Friday, January 13, 2012

Satu Calon, Satu Kerusi : Tahniah DAP, Satu Langkah Bijak




Kenyataan Media
12 Januari 2012

Satu Calon, Satu Kerusi : Tahniah DAP, Satu Langkah Bijak

Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor) menyokong penuh kenyataan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP), YB Tuan Karpal Singh yang menyatakan bahawa setiap calon Parti DAP hanya akan bertanding di satu kerusi sahaja pada pilihan raya umum akan datang. Tindakan ini sememangnya satu langkah yang tepat bagi memastikan setiap calon yang memenangi kerusi tersebut dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada kawasan konstituen yang telah dimenanginya. Malahan, ia turut dapat memastikan setiap wakil rakyat yang telah dipilih itu dapat memberikan tumpuan kepada setiap sesi persidangan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Tambahan lagi, SAMM Johor turut berpendapat, langkah sebegini berupaya untuk mengelakkan berulangnya masalah ketidakhadiran wakil-wakil rakyat ke sesi persidangan Dewan seperti apa yang berlaku semasa pembentangan Rang Undang-Undang Pembangunan Kampung Baru tempohari. Setiap wakil rakyat tidak lagi dapat memberikan alasan sibuk dengan masalah di konstituen masing-masing ekoran terpaksa menggalas dua tanggungjawab menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dalam tempoh serentak.   

Selain itu, langkah memperkenalkan Satu Calon, Satu Kerusi ini merupakan langkah yang bijak dan tepat pada masanya, ketika Pakatan Rakyat sedang melahirkan harapan menguasai pentadbiran Negara, langkah ini berupaya membuktikan betapa Pakatan Rakyat sememangnya mempunyai ramai pemimpin-pemimpin yang berkualiti, mempunyai kredibiliti yang baik dan kompeten dalam melaksana tugas dan amanah yang diberikan oleh rakyat. Menafikan persepsi bahawa Pakatan Rakyat ketandusan pemimpin dan hanya bergantung kepada beberapa kerat nama semata-mata.

SAMM Johor melihat Barisan Nasional lebih ke hadapan dalam persoalan Satu Calon, Satu Kerusi ini. Ini adalah satu perkara yang baik yang menjadi amalan mereka. Mereka berupaya memastikan setiap wakil rakyat mereka fokus kepada kawasan masing-masing  tanpa perlu ada pertembungan dua kawasan. Selain itu, amalan ini turut meringankan tugas wakil rakyat terpilih yang sememangnya telah berhadapan dengan amanah dan tanggungjawab yang berat.

Malah, amalan satu calon, satu kerusi ini dapat mengurangkan politik dalaman yang tidak seharusnya berlaku ekoran dari ketidakpuasan hati individu-individu terhadap pemimpin yang mempunyai dua kerusi. Parti-parti politik dan wakil-wakil rakyat yang dipilih seharusnya ingat bahawa mereka adalah hamba kepada rakyat, bukannya elitis atau pemimpin-pemimpin tertentu sahaja. Mereka juga mesti ingat bahawa dengan memenangi satu-satu kerusi bukanlah tiket untuk mereka merebut jawatan sebagai Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar atau Ahli Exco Kerajaan Negeri semata-mata. Tetapi, tugas dan perkhidmatan mereka yang sentiasa ditagih rakyat untuk menyuarakan keperitan rakyat dan juga membuat polisi-polisi yang baik untuk kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, SAMM Johor menyeru sama ada di pihak Pemerintah atau Pakatan Rakyat sewajarnya menjadikan langkah DAP memperkenalkan satu calon, satu kerusi ini sebagai satu amalan setiap parti politik di Malaysia agar nasib dan kesejahteraan rakyat dapat diperjuangkan sepenuhnya.

Akhir, SAMM Johor turut memuji langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Ketua Menteri, YB Tuan Lim Guan Eng yang telah mewajibkan kesemua anggota Exco Kerajaan Negeri dan Penjawat Awamnya mengisytiharkan harta yang dimiliki. Hal ini dapat merupakan satu lagi detik bermakna kepada Kerajaan Pulau Pinang dalam menjalankan pentadbiran berdasarkan prinsip Cekap, Amanah dan Telus. Langkah sebegini harus di contohi oleh kesemua Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan bagi membendung gejala rasuah dalam pentadbiran.

“PERJUANGAN ADALAH PERLAKSANAAN KATA-KATA”

AHMAD ANWAR ASYRAF BIN ISMAIL
Penyelaras Negeri
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor
(SAMM Johor)



No comments: