Sunday, October 12, 2014

SAMM Parit Sulong Bersama Bank Rakyat Sampaikan Sumbangan Kepada Pesakit Jantung

Kenyataan Media
13 Oktober 2014

SAMM Parit Sulong Bersama Bank Rakyat Sampaikan Sumbangan Kepada Pesakit Jantung

Pada tanggal 10 Oktober 2014, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Zon Parit Sulong, Johor bersama-sama dengan Bank Rakyat Kluang telah menyampaikan cek bantuan kewangan kepada pesakit jantung, adik Mohd Aqil Rida Bin Mohd Akmar. 

Bantuan berjumlah RM 32,000 sumbangan daripada Bantuan Zakat Bank Rakyat itu telah disampaikan oleh Encik Mohd Jamal Nasir, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kluang kepada bapa pesakit tersebut di kediamannya di Parit Sulong, Johor. 

Adik Mohd Aqil merupakan pesakit jantung yang memerlukan rawatan pembedahan jantung di Institut Jantung Negara yang telah tertangguh selama ini ekoran daripada ketidakmampuan untuk menampung perbelanjaan kos pembedahan yang berjumlah RM 32,000. 

SAMM Parit Sulong mengambil inisiatif memanjat tangga-tangga pejabat dan institusi kewangan bagi mencari penyumbang dan syukur ke hadrat Illahi akhirnya, Bank Rakyat sudi menghulurkan bantuan kepada pesakit ini. 

Program khidmat kebajikan SAMM ini adalah kesinambungan daripada program Kembara Ramadhan yang lalu di mana SAMM Parit Sulong turut giat menyantuni golongan fakir dan tidak berkemampuan. 

Sehubungan itu, SAMM Parit Sulong ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan dan warga kerja Bank Rakyat di atas kesudian dan kemurahan hati untuk tampil bersama-sama kami dalam memberikan harapan baru kepada adik Mohd Aqil Rida ini. 

SAMM Parit Sulong juga turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Adik Mohd Aqil Rida dan keluarga. Semoga Adik Mohd Aqil Rida akan segera sembuh seperti sedia kala. 

SAMM Parit Sulong akan terus menjalankan aktivisme kesukarelawan dan kebajikan kepada masyarakat sekitar dan menyeru agar lebih ramai anak muda Johor untuk bersama-sama kami dalam beraktiviti serta berharap lebih banyak lagi syarikat swasta tampil seperti Bank Rakyat untuk faedah dan kemaslahatan masyarakat. 

Mohd Heder
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Zon Parit Sulong

No comments: