Wednesday, February 4, 2009

Strategi Anwar Memalukan UMNO led BN !


Saya jumpa artikel ini, dan saya salin, dan saya tampal, dan tidak saya lupa untuk berikan credit kepada tuan penulisnya. Baca artikel ini dari mula sampai habis, seperti merentasi sebuah pengembaraan. Pengembaraan yang menyentuh isu politik tanah air masakini.

Setiap peminat politik mempunyai teori analisisnya yang tersendiri mengenai apa yang berlaku di Perak. Saya juga beranggapan apa yang berlaku di Perak umpama satu peperangan sengit di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, dan juga di antara Najib dan Anwar, di mana terdapat pelbagai strategi dilancarkan.

Artikel Analisis di bawah mengenai strategi Anwar sangat menarik untuk dilayan;

Strategi Paling Licik Anwar Ibrahim

oleh Nur Aflah

 DS Tajol Rosli pernah memberitahu, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan tumbang sebelum 31 Ogos 2008. Seperti misi 916 Anwar, misi Tajol juga gagal. Biarpun kedua-kedua misi itu gagal disempurnakan mengikut tarikh yang telah ditetapkan, namun itu tidak bermakna yang kedua-dua misi itu telah ditamatkan.

Dalam posting saya yang bertajuk “Patutkah Adun Bota Buat Begitu?” [di sini], memang saya tidak mahu mengulas sesuatu yang bersifat ‘khabar angin’. Oleh kerana khabar angin yang saya maksudkan itu sudah bertukar nyata, saya terpanggil untuk mengulasnya ‘sedikit’.

Gerakan untuk menarik ADUN Pakatan Rakyat berhijrah ke BN sudah bermula sejak Nizar dilantik sebagai MB Perak yang baru. Mulanya, Tajol memujuk PAS menyertai BN secara terbuka dan pada ketika itu, isu muzakarah UMNO-PAS sedang heboh diperkatakan oleh peminat politik.

Oleh kerana PAS menolak untuk bersama UMNO dan memilih untuk kekal dalam Pakatan, maka UMNO terpaksa memikirkan strategi baru. Tajol diberikan kepercayaan untuk menyerang kerajaan Pakatan Perak dari dalam. Sasaran mereka adalah ADUN Pakatan yang tidak bersetuju dengan perlantikan Nizar (PAS) sebagai Menteri Besar.

Jika dilihat dari permukaan air, pemilihan Nizar sebagai MB seolah direstui oleh semua ADUN Pakatan. Akan tetapi, realiti sebenarnya bukanlah begitu. Terdapat beberapa ADUN DAP dan PKR yang tidak berpuas hati dengan perlantikan Nizar. Mereka mahu wakil PKR menjadi MB dan bukannya wakil PAS.

Nizar sedar tentang perkara itu. Sebagai wakil PAS, Nizar cuba bersikap neutral biarpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah wakil PKR dan DAP. Nizar terpaksa membelakangkan dulu prinsip perjuangan PAS untuk mendengar dan melaksanakan permintaan PKR dan DAP. Beliau berbuat begitu kerana mahu memastikan kerajaan Pakatan berada dalam keadaan stabil.

Hasilnya, Nizar berjaya mengubah persepsi masyarakat Cina di Perak mengenai parti PAS. Jika sebelum ini mereka menganggap PAS sebagai parti ‘Islam Ortodok’, kini mereka mengganggap PAS sebagai parti yang jujur, ikhlas dan kuat beragama. Perkara ini diluahkan sendiri oleh bapa saudara saya (bukan Melayu) yang tinggal di negeri Perak.

Oleh kerana masyarakat bukan Melayu Perak semakin menyukai cara Nizar berkhidmat, beberapa ADUN DAP yang dulunya menentang perlantikan Nizar mula berlembut dan semakin menerima kepimpinan Nizar. Bagaimanapun, tindakan Nizar mendahulukan perjuangan DAP dan PKR membuatkan dirinya dikritik hebat oleh masyarakat Melayu. Nizar dilabel sebagai pembelot bangsanya sendiri malah dituduh menderhaka kepada Rajanya.

Dalam masa yang sama pula, 2 exco PKR gagal dalam ujian “BMW” iaitu “business, money & woman”. Kerana iman yang sangat lemah, mereka mudah diperangkap dan terperangkap. Akibatnya, mereka diberkas SPRM (dulunya BPR) dan kestabilan kerajaan Pakatan kembali bergolak. Penyokong Melayu PKR dan PAS mula bertelagah sesama sendiri. Tajol Rosli nyata gembira dengan perkembangan ini.

Untuk mengelakkan ‘perang mulut’ yang lebih parah, Nizar mengambil jalan tengah. Dia membela kedua-dua ADUN itu sehingga kedua-duanya diputuskan bersalah oleh pihak mahkamah. Bila Nizar mengambil pendirian itu, penyokong PKR semakin menghormati Nizar dan penyokong PAS menerima pendirian itu sebagai sesuatu yang lojik dan patut disokong.

Isu penahanan 2 exco itu lebih menjejaskan nama baik PKR daripada kerajaan Pakatan di Perak. Masyarakat mula menyamakan PKR sebagai ‘UMNO yang berkulit baru’. Untuk mengelakkan persepsi itu berterusan melemahkan imej PKR, Anwar cuba memancing ADUN UMNO untuk memulihkan semula imej PKR. Usaha Anwar berjaya, Nasaruddin berjaya dipujuk dan keyakinan rakyat kepada PKR dapat dipulihkan.

Strategi ini hanya dapat menjamin kedudukan kerajaan Pakatan Perak buat sementara waktu. Jika kedua-dua ADUN PKR didapati bersalah oleh mahkamah, kerajaan Pakatan masih mempunyai lebihan 1 kerusi. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Pakatan perlu berbuat sesuatu untuk terus mengukuhkan kedudukannya. Dengan segala bukti yang ada (termasuk pengakuan melakukan hubungan seks), keputusan mahkamah sudah dapat dijangka.

Anwar mula mengatur strategi seterusnya. Beliau mahu 2 ADUN PKR itu berunding dengan UMNO. Untuk berunding, 2 ADUN itu perlukan ‘modal’ dan modal yang mereka gunakan, ada ADUN DAP yang mahu mengikut jejak mereka [di sini]. UMNO tentu tertarik untuk berunding kerana kerajaan Pakatan dapat ditumbangkan dengan mudah.

Bagaimanapun, Tajol Rosli tidak setuju dengan kemasukan 2 ADUN itu. Jika UMNO menerima mereka, liabiliti yang ditanggung PKR akan berpindah pada UMNO. Biar apapun alasan yang diberikan UMNO nanti, UMNO akan dilabel sebagai parti yang melindungi pesalah dan natijah sebenarnya pada PRU ke 13 nanti.

Tajol mengambil keputusan untuk berundur. Tugasnya digantikan Najib dan Zahid. Sebagai anak didik Anwar, Zahid gagal membaca strategi Anwar. Zahid tidak sedar yang kedua ADUN PKR itu sudah menandatangani surat perletakan jawatan. Apa-apa sahaja tawaran balas yang Najib dan Zahid berikan pada 2 ADUN itu hanya akan menguntungkan ADUN PKR itu dan merugikan UMNO.

Strategi ini akan melemahkan imej Najib sebagai pemimpin harapan UMNO dan BN. Jika tidak, Anwar takkan me’link’kan keputusan ‘undian’ yang dibuat blog The People’s Parliament dan tulisan Raja Petra yang telah diterjemahkan oleh Mat Saman Kati di blog peribadinya malam tadi. Semua ini dilakukan untuk mengaburkan mata penganalisis politik mengenai apa yang sebenarnya berlaku.

Malah media juga berjaya dipergunakan kerana berita kehilangan ADUN PKR dan ADUN DAP berjaya menghangatkan lagi pentas politik Malaysia. Lebih hebat lagi, penyokong UMNO dan BN yang sedang teruja menantikan perubahan kerajaan Perak akan bertambah hampa pada kepimpinan mereka. Bahkan, penyokong Pakatan pun turut terpedaya dengan strategi ini.

Yang sebenarnya, Anwar memang mahu mengadakan pilihanraya kecil untuk memalukan lagi UMNO dan BN. Lalu, tidak perlu dihairankan bila Jamaluddin menafikan surat perletakan jawatan yang sampai ke tangan Speaker Perak [di sini]. Anwar memang sudah bersedia untuk mengadakan pilihanraya kecil kerana peluang untuk Pakatan menang kini 60:40. Kemenangan dalam pilihanraya kecil itu nanti amat penting untuk projek seterusnya di Persiangan dan DUN Sarawak.

Kini kita sudah tahu, kenapa Anwar digelar pemimpin yang bijak di Asia dan kenapa Tun Razak memujuknya masuk ke dalam UMNO dan kenapa Mahathir lebih sayangkan Anwar daripada anaknya sendiri pada suatu ketika dahulu.

Fikir-fikirkanlah.

Nur Aflah: Sebelum ini ada yang bertanya, kenapa Nasaruddin masuk PKR dan bukannya PAS? Jawapannya mudah. Pemimpin PAS tidak meminang Nasaruddin.


Link artikel asal di sini

No comments: