Tuesday, October 4, 2011

Kenyataan Media Jawatankuasa Bertindak Rakyat Perlis Atasi Masalah Banjir


KENYATAAN MEDIA 

JAWATANKUASA BERTINDAK RAKYAT PERLIS ATASI MASALAH BANJIR

3 Oktober 2011

Setelah meneliti dan melihat suasana semasa dan lepas mengenai permasalahan banjir yang semakin teruk sejak wujudnya Empangan Timah Tasoh (ETT), ketiadaan sistem saliran keluar lebihan stok air yang sempurna dan hanya menggunakan sungai semula jadi yang sedia ada, pengurusan penyelenggaraan sungai yang kurang memuaskan, longkang, perparitan yang tidak selari dengan pembangungan, maka kami merasakan sudah sampai masanya satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mendesak Kerajaan Negeri khususnya supaya lebih prihatin dan peka serta meletakkan masalah ini sebagai suatu keutamaan demi menjaga keharmonian dan kemajuan Negeri Perlis yang sedang berusaha untuk mencapai PERLIS MAJU 2015. 

Justeru, satu Jawatankuasa Bertindak telah ditubuhkan pada mesyuarat kali pertama pada 1 Oktober 2011 yang lalu di Kangar.

Kekerapan banjir besar yang melanda dari 10 tahun sekali ke 5 tahun sekali ke 1 tahun sekali hingga yang terkini setahun lebih dari sekali telah menyebabkan kerosakan harta benda, tanaman, ternakan hingga kerugian Rakyat Perlis menjangkau nilai jutaan ringgit. Manakala dibimbangi syarikat insurans berkemungkinan akan mengenakan caj premium yang tinggi kepada asset rumah dan kelengkapan Rakyat Perlis. Di samping itu, ianya juga oleh menyebabkan ketidakyakinan para pelabur untuk datang melabur di negeri ini serta keresahan para peniaga tempatan yang sering terdedah kepada banjir.

Kepanikan Rakyat Perlis yang sekali gus boleh menjejaskan tahap kesihatan rakyat di negeri ini akibat stress atau tekanan hidup khususnya bila hujan yang lebat berterusan selama 2 hari.

Sebahagian besar penduduk merasakan ETT sebagai “time bomb” yang berbahaya dan boleh menyebabkan tenggelam sebahagian dari Perlis sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada ETT apabila ETT pecah akibat lebihan takungan, kemungkinan retak akibat gegaran gempa bumi walaupun Malaysia diluar kawasan gempa, sabotaj musuh atau pengganas dan sebagainya akibat tiadanya saliran terus ke laut.

Jawatankuasa Bertindak telah memutuskan akan mengadakan pertemuan secara rasmi dan tidak rasmi dari masa ke semasa untuk meneliti perkembangan isu banjir ini untuk mewakili dan membawa mesej keresahan dan penderitaan banjir Rakyat Negeri Perlis kepada seluruh agensi terbabit seperti Kerajaan Negeri dan Pusat serta Jabatan Pengaliran dan Saliran dan Majlis Perbandaran Kangar.

Jawatankuasa Bertindak juga akan mengadakan pertemuan dengan pakar alam sekitar, perancangan perbandaran, NGO-NGO berkaitan bagi mengolah idea terbaik untuk diajukan kepada pihak berwajib supaya isu permasalahan banjir di Perlis akan dapat diatasi segera demi manfaat Rakyat Perlis.

MOHAMMAD FAISOL BIN ABD RAHMAN

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Rakyat Perlis Atasi Masalah Banjir

** SAMM Perlis mendokong dan sebahagian dari Jawatankuasa Bertindak Rakyat Perlis atasi banjir. Saudara Asrul, Penyelaras SAMM Perlis merupakan salah seorang penggerak jawatankuasa tersebut. Sdr. Asrul boleh dihubungi di 0194342244

No comments: