5pm |  Depan Centre Point
FlashMob PERLIS | Khamis | 20 Jun | 5 Petang | Bulatan Persiaran Jubli Emas Kangar
Flashmob MELAKA | Khamis 20 Jun | 6pm | Jalan Utama Bandar Melaka (Sebelah Tesco Bandar Melaka)|
Flashmob SEREMBAN | Khamis 20 Jun | 5pm | Dataran Seremban
Flashmob KUANTAN (repeat) | Khamis 20 Jun | 5pm | (Tempat dirahsiakan)
Flashmob KELANTAN | Jumaat 21 Jun | 8.30am | Depan pejabat R, Tanjung, Jln Kuala Krai-K.B
Flashmob PERAK | Jumaat 21 Jun | 5pm | Simpang Empat Pau Yik Mun, Tanjung Malim | Bersama SAMM Perak & Mahasiswa UPSI
Flashmob RAWANG | Jumaat 21 Jun | 5pm | Stesen Komuter Rawang & Stesen Bas Rawang (mydin)
Grand Finale Flashmob KUALA LUMPUR | Jumaat 21 Jun | (Lokasi dirahsiakan)

Lihatlah, pada awalnya hanya dua lokasi flashmob sahaja diatur dan ia hanya berlaku di Kuala Lumpur. Kezaliman dan penindasan yang berlaku 15 Jun lalu telah menjadikan seluruh bandar-bandar di tanahair sebagai medan keberanian anak muda.

Ayuh anak muda kita 'warm up' dulu sebelum masuk aksi sebenar 22 Jun. Datang ke padang merbuk dan tidak balik selagi bos SPR dan kuncu-kuncunya tidak meletak jawatan.

Kita tunjukkan RAKYAT KEDEPAN!

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia.

SENARAI AKSI FLASHMOB #SuaraRakyat505 Menuju #KL622#Black505 20&21HB (HARI INI DAN ESOK)

SENARAI AKSI FLASHMOB #SuaraRakyat505 Menuju #KL622#Black505 20&21HB (HARI INI DAN ESOK)

Kita tunjukkan RAKYAT KEDEPAN!

Flashmob TERENGGANU | Depan Giant K.T'ganu | Khamis | 20Jun | 5pm |

Flashmob KEMAMAN | Depan Centre Point | Khamis | 20Jun | 5pm | 

FlashMob PERLIS | Khamis | 20 Jun | 5 Petang | Bulatan Persiaran Jubli Emas Kangar

Flashmob MELAKA | Khamis 20 Jun | 6pm | Jalan Utama Bandar Melaka (Sebelah Tesco Bandar Melaka)|

Flashmob SEREMBAN | Khamis 20 Jun | 5pm | Dataran Seremban

Flashmob KUANTAN (repeat) | Khamis 20 Jun | 5pm | (Tempat dirahsiakan)

Flashmob KELANTAN | Jumaat 21 Jun | 8.30am | Depan pejabat R, Tanjung, Jln Kuala Krai-K.B

Flashmob PERAK | Jumaat 21 Jun | 5pm | Simpang Empat Pau Yik Mun, Tanjung Malim | Bersama SAMM Perak & Mahasiswa UPSI

Flashmob RAWANG | Jumaat 21 Jun | 5pm | Stesen Komuter Rawang & Stesen Bas Rawang (mydin)

Grand Finale Flashmob KUALA LUMPUR | Jumaat 21 Jun | (Lokasi dirahsiakan)

Ayuh anak muda kita 'warm up' dulu

Wednesday, June 19, 2013

Ayuh bersama NGO #SuaraRakyat505 untuk aksi FLASHMOB #Black505 | LRT Masjid Jamek | Mula jam 5.30pm | Sebarkan



Minta kerjasama semua untuk menghebahkan aksi flashmob petang ini (melalui FB dan twitter), seperti berikut;

Ayuh bersama NGO #SuaraRakyat505 untuk aksi FLASHMOB #Black505 di perkarangan LRT Masjid Jamek | Mula jam 5.30pm | Sebarkan

Atau guna ayat sendiri mengikut selera anda... 

Kepada yang sedia menyertai, sila hubungi Azizi 018-3510949 untuk berkumpul dan kick-off.

Kali ini, kita lebih bersedia dan punyai strategi untuk memastikan tidak diganggu. jumpa di sana...

selamat menghiburkan pemandu yang tertekan dengan kesesakkan lalulintas...