Bila wisel penamat ditiupkan, gegak gempita Stadium Nasional Bukit Jalil yang membabitkan pertandingan utama asia tenggara berakhir dengan berlainan sekali pada kali ini. Cukup berlainan apabila dibandingkan ketika dua final Piala Malaysia yang membabitkan Negeri Sembilan dan Kelantan, dan cukup berlainan jika dibandingkan dengan kali terakhir Malaysia terbabit dalam aksi separuh akhir Piala Tiger / Piala AFF sebelum ini.
Semua penonton bersorak riang meninggalkan stadium. Maksudnya ialah, semua rakyat Malaysia yang menonton di stadium Bukit Jalil hari ini melangkah keluar dari stadium dengan perasaan yang berbunga-bunga. Sepanjang berjalan kaki mengelilingi stadium, semua tidak terkecuali untuk bersama-sama bersorak kerana kelebihan dua gol yang dianggap selesa untuk pertandingan timbal balik peringkat separuh akhir.
Dengan permainan mantap kesebelasan utama barisan pasukan kebangsaan, dengan penjaga gol yang 'perform', dengan barisan pertahanan yang 'ada kelas', dengan kekuatan barisan tengah bersama-sama mengadaptasi serangan musuh dan dengan penyerang yang garang menyerang, pasukan harimau malaya selayaknya menang hari ini dalam aspek jumlah gol dan juga aspek moral yang tinggi.
Bermula dengan longlai dibelasah Indonesia, kemudian bertahan habis-habisan ketika melayan muay Thai, dan membentuk keserasian ketika membelasah Laos, pasukan Malaysia yang bermain hari ini memberi sinar harapan betapa skuad yang layak ke separuh akhir ini berkira-kira untuk sekali lagi bertemu Indonesia, setelah memperolehi bekalan yang baik untuk di bawa ke bandaraya Ho Chi Minh. Diketahui pula Indonesia telah membelasah Filipina 4-0 di tempat lawan, pastinya dendam kesumat kekalahan 5-1 itu tidak boleh tidak, harus dijadikan kenyataan dengan terlebih dahulu layak ke final Piala Suzuki AFF.
Untuk pengetahuan semua, sejak perlawanan timbal-balik untuk separuh akhir dan akhir, kita pernah sampai ke tahap sebegini pada edisi yang lalu. Bukan ketika kalah penalti kepada singapura ketika sepakan terakhir oleh Khairil Muhaimin tidak menemui jaring, tetapi sewaktu kita bertemu Indonesia yang ketika itu juga harapan yang sangat tinggi diletakkan ke bahu pasukan yang dibimbing oleh Bertalan Biskei.
Mengimbau kembali suatu ketika dahulu, di mana pasukan Malaysia telah mendahului 2-1 ke atas Indonesia di Gelora Bung Karno. Ketika itu peringkatnya adalah perlawanan separuh akhir Piala AFF, namun timbal baliknya di Bukit Jalil menunjukkan jalan keluar buat pasukan Malaysia walaupun menjaringkan gol terlebih dahulu yang menjadikan depositnya adalah 2-0 juga sebelum Indonesia menjadi gila dengan akhirnya menjaringkan 4 gol di separuh masa kedua. Betapa berbezanya perasaan 'hari itu' berbanding 'hari ini' ketika meninggalkan stadium.
Cukup mukadimah sedih bercampur gembira. Apa yang cuba saya sampaikan di sini ialah pengajaran yang seharusnya sama-sama kita renung.
Sekarang kita tiada masa untuk menoleh ke belakang. Pasukan Malaysia harus ambil kesempatan untuk melangkah ke final setelah kali terakhir melakukannya pada edisi pertama kejohanan yang sebelum ini dikenali dengan nama Piala Tiger. Skuad 1996 itu adalah di bawah bimbingan Wan Jamak Wan Hassan.
Salah satu faktor kekuatan skuad 1996 adalah kerana FAM ketika itu telah mengambil satu langkah baik apabila mengurangkan jumlah kuota pemain import. Bilangan yang dibenarkan ialah dua, daripada sebelumnya adalah tiga. Ini memberi ruang kepada pemain kebangsaan menyinar dari potensi di liga tempatan. Hari ini, liga yang tiada pemain import telah menunjukkan kesan positif apabila skuad kebangsaan berjaya menumbangkan juara bertahan iaitu Vietnam.
Jadi mengapa FAM tidak meneruskan agenda liga tempatan tanpa pemain import sedangkan ia benar-benar membuahkan hasil?
Sifirnya mudah, sekiranya pemain import kembali dibenarkan dengan jumlah seramai 3 orang contohnya, pasukan negeri dan kelab pastinya melengkapkan kuota pemain import dengan meletakkan mereka di posisi penting seperti penyerang dan pembantu penyerang. Ini membuatkan potensi pemain kebangsaan akan merundum apabila hanya diturunkan 10 minit terakhir ataupun hanya dibenarkan bermain beberapa perlawanan sahaja dari sepanjang musim, sewaktu pemain import itu cedera atau pergantungan akibat dari kutipan kad.
Saya memberi satu contoh terbaik untuk kita perhatikan, iaitu mengenai faktor pasukan Kedah menjadi juara treble dua tahun berturut-turut. Pasukan kedah merangkul 6 piala utama pertandingan Liga Malaysia secara dua tahun berturut-turut. Piala FA, Piala Liga dan Piala Malaysia pada tahun 2007 dan menyapu bersih juga pada tahun 2008. Faktor utamanya adalah kerana mereka memiliki pemain import yang hebat iaitu Marlon Alex James yang bertindak sebagai penyudah paling berbisa dan pengumpannya Nelson Sam Martin, pengemudi serangan terbaik di era 'double treble' Kedah.
Tetapi apa yang berlaku kepada pasukan Kedah tahun berikutnya apabila pemain import diharamkan? Mereka jauh terumbang ambing tanpa pemain import dan dibelasah teruk beragregat belasan dalam pertandingan peringkat kelab Asia. Begitu jugalah dengan kelibat pasukan Perlis dan kebanyakkan pasukan negeri lain apabila meletakkan pemain import pada posisi penting.
Akhirnya pasukan kebangsaan tidak mempunyai penyerang hebat dan bak kata Alan Haris, "you can't win if you cannot score". Penyerang adalah nadi untuk mengucarkacirkan pertahanan lawan, seterusnya menjaringkan gol yang memenangkan pasukan.
FAM harus mengambil kira perkara sepenting ini demi untuk memajukan pasukan kebangsaan, bukan semata-mata untuk memeriahkan liga tempatan di kala prestasi pasukan kebangsaan merundum beberapa dekad lamanya.
Meletakkan pemain import untuk setiap pasukan tidak salah dan tetap ada unsur positif, tetapi biarlah jumlahnya memadai dengan seorang pemain import kerana setiap pasukan negeri pastinya akan mencari pemain import terbaik untuk pasukan masing-masing. Jika satu tidak cukup meriah untuk liga Malaysia, dua pemain import sudah cukup dan memadai memandangkan kantung pasukan negeri yang asyik dengan masalah hutang.
Fokus semula kepada perlawanan timbal balik Malaysia-Vietnam yang akan berlangsung Sabtu ini, saya tetap optimis bahawa pasukan negara akan layak ke perlawanan akhir. Asal jangan kita dikenakan beberapa kad merah oleh pengadil, InsyaAllah kita mampu untuk menyekat Vietnam menjaringkan gol malah, kitalah yang patut terlebih dulu menggegarkan jaring lawan bagi menyentap saki-baki semangat yang ada pada pasukan Vietnam.
Semoga Malaysia akan ke final, dan peluang giliran untuk mengalahkan Indonesia menjadi terbuka luas dengan prestasi dan keserasian pasukan sedia ada, sepertimana mereka bermain malam ini.
EDYES @ edyesdotcom - COURT oF PUBLIC OPINION
(artikel sepatutnya untuk malam ini ialah berkenaan Zaid dan parti barunya, tetapi kemenangan Malaysia sedikit mempengaruhi tajuk artikel malam ini)
Dah belanja duit rakyat juta2 takkan tak boleh benam. Kalau tak dapat jadi juara mereka kena bayar balik duit rakyat dan duit orang2 miskin yang mereka dah telan. sebab pelajar2 yang berjaya tamatkan pengajian mereka pun kena bayar balik pinjaman nereka. sedangkan mereka asset negara yang akan menyumbang tenaga mahir kepada pembangunan negara. tetapi atlit dapat pingat hanya untuk bermegah, riak dan takabbur sahaja. pulangan kepada ekonomi negara hampir tiada.
ReplyDeletefikir2kanlah... jangan asyik nak berseronok saja terutamanya bangsa melayu... nanti dunia pun tak seberapa, akhirat pun tah kemana.
Tahniah, Malaysia hebat.
ReplyDelete