Kenyataan Media SAMM
20 Januari 2016
MB Selangor Perlu Bersihkan Nama Seperti KM Pulau Pinang, SAMM Cabar Heret che'GuBard ke Mahkamah!
SAMM mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng di atas kejayaan membersihkan nama beliau yang dicemar satu dakwaan yang akhirnya terbukti tidak berasas.
Dakwaan dibuat oleh Nasrudin Hassan kononnya YAB LGE telah menganugerahkan projek pembinaan terowong bawah tanah secara rundingan terus walaupun pihak LGE telah memberi nasihat awal tentang kebenaran dan integriti kerajaan P.Pinang. Mahkamah akhirnya memerintahkan Nasrudin menarik balik artikel tulisannya dan membayar RM10,000 sebagai pampasan kepada LGE.
Nasrudin disaman atas artikel tulisannya memfitnah Lim Guan Eng dan kerajaan P.Pinang dalam usaha membela Kerajaan Selangor pimpinan Khalid Ibrahim yang dipertikai apabila meluluskan KIDEX, sebuah projek lebuhraya bertol yang jelas bertentangan dengan aspirasi serta janji perjuangan Pakatan Rakyat ketika itu.
Apa yang berlaku di sebalik keputusan Mahkamah Georgetown itu adalah hampir sinonim dengan perkembangan di Selangor. Bezanya, kelantangan che'GuBard menyuarakan skandal balak Menteri Besar Selangor Azmin Ali dalam istilah 'tender terbuka' masih belum diheret ke mahkamah.
Jika LGE dengan berani membawa Nasrudin ke mahkamah demi menunjukkan tiada anugerah rundingan terus (walaupun mempunyai kuasa berbuat demikian) seperti yang didakwa, mengapa tidak Azmin juga melakukan hal yang sama terhadap che'GuBard?
Proses penganugerahan projek melalui tender terbuka merupakan antara perkara asas semangat reformasi dan janji ketelusan dalam pentadbiran yang ingin ditunjuk kepada rakyat. SAMM menegaskan Kerajaan Selangor melalui Menteri Besar dan mesyuarat exconya mempunyai bidang kuasa meluluskan projek tanpa tender terbuka. Namun jika pemberian tender secara rundingan terus (tanpa tender terbuka) ini dibiarkan berlaku, maka kita seolah-olah mengkianati janji kita kepada rakyat. Malah perjuangan Anwar Ibrahim hingga terbenam ke penjara demi mempertahan prinsip menjadi sia-sia.
Azmin Ali selaku ketua kerajaan selangor bersalah kepada perjuangan ini apabila wujud projek besar tidak melalui proses tender terbuka, contohnya skandal balak yang dibangkitkan oleh che'GuBard baru-baru ini. Lebih teruk, apabila Azmin didapati berbohong di media dengan menyebut kononnya balak yang diluluskan itu melalui tender terbuka.
Justeru itu, SAMM dengan ini mencabar Azmin Ali membawa che'GuBard ke mahkamah, supaya dokumen yang dilindungi akta rahsia rasmi mengenai tender terbuka penganugerahan projek balak tersebut mampu dipaparkan sebagai bukti. MB Selangor perlu membersihkan namanya, jadilah seperti Lim Guan Eng.
Sekian
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)