Gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) yang  menjadi sebutan menjelang pilihan raya 2008 kembali meraih perhatian  dalam acara sulungnya di tapak markas tarbiah PAS, Taman Melewar malam  tadi.
Sebelum ini, ABU hanya dikenali melalui contengan grafiti di  dinding dan tembok sekitar Kuala Lumpur dan juga cakap-cakap di kedai  kopi.
Ceramah pertama yang dijalankan malam tadi bagaimanapun mula  menampakkan bentuk "Gerakan Rakyat Membebaskan Malaysia Dari Cengkaman  Umno/BN" ini.
Program ceramah rakyat itu membariskan wakil  daripada golongan masyarakat yang rata-ratanya menyuarakan kekecewaan  terhadap Umno dan BN serta menyeru supaya parti berkenaan tidak lagi  dipilih dalam pilihan raya akan datang.
Bekas pemimpin muda PKR,  Badrul Hisham Shaharin yang bertindak sebagai pengerusi ceramah berkata,  ABU bukanlah satu pergerakan politik tetapi satu "semangat dan iltizam  rakyat untuk menghumbankan Umno."

"Ia  bukan milik sesiapa," katanya lagi yang menambah, gerakan itu juga  tidak mempunyai pemimpin tapi bergerak atas semangat sama untuk mengundi  selain Umno dan BN.
Antara pemimpin politik yang ditampilkan  dalam ceramah berkenaan ialah naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar,  presiden Gerakan Masyarakat Sivil Malaysia (MCLM), Haris Ibrahim,  setiausaha agung PSM, S Arutchelvan dan juga wakil SAPP, Benny Loh.
Mahfuz  dalam ucapannya di ceramah berkenaan berkata, kempen ABU itu membawa  semangat sama yang menghumbankan parti Liberal Democratic Party di Jepun  pada pilihan raya di negara berkenaan dua tahun lalu.
ABU seperti di Jepun
Katanya, LDP tidak ubah seperti Umno yang membentuk kerajaan secara berterusan di negara berkenaan selama 54 tahun.
Anehnya,  ramai yang memilih untuk tidak menyokong LDP pada pilihan raya 1999  berbuat demikian tanpa mengetahui dasar dan juga tawaran oleh parti  alternatif – Democratic Party yang baru dibentuk setahun sebelum itu.

"Bila ditanya (sebab undi Democratic Party), pengundi kata 'oh asalkan bukan LDP," kata Mahfuz lagi.
Beliau  turut menyeru supaya para hadirin berkenaan tidak termakan dengan  kebimbangan yang ditimbulkan Umno bahawa Malaysia akan hilang kemajuan  sekiranya kerajaan berubah.
Katanya, ekonomi Jepun yang jauh lebih maju daripada Malaysia tidak terjejas walau kuasa politik itu berubah kepada parti baru.
"Takkanlah mereka tidak terfikir bahawa mereka akan hilang kemajuan jika buat perubahan," soalnya lagi.
Bagaimanapun,  fokus utama program itu ialah luahan perasaan daripada rakyat biasa  yang diangkat ke pentas ceramah berkenaan, kata Badrul Hisham.
Antaranya  ialah seorang pekerja kilang, Zuraidi Abdullah yang membangkitkan  mengenai masalah yang dialami oleh pekerja industri yang tidak  dilindungi gaji minimum dan juga manipulasi oleh majikan dalam kontrak  kerja.
"Gaji RM600 memang tak cukup untuk tampung kos sara hidup  hingga pekerja terpaksa kerja lebih masa. Mereka akan berada lebih 12  jam di tempat kerja," katanya pemuda dari Melaka itu lagi.
'Akta tak bermaruah'
Isu  berkenaan turut diulas oleh seorang aktivis pekerja, Jaafar Malik yang  mempertikaikan langkah kerajaan untuk membiarkan majikan menetapkan gaji  pekerja mengikut harga pasaran.

"Harga  pasaran itu apa? Adakah kita ini sama dengan kobis? Sama dengan cili?  Sama dengan lembu?," katanya yang disambut gelak ketawa daripada lebih  700 orang yang hadir.
Setidak-tidaknya kerajaan perlu merangka dasar gaji minimum sekiranya tidak mampu untuk membuat akta khusus, kata Jaafar 
(foto kiri).
"Tapi  ini dasar pun tak boleh diwujudkan," tambahnya yang memuji langkah  Selangor berhubung penetapan takah RM1,500 untuk gaji minimum kakitangan  kerajaan negeri itu.
Anggota exco Kongres Kesatuan Sekerja  Malaysia itu juga menyamakan langkah kerajaan untuk memperkenalkan  sistem kontraktor tenaga kerja melalui pindaan Akta Kerja 1955 dengan  sistem dalam industri seks.
"Strukturnya mudah. Ada bapa ayam dan ada anak ayam, itulah dia kontraktor pekerja.
"Anak  ayam yang kerja dan bapa ayam dapat hasil, jadi memanglah akta ini tak  bermaruah," katanya lagi yang mahu pekerja mengadakan demonstrasi besar  pada Februari depan untuk membantah pindaan berkenaan.
'Hancurkan Umno'
Turut  mencuri perhatian ialah seorang kontraktor binaan, Yusof Tapa, yang  mendakwa telah menghadapi masalah untuk mendapatkan kontrak apabila  tidak lagi bersama Umno.

"Orang  Umno ini tak boleh tengok orang senang," katanya yang mendakwa telah  disenarai hitam daripada menerima projek sejak tiga tahun lalu.
Namun,  beliau tetap berjaya mendapatkan dua projek melalui lesen kontraktor  rakan-rakannya dan akan menyelia projek di jalan-jalan berkenan.
Perkara  itulah yang menimbulkan kemarahan pihak tertentu yang menimbulkan  pertanyaan: "Apa pasal Yusof Tapa duduk tepi jalan, dia dapat kerja ke?"
Sedangkan,  beliau mendapat projek berkenaan melalui saluran yang betul, kata bekas  pemimpin di satu bahagian Umno Negeri Sembilan itu.
Perkara itu  menunjukkan bahawa pemimpin berkenaan Umno, yang juga menjawat jawatan  dalam  perbadanan negeri, bukanlah berjuang untuk kepentingan Melayu  tetapi untuk kepentingan kroni mereka sendiri, kata Yusof.
"Jadi  kalau ada yang masih dengan Umno kita tinggalkanlah. Kita sertai Pakatan  Rakyat, kita kempen untuk hancurkan Umno," katanya lagi.