Friday, April 29, 2016

DEBAT PERDANA: "DEKLARASI - MANA PERGI RAKYAT?"

Kenyataan Media
29 April 2016

DEBAT PERDANA: "DEKLARASI - MANA PERGI RAKYAT?"

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) kini dalam fasa terakhir mempersiapkan sebuah pentas Debat Perdana bertajuk "Deklarasi - Mana Pergi Rakyat?". Debat Perdana ini bakal merungkai persoalan - apakah faedah dan keuntungan rakyat daripada Deklarasi Rakyat yang dilancarkan pada Mac lalu dari perspektif dua pihak yang pro dan kontra kepada penubuhannya.

Debat yang akan dilangsungkan pada 16 Mei 2016 jam 8 malam, bertempat di dewan KLSCAH menampilkan Dato' Ambiga Sreenevasan, Dato' Seri Khairuddin Abu Hassan dan YB Amiruddin Shaari di pihak pro-deklarasi manakala di pihak kontra-deklarasi pula menyaksikan kehadiran cheGuBard (PKR), Arutchelvan (PSM) dan juga sdr Haris Ibrahim (ABU). Moderator pula diserahkan kepada Pengerusi Kesatuan Mahasiswa, sdr Azzan Adnan.

Setakat ini Dato Ambiga, DS Khairuddin, cheGuBard, Arul, Haris dan Azzan telah mengesahkan kehadiran mereka manakala pihak kami masih menunggu jawapan akhir dari YB Amir.

Dalam menjayakan debat ini, SAMM juga telah menjemput beberapa pimpinan yang mengangkat Deklarasi Rakyat sejak awal penubuhan termasuklah Azmin Ali, YB Tian Chua, YB Dr Afif, namun tiada respon yang positif. Ini kali pertama Deklarasi Rakyat diperdebatkan secara terbuka dengan pertemuan dua pihak yang antonim dengan fundamental masing-masing.

SAMM melihat pembentangan hujah secara matang melalui kaedah dua hala mampu menghasilkan percambahan idea dalam erti sebenar menyelamatkan negara, berbanding forum sehala yang bias dan tepu kepada satu sudut pandangan semata-mata. 

Pertembungan idea ini juga harus diraikan sebagai satu medan buat rakyat menilai secara langsung, malah persoalan yang saling dijawab oleh kedua pihak mampu menjadi pedoman buat rakyat dalam menentukan bagaimana seharusnya tanahair gersang ini diselamatkan.

Kehadiran adalah terbuka buat semua tanpa mengira fahaman kepartian dan pengamal media dijemput untuk membuat liputan secara langsung. 

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Monday, April 11, 2016

Mahathir Gagal Setakat Ini, Kita Bagaimana?

Tulisan Umum
11 April 2016

Mahathir Gagal Setakat Ini, Kita Bagaimana?


Pada hemat saya, Program Deklarasi Rakyat versi anak muda yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada hari sabtu lalu tidak mendapat sambutan seperti diharapkan.

Pentas penuh pemimpin muda tetapi audience hanya sedikit yang hadir, selebihnya ialah wartawan. Seolah-olah program tersebut hanya sebuah sidang media.

Pada dasarnya kita menghargai sebarang usaha orang ramai dan gerakan mana-mana pihak untuk selamatkan negara ini. Cuma apabila memilih untuk bersama deklarasi yang kononnya memperjuang 'Institutional Reform', tetapi masih bergerak atas agenda pertahan parti pemerintah (hanya ingin menjatuhkan Najib dan kuncunya), bagi kami ia tidak boleh dikompromi. Malah sosok yang melancarkan deklarasi itu juga yang merosakkan negara, yang membuka tender penindasan rakyat, yang membudayakan rasuah, yang melahirkan menteri-menteri yang ada pada hari ini, termasuk Najib.

Kami sudah berhujah panjang dalam soal deklarasi ini. Kami lancarkan kempen harapan dan amaran, kami hadir dialog, dan kami dapati langkah kami tepat dan banyak pihak yang sudah buka mata.

Lihatlah sendiri program di KSS itu, di mana sokongan anak muda, mana sokongan mahasiswa, sokongan aktivis? Jadi siapa yang sebenarnya bersama deklarasi mahathir ini, kalau bukan opportunist dan segelintir penyokongnya?

Jika dalam sesi dialog tempohari, Mahathir sebut betapa demokrasi itu adalah soal sokongan ramai, nampaknya Mahathir dan deklarasinya boleh dikatakan gagal setakat ini.

Justeru apakah kita terus benarkan kegagalan ini menjadi punca UmnoBN terus memerintah, dan pemimpin mereka terus meratah hasil mahsul khazanah negara?

Pertimbangkanlah semula, kembali ke landasan perjuangan sebenar. Tinggalkan Mahathir dan kuncunya, kita jauh lebih kuat tanpa mereka. Period.

Edy Noor Reduan

Pengarah Propaganda SAMM

Friday, March 11, 2016

Meletakkan Mahathir Di Depan Untuk Mendepani Umno dan BN Satu Kesilapan, Anak Muda Mahasiswa Umum Gerakan Tanpa Kompromi

Kenyataan Media
11 Mac 2016

Meletakkan Mahathir Di Depan Untuk Mendepani Umno dan BN Satu Kesilapan, Anak Muda Mahasiswa Umum Gerakan Tanpa Kompromi

Dalam kecelaruan politik negara seperti yang berlaku hari ini, ketika regim pemerintah kuku besi terus kekal berkuasa dan mengukuh kedudukan, ketika ada pihak yang tergamak bersekongkol dengan perosak yang bertanggungjawab di atas kerosakkan sistem negara dan pembodohan bangsa, dan ketika satu lagi pihak yang berdolak dalik dan berpusing-pusing atas nama agama, rakyat terus dihimpit ke lantai paling bawah dengan kegawatan ekonomi dan sosial yang menjejaskan kehidupan.

Di atas rasa tanggungjawab, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan segala kemampuan akan muncul bersama sebuah gerakan anak muda dan mahasiswa yang bakal dibentuk bagi menolak politik oportunis seterusnya membuka jalan tanpa kompromi menyelamatkan tanahair. 

Secara jelas ingin dinyatakan, kami juga yang terdiri dari kumpulan anak-anak muda dan mahasiswa walaupun tanpa dana besar dan nama besar kini memulakan inisiatif bagi mengumpulkan rakyat ke arah menyedarkan semua termasuk ahli-ahli politik agar celik dari pembohongan dan kemunafikan Dr Mahathir dan kuncunya. 

Mendampingi Dr Mahathir untuk menumbangkan Umno yang dilahirkan oleh Dr Mahathir sendiri adalah umpama satu fantasi. Ia jelas skrip yang sama seperti ketika Abdullah Badawi digulingkan, Mahahtir kembali kepada Umno dan rakyat akhirnya meratapi sengsara lebih besar apabila Perdana Menteri pilihan Mahathir membawa lebih banyak bencana kerosakan kepada negara.

Mahathir tidak layak diberikan lagi peluang setelah 22 tahun pemerintahan kuku besi yang menyaksikan rasuah menjadi budaya, setelah dua kali memilih Perdana Menteri yang gagal dan tarmasuk yang kini membawa ke arah negara gagal (failed state). Seharusnya jika ada deklarasi rakyat yang digarap, ia tidak patut dari Mahathir dan kuncunya. Ia harus dari rakyat yang sebenar.

Meletakkan Mahathir di depan untuk mendepani Umno dan BN adalah satu kesilapan. Jangan ditipu lagi. Maka 9 organisasi massa terdiri dari gerakan mahasiswa dan anak muda menganjurkan :

Malam Penyataan Sikap Rakyat
12 Mac (Sabtu)
8 malam
Dewan Himpunan Cina Selangor, K.Lumpur (KLSCAH) - berdekatan stesen monorail Stadium Merdeka.

Malam tersebut menampilkan permimpin perbagai organisasi sama ada dari parti politik dan NGO juga yang berbezanya ia akan menampilkan pengucap awam yang terdiri dari rakyat biasa seperti pekerja kilang, pelajar, suri rumah, peniaga kecil, pemandu teksi dan ramai lagi yang akan tampil menyatakan sikap dan pandangan mereka. Ini pentas rakyat.

SAMM juga mohon jasa baik dan bantuan semua bantu hebahan dan jemput hadir.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM
Juga selaku antara jurucakap kumpulan ini yang akan diumumkan pada majlis itu nanti.


Tuesday, March 1, 2016

Tuntutan Negara Perubahan SAMM Mendepani Situasi Politik Tanahair

Kenyataan Umum
29 Februari 2016

Tuntutan Negara Perubahan SAMM Mendepani Situasi Politik Tanahair

1. Enam bulan yang lalu, Segmentasi Pemikir Muda SAMM telah mengadakan Bengkel "Rethinking Merdeka - Jalur Tuntutan Negara Perubahan" yang menghimpunkan anak muda Malaysia dari pelbagai latar dengan satu matlamat - menggarap idea mengenai perubahan sistem yang diperlukan bagi meletakkan negara ini kembali ke landasan sebenarnya. 

2. SAMM sememangnya berpendirian dan berpandangan bahawa negara ini sedang menuju ke arah 'Negara Gagal' walaupun ramai yang memperlekehkan usaha SAMM. Hari ini, ternyata pendirian dan pandangan "Negara Perubahan" yang didesak SAMM itu adalah satu langkah yang tepat. Ia dapat dilihat apabila ketika ini rata-rata pemuka politik mula melontar pandangan mengenai perubahan sistem. Usaha SAMM yang awalnya dilihat menyongsang arus itu akhirnya tidak sia-sia.

3. SAMM telah menyedari kepincangan sistem urus tadbir, politik dan ekonomi ini berlaku semenjak 20 hingga 30 tahun kebelakangan ini yang dicetuskan oleh Dr. Mahathir. Kini, semakin melarat dan tidak terkawal malah turut merosakkan struktur sosial dan hubungan antara masyarakat. 

4. Anwar Ibrahim telah mencetuskan kesedaran perubahan sistem ini semasa gelombang kebangkitan 1998. Ia dinamakan Reformasi, lahir dari perlawanan jalanraya di atas roh dan semangat perjuangan menyelamatkan tanahair. 

5. Hakikatnya, gelombang Reformasi ini semakin perlahan kerana ramai antara pemuka politik tanahair lebih terpesona dan tertarik dengan kuasa dan keuntungan politik yang terhasil daripada sistem yang bejat ini. Malah kerusi empuk kedudukan kuasa yang sedikit sudah cukup menjadikan 'pihak pembangkang' selesa untuk terus membangkang seolah melupakan asas aspirasi rakyat dan negara yang benar-benar merdeka.

6. Justeru itu, Perubahan Sistem bukanlah satu retorik yang hanya disebutkan untuk meraih laba politik semata-mata. Tetapi ia perlu didokong dengan iltizam politik dan keberanian untuk menjadikannya satu realiti. Pertembungan demi pertembungan menyaksikan rakyat terus menjadi mangsa. SAMM sebagai gerakan anak muda tidak akan berdiam diri bagi memastikan sistem dan polisi negara yang mencengkam rakyat dan meranapkan tanah air ini perlu diubah segera.

7. SAMM sekali lagi menegaskan tuntutan untuk mewujudkan Kerajaan Sementara (Caretaker Goverment) meliputi semua parti politik dalam tempoh maksima 18 bulan bagi menyelesaikan semua krisis yang sedang berlaku dan, menambahbaik dan memulihkan sistem termasuk sistem pilihanraya bagi mempersiapkan Malaysia untuk menghadapi Pilihanraya Umum yang bersih, adil dan telus. Kerajaan Pemerintah selepas itu perlu melaksanakan fasa pemulihan sistem mengikut acuan yang ditetapkan.

8. SAMM juga dalam masa terdekat ini bersedia untuk berkongsi blueprint Jalur Tuntutan Negara Perubahan SAMM kepada semua pihak yang bersifat pelaksana bagi memastikan gagasan perubahan sistem ini dapat direalisasikan demi masa depan negara yang lebih cerah. 

9. SAMM dengan ini mengajak semua pemain politik yang telah mempunyai kesedaran ini untuk kembali ke papan lukisan. Tinggalkan kepentingan politik kepartian yang sempit ini dan bersama-sama kita lakar satu gagasan perubahan sistem yang boleh direalisasikan bagi membaikpulih sistem negara kita hari ini. 

10. Satu pengumuman akan dibuat oleh anak muda dengan perkiraan masalah negara hari ini gagal diselesai oleh orang-orang tua yang mabuk kuasa.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tuesday, February 16, 2016

Masuk 1.5 juta Bangla Umpama 'Serah' Negara

Kenyataan Media
16 Februari 2016

Masuk 1.5 juta Bangla Umpama 'Serah' Negara

Pengumuman Kerajaan untuk membawa masuk sejumlah 1.5 juta pekerja Bangladesh lagi akan hanya menyaksikan populasi bukan warganegara meningkat kepada 8.2 juta orang jika berdasarkan kepada statistik November 2014. Ini meliputi 27% daripada populasi negara yang berjumlah lebih kurang 30 juta hari ini.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menolak keras usaha mengarut ini dengan fakta dan pandangan berikut;

1. Populasi warga asing seramai 8.2 juta akan menjadi jumlah etnik kedua terbesar mengatasi populasi cina Malaysia yang berjumlah 6.64 juta.

2. Warga Bangladesh yang akan berjumlah 2.1 juta selepas ini akan menjadi populasi etnik ketiga terbesar menggantikan etnik India. Malah jumlah mereka adalah jauh lebih besar dari populasi penduduk Negeri Sembilan dan Melaka (dicampurkan).

3. Kerajaan tidak pernah membentangkan statistik sebenar keperluan pekerja asing mengikut sektor dan industri, malah jumlah warga asing sedia ada jika diperuntukkan untuk bekerja dalam sektor-sektor tertentu seharusnya mencukupi. 

4. Kegagalan kerajaan untuk merangka pelan penambahbaikan produktiviti buruh tempatan dan, struktur gaji dan imbuhan akhirnya jalan mudah diambil dengan mengimport tenaga kerja asing seperti apa yang berlaku hari ini. 

5. SAMM cadang supaya hanya sektor pembinaan, pertanian, perkilangan, perhotelan dan pembantu rumah sahaja dibenarkan untuk diisi oleh warga asing. 

6. Kerajaan harus bertegas memastikan sektor industri perniagaan khususnya restoran dan kedai makan, hanya boleh diisi oleh warga tempatan. Warga asing juga tidak boleh bekerja sebagai penjual di mana-mana premis, jadi kita akan melihat warga asing yang berniaga itu adalah salah dan wajib diberkas. Maka, secara tidak langsung kelopongan sektor ini akan menawarkan jumlah gaji yang lebih tinggi untuk diisi oleh warga tempatan.

7. Ingin disebut juga di sini, Industri makanan dan minuman juga tidak boleh diisi oleh warga asing di atas faktor kebersihan dan kesihatan.

8. Jika alasan pekerja tempatan tidak mahu menceburi bidang pekerjaan yang 'kotor' seperti kata menteri, bagaimana pula dengan ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja dalam industri yang sama di Singapura sedangkan di sini pekerjaan itu diisi oleh pekerja asing?

9. SAMM juga melihat adanya unsur pengambilan untung pantas dengan jumlah bilion ringgit dalam mengurus kemasukkan 1.5 juta warga Bangladesh ini. Malah laporan media yang mengatakan syarikat adik Timbalan Perdana Menteri juga terlibat menimbulkan konflik kepentingan yang berprofil tinggi. Ini sangat tidak wajar sekali, umpama menyerah negara ini untuk disesakkan oleh warga asing.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tuesday, February 9, 2016

Ayuh ke Sg Buluh Malam ini, Ada Sesuatu Yang Wajar Dibuktikan Kepada Regim

Kenyataan Media
9 Februari 2016

Ayuh ke Sg Buluh Malam ini, Ada Sesuatu Yang Wajar Dibuktikan Kepada Regim

Hari ini genap setahun DS Anwar Ibrahim menjadi tahanan politik untuk ke sekian kalinya. Ketika beliau mempunyai pilihan hidup berselang lenang menjaga cucu, namun perjuangan demi rakyat tetap menjadi pilihan yang akhirnya tersembam ke jerijil besi.

Setahun ketiadaan Anwar di teras arena politik tanahair menyaksikan perbezaan yang ketara - regim bagaikan tiada halangan untuk meratah hasil bumi dan hasil mahsul tanahair. Demokrasi terus dimatikan dengan akta hasutan yang menggila, keluhuran undang-undang menjadi sarkas dan bagaikan dijual beli demi pertahan kuasa, manakala rakyat pula terus dipijak dan dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup demi tembolok pemimpin rakus.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan jelas menganggap Anwar Ibrahim sebagai sosok yang pernah menjadi kereta kebal terbaik dalam perjuangan merempuh keampuhan regim pemerintah korup. Selain menjadi faktor kemenangan beberapa negeri, beliau juga ancaman terbesar regim dan perlu dilenyapkan 'by hook or by crook'. Akhirnya mereka berjaya dan hari ini sedang berpesta membadutkan kita sambil mengumpul kekayaan keturunan dan kroni.

Perlu diingat, kejayaan regim hari ini bukanlah kerana mampu menyumbat Anwar ke penjara, tetapi kejayaan mereka adalah kerana tiada kebangkitan rakyat di atas kekejaman yang dilakukan terhadap Anwar dan juga semua rakyat marhein.

Justeru itu, SAMM mengharapkan kebesaran jiwa dan hati setiap rakyat Malaysia untuk sama-sama hadir bersolidariti di depan penjara Sg Buluh pada jam 8.30 malam ini. Ayuh buktikan masih ramai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib seorang Anwar Ibrahim - yang kini selesai membayar ansuran tahun pertama dipenjara akibat dari menghenjut regim dengan sedaya yang beliau ada. Percayalah bahawa kehadiran setiap dari kita pada malam ini akan menghimpun gerun di pihak regim, Ayuh buktikan, sila ambil bahagian.

Anwar bukan sekadar lambang pengikat perpaduan nasional. Bagi SAMM, Anwar juga ialah tokoh perjuangan rakyat Malaysia dan harus dibebaskan segera.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Wednesday, January 20, 2016

MB Selangor Perlu Bersihkan Nama Seperti KM Pulau Pinang, SAMM Cabar Heret che'GuBard ke Mahkamah!

Kenyataan Media SAMM
20 Januari 2016

MB Selangor Perlu Bersihkan Nama Seperti KM Pulau Pinang, SAMM Cabar Heret che'GuBard ke Mahkamah!

SAMM mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng di atas kejayaan membersihkan nama beliau yang dicemar satu dakwaan yang akhirnya terbukti tidak berasas.

Dakwaan dibuat oleh Nasrudin Hassan kononnya YAB LGE telah menganugerahkan projek pembinaan terowong bawah tanah secara rundingan terus walaupun pihak LGE telah memberi nasihat awal tentang kebenaran dan integriti kerajaan P.Pinang. Mahkamah akhirnya memerintahkan Nasrudin menarik balik artikel tulisannya dan membayar RM10,000 sebagai pampasan kepada LGE.

Nasrudin disaman atas artikel tulisannya memfitnah Lim Guan Eng dan kerajaan P.Pinang dalam usaha membela Kerajaan Selangor pimpinan Khalid Ibrahim yang dipertikai apabila meluluskan KIDEX, sebuah projek lebuhraya bertol yang jelas bertentangan dengan aspirasi serta janji perjuangan Pakatan Rakyat ketika itu.

Apa yang berlaku di sebalik keputusan Mahkamah Georgetown itu adalah hampir sinonim dengan perkembangan di Selangor. Bezanya, kelantangan che'GuBard menyuarakan skandal balak Menteri Besar Selangor Azmin Ali dalam istilah 'tender terbuka' masih belum diheret ke mahkamah.

Jika LGE dengan berani membawa Nasrudin ke mahkamah demi menunjukkan tiada anugerah rundingan terus (walaupun mempunyai kuasa berbuat demikian) seperti yang didakwa, mengapa tidak Azmin juga melakukan hal yang sama terhadap che'GuBard?

Proses penganugerahan projek melalui tender terbuka merupakan antara perkara asas semangat reformasi dan janji ketelusan dalam pentadbiran yang ingin ditunjuk kepada rakyat. SAMM menegaskan Kerajaan Selangor melalui Menteri Besar dan mesyuarat exconya mempunyai bidang kuasa meluluskan projek tanpa tender terbuka. Namun jika pemberian tender secara rundingan terus (tanpa tender terbuka) ini dibiarkan berlaku, maka kita seolah-olah mengkianati janji kita kepada rakyat. Malah perjuangan Anwar Ibrahim hingga terbenam ke penjara demi mempertahan prinsip menjadi sia-sia.

Azmin Ali selaku ketua kerajaan selangor bersalah kepada perjuangan ini apabila wujud projek besar tidak melalui proses tender terbuka, contohnya skandal balak yang dibangkitkan oleh che'GuBard baru-baru ini. Lebih teruk, apabila Azmin didapati berbohong di media dengan menyebut kononnya balak yang diluluskan itu melalui tender terbuka.

Justeru itu, SAMM dengan ini mencabar Azmin Ali membawa che'GuBard ke mahkamah, supaya dokumen yang dilindungi akta rahsia rasmi mengenai tender terbuka penganugerahan projek balak tersebut mampu dipaparkan sebagai bukti. MB Selangor perlu membersihkan namanya, jadilah seperti Lim Guan Eng.

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tuesday, December 29, 2015

SAMM Kecam Penahanan Khairul Nizam Hanya Kerana Bercakap Benar

Kenyataan Media
29 Disember 2015

SAMM Kecam Penahanan Khairul Nizam Hanya Kerana Bercakap Benar

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengecam penahanan seorang aktivis masyarakat di bawah akta hasutan dan menuntut supaya saudara Khairul Nizam atau nama pena Aduka Taruna dibebaskan segera.

Khairul Nizam telah hadir sendiri ke IPD Dang Wangi pagi semalam untuk memberi keterangan, maka tidak ada sebab untuk beliau direman kerana telah memberi kerjasama yang baik.

Setelah diteliti tulisan yang kononnya menyebabkan beliau ditahan di bawah akta hasutan, SAMM mendapati ianya adalah satu tulisan yang jujur selain menjadi nasihat yang sangat berguna kepada mana-mana institusi kesultanan. Malah tiada juga unsur-unsur kebencian terhadap mana-mana pihak.

SAMM menuntut pihak berkewajiban supaya meneliti semula tulisan Khairul Nizam dan membuat tafsiran dengan lebih bijak khususnya dari sudut maksud penulisan beliau dipaparkan. 

Penahanan Khairul Nizam juga menjadikan tahun 2015 sebagai tahun menangkap aktivis dan ahli politik, ia tidak ada bezanya dengan zaman kerakusan Mahathir menggunakan akta hasutan demi mengekalkan kuasa 22 tahun pemerintahannya.

Sekian

EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Wednesday, November 18, 2015

Himpunan Bantah Penindasan Amerika dan Zionisma Sempena Kedatangan Obama!


Kenyataan Media

18 November 2015

 

Himpunan Bantah Penindasan Amerika dan Zionisma Sempena Kedatangan Obama!

 

Bersempena dengan kehadiran Presiden Amerika, Barrack Obama ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-27, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama sekutu anak muda bertekad untuk mengadakan sebuah aksi bantahan di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

 

Mewakili suara ramai rakyat Malaysia, SAMM dan rakan sekutu organisasi massa lain akan berperanan memberitahu dunia bahawa kedatangan Obama tidak disenangi sama sekali.

 

Kedatangan Obama ke rantau ini juga dijangka bagi memuktamadkan perjanjian TPPA yang merupakan satu perjanjian berat sebelah dan hanya memberi manfaat kepada syarikat-syarikat transnasional besar Amerika. Perjanjian TPPA juga dikenali sebagai satu penjajahan baru terhadap tanahair yang turut akan menjejaskan kedaulatan negara, merompak hasil bumi dan satu pembulian ekonomi.

 

Rakyat Malaysia juga tidak mengalu-alukan kehadiran Obama di atas polisi peperangan oleh pentadbiran Rumah Putih. Amerika perlu mendesak negara haram Israel menghentikan serangan terhadap Palestin dan Amerika juga harus menghentikan semua perang di mana Amerika terlibat secara langsung atau tidak langsung (dengan menggunakan proksi di sesebuah negara).

 

Maka dengan ini kami mengumumkan aksi bantahan seperti berikut;

 

Himpunan Bantahan Kedatangan Obama

Tarikh: 20 November 2015 (Jumaat)

Masa : 2 petang

Lokasi : Bermula di Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

 

Media tempatan dan antarabangsa dialu-alukan untuk membuat liputan.

 

 

Sekian,

 

EDY NOOR REDUAN

Pengarah Propaganda

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Monday, October 19, 2015

Apakah Himpunan 'Show Force' Mampu Ringankan Penderitaan Rakyat?


Kenyataan Media
19 Oktober 2015

Apakah Himpunan 'Show Force' Mampu Ringankan Penderitaan Rakyat?

Menganjurkan perhimpunan secara besar-besaran samada di dalam stadium mahupun di atas jalanraya dengan tujuan dan tuntutan tertentu adalah fenomena biasa. Namun bagi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), himpunan yang dianjurkan wajar memberi kelebihan dan signifikasi yang positif kepada umum khususnya rakyat marhein.

Himpunan membantah GST, himpunan bantah kenaikan harga tol dan himpunan protes harga petrol naik adalah contoh himpunan yang bertujuan meringankan beban rakyat. Manakala himpunan membantah ISA, membantah penipuan pilihanraya pula adalah contoh himpunan yang menuntut hak demokrasi. Semua himpunan yang mempunyai tujuan ini adalah demi rakyat dan wajar dibanggakan.

Baru-baru ini kita dapat saksikan satu himpunan besar yang memenuhi sebuah stadium dengan tujuan menunjuk kekuatan. Dikhabarkan ratusan bas disewa untuk membawa penyokong hadir ke lokasi himpunan. SAMM ingin bertanya apakah tujuan himpunan dianjurkan selain daripada menunjuk kekuatan? Perlukah himpunan begini dianjur ketika rakyat dan kerajaan negeri Kelantan dilihat terjerumus pelbagai permasalahan?

SAMM agak terkejut dengan kenyataan YB Husam Musa beberapa hari sebelum himpunan berlangsung. Beliau membangkitkan banyak persoalan termasuklah soal jumlah tunggakan potongan pelbagai jenis pinjaman guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) mencecah RM 14.6 juta hingga September 2015.  YIK ialah agensi agama kerajaan negeri Kelantan yang diamanahkan untuk menjalankan aktiviti pendidikan Islam dan pengajian bahasa Arab di Kelantan.

Antara permasalahan yang dibangkitkan oleh YB Husam termasuk gaji guru telah dipotong oleh YIK untuk caruman guru-guru berkenaan tetapi YIK tidak menjelaskan caruman itu kepada agensi sepatutnya malah bayaran caruman kepada Koperasi Maik umpamanya, telah terhenti sejak Jun 2014. Tunggakan juga berlaku kepada Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, KWSP - semua sekali 21  jenis potongan caruman yang tertunggak.

Kerajaan negeri Kelantan yang selama ini dicanang sebagai sebuah kerajaan Islam haruslah bersikap amanah dalam mentadbir sebuah negeri. Pemotongan gaji yang telah dilakukan oleh YIK tetapi tidak dibayar kepada agensi yang dicarum adalah satu perbuatan yang tidak jujur malah ia menyusahkan banyak pihak.

Dalam masa yang sama menurut Husam, pembaziran turut berlaku apabila banyak lawatan luar negara yang melibatkan exco kerajaan negeri termasuklah lawatan ke Indonesia, Russia dan Afrika Selatan. Malah dilaporkan Exco kerajaan negeri telah membuat sumbangan yang besar dalam himpunan terdahulu di Pasir Putih dengan belanja mencecah ratusan ribu ringgit.

Hari ini SAMM pula ingin bertanya, berapakah jumlah perbelanjaan untuk perhimpunan Fastaqim? Tidakkah himpunan ini menelan belanja jutaan ringgit?

SAMM memandang serius akan pembaziran ini kerana ia cukup kontradik dengan apa yang berlaku dan secara langsung melibatkan nasib rakyat khususnya di negeri Kelantan. Dimaklumkan juga bahawa mangsa bah kuning hampir setahun yang lalu masih tinggal dalam khemah dan rumah sementara yang sangat daif. Kini musim tengkujuh kembali, hujan lebat akan mula berterusan. Apakah nasib mereka ketika kalian semua berhimpun dan berpesta ular?

SAMM juga sedang merangka untuk membuat lawatan ke lokasi saki-baki mangsa banjir di Kelantan. Selain menyampaikan sedikit bantuan, SAMM juga ingin memantau keadaan sekeliling dan persediaan menghadapi musim banjir yang baru.

Akhir sekali, SAMM ingin nasihatkan berhimpun memerah keringat kehadiran orang ramai itu biarlah demi sesuatu yang bermanfaat. Jika sekadar ingin menunjuk kekuatan, ambil lah iktibar dari himpunan hijau yang juga hasilnya memenuhi Stadium Darul Aman di Kedah, nampak seolah-olah kuat dan ramai tetapi akhirnya kerajaan Pas Kedah tumbang dalam PRU-13.

Sekian,

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)