Thursday, November 10, 2011

Najib Bubar Parlimen Esok, Bakal Berdepan Protes Tukar Kerajaan !



Kenyataan Terbuka
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
10 November 2011


Spekulasi pembubaran parlimen pada tanggal 11.11.11 menjadi khabar angin yang bertiup kencang apabila terdapat laporan yang mengatakan DS Najib telah berjumpa dengan semua ahli parlimen yang telah bersara hari ini. Ia disokong lagi dengan masalah dalaman Umno yang memperlihatkan kemaraan kem Muhyiddin Yassin untuk dinobat menggantikan Najib bagi menghadapi PRU ke-13. Hanya dengan mandat yang baru dan lebih besar buat Najib mampu selamatkan kedudukkannya sebagai Perdana Menteri.

Sebelum ini, SAMM telah mendedahkan daripada sumber-sumber dalaman yang boleh dipercayai bahawa Perdana Menteri akan membubarkan parlimen dalam bulan November bagi membolehkan pilihanraya umum berlaku dalam masa terdekat. Hari ini ura-ura pembubaran parlimen semakin menjadi kenyataan dan tarikh 11.11.11 adalah pilihan Najib untuk membubarkan parlimen. Najib juga seolah-olah tidak mempunyai masa untuk melengahkan tarikh pilihanraya di atas faktor tekanan dari Umno sendiri.

Beberapa laporan media juga turut membuat spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan esok, dengan angka "11" disebut-sebut sebagai "nombor bertuah" pilihan Najib, dan 10 Disember mungkin menjadi hari pengundian.

Jika Najib tetap berdegil membubarkan parlimen esok(11.11.11) demi menyelamatkan regim pemerintahannya, bermakna Najib di atas apa alasan sekalipun telah menafikan sistem pilihanraya yang bersih dan adil. Apatah lagi tindakkan bacul ini telah membelakangi usul kerajaan untuk reformasi sistem pilihanraya dan penubuhan Jawatankuasa Khas(PAC) adalah semata-mata sebuah drama untuk meredakan kemarahan rakyat pasca himpunan BERSIH 9 Julai 2011.

Maka kami Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama dengan teman-teman organisasi massa yang lain pada hari ini mewakili rakyat keseluruhanya akan turun ke jalanan bertindak melampaui protes sepertimana yang kami janjikan pada 5 November lalu. SAMM akan pastikan rakyat turun ke jalanan bukan lagi untuk protes pilihanraya tetapi protes untuk menukar regim yang sekian lama gagal menjamin hak rakyat untuk mendapatkan proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil.

Kita tidak boleh menolak kemungkinan rakyat akan bangkit untuk memastikan regim turun agar proses pilihanraya yang adil dan bersih boleh mengambil tempat dan negara ini boleh diselamatkan.

Justeru, kami SAMM sebagai penggerak anak muda sekali lagi memberi amaran keras buat regim Najib supaya jangan cuba untuk membubarkan parlimen pada 11 November atau mana-mana tarikh sebelum penambahbaikkan sistem pilihanraya melalui jawatankuasa khas diselesaikan terlebih dahulu. 

Jika Najib berani membubarkan parlimen, itu bermakna Najib berani berhadapan jutaan rakyat yang bakal membanjiri ibu negara dengan tujuan, menukar kerajaan !



EDYES SAMM
Pengarah Propaganda SAMM
www.anakmudamalaysia.com


BERSIH 3.0

Kerajaan Barisan Nasional terus ditekan supaya membuat pertimbangan serius dalam merealisasikan tuntutan pilihanraya bersih dan adil.

Setakat ini, kerajaan melalui agensi SPR dilihat masih tidak membuat apa-apa pendekatan awal untuk baik-pulih sistem pilihanraya terutamanya dalam aspek tuntutan yang tidak memerlukan perubahan akta seperti penggunaan dakwat kekal.

Malah timbul pelbagai spekulasi negetif terhadap SPR dan JPN dalam isu kewarganegaraan segera untuk membenarkan warga asing mengundi dan juga spekulasi memanjangkan penggunaan undi pos kepada anggota RELA dan penjawat awam selain polis dan tentera. Ini sama sekali bukan satu usaha baik-pulih sistem pilihanraya tetapi melacur sistem pilihanraya demi untuk terus berkuasa. Ia tidak selari dengan usaha merealisasi tuntutan BERSIH 2.0.

Justeru itu, BERSIH 3.0 sedia dilancarkan bila-bila masa dari sekarang demi memastikan BN benar-benar menunaikan janjinya terlebih dahulu sebelum membubarkan parlimen. Tarikhnya sudah dipilih dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

BERSIH 3.0 yang bakal dilancarkan ini juga bertujuan untuk memberi kata dua kepada Perdana Menteri samada lakukan perubahan sistem pilihanraya terlebih dahulu sebelum PRU13 atau berdepan dengan satu lagi perhimpunan protes rakyat terbesar dalam sejarah.

BERSIH 3.0 akan turut memantau perjalanan PSC supaya ia tidak dilengah-lengahkan dengan sengaja di atas muslihat tertentu dan penetapan tarikh BERSIH 3.0 selari dengan peluang yang diberi kepada kerajaan untuk buktikan penambah-baikkan sistem pilihanraya melalui PSC.

Seandainya apabila tiba masanya kerajaan terus berdolak-dalik dalam soal tuntutan BERSIH sebelum ini, BERSIH 3.0 ketika itu sudah bersedia dengan mobilisasi besar dan Kuala Lumpur bakal sekali lagi dipenuhi lautan rakyat tidak kira apa warna kulitnya dan apa jua warna bajunya.

Harus diingat, setiap mereka yang turun pada 709 akan tetap hadir lagi sekali apabila menyedari tiada apa yang boleh menghalang 120ribu rakyat berhimpun di Kuala Lumpur pada tanggal 9 Julai lalu. Mereka yang tidak sempat hadir pada BERSIH 2.0 juga akan turun bersama apabila menyedari demi demokrasi, tiada apa yang perlu ditakuti.

Berapa ratus ribu yang akan turun dalam BERSIH 3.0 bukan soalnya lagi. Kerana kali ini semua yang hadir turut bersedia untuk dicekup dan ditangkap, memandangkan makanan yang disediakan adalah RM25 sekepala. Pihak berwajib perlu sediakan kem yang lebih besar kerana rakyat yang hadir kali ini semuanya lapar... Lapar demokrasi!

Edyes dengan ini, menyatakan tahap sedia bukan sahaja untuk turun berdemonstrasi secara aman, tetapi bersedia untuk ditangkap dengan syarat, sediakan makan minum secukupnya kerana ramai akan bersama saya untuk ditangkap dan kemudian dibenarkan makan percuma.

BERSIH 3.0 akan membuka tirainya bila-bila masa dari sekarang. Tarikhnya akan diumum sebagai amaran bagi pihak kerajaan supaya serius melaksana reformasi pilihanraya.

Jangan sekali-kali 'under-estimate' kekuatan rakyat. Kami sudah buktikan rakyat kuat di BERSIH 2.0 dan kami tiada masalah untuk buktikannya semula dalam BERSIH 3.0.


EDYES @ edyesdotcom

Wednesday, November 9, 2011

Tumbangkan BN Adalah JIHAD !!


Tumbangkan BN adalah Jihad!! Ini Sebabnya - Hubungan Dagang Malaysia-Israel

Samada melalui pilihanraya atau pilihanjalanraya, kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan selain tumbangkan Umno BN dengan jalan Jihad !!

Jawapan Menteri di Parlimen Mengesahkan Malaysia Rakan Dagang Israel !!? (WAJIB SEBAR!)



Salam sejahtera, seperti anda, saya seorang rakyat Malaysia dan saya cintakan negara kita ini. Malaysia sebuah negara yang cukup indah, tapi ada macam-macam masaalah.
Tak perlulah saya sebutkan kerna saya pasti kita semua tahu apa masalah-masalah ini. Apa yang saya nak sebutkan ialah masa depan negara kita terletak di tangan kita sendiri. Jadi jika anda masih belum mendaftar sebagai pengundi, sila lakukan secepat mungkin. Dan jika anda sudah mendaftar, mari kita mengundi. 

Ingatlah, walau apa pun terjadi, Malaysia ini negara anda. Ia negara kita, ia memang banyak masaalah. Malaysia perlukan kita semua.
Tiga perenggan di atas adalah transkrip penuh kata-kata Ku Li dalam video klip "Undilah", yang  haram untuk ditayangkan di media perdana. Kenapa Edyes petik kata-kata Ku Li dalam klip tersebut, kerana tertarik dengan penekanan betapa 'negara ini banyak masalah'. Percayalah, negara kita akan lebih masalah jika kita benarkan kerajaan Barisan Nasional terus kekal sebagai pemerintah. Dan harus percaya juga, masalah ini mungkin tidak boleh selesai melalui pilihanraya. Ok 'undilah' itu cerita lain, sekarang fokusnya ialah masalah dalam negara.

Antara masalah yang terus membuatkan setiap rakyat negara ini terutamanya yang beragama Islam terus bersalah ialah berkenaan hubungan dagangan Malaysia-Israel. Isu hubungan dagang Malaysia-Israel kembali panas selepas pembongkaran demi pembongkaran berlaku oleh beberapa blogger dan kali ini ia pasti tidak akan kebah hingga tertumbangnya regim yang menyokong zionis.

Ya, memang Malaysia salah sebuah negara yang amat mengambil berat tentang nasib rakyat Palestine. Sejak dari dahulu lagi Malaysia di atas pentas dunia menentang keras kependudukkan Israel ke atas kiblat umat Islam pertama Al-Aqsa. Kita juga mengutuk setiap serangan Israel yang menyebabkan wanita dan kanak-kanak tidak berdosa terkorban. Namun itu di atas pentas, bagaimana pula di belakang pentas?

Terdapat sebuah regim yang Edyes namakan sebagai regim BN yang secara politiknya menguasai negara ini, sentiasa dimunculkan dengan imej anti Israel dan pro Palestin. Malah rejim BN ini juga mewajahkan lawan politik dalam negara sebagai agen Amerika dan perbagai imej seolah anti Islam. Namun sedarkah kita dalam wajah yang lain Malaysia ialah antara negara Umat Islam yang dipimpin oleh pemimpin munafik yang menjadi rakan dagang penyumbang kepada ekonomi Israel?

Dahulu sememangnya Malaysia mempunyai satu undang - undang yang dipanggil Akta Larangan Perdagangan yang menghalang sebarang hubungan dagang lansung dan tidak lansung dengan dua buah negara iaitu Israel dan Afrika Selatan kerana dasar Apartheid.

Namun sebaik sahaja dasar Apartheid di Afrika Selatan 'runtuh' maka pada tahun 1994 di bawah kabinet Dr. Mahathir dasar kerajaan telah diubah dengan meluluskan pindaan Akta Larangan Import (pindaan bil.7) yang bukan sahaja menarik balik sekatan larangan dagang dengan Afrika Selatan tetapi kesempatan diambil untuk jalin hubungan dagang dengan Israel.

Sejak itu Malaysia menjadi antara rakan dagang utama dan penyumbang kekuatan ekonomi kepada negara haram Israel ketika kebanyakan negara Islam dan eropah memboikot Israel. 

Modus operandinya ialah, negara Israel sebagai sebuah negara bukan sahaja diboikot oleh negara kebanyakkan negara Islam malah kebanyakkan negara di serata dunia yang tidak bersetuju akan keganasan terhadap umat Islam Palestine. Apa sahaja barangan keluaran Israel tidak akan sewenangnya laku, ditambah pula dengan 'market' yang sangat tirus.

Oleh demikian, untuk memastikan industri negara Israel di Haifa, Netanya dan Hizeria terus membangun, segala hasil industri terutamanya dalam bidang berteknologi elektronik dan bahan komponen akan di hantar ke negara-negara lain hanya untuk pemasangan sahaja. 

Jika pemasangan itu di negara Israel, jadilah 'Made in Israel' dan ia confirm tidak laku jika dijual ke dunia Islam. Namun jika bahan industri tersebut di hantar ke Malaysia sebagai contoh, dan dipasang-siapkan di Seremban, maka akan tertera copnya 'Made in Malaysia'. Maka ia laku untuk di jual di seluruh dunia lantas memenuhkan kantung kewangan negara sambil membantu industri negara Israel lakhnatullah.

Bukan hanya sekadar memajukan industri elekrtonik dan bahan mentah Israel tetapi regim BN turut membangunkan juga industri perkhidmatan Israel. Ia termasuklah konsultasi sistem komputer di CIMB Bank iaitu EDS Malaysia yang mempunyai bangunan pejabat di Cyberjaya. Tahun 2006, CIMB melanjutkan kontrak EDS untuk tempoh 10 tahun dan membelanjakan sebanyak 720 juta untuk kontrak tersebut.


EDS International yang berpengkalan di US pula berasal dari negara haram Israel dan antara sumbangan besar EDS International ialah sistem persenjataan tentera Israel. Maka setiap pembayar riba', pelabur dan penerima keuntungan dari CIMB adalah sebenarnya terlibat secara tidak langsung membantu tentera Israel membunuh anak Palestine dengan tembakkan tepat di kepala. Jangan kita lupa juga siapa bos CIMB... Now tengok dua gambar di bawah;

Klik untuk besarkan, EDS asalnya diubah menjadi HP
Klik untuk besarkan, lihat apa tugas EDS di Israel

Banyak lagi contoh industri perkhidmatan Israel yang mengambil untung dari rakyat Malaysia untuk terus menindas Palestine dan menguasai dunia. Pernah anda dengar kapal kontena muatan 10k TEU, milik ZIM yakni syarikat 'GLC' perkapalan Israel berlabuh di Klang? Bukan sekadar berlabuh tetapi kontena syarikat ini juga berlegar di seluruh negara. Semua ini dijelaskan dalam entry ini juga, harap sabar.

Antara penyumbang lain, jika Dr. Mahathir membayar berjuta-juta ringgit kepada sebuah syarikat Yahudi, Satchi & Satchi untuk membantunya merangka strategi pilihanraya umum 1986, Najib hari ini menghabiskan RM77 juta wang cukai rakyat Malaysia untuk Apco Worldwide demi persediaan Pilihanraya ke-13.

Dan hari ini, apabila ditanya mengenai hubungan dagang Malaysia-Israel berikut adalah jawapan Menteri di Parlimen;
Bentuk perhubungan Malaysia dan lsrael adalah melalui rangkaian bekalan antarabangsa yang kebanyakannya terdiri dari bahan mentah dan komponen elekronik. la dikendalikan oleh syarikat syarikat multinasional yang beroperasi di rantau teluk termasuk lsrael .

Ini bermakna menteri sendiri mengakui memang terdapat hubungan perdagangan antara Malaysia dan Israel, walaupun melalui orang tengah sepertimana modus operandi yang diterangkan di awal entry. Sekarang tiba masanya untuk blogger-blogger pakatan rakyat sama-sama bikin pendedahan setiap kerjasama Malaysia dan Israel! 

Dalam masa sama, tidak hairan juga bila isu perdagangan Malaysia-Israel seolah-olah disorok habis-habisan oleh regim BN walaupun sebenarnya sebelum ini ada ahli parlimen yang ditendang keluar dewan parlimen hanya kerana mempersoal hubung dagangan Malaysia-Israel. YB tersebut dipanggil masuk semula setelah beberapa jam, mungkin bagi mengelakkan isu dagangan Malaysia-Israel yang dibawa ke parlimen mencetuskan percikan yang membawa kepada kemarahan seluruh umat Islam di Malaysia.

Sila refer entry Edyes bertajuk "Ahli Parlimen Pakatan Dihalau Bila Bongkar Dagangan Malaysia-Israel !!" dan satu lagi entry penjelasan YB Er Teck Hwa mengapa beliau dihalau keluar parlimen dalam tajuk "MP Bakri: Jangan Sembunyi Dagangan Malaysia-Israel !!" .

Antara yang berkaitan juga, satu entry yang menjelaskan bagaimana Micha Harish, Israel Minister of Industry & Trade dalam Israel-Asia Chamber of Commerce pernah menulis kata-kata aluan yang dipetik dalam satu makalah promosi perdagangan Israel mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia kerana sudi punya hubungan dagang membantu ekonomi Israel dalam entry bertajuk "Kita Bising Peninju Israel Masuk Tetapi Diam Perihal Hubungan Dagang M'sia-Israel?"

Awal hari ini juga, satu pendedahan penting juga dibuat oleh blogger pulakdah! apabila memberikan satu senarai yang menunjukkan Malaysia sebagai rakan dagang ke-15 tertinggi Israel. Bayangkan daripada lebih 200 negara, Malaysia di kedudukkan ke 15 dunia yang berdagang dengan Israel!! Berapa ramai anak Palestin yang dibunuh hasil sumbangan negara ?? Pendedahan tersebut boleh dirujuk dalam entry "Seksualiti Merdeka Berjaya Tenggelamkan Isu Dagangan Malaysia-Israel"
 
Lihat senarai Israel's Trade With Main Partners 2010 di bawah;

Klik untuk lebih jelas
Sila masuk ke link di sini untuk menjadi saksi melihat sendiri negara Malaysia yang selama ini meratapi kematian anak-anak Palestine telah menjadi rakan dagang Israel yang ke-15 terbesar. Ini bukan cerita kosong! Ini cerita betapa munafiknya pemimpin negara 'Islam' Malaysia yang sebenarnya tidak jauh bezanya dengan negara arab yang menjalinkan hubungan terus dengan Israel.

Jangan terkesima lagi, Edyes teruskan dengan pendedahan blogger MiloSuam pula yang menyiasat laman web www.zim.com, mendapati ZIM Integrated Shipping Services Ltd merupakan syarikat perkapalan terbesar Israel dan negara kita pula bekerjasama dengan syarikat tersebut. Lihat entry hot "Bagaimana Lori Dagang Syarikat Israel terlepas masuk Malaysia?"


Klik untuk besarkan gambar
Semua pencerahan dan penerangan di atas ini sebenarnya telah diakui lebih awal oleh Utusan Malaysia sendiri. Ketika kapal pengangkut kontena milik syarikat ZIM Integrated Shipping Services Ltd tahun lalu, Utusan sendiri melalui penulisnya Zaini Hassan telah membuat satu artikel mendedahkan senario bagaimana halusnya rejim zionis menjalinkan hubungan dagang dengan Malaysia di bawah tajuk Bendera Israel berkibar di Malaysia?. 

Nantikan pendedahan SAMM yang lebih besar bila-bila masa dari sekarang. SAMM sebagai penggerak anak muda radikal akan memaparkan printscreen/gambar borang kastam yang menunjukkan terdapat urusniaga secara terus dari Haomanut Street, Netanya Israel ke Kargo KLIA dan dibawa ke Negeri Sembilan !!

Selari dengan itu, Chegubard sebagai Ketua Penyelaras SAMM akan membuat pendedahan penting di dalam kawasan parlimen Jeli iaitu parlimen kepunyaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia pada tanggal 10 November 2011. Edyes akhiri entry ini dengan sebuah kenyataan Siaran Umum, Seketariat SAMM Kebangsaan bersama tentatif pembentangan BUKTI HUBUNGAN DAGANG M'SIA-ISRAEL

Ingatlah, walau apa pun terjadi, Malaysia ini negara anda. Ia negara kita, ia memang banyak masaalah. Malaysia perlukan kita semua.

Sesungguhnya menentang zionis itu hukumnya jatuh wajib ke atas setiap umat Islam. Jika pun tiada kemampuan untuk pergi ke Palestine, pikul senjata dan memerangi Yahudi lakhnatullah, adalah sama makamnya dalam setiap usaha kita menumbangkan rejim Umno dan BN supaya Malaysia tidak lagi menjadi sebahagian daripada penyumbang penguasaan Zionis!!


EDYES @ edyesdotcom



Siaran Umum
Seketeriat SAMM Kebangsaan
8 Nov 2011
Profesor Dr. Syeikh Yusuf Al-Qardhawi dalam khutbah Jumaat bertarikh 12 April 2002 seperti disiarkan di dalam fatwa, hakam dan...‘muhadaroh’ telah menyeru umat Islam dan negara Islam untuk memboikot semua produk dan membatalkan hubungan dagangan dengan Israel. Beliau menegaskan bahawa perbuatan mengadakan hubungan dagangan dengan Israel adalah tergolong dalam dosa-dosa besar dan kerajaan adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar tersebut.
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) secara konsisten sejak dua tahun kebelakangan membangkitkan isu hubungan dagang Malaysia - Israel. Isu ini telah diangkat oleh YB Er Teck Hwa (ahli Parlimen Bakri) sebagai soalan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam ucapan perbahasannya pada 17 Oktober 2011 yang lalu.

Namun pada 31 Oktober 2011, Menteri Dato' Mustafa Mohamad telah bangun ke di Parlimen untuk menjawab soalan mengenai kementerian yang diwakilinya telah tidak menjawab soalan hubungan dagang dengan Israel. Ahli Parlimen Bakri walaubagaimanapun telah bangun beberapa kali mencelah meminta penjelasan mengenai hubungan Malaysia dan Israel. Mustafa terus membisu dan tidak tahan dengan asakan Mustafa diselamatkan oleh Yang Di Pertua Dewan dengan mengarahkan ahli Parlimen Bakri keluar. Di rekodkan ahli parlimen bakri telah diusir keluar secara fizikal oleh Bentara dewan kerana memohon penjelasan mengenai hubungan dagang Malaysia - Israel.

SAMM melihat perkara ini dengan serius. Kembali kepada kuasa rakyat. Maka SAMM dengan kerjasama Pemuda PAS Kelantan akan mengadakan satu ceramah umum bagi membentangkan bukti-bukti hubungan dagang Malaysia - Israel di hadapan pengundi kawasan menteri berkenaan di Jeli.

Semua di jemput hadir dan menyebarkan makluman ini.

CERAMAH UMUM
'BENTANG BUKTI HUBUNGAN DAGANG M'SIA-ISRAEL'
10 November 2011
9.00 malam
Markas UPU, Ayer lanas, Jeli
bersama che'GuBard (SAMM) dan Ust Hafiz Musa (DPPK)


Tuesday, November 8, 2011

UTUSAN : Bendera Israel berkibar di Malaysia?



Bendera Israel berkibar di Malaysia?

Oleh Zaini Hassan


KAPAL Zim USA yang didaftarkan di Israel ini kali terakhir memasuki Pelabuhan Klang pada 20 Jun.

BENAR seperti kata negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kita mudah lupa. Ingat lagi semasa Gaza diserang bertalu-talu, seluruh rakyat Malaysia, terutamanya orang Islam bagai nak gila. Demonstrasi sana-sini. Minta diboikot itu dan ini, barangan yang dikeluarkan oleh Yahudi dan yang diasaskan dari Israel.

Lepas sebulan serangan ke atas Gaza tamat, pemikiran kita mula lembam, enam bulan selepas itu sedikit demi sedikit mula lupa dan selepas setahun terus lupa.

Kempen-kempen boikot dan amarah kita sudah hilang sehinggalah seminggu ini. Sejak minggu lalu kita bangkit semula. Solat hajat diadakan semula di sana-sini. Televisyen dan akhbar-akhbar penuh dengan berita dan komentari (termasuklah Cuit ini hari ini) mengenai kisah Israel, Yahudi dan kekejamannya. Jika Israel tahu mengenai sindrom mudah lupa kita, sudah pasti mereka akan ketawa terbahak-bahak. Tapi bangsa Yahudi ini bijak, mereka memang tahu tabiat kita, terutamanya umat Islam dan orang Melayu kita ini. Kita ini hanya akan melompat ikut musim. Itu pasal Israel suka menyerang ikut musim. Ada musim-musim tertentu mereka akan bertindak dan sekali gus dunia (terutamanya dunia Islam) akan melompat. Kemudian senyap.

Tujuan mereka ialah supaya semua orang ingat akan (kewujudan) negara Israel itu.

Dari segi dasar kerajaan, Malaysia memang konsisten. Kita adalah antara segelintir negara Islam dan di dunia yang tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel. Langkah kerajaan itu amat kita sanjung. Kita berharap selagi ada negara Yahudi haram itu, kita tidak akan mengiktiraf kewujudannya sampai bila-bila.

Begitu juga hubungan dagangan dengan negara itu. Secara automatik hubungan itu tidak berlaku, kerana kita tiada hubungan diplomatik. Mengikut undang-undang antarabangsa, Israel tidak boleh juga menahan rakyat kita kerana kita tiada hubungan yang sah dengannya. Dalam kes yang berlaku ke atas kapal misi kemanusiaan ke Gaza itu, rakyat Malaysia ditahan di laut antarabangsa - bukan dalam kawasan perairannya, itu lagi salah.

Namun, walaupun kita tidak mempunyai hubungan itu, difahamkan ada juga barangan dari negara rejim Yahudi ini memasuki negara ini. Mungkin bukan terus, tapi dari negara ketiga.

Tapi benarkah kapal Israel dibenarkan memasuki ke pelabuhan kita dan melakukan perdagangan dengan negara ini secara terus?

Benarkah itu berlaku? Apakan kerajaan sedar ia berlaku?

Melalui maklumat seorang sahabat yang terlibat secara terus dalam bidang perkapalan, saya melakukan siasatan. Satu maklumat kepada saya kemudiannya mendedahkan senario bagaimana halusnya rejim itu menjalinkan hubungan dagang dengan kita.

Kita jangan cakap perkakasan yang canggih dan besar-besar yang dihantar untuk kegunaan kita di sini dari negara ketiga. Kita cuma bercakap mengenai soal buah epal dan buah oren yang dihantar oleh kapal mereka ke pelabuhan kita. Rakan yang mendedahkan maklumat itu geram kerana kapal kemanusiaan kita dihalau dan diserang, sebaliknya kapal Israel sewenang-wenangnya berlayar dan berdagang di negara ini! Bolehkah pula kapal MISC kita memasuki Pelabuhan Haifa di Israel? Jawapannya, tidak.

Begini bunyi maklumat itu (yang diterjemah dalam bahasa Melayu):

Zim Israel Navigation Company ialah syarikat perkapalan milik Israel. Statusnya lebih kurang macam MISC, syarikat perkapalan nasional kita.

Maklumat mengenai syarikat perkapalan Zim boleh dilayari melalui www.zim.co.il. Di bawah tajuk sejarah, ditulis: Bermula dengan permulaan bersejarah pada 1945 sebagai kapal pengangkut imigran (kaum pendatang) dari wilayah berperang Eropah ke negara harapan bernama Israel, ZIM kini menjadi salah sebuah syarikat perkapalan terbesar yang beroperasi di seluruh dunia. (From historic beginnings in 1945 as a carrier of immigrants from war-torn Europe to the nascent state of Israel, ZIM has become one of the world‘s largest shipping companies with operations throughout the world.)

Kelmarin (7 Jun kapalnya bernama Zim Genova) berlabuh di Pelabuhan Klang membawa kargo-kargo yang besar.

Secara puratanya kapal itu panjangnya kira-kira 253 meter, lebar 32 meter dan boleh membawa muatan sebanyak 4,000 Teu atau bersamaan 4,000 buah kontena 20 kaki. Ia berlayar keluar dari pelabuhan itu kira-kira pukul 7 pagi semalam (8 Jun).

Selain Zim Genova, kapal-kapal Zim lain yang berulang-alik ke Pelabuhan Klang ialah Zim USA (didaftarkan di Israel), Zim Kingston, Zim Monaco (pelabuhan terakhir: Pelabuhan Klang enam hari lalu), Zim Dalian dan Zim Lovorno (yang kesemuanya didaftarkan di beberapa buah negara lain).

Zim USA, misalnya kali terakhir memasuki Pelabuhan Klang ialah sekitar 20 Mei lalu, kira-kira tengah hari (Sila layari http://www.marinetraffic.com/ais/shipdetails.aspx?mmsi=428000109).

Di serombong asapnya (funnel) terpampang bendera Israel – tujuh bintang yang dengan megahkan berlabuh di pelabuhan kita!

Kebanyakan pegawai kapal-kapal itu terdiri daripada rakyat Israel.

Satu lagi e-mel yang diterima berbunyi:

Zim Israel Navigation Company atau Zim Lines juga mempunyai anak syarikat penuhnya iaitu Gold Star Line. Nama kapal-kapalnya ialah: New Asia Middle East Express, China Vietnam Express, East Mediteranean Express, Far East Africa Express dan Chittagong Malaysia Express.

Gold Star Line ini berpangkalan di Hong Kong. Di negara Islam seperti Pakistan, Bangladesh, Indonesia - Zim beroperasi di bawah nama Gold Star Line.

Menurut sumber itu, ada antara kargo dari kapal Zim dikatakan melalui proses pelabelan semula (relabelling) di Singapura sebelum memasuki Malaysia. Difahamkan antara kargo yang dibawa masuk ke Malaysia ialah buah oren dan epal di bawah nama HIFA.

E-mel itu menulis lagi: Sekiranya kita tiada hubungan dua hala dengan Israel, mengapa dibenarkan kapal-kapal mereka memasuki perairan kita? Mengapa berdagang dengan mereka? Apa yang berlaku ini?

Saya tidak boleh jawab soalan itu. Saya hanya boleh tulis dan sampaikan. Jika betul, kita minta -- Kementerian Pengangkutan, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) serta pengendali pelabuhan yang diswastakan iaitu Pelabuhan Barat (West Port) dan Pelabuhan Utara (North Port) - sila jawab, jika salah sila jelaskan.


EDYES wrote:

Berita di atas adalah laporan dari Utusan sendiri. Oleh demikian, pembaca utusan yang terdiri daripada UMNO tegar dan sedikit pengundi atas pagar sepatutnya lebih percaya bahawa kerajaan hari ini berdagang dengan Israel !! Sila lihat gambar di bawah;



Amanah: Panggil PRU-13 hanya lepas pembaharuan pilihan raya

November 08, 2011
KUALA LUMPUR, 8 Nov — Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah mahu pilihan raya umum ke-13 hanya diadakan selepas pembaharuan pilihan raya yang dijanjikan Datuk Seri Najib Razak dilaksanakan.

Bercakap pada sidang media hari ini, Tengku Razaleigh (gambar) yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata pentadbiran Najib perlu melaksanakan cadangan pembaharuan pilihan raya selepas jawatankuasa pilihan khas Parlimen selesai menjalankan kajian.

“Kita alu-alukan langkah kerajaan bawa perkara ini ke Parlimen, kita harap kerajaan dalam laksanakan cadangan pilihan raya selepas jawatankuasa ini selesai jalankan kajian. Kemudian baru panggil pilihan raya umum ke-13,” katanya.

Timbalan Presiden Amanah Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata Putrajaya masih mempunyai masa untuk melakukan pembaharuan pilihan raya memandangkan mandat hanya akan berakhir April 2013.
Katanya, sekiranya pembaharuan pilihan raya tidak dilakukan penubuhan jawatankuasa khas itu disifatkan beliau sebagai “main-main dan macam drama.”

“Kami sebenarnya mahukan suruhanjaya diraja tapi jawatankuasa pilihan khas ini tiada masalah, biar mereka siapkan tugas kerana semua wakil parti politik ada di situ.

“Kita masih ada masa, tak perlu nak tergesa-gesa, kalau buat pilihan raya umum ke-13 awal nampak macam ia main-main dan macam drama. Bahkan orang BN (Barisan Nasional) juga mahu pilihan raya umum ke-13 diadakan selepas jawatankuasa selesai jalankan tugas dan pembaharuan dilakukan,” katanya.

Seksualiti Merdeka BERJAYA Tenggelamkan PERDAGANGAN ISRAEL



Hebat betul media BN mainkan isu Seksualiti Merdeka. Punya hebat sehinggakan pemimpin PR pun terus lupa pada isu hubungan dagang bersama Israel. Dalam masa seminggu saja isu hubungan dagang Israel yang ditimbulkan ole YB Er Teck Hwa sehingga dihalau dari dewan tenggelam tidak tanpa jawapan oleh Menteri MITI, mahupun Timbalan Menterinya Mukhriz Mahathir.

Bagi aku isu Seksualiti Merdeka ini sebenarnya ditimbulkan bukanlah untuk menghalang penganjurannya. Jika kerajaan BN benar-benar serius untuk menghalang penganjurannya, ia sudah dilakukan sejak 2008 lagi. Isu ini sebenarnya sengaja ditimbulkan sebagai senjata serampang dua mata. Satu peluru untuk dua sasaran.  Sasaran pertama untuk menutup isu hubungan dagang Malaysia-Israel. Sasaran kedua untuk memecahkan sokongan rakyat ke atas BERSIH, apatah lagi BERSIH 3.0 dijangka akan dilancarkan jika pilihanraya diumumkan sebelum reformasi dalam pilihanraya dilakukan oleh Najib.

Untuk kesekian kalinya politik persepsi 'berjaya' dimainkan dalam isu Seksualiti Merdeka oleh BN-UMNO. Sejak dari mula lagi mereka menimbulkan isu Seksualiti Merdeka ini, mereka telah melabelkan ianya adalah sebuah perhimpunan seks bebas. Itu persepsi yang ingin mereka tanamkan. Seksualiti Merdeka ialah pesta seks bebas. Mereka kemudiannya berjaya menimbulkankan persepsi  bahawa Ambiga adalah seorang penyokong Seksualiti Merdeka atau bahasa mudahnya - Ambiga penyokong kumpulan penganjur seks bebas. Sebelum ini mereka berjaya menggambarkan Ambiga adalah BERSIH, dan BERSIH adalah Ambiga. Ini secara tidak tidak langsung memudahkan tugas mereka untuk menyekat perancangan BERSIH 3.0. Penyokong BERSIH 2.0 yang 'termakan' dengan persepsi ini mungkin tidak akan turun pada BERSIH 3.0 kerana bagi mereka Ambiga penyokong anjuran perhimpunan seks bebas.

Isu Seksualiti Merdeka ini juga berjaya membuka mulut pemimpin PAS untuk mengeluarkan kenyataan. Tantawi antara yang paling awal mengeluarkan kenyataan selepas TV3 membuat laporan bahawa ada satu festival seks sejenis akan berlangsung di ibu kota tanpa usul periksa dan tanpa bertanya kepada penganjur. Malah Nik Aziz juga turut membuat komen.

Berbalik kepada isu hubungan dagang Malaysia-Israel, walaupun isu ini ditimbulkan di parlimen, sehingga Er Teck Hwa dihalau keluar, langsung tiada media yang menimbulkan isu ini. Atau dalam bahasa mudahnya, tiada media dari pro-Pakatan Rakyat yang memainkan persepsi bahawa kerajaan BN adalah sekutu kuat kepada pembangunan ekonomi Israel. Tidak ada.

Sebaik aku dapat khabar dari parlimen Er Teck Hwa dihalau keluar dari dewan, aku tunggu mana-mana media yang paling awal pick-up berita ni. Aku tak mahu pick up berita ni dalam blog sebab nak tengok adakah media PR akan berjaya dalam permainan politik persepsi ini. Er Teck Hwa dah bagi bola tanggung. Sayangnya tajuk yang keluar dalam Malaysiakini, Sidang Dewan Rakyat kecoh, tiga MP diarah keluar.' Dan daripada tiga MP yang diarahkan keluar, berita pasal Gobala dapat perhatian Isu Kg 'Buah Dada': Gobala diarah keluar Dewan Rakyat. Takde dalam tajuk laporan media yang ada perkataan ISRAEL. Yang ada ialah perkataan KELUAR DEWAN. Bola tanggung yang diberi ole Er Teck Hwa tidak bersambut.

Di sini kita nampak kehebatan BN di dalam permainan politik persepsi apabila tiada seorang pun pemimpin BN yang sambut atau respon isu ini. Jika ada pun Nazri Aziz, itupun tidak lebih tiga patah perkataan. Yang menghighlightkan isu hubungan dagang ini kemudiannya ialah daripada Er Teck Hwa, blog Jalan Sayang, blog CheguBard, blog Amenoworld, blog Milosuam dan beberapa blog lagi. Selepas itu barulah media pro-PR tekankan balik kepada fokus isu sebenar iaitu hubungan dagang Malaysia-Israel dan bukannya isu 'keluar dewan'. Dalam kesibukan media terlambat fokus di dalam isu ini...tiba-tiba BN menimbulkan isu baru - Seksualiti Merdeka. Akhirnya isu hubungan dagang Malaysia-Israel ini tenggelam terus selepas itu.

Segala penat lelah blogger-blogger PR mencari data yang menunjukkan Malaysia menjadi negara ke 15 menjadi rakan dagang utama Israel tidak disahut.



Malah ada yang berjaya merakamkan gambar lori kargo ZIM di lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Nama "Zim" ini dicadangkan oleh Menteri Pengangkutan Israel yang pertama, David Remez, berdasarkan petikan di dalam Injil Perjanjian Lama (24:24) di mana perkataan Hebrew "Zim" merujuk kepada "kapal besar." Nama ini dipilih bersesuaian dengan matlamat utama syarikat: untuk membina sebuah armada dagang yang besar. Pastinya ia begitu besar sehingga berjaya sampai ke Malaysia. Semak di sini untuk maklumat lanjut mengenai syarikat ZIM. Namun gambar sebegini juga gagal memainkan persepsi rakyat bahawa Malaysia merupakan sekutu kuat dalam pembangunan ekonomi Israel.


Apa silapnya di dalam politik persepsi kali ini?. Pertama, tiada tindakan susulan selepas Er Teck Hwa ditendang keluar dari dewan. Tiada sidang media. Lihat bagaimana Gobala membuat sidang media selepas ditendang keluar, barulah media pick-up Kg Buah Dada sebagai tajuk. Tetapi tidak ada sidang media berkenaan isu hubungan dagang Malaysia-Israel. Apabila wartawan bertanya sumber rujukan Er, dia menjawab berdasarkan maklumat laman web www.anakmudamalaysia.com. Sepatutnya Er Teck Hwa perlu ada dokumen keluar-masuk barang dagangan antara Malaysia-Israel. Dan di dalam sidang media itu, Er perlu mengulang semula soalannya di dalam dewan, dan tunjukkan dokumen tersebut sebagai bukti. Di sinilah perlunya CheguBard.

Kenapa perlunya CheguBard?. Kerana CheguBard dapat menerangkan lebih jelas lagi berkenaan isu hubungan dagang Malaysia-Israel ini. Semua sedia maklum, Er Teck Hwa sekadar memanjangkan persoalan yang ditimbulkan di dalam siri ceramahnya dan di bawa ke dalam Parlimen. Jika CheguBard bersama Er Teck Hwa membuat sidang media pada hari itu, lengkap bersama dokumen kastam. Pastinya isu hubungan dagang ini tidak akan hilang seperti hari ini. Ia akan jadi sehangat isu cincin RM24juta. Saya pasti.

Lihat bagaimana isu cincin ini menjadi igauan kepada pimpinan BN. Sehingga keluar pelbagai jawapan kartun. Sekejap kata cincin tu tak wujud, sekejap kata ada. Lebih kelakar lagi kenyataan Anuar Saari yang mengatakan cincin itu adalah hadiah daripada bakal besan Rosmah. Begitulah hebatnya isu cincin ini. Ia berjaya membawa persepsi yang buruk kepada Rosmah di mata rakyat. Tetapi ini tidak berlaku kepada isu hubungan dagang Malaysia-Israel ini. Rakyat nampaknya seolah-olah tidak terkesan dengan hubungan dagang ini. Ada beberapa pencacai BN yang menjawab bahawa isu dagang jangan dipolitikkan.

Mereka menimbulkan persoalan adakah kita termasuk dalam golongan zionis hanya kerana berdagang dengan mereka?. Atau hanya kerana meggunakan produk mereka?. Mungkin kita akan terasa ada benarnya juga hujah mereka.

Tetapi jangan lupa, ketika peristiwa kapal flotilla Mavi Marmara diserang Israel pada September 2010. Antara anak kapal di dalam kapal tersebut adalah rakyat Malaysia. Maka bertempiklah kita memaki hamun Israel. Marah dan benci sekali kita dengan Israel. Tetapi kerajaan pemerintah Malaysia masih tidak berani mengumumkan sebagaimana pemerintah Turki mengumumkan menghentikan semua kerjasama perdagangan, ketenteraan dan pertahanan dengan Israel. Langkah ini dilakukan selepas Israel menolak untuk meminta maaf atas penyerbuan ke kapal bantuan Turki itu ke Gaza.

"Hubungan perdagangan, ketenteraan dan industri pertahanan, kami hentikan itu semua," kata Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan, pada Selasa 6 September 2011, seperti laporan Aljazeera. Sebelum itu, Turki mengusir diplomat Israel di Ankara sebagai bentuk protes.

Bagaimanapun masih ada peluang untuk menimbulkan isu dan persoalan berkaitan hubungan dagang Malaysia-Israel ini. Sekarang semuanya terpulang kepada CheguBard.

Jika CheguBard berjaya mengulangi pendedahan hubungan dagang Malaysia-Israel ini seperti mana pendedahan dokumen-dokumen cincin RM24juta. Persepsi rakyat terhadap cincin RM24juta akan berulang dengan persepsi Malaysia adalah sekutu kuat pembangunan ekonomi Israel. Suka tidak suka, rakyat Malaysia akan percaya bahawa kerajaan BN antara penyumbang peluru yang membedil ke jantung setiap tubuh rakyat Palestin yang tidak berdosa.


Author Faethal (Pulakdah!)

Najib Haji Marlboro ?




Mufti terkejut PM, Rosmah selesai tunai ibadah haji - malaysiakini

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya melahirkan rasa agak terkejut dengan laporan berita bahawa seorang pemimpin kanan negara bersama isterinya serta orang kenamaan lain telah selesai ibadat haji.

Menurutnya, sedangkan paling awal jemaah haji akan menamatkan ibadat mereka adalah pada waktu Zohor hari ini itupun jika mereka melakukan nafar awal iaitu setelah selesai bermabit di Mina malam 11 dan 12 Zulhijjah dan melontar tiga jamrah pada dua hari berkenaan.

“Haji hanya akan selesai paling awal pada 12 Zulhijjah atau Selasa 8 nov. Bagi yang melakukan Nafar Thani dan mahu melengkapkan tempoh bermabit dan melontar di Mina mereka akan selesai haji pada 9 November bersamaan 13 Zulhijjah.

“Melainkan kalau yang berkenaan tidak mahu menyelesaikan urusan wajib haji yang dua di atas dan hanya mahu membayar dam atau denda akibat tidak selesaikan wajib haji. Itu hal lain,” kata mufti itu dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Bernama pada Ahad lalu, melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor selesai menunaikan ibadah pada 6 November.

Laporan itu berdasarkan twitter Najib yang menulis: "Alhamdulillah urusan haji kami sudah selesai."

Menunaikan rukun Islam kelima itu bersama Perdana Menteri ialah ibu beliau, Tun Rahah Mohamad Noah dan adik Najib, Datuk Mohamed Nazim, serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Andul Kadir.

Mengulas laporan itu, Juanda berkata pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan supaya rakyat tidak terkeliru.

“Sesuatu perlu diperjelaskan? Kita mahukan VVIP kita mendapat nasihat agama yang benar, bukannya hanya ikut ikutan sahaja.

“Jika tidak ia akan memalukan VVIP berkenaan dan Malaysia sebagai sebuah negara Islam,” katanya lagi.

EidulAdha dan Makna Besar Terhadap Anak Muda (Wajib Baca!)





Hari ini, umat Islam seluruh dunia akan merayakan Hari Raya Aidiladha. Kedatangan 10 Zulhijjah disambut seluruh umat Islam diseluruh dunia bagi memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s dalam menuruti perintah Allah s.w.t. Kedatangan Aidiladha ini sewajarnya disambut dengan penuh keinsafan akan maksud sebenarnya Ibadah Qurban, taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya. Selain itu, simbolik kedatangan Aidiladha juga adalah penghayatan pengorbanan dalam bernegara.

Anak muda merupakan golongan yang secara langsung terlibat dalam segala aspek kehidupan bernegara yang sentiasa berjuang dalam memastikan diri kita tidak tercicir dalam arus pembangunan. Setujukah kawan – kawan bahawa hari ini kita terpaksa memikirkan beban kos minyak, gaji yang rendah, mutu pendidikan yang merosot, kekurangan pusat – pusat riadah. Mereka membina Kompleks berharga jutaan ringgit, tetapi adakah kita anak muda pertengahan ini mampu untuk merasai nikmat kompleks itu?

Pelajar telah kehilangan kebebasan akademik walaupun sedikit sinar muncul disebalik kes UKM4 namun, sikap Kerajaan yang ingin merayu penghakiman Mahkamah Rayuan adalah amat dikesali. Anak muda pelajar terus ingin dicengkam dengan AUKU oleh rejim pemerintah. Anak muda terus dicengkam minda. Tiada kebebasan dalam berfikir yang boleh memberikan impak positif kepada Negara. MY Creative Capital yang diumumkan dalam Belanjawan 2012 tidak akan mungkin mencapai objektif sebenar sekiranya kebebasan berfikir terus dijajah.

Jika Isacc Newton dilarang meluahkan idea kepada guru dan rakan sekolah, mungkin tiada kedengaran tentang gravity. Jika Albert Einstein dikongkong dari berhujah di sekolah, di university hanya kerana tiada tauliah, tentunya dia tidak dapat menghasilkan teori yang mengubah persepsi manusia terhadap ruang, masa dan gravity. Dan, jika Mark Zuckerberg tidak diberikan ruang untuk mencipta, sudah pasti hari ini kita tidak dapat berinteraksi dengan rakan-rakan di seluruh dunia melalui facebook. Sistem pendidikan hari ini akan kekal tempang manakala sistem mengemis projek dan kontrak akan berterusan. Anak muda akan terus kehilangan arah kerana kreativiti gagal muncul tanpa kebebasan berfikir, bersuara dan berekspresi.

3 November lepas menjadi titik kebangkitan golongan pekerja menuntut pembelaan hak mereka daripada ditindas oleh golongan kapitalis dan opportunis politik apparat kapitalis yang rakus menjadi lintah menghisap darah mereka. Kaum pekerja merupakan segmen masyarakat yang selama ini telah bermandi peluh, berkorban jerit perih demi untuk membangunkan dan memajukan Negara. Jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai ini sedang cuba disentap dengan pengenalan pindaan Akta Kerja 1955 yang berpotensi untuk menindas dan menganiayai mereka.

Kaum pekerja perlu bersatu dengan mengambil pengertian dan semangat Aidiladha ini dalam perjuangan suci mereka untuk terus bangkit memperjuangkan hak mereka bersama. Pengorbanan kaum pekerja selama ini harus diangkat dengan memberikan mereka pembelaan yang sewajarnya, bukannya penindasan demi penindasan hanya untuk terus mengkayakan segelintir kapitalis. Ahli politik mesti memahami hakikat kedatangan Aidiladha, melakukan tindakan dan perbuatan untuk mencari keredhaan Allah, bukannya menjadi opportunis bernaung sebagai apparat kapitalis hanya kerana anda memerlukan sumber pembiayaan kempen pilihanraya semata-mata.

Kita juga anak muda pasca-merdeka perlu mengambil iktibar kesusahan dan keperitan pejuang-pejuang tanahair termasuklah pejuang-pejuang yang tidak didendang (unsung Heroes) selama ini. Mereka telah bersatu hati menentang penjajah dengan kudrat kecil jika dibanding dengan penjajah, namun semangat untuk memerdekakan tanahair dari genggaman penjajah yang menindas tidak pernah luntur. Pejuang-pejuang ini tidak pernah gentar walau dipenjara, diseksa, dihina dengan pelbagai gelaran. Komunis, pelampau agama dan kaum adalah kalimah-kalimah warisan penjajah demi untuk memastikan tanahair tercinta ini kekal di dalam genggaman mereka melalui pewaris-pewaris yang dicipta penjajah. Iktibar semangat dan pengorbanan mereka ini perlu ditanam di dalam setiap diri kita anak muda pasca-merdeka. Jangan menjadi lemah longlai hanya dengan pemberian materialistik hingga kita alpa dengan nasib teman-teman lain di sekeliling kita.

Lihat, anak muda Mesir, Libya dan Tunisia yang telah bangkit menolak rejim pemerintah zalim, rakus kuasa, haloba dan aparat kapitalis yang menindas mereka bertahun lamanya. Mereka sanggup berkorban demi membebaskan Negara mereka dari penguasa bongkak yang tidak lagi mengenal erti ketuhanan dan kemanusiaan. Di Libya, di sebalik segala kebajikan yang diberikan oleh Rejim Ghadaffi namun, rakyat bangkit menuntut sebuah pemerintahan yang adil dan berperikemanusiaan.

Sempena kedatangan Hari Raya Aidiladha ini dapat kita bersama-sama insafi pengertian sebuah pengorbanan agar masa depan Negara ini terus bergemerlapan tanpa penindasan terhadap mana-mana entity di dalamnya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Saturday, November 5, 2011

Jika Parlimen Bubar 11 November, Najib Bakal Hadapi Gerakan Besar Melampaui Protes!!





Kenyataan Media
5 November 2011

Di serata dunia kebelakangan ini, kita melihat kebangkitan kuasa rakyat menundukkan pemerintahan diktator di beberapa buah negara. Negara ini juga secara langsung atau tidak langsung sebenarnya telah menyahut kebangkitan kuasa rakyat yang amat ditakuti oleh kerajaan yang menyonsang demokrasi untuk kekal memerintah.

Di sebalik kekalnya sebuah kerajaan melalui penipuan demi penipuan, termasuklah penipuan dalam pilihanraya yang melihatkan mereka dengan maksud tertentu telah menolak sistem pilihanraya yang reliable, bersih dan adil, tetapi memilih untuk meneruskan sistem pilihanraya yang meragukan dan mudah dimanipulasi agensi yang diperkuda oleh kerajaan itu sendiri. 

Kerajaan ini juga hebat berlakon kononnya mereka mempunyai sokongan yang kuat, tetapi asasnya ialah rakyat rata-ratanya telah menolak regim pemerintah di atas faktor penindasan dan penyelewengan kepercayaan rakyat. Lalu kerajaan ini tumbang tersungkur walaupun memperolehi kemenangan besar dalam pilihanraya ciptaan mereka. 

Itulah yang berlaku di kebanyakkan negara yang diperintah oleh regim yang menafikan demokrasi serta memperkuda semua agensi yang seharusnya bertindak neutral, malah sanggup menjual kedaulatan negara demi mengekal kuasa.

Di Malaysia, pada 9hb Julai 2011, ribuan rakyat telah memilih jalan raya untuk mendesak penambahbaikan proses pilihan raya negara, yang terbukti dicemari pelbagai kecacatan yang sering dinafi pihak pemerintah.

Kepincangan proses pilihanraya telah diakui oleh Dato Seri Najib Tun Abdul Razak dengan mengumumkan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, bercanggah dengan pengakuan betapa perlunya proses penambahbaikan proses pilihanraya. Dalam pada itu, kenyataan umum terus dikeluarkan oleh pimpinan Barisan Nasional dan Perdana Menteri sendiri, yang mencadangkan bahawa Pilihan Raya Umum yang ke-13 akan diadakan tidak lama lagi dan tidak perlu menunggu proses reformasi pilihanraya yang dijanjikan selesai terlebih dahulu.

Malah lebih menggusarkan dan lebih bercanggah dengan jaminan untuk menambahbaik proses pilihanraya, timbul pula perbagai perkembangan negative seperti pemberian taraf warganegara kepada rakyat asing secara ‘istimewa’ untuk tujuan mengundi. Kegilaan ini seolah-olah menjual negara demi mengekal kuasa.

Juga turut dikhuatiri berlaku, tuntutan penambahbaikkan sistem pilihanraya dalam konteks mereformasikan sistem undi pos dalam protes sebelum ini bukan sahaja tidak diendah malah diburukkan lagi dengan cadangan pekerja awam selain polis dan tentera seperti anggota RELA dan jururawat dipaksa menggunakan undi pos. Sistem pilihanraya dilihat makin dilacurkan untuk membenarkan regim terus berkuasa.

Maklumat terkini, daripada sumber-sumber dalaman yang boleh dipercayai telah mendedahkan bahawa Perdana Menteri akan membubarkan parlimen dalam bulan November bagi membolehkan pilihanraya umum berlaku dalam masa terdekat. Mengambil kesempatan daripada musim tengkujuh dan musim haji, menguatkan lagi betapa November dipilih sebagai waktu paling sesuai lantas memberi kelebihan tambahan buat regim.

Kami Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama dengan teman-teman organisasi massa yang lain pada hari ini mewakili rakyat keseluruhanya memberi amaran kepada Perdana Menteri Malaysia bahawa Pilihanraya Umum hanya boleh dipanggil setelah proses penambahbaikan proses pilihanraya dilakukan. 

Proses penambahbaikan ini juga seharusnya satu proses ‘reformasi’ serius yang memberi jawapan kepada kelemahan-kelemahan yang sering dipergunakan oleh pihak tertentu dan bukan hanya perubahan kosmetik semata-mata.

Yakinlah rakyat sudah mula hilang kesabaran. Negara sedang berdepan dengan krisis kepercayaan proses demokrasi pilihanraya paling teruk sekarang ini. Jika Pilihanraya Umum masih berlaku sebelum proses penambahbaikan pilihanraya yang meyakinkan kami berjanji akan menggerakkan mobilisasi rakyat terbesar.

Jika pilihanraya dipanggil dalam masa terdekat (paling tidak) sebelum menunggu jawatankuasa khas membuat keputusan maka sudah tentu satu pilihanraya paling kotor dalam sejarah sedang dijanjikan. Jika ini tetap dilakukan maka tidak dapat dielakkan persepsi pilihanraya kali ini hanya proses ‘palsu’ bagi menghalalkan regim terus berkuasa.

Maka tidak menolak kemungkinan kali ini rakyat turun bukan sahaja untuk melakukan protes tapi benar – benar untuk menukar regim yang sekian lama gagal menjamin hak rakyat untuk mendapatkan proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil. Kita tidak boleh menolak kemungkinan rakyat akan bangkit untuk memastikan regim turun agar proses pilihanraya yang adil dan bersih boleh mengambil tempat dan negara ini boleh diselamatkan.

Kami bagi pihak rakyat Malaysia yang perihatin memberikan kata dua kepada Perdana Menteri Malaysia pilihanraya wajib hanya selepas proses penambah baikan proses pilihanraya yangs serius dan menyakinkan selesai atau berdepan dengan kuasa rakyat.

*dibacakan oleh che’GuBard

bagi pihak SOLIDARITI ANAK MUDA MALAYSIA (SAMM)
www.anakmudamalaysia.com