KUALA LUMPUR, 2 Sept — Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mahu  kerajaan menggunakan sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-54  menampilkan sejarah sebenar kemerdekaan negara.
“SAMM akan ke hadapan bagi merealisasikan apa itu sejarah,” kata  Penyelarasnya bagi Wilayah Persekutuan Shariful Azmir Mustafa dalam satu  kenyataan dikeluarkan hari ini.
Katanya, isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 1950  telah dikenang sebagai serangan kumpulan pengganas ke atas sekumpulan  anggota polis yang bertahan di rumah pasong.
Persepsi ini katanya, telah ditulis oleh pengkaji sejarah mengikut  acuan pihak tertentu bagi menyembunyikan hakikat sebenar — pihak yang  menentukan apakah kriteria pejuang kemerdekaan.
“Ia menjadi satu kepercayaan ramai apabila Jins Samsudin membuat  filem Bukit Kepong berdasarkan persepsi betapa pihak yang menyerang  rumah pasong Bukit Kepong itu adalah pengganas sedangkan gerakan yang  diketuai oleh Mat Indera juga sebenarnya harus dikenang sebagai salah  satu serangan ke atas kubu British yang menjajah Tanah Melayu untuk  beberapa abad lamanya,” katanya.
Tambah beliau, SAMM Wilayah Persekutuan ingin menegaskan bahawa  sejarah kemerdekaan negara harus segera dikaji semula oleh pengkaji  sejarah yang tidak berkepentingan selain daripada merekodkan sejarah  sebenar, bukan oleh pengkaji sejarah upahan yang menulis berdasarkan  telunjuk pihak yang menang bagi menutup sejarah di sebalik sejarah.
Jelas beliau, tindakan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengulas  mengenai peristiwa Bukit Kepong dan watak sebenar Mat Indera dalam  ceramahnya harus dipuji kerana ia membangkitkan ghairah rakyat  terutamanya dari golongan anak muda untuk mengetahui sejauh manakah  British itu dianggap sebagai penjajah dan “apakah dengan menyerang  British itu akan dianggap sebagai pengkhianat di Tanah Melayu.”
“Pihak polis di rumah pasong Bukit Kepong itu juga bertugas bagi  mempertahankan kepentingan British seperti estet getah dan ladang.
“Adakah Pasukan polis ketika zaman jajahan British menunjukkan taat  setia mereka terhadap Queen of England apabila lagu ‘God Save the Queen’  didendangkan setiap kali lawatan pegawai tertinggi British?” katanya.
Beliau menambah ia juga persoalan yang harus digali semula untuk rakyat mengetahui sejarah penentangan penjajah yang sebenar.
“Ia berkait rapat dengan proses menuntut kemerdekaan apabila semua  kumpulan, kesatuan dan pertubuhan yang bergerak menuntut kemerdekaan  telah diharamkan kecuali Umno. “Kumpulan penuntut kemerdekaan ini  akhirnya dituduh sebagai pengkhianat dan pengganas hanya kerana  menentang British yang statusnya masih lagi penjajah di Tanah Melayu  ketika itu,” kata beliau.
Jelas Shariful Azmir, turut menjadi persoalan ialah mengapa Umno  sahaja yang dibenarkan berkempen untuk merdeka sedangkan banyak lagi  pergerakan menuntut kemerdekaan.
“Adakah Umno membenarkan pertubuhan mereka menjadi tali barut British demi untuk merdeka di atas acuan penjajah ?
“Oleh yang demikian, SAMM Wilayah Persekutuan di atas rasa  tanggungjawab ke atas sejarah negara yang dikhuatiri terperosok, harus  digemburkan semula untuk tatapan rakyat,” katanya sambil menambah,  “sejarah peradaban negara juga seharusnya disifatkan dengan lebih  keterbukaan kerana ia membentuk asal usul kita rakyat Malaysia.”
“Rakyat juga harus lebih terbuka dan berjiwa besar untuk menerima  hakikat sebenar sejarah negara, lebih-lebih lagi apabila ianya  melibatkan proses menuntut kemerdekaan,” kata Shariful Azmir.

 
 
No comments:
Post a Comment