Tuesday, September 8, 2009

Binatang Tak Boleh dibawa Berbincang

Salam buat semua,

Walaupun saya bukan salah seorang residen di sek23, namun saya percaya bahawa saya juga akan mempersoal sejauh mana berkesannya penyelesaian kuil di sek19 dengan membawanya ke sek23 sebagaimana majoriti penduduknya adalah Islam.

Apabila mengalihkan suatu bebanan liabiliti yang sukar ditanggung dari satu bahu ke suatu bahu yang punya kriteria yang sama, ini tidak akan menyelesaikan masalah malah mungkin akan bertambah. Atas sebab ini jugalah perbincangan secara matang diperlukan!

Bukankah sepatutnya penduduk sek23 menggunakan peluang kesempatan bersemuka dengan MB dan YB terlibat? Kesempatan ini telah disalahguna, atau tidak digunakan dengan cara yang betul dan berhemah.

Penduduk sek23 mempunyai hak untuk berkeras dan bertegas. Penduduk sek23 juga mempunyai hak untuk samada ingin bertolak ansur atau tidak. Malah dialog yang dianjurkan bertujuan untuk memenangi hati penduduk sek23. Dialog tersebut adalah jalan untuk menyelesaikan masalah dan medan untuk berbaik sesama umat. Mungkin juga ianya adalah satu peluang untuk kerajaan negeri menunjukkan betapa perkiraan mereka adalah salah dan penyelesaian secara baik wajar dituntut pada hari tersebut.

Tetapi, apa yang berlaku di dewan MBSA cukup memalukan. Dari sudut kemanusiaan, dari sudut keagamaan, dari sudut ke-bangsa-an, dari sudut politik dan dari segala sudut yang ada, penduduk sek23 tidak lebih dari sekumpulan manusia yang membenarkan diri mereka dikuasai nafsu syaitan. Peruntukkan akal yang telah Allah kurniakan, yang membezakan antara haiwan dan kemanusiaan gagal digunakan.

Wakil penduduk sek23 bukan hadir untuk berbincang, bukan hadir untuk menyelesaikan masalah, bukan hadir untuk menggunakan kebijaksanaan dalam menyelesaikan kerumitan. Mereka hanya hadir untuk merosakkan rundingan dan menambah koleksi provokasi perkauman.

Perlakuan tersebut memalukan agama dan bangsa. Perbincangan belum pun bermula disambut dengan berbakul caci-maki. Memaki-hamun mencaci-maki dalam sebuah medan perbincangan meletakkan Islam sebagai sebuah agama yang tiada tolak ansur dan penuh prejudis perkauman. Kelaluan wakil penduduk sek23 tak ubah sebagai mencemarkan kesucian Islam dimata masyarakat.

Kita sebagai orang islam sepatutnya menunjukkan contoh teladan betapa Islam itu adil kepada semua dalam semua aspek. Pemerintahan Islam itu adil dan penuh tolaransi maka penganut agama lain akan terpesona dengan kebenaran Islam.

Jika rasa hormat terhadap pemimpin adalah perkara lain, bagaimana pula dengan rasa hormat terhadap Ramadhan bulan mulia? Di manakah rasional? Di manakah adab tatasusila?
Saya percaya, jika Islam menjadi panduan sudah tentu perbincangan akan bermula dan berakhir secara baik. Tidakkah kita punya agama untuk dirujuk?

Sekali lagi saya nyatakan, saya tidak menyokong perpindahan kuil ke sek23 kerana ia umpama menyelesaikan masalah sek19 dengan menambah masalah sek23. Namun demikian, saya menentang sekeras-kerasnya usaha wakil penduduk sek23 menggagalkan rundingan. Mereka tak ubah seperti binatang.

sila klik sini untuk melihat kembali video tersebut

berikut adalah kenyataan cool YB Khalid;

Semua melihat apa yang berlaku dalam sesi dialog tersebut. Saya merasakan ianya peristiwa yang amat memalukan ummat Islam. Tengah-tengah bulan puasa pula. Sedih. Itulah apa yang berlaku bila tidak menghayati ajaran agama dan tidak juga menerima asuhan yang baik dari pemimpin. Hishamuddin memberi sokongan dan dorongan secara terbuka dan selepas itu menyedari tidak boleh secara terbuka, mesti secara tertutup. Seterusnya mengutuk tetapi semua tahu, reaksi awal adalah apa yang sebenar tersemat di hati. Hakikatnya tukang demo tidak dikenakan apa-apa tindakan hingga ke hari ini. Sedangkan tindakan mereka jelas melampaui batas. Ini adalah bukti bahawa Hishamuddin membela dan melindungi mereka. Begitu juga si Noh Omar, ‘hero Melayu’ gelar mereka.

Matlamat sesi dialog adalah untuk mendapat pandangan dan reaksi penduduk terhadap cadangan pemindahan berkenaan. Ianya merupakan langkah terakhir dalam proses lima langkah seperti berikut :-

1. Tapak cadangan dari PKNS - Ini adalah kerana telah dipersetujui PKNS akan menggantikan tapak kuil di Seksyen 19 dengan tapak lain milik mereka kerana tapak di Seksyen 19 akan diambil alih oleh mereka.

2. Persetujuan MBSA bahawa lokasi berkenaan adalah sesuai. Ini adalah wajar memandangkan MBSA adalah pihak yang bertanggung jawab atas perancangan bandar Shah Alam.

3. Persetujuan AJK Kuil – ini telah diperolehi selepas proses perbincangan pada hujung bulan Mei. Nota mesyuarat ditanda-tangani sebagai bukti persetujuan mereka kerana tidak mahu berlaku penafian atau bertukarnya fikiran. Surat inilah yang dijaja oleh orang-orang demo kepala lembu itu. Persetujuan AJK kuil perlu kerana dasar PR ialah musyawarrah bukan paksa pindah ke mana orang lain tetapkan.(Itu dasar UMNO – rujuk pengakuan bangga KT).

4. Persetujuan Kerajaan Negeri atas cadangan untuk memindahkan kuil ke tapak yang dicadangkan. Ini adalah kerana Kerajaan Negeri mahu memantau semua aktiviti pembinaan dan perobohan kuil.

Pada tahap ini, cadangan mencapai status sebagai ‘cadangan rasmi’ dan barulah boleh dibincangkan dengan pihak awam, terutama penduduk sekitar kawasan berkenaan. Mengadakan perbincangan bersama penduduk sebelum mendapat persetujuan ke empat-empat pihak ini tidak memberikan sebarang makna, kerana cadangan itu belum lagi merupakan cadangan rasmi.

5. Pertemuan dan perbincangan dengan penduduk berhubung cadangan yang telah dipersetujui terlebih dahulu oleh ke empat-empat pihak seperti di atas. Ini adalah kerana walau macam mana sekalipun, penerimaan oleh penduduk sekitar adalah penting untuk menjamin keharmonian.

Jika berdasarkan peraturan yang sediada, peruntukan jarak melebihi 50 meter tidak mewajibkan sebarang perbincangan diadakan dengan penduduk. Namun dasar PR adalah untuk mengadakan perbincangan walaupun jaraknya melebihi 50 meter, jika dilihat akan memberikan kesan. Sekiranya penduduk bersetuju, maka inilah yang ideal dan cadangan itu boleh dilaksanakan. Sekiranya setelah dikemukakan, penduduk menolak maka adalah lebih baik untuk dipertimbangan tapak alternatif sekiranya ada.

Malangnya kerajaan Negeri Selangor tidak diberi peluang untuk membentangkan cadangan ini di peringkat ke-5. Cadangan ditolak sebelum ianya dikemukakan dengan cara amat tidak sopan.

Hakikatnya, sekiranya cadangan ditolak secara sopan sekalipun – iaitu tanpa sebarang aksi yang telah ditunjukkan sebelum ini, kerajaan PR akan mengambil kira pandangan penduduk. Namun atas sebab hasutan pihak tertentu dan kempen salah-maklumat yang dilakukan maka cadangan ditolak mentah-mentah dengan cara paling tidak sopan. Yang dipertikaikan adalah cara bantahan dibuat, bukannya bantahan itu sendiri. Ada yang menganggap kerajaan negeri sudah pun mahu mula pembinaan! Sedangkan tiada pelan kuil yang telah diluluskan. Nak bina macam mana kalau tiada pelan?

Kami dituduh tidak mahu mendengar pandangan penduduk. Yang hadir pada hari tersebut melihat secara jelas siapa sebenarnya yang tidak mahu mendengar. Ini boleh dibuktikan melalui video clip yang tersiar di beberapa blog. Hanya blog UMNO yang tidak mahu menyiarkannya kerana tahu ianya hanya akan memalukan mereka. Semua tahu yang berperangai sedemikian bukan ahli PAS dan bukan PKR. Nafikanlah berapa kali sekali pun, rakyat tahu ini perangai UMNO.

Saya diberitahu juga ada pihak yang mendakwa bahawa mereka yang terlibat membuat kacau semasa sesi dialog tempohari adalah terdiri dari ahli PAS dan PKR. Sekiranya benar, maka saya cadangkan mereka ini dihadapkan di bawah lembaga disiplin parti, dipecat dan sekiranya didapati bersalah dikenakan tindakan dibawah akta hasuatan. Dalam masa yang sama, saya juga berharap jika ada ahli UMNO yang terlibat sama, maka mereka juga dikenakan tindakan yang sama. Mahukah mereka melakukan perkara yang sama sekiranya benar-benar yakin?

Teringat saya kisah Haji Bakhil. Dia tanam duit di sesuatu tempat dan meletakkan papan tanda ‘Tiada Duit Di Sini’. Datang pula Haji Bahalol menggali dan mengambil duit berkenaan. Seterusnya dia meletak papan tanda yang menyatakan ‘Bukan Hj Bahlol yang ambil duit di sini’. Bagi saya, begitulah penafian mereka terhadap keterlibatan UMNO dalam soal ini.

Esoknya Najib dengan gembiranya mengumumkan sesi dialog tersebut merupakan bukti kegagalan PR mentadbir Negeri Selangor. Persoalannya, adakah kemungkinan orang-orang yang bertindak samseng diminta berkelakuan sedemikian supaya Najib boleh membuat kenyataan sebegini? Sudah pasti mungkin! Dan ini juga merupakan penjelasan munasabah mengapa mereka bertindak sedemikian rupa. Tanpa provokasi dan tanpa sebab seperti yang telah dijelaskan.

Sebenarnya kenyataan Najib sendiri itu pun tidak benar sama sekali. Kerajaan negeri telah berjaya mengadakan sesi dialog dengan penduduk dan maklumat yang diinginkan telahpun diperolehi (walaupun bukan melaui jalan perbincangan yang diharapkan) iaitu penduduk setempat menolak cadangan tersebut. Mungkin bagi Najib ‘kejayaan’ diukur berdasarkan nilai projek yang dijalankan. Khir Toyo membelanjakan RM600,000 dan ini dianggap ‘kejayaan’. Walaupun masalah tetap tidak diselesaikan! Kontraktor juga yang untung.

Sebagai kerajaan yang perihatin, kami mengambil kira penolakan ini oleh penduduk Seksyen 23, bukan kerana ianya dilakukan secara biadab, tetapi kerana ianya adalah pandangan penduduk setakat mana yang boleh diperolehi. Walaupun ramai yang berdiam diri, namun itulah keputusan yang dizahirkan.

Begitu jugalah dengan kenyataan Khir Toyo. Dia dengan gembiranya menyatakan bahawa semasa dia MB, tiada masalah sebegini. Ya, betul kerana kami sebagai pembangkang merupakan pembangkang yang bertanggung jawab. Kami tidak menggunakan provokasi samseng atas isu-isu perkauman dan agama seperti mereka. Mereka bila jadi pembangkang, jelas merupakan pembangkang yang tidak bertanggung jawab! Bila memerintah pun menjadi kerajaan yang tidak bertanggung jawab, bila pembangkang begitu juga, pembangkang yang tidak bertanggung jawab!

Seterusnya kami telah pergi melawat tapak alternatif dengan kadar segera. Kami ingin memenuhi hak penduduk Seksyen 19 dan juga hak kuil tersebut. Tapak tanah di tepi kilang Nitto Denko Seksyen 23 telahpun kami lawati pagi tadi bersama PKNS, MBSA, para ADUN dan juga MB. Seterusnya akan dikemukakan kepada AJK kuil. Sekiranya mereka setuju, akan disediakan kertas cadangan untuk kelulusan Exco Kerajaan dan melalui 5 proses yang sama seperti yang telah dinyatakan. Lokasinya ditanda dipeta yang disertakan.


Sambil semua perkara ini diusahakan, saya berharap semua bertenang dan bersabar. InsyaAllah masalah ini akan diselesaikan dengan baik walaupun UMNO berusaha untuk mengagalkannya. Itulah sahajalah yang UMNO pandai buat: KACAU.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
dan berikut di bawah adalah salah satu komen menarik di blognya;
Sekarang baru ku tahu..


Jika selama ini
aku selalu condemn Kerajaan Selangor
aku selalu condemn pemimpin kerajaan Selangor
aku mendakwa mereka tak mahir urus negeri
terlalu banyak kelemahan
wakil rakyat yang entah hapa-hapa
ada yang bercakar sesama sendiri
pembahagian zakat yang tidak telus
wakil bulan berpecah
semuanya aku kutuk
sama ada wakil dari bulan, mata atau roket



tapi
semenjak kerajaan negeri ini
diserang bertubi-tubi
oleh bala tentera separa Mongolia
berbagai isu dibangkitkan
isu perobohan kuil
isu UiTM untuk kaum lain
isu rasuah lembu MB
isu wakil rakyat diserbu SPRM
isu kematian Teoh Beng Hock
isu penjualan arak
isu Datuk Nazak mahu rampas Selagor
terbaru isu kuil di Shah Alam
dan kepala lembu berdarah
dan juga 2 Khalid dimaki hamun


isu-isu ini telah berjaya membuatkan
aku menjadi simpati terhadap kerajaan Selangor
sokongan aku menjadi padu
rasa meluat aku hilang
dan aku makin bertambah simpati
apabila pemimpin negeri dimaki hamun
pada tanggal 5 haribulan
majlis dialog bertukar
menjadi majlis dalam hutan


kutahu
ia provokasi dari puak kepala lembu
bilangan mereka sedikit
lebih ramai yang diam dan memerhati
dari yang terpekik terlolong
umpama orang dirasuk hantu


sekarang baru ku tahu
rupa-rupanya anak Samad seorang yang macho
walaupun dia dituduh liberal
walaupun dia dicop sebagai perosak
walaupun dia dilabel sebagai Erdogan
aku kagumi dia
kesabaran dia
jikalau aku berada di tempatnya
nescaya pasti akan ada yang patah leher
dia berani berdepan dengan risiko
walaupun tahu undi yang dia akan dapat
pada PRU-13 mungkin merosot
aku salute sama dia


Juga baru aku tahu
anak Ibrahim adalah gentleman
walaupun dia banyak kekurangan
dan juga kepincangan
masih membela puak-puak UMNO
yang diimport dari Guthrie
tapi dia jenis tak kecut perut
dulu aku gelar dia
sebagai MB gemuk dan gagap
tapi
segemuk-gemuk Khalid
segagap-gagap Khalid
dia ada telor
dia setenang anak Samad
berhadapan dengan provokasi
makhluk yang tidak beradab


sekarang baru ku tahu
mereka fikirkan penduduk
dengan menganjurkan dialog
berharapan dapat berbincang dengan elok


jika yang berada ditempat anak Samad itu
adalah dari spesis yang berserban dan syok sendiri
jika yang berada ditempat anak Ibrahim itu
adalah seorang abang kepada bapuk
tak tahulah jadinya
baru ku tahu...

4 comments:

Khalid Samad said...

Terima kasih kerana sudi menjadi penjilat tegar saya.

Jilat...jilatt dan terus lah menjilattttt..

Nanti saya pos tiket surrgaa ke rumah anda

Anonymous said...

hek ele, nak nyamar jd khalid samad konon..sudaaa laaa..pigi balik... - Neo

Unknown said...

boleh saya ambil puisi itu untuk diletakkan di note facebook saya?

Edyes said...

boleh,

kreditkan pada blog YB Khalid Samad...

tq