Monday, January 19, 2015

SAMM dan Sekutu NGO Bakal Menganjurkan 'Talk Show' Forum Banjir 27 Januari 2015

Kenyataan Media
19 Januari 2015

SAMM dan Sekutu NGO Bakal Menganjurkan 'Talk Show' Forum Banjir 27 Januari 2015

Setiap kali tiba musim tengkujuh, setiap kali Disember menjengah, negara bertuah Malaysia seolah-olah tidak mampu mengelak bencana banjir yang seharusnya dalam jangkaan. Bencana banjir kali ini melibatkan hampir seluruh negara dan negeri pantai timur adalah yang paling terjejas teruk khususnya negeri Kelantan.

Persoalan yang harus difikirkan, sampai bilakah bencana banjir ini akan terus dibiarkan menghantui tanahair kita?

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sejak bertahun lalu sentiasa di depan dalam menyalurkan bantuan orang ramai kepada mangsa banjir secara terus. Samada penghantaran bantuan menerusi pusat penempatan banjir atau dari rumah ke rumah, SAMM acap kali menjadi pasukan awal yang sampai ke kawasan bencana.

Banyak pengalaman dan kisah cemas yang wajar dikongsikan kepada semua, malah banyak idea-idea anak muda yang harus diketengahkan untuk menghadapi gejala banjir pada masa akan datang setelah ia bukan sahaja tidak pernah selesai tetapi semakin kritikal. Justeru itu, kini tiba masanya satu forum perihal banjir yang menyeluruh dipentaskan kepada umum.

Sebuah forum banjir anjuran SAMM dan Aktivis Kelantan (AK03) dengan kerjasama Mahasiswa Kelantan dan Gabungan Cakna Mahasiswa (KIAS), akan diadakan pada masa berikut;

Forum Banjir: Suratan Atau Kebetulan

Tarikh: 27 Januari 2015
Masa : 8.45 malam
Lokasi: Dewan LLG (Dekat KLSCAH, Sebelah Hotel Mirama)

Anjuran: SAMM dan Aktivis Kelantan dengan kerjasama Mahasiswa Kelantan dan KIAS.

Pengisian forum genre 'talk show' ini bakal mengupas punca berlakunya bencana banjir luar biasa, dan lebih penting ialah mengulas langkah-langkah proaktif bagi menghadapi bencana banjir pada masa dengan dengan lebih efektif.

Forum Banjir: Suratan Atau Kebetulan ini juga bakal menampilkan panel profesional dari pelbagai pihak, antaranya wakil dari kerajaan negeri Kelantan yang tidak harus melepaskan peluang menjadikan platform ini sebagai ruang penjelasan berfakta.

Juga antara yang akan dibawa ke pentas ialah wakil dari pejabat pengairan dan saliran yang akan membentangkan secara teknikal punca banjir berlumpur, juga aktivis-aktivis sukarelawan yang akan menceritakan pengalaman manyampaikan bantuan ketika belum ada pihak yang mampu sampai ke kawasan bencana.

Tidak ketinggalan juga beberapa mangsa banjir dari Kuala Krai akan dijemput ke pentas bagi menceritakan pengalaman cemas berdepan bencana arus deras banjir kali ini. Beberapa perkara penting juga akan diumumkan pada malam forum diadakan.

SAMM sebagai penganjur bersama berharap agar pihak media mengambil peluang dengan membuat liputan besar-besaran pada malam forum berlangsung. Forum banjir ini merupakan satu sudut pandangan dari pelbagai pihak yang terlibat secara langsung dengan bencana banjir kali ini, ia wajar diberi perhatian oleh semua pihak dan dihebahkan.

Senarai panel yang muktamad akan diumumkan dalam masa yang terdekat. Sekian.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia

No comments: