Wednesday, December 29, 2010

Awas Indon, Belangnya Harimau Malaya Bisa Membungkang sang garuda, apatah lagi taringnya !! (Mesti Baca!)


Muncul sebagai Juara Kejohanan Piala Suzuki AFF edisi 2010 pada jam lebih kurang pukul 10 malam ini, pasti akan menggegarkan seluruh Asia apabila mengenangkan betapa pasukan Harimau Asia yang hilang 3 dekad lamanya, telah kembali muncul mengambil tempat bagi mencabar keegoan pasukan timur tengah, timur jauh dan seluruh pelusuk asia! - Edyes

Indonesia tak sehebat Vietnam. Bagi saya Vietnam lagi mantap berbanding Indonesia, cuma Indonesia ada kelebihan beraksi di tempat sendiri... Sayur Kot ? - Safiq Rahim, Kapten Pasukan Malaysia

Salam Perjuangan, sesungguhnya dalam sukan juga kita berjuang untuk negara.

Jika dalam entri saya sebelum ini secara ringkasnya saya amat berharap 90 minit pertama perlawanan berakhir dengan kegembiraan di wajah setiap penyokong pasukan kebangsaan yang hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil. Tidak saya peduli akan apa yang bakal berlaku di Gelora Bung Karno.

Harapan saya dimakbulkan malah diberi bonus yang begitu besar apabila 85ribu penonton di stadium dan jutaan penonton di rumah, mapley dan skrin besar di beberapa tempat, telah dihidangkan dengan permainan menarik serta bersemangat waja dari setiap pemain negara.

Setinggi pujian harus diberi kepada Rajagopal dan anak-anak buahnya. Sudah kita dihidangkan dengan permainan mantap, kita juga disajikan dengan gol-gol menarik yang bukan satu, tetapi tiga gol menarik menerusi gerakan gelecek yang penuh keyakinan oleh Norshahrul Idlan Talha dan diterjemahkan secara tepat oleh Safee Sali dan Asharudin Samsudin, termasuk juga hantaran loop menarik oleh Mahali yang disudahkan sekali lagi oleh Safee Sali dengan sebuah tandukkan yang menjadi rakaman sejarah.

Lebih membanggakan ialah, bagaimana rentetan dan jerih perih pasukan kebangsaan merangkak dari saat sepak mula Piala Suzuki AFF edisi 2010 ketika perlawanan pembukaan di antara Malaysia menentang Indonesia 1 Disember lalu, bertatih ketika cuba bernafas dalam perlawanan penuh debaran menentang Thailand, hinggalah akhirnya kita berlari meninggalkan Indonesia 3 kilometer jauhnya di perlawanan akhir pertama Ahad lalu. Pasukan kebangsaan hadir sebagai pasukan serba tempang yang pemainnya di ambil secara runcit-runcit dari beberapa kelas pemain, lalu dikumpulkan menjadi sebuah pasukan.

Kesudahan pertama melihatkan pasukan negara dibelasah 5-1 oleh Indonesia sebelum barisan pertahanan dirombak bagi menghadapi Thailand, yang akhirnya 1 mata paling berharga diperolehi. Seterusnya pasukan Rajagopal tidak menoleh ke perlawanan Indon-Thai di Senayan ketika membelasah Laos 5-1 di Palembang apabila keserasian sebenar berjaya dibentuk dan digilap bersama. 

Melangkah ke separuh akhir dengan bantuan Bambang Pamungkas, pasukan kebangsaan bertindak cemerlang setelah menumbangkan keegoan juara bertahan Vietnam senior, setelah sebelum ini pasukan yang sama juga mengecewakan skuad junior Vietnam bagi merebut emas sukan SEA. Ini satu kepuasan kerana selama ini pasukan kebangsaan kerap disekat oleh Vietnam dalam kebanyakkan kejohanan serantau yang disertai.

Apabila tiba perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, persoalan yang dibangkit oleh setiap penyokong, jurulatih dan penganalisa sukan hanyalah berbunyi - dendam kekalahan sebelum ini harus ditebus! Keberanian dan keyakinan setiap mereka yang mahukan pasukan kebangsaan menebus kekalahan sebelum ini hadir dari pengamatan yang begitu jelas, bagaimana pasukan sekuat Vietnam tersungkur di tangan Harimau Malaya. 

Dengan keyakinan ini yang turut terserap dalam jiwa pasukan kebangsaaan, menjadi azimat terbaik untuk bermain cemerlang dalam 90 minit pertama yang akhirnya kita tidak langsung dibolosi walau satu gol pun, tetapi gawang sang garuda lolos 3 jaringan berkualiti - bukan satu pun gol berpunca dari nasib dan keadaan kelam kabut depan pintu gol. Ini satu kedudukan yang sangat baik bagi pasukan kebangsaan demi mencipta sejarah pertama kali menjulang Piala Suzuki AFF. 

Kedudukan semasa pasukan Malaysia akan menjadi jauh lebih baik sekiranya kita berjaya menyumbat gol awal seterusnya memberi tekanan kepada Indonesia yang pastinya 'ghaplah' untuk mencari 5 jaringan bagi menyaingi kedudukan baik Malaysia. Ini kerana di atas faktor jaringan di tempat lawan (away goal) adalah dikira mengikut apa yang dilaporkan walaupun sebelum ini saya menyangka sistem jaringan tempat lawan  tidak efektif dalam kejohanan Piala AFF. Oleh demikian, andainya kita menyumbat gol awal, Indonesia tetap kalah sekiranya perlawanan berakhir dengan keputusan 4-1 atau 5-2 (Indonesia - Malaysia).

Semua rakyat Malaysia sedang bangga dengan pasukan kebangsaan yang ada pada hari ini, saya percaya ia lebih kuat dengan sekembalinya kembar emas negara, Aidil dan Zafuan yang mengalami kecederaan panjang. Pasukan ini adalah hasilnya dari sebuah liga profesional kebangsaan yang tidak meletakkan sebarang pemain import. Inilah hasilnya apabila semua pos-pos penting setiap pasukan negeri diisi oleh anak watan dan seterusnya mewakili negara.

FAM seharusnya lebih bijak dengan melihat keputusan cemelang pasukan kebangsaan setelah liga Malaysia tidak menggunakan khidmat pemain import sejak tahun 2008. Hasilnya kita nampak pada hari ini, pasukan Malaysia melangkah bergaya ke perlawanan akhir ke dua berbekalkan 3 butir jaringan. Fikir-fikirkanlah kembali satu persoalan yang kerap saya timbulkan, adakah liga Malaysia menjadi keutamaan, atau pasukan kebangsaan menjadi keutamaan? Sila lihat entri di sini.

Berbalik kepada perlawanan akhir malam ini, saya begitu optimis bahawa pasukan kebangsaan akan beroleh kemenangan apabila menentang kesebelasan pemain Indonesia bersama ratusan ribu penyokong fanatiknya. Saya tidak mahu seri apatah lagi kalah (walaupun Malaysia akhirnya digelar juara Piala AFF). Saya mahukan sebuah kemenangan bagi menyentap keegoan seluruh pasukan yang pernah mentertawakan pasukan kebangsaan selama saya mengikuti satu demi satu kejohanan melibatkan Malaysia sejak mengenali bolasepak. 

Bayangkan perasaan yang dilalui oleh seluruh peminat bolasepak tanahair dalam kejohanan Piala Tiger sebelum ini, dan saya tidak lupa bagaimana pasukan Alan Haris diaibkan, pasukan Bertalan Biskei diaibkan ketika jauh mendahului Indonesia. Juga saya tidak lupa bagaimana kita dibangsatkan dalam kejohanan Piala Asia sebagai penganjur pada tahun 2007. Malaysia jadi bahan tertawa seluruh Asia di bawah kendalian Norizan Bakar!! Saya tidak lupa semua itu!! Jadi saya mahu kemenangan dijelmakan pada malam ini walauapun seri itu sudah memadai!! 

Tidaklah saya peduli dan tidak kita gentar dengan penyokong fanatik Indonesia yang meraikan sukan tanpa menggunakan akal fikiran. Kita pun ada penyokong seganas Kelantan, jadi apa harus dibimbangkan? Awas Indonesia, belangnya Harimau Malaya bisa membungkang sang garuda, apatah lagi taringnya !!

Jika sebelum ini saya menyatakan hanya mahu kemenangan di Bukit Jalil untuk dirai oleh penonton yang membayar tiket (entri di sini), kini saya tidak lagi menoleh ke belakang apabila peluang untuk mendakap piala paling berprestige dari nusantara ke indochina. Malaysia harus digelar juara bagi menyambung legasi tamatnya penantian emas 20 tahun sukan SEA 1989. Pasukan Malaysia harus digelar juara dalam langkah mengembalikan zaman kegemilangan Harimau Asia pada era 3 dekad yang lalu. 

Muncul sebagai Juara Kejohanan Piala Suzuki AFF edisi 2010 pada jam lebih kurang pukul 10 malam ini, pasti akan menggegarkan seluruh Asia apabila mengenangkan betapa pasukan Harimau Asia yang hilang 3 dekad lamanya, telah kembali muncul mengambil tempat bagi mencabar keegoan pasukan timur tengah, timur jauh dan seluruh pelusuk asia!

Awas Korea Utara dan Selatan! Awas Jepun! Awas negara Saud! Awas Oman, Qatar, Bahrin, Iran dan Iraq!! Awas Turkmenistan, Tajikistan Uzbekistan mahupun gohead gostan!! Awas juga Australia ! Harimau Asia kembali menggegar Dunia !! Kami ada jelmaan Supermokh, kami ada jelmaan James Wong walaupun beliau masih hidup! kami ada jelmaan Santokh Singh, dan kami juga ada celoteh Shebby Singh!! Kami ada jelmaan R 'spiderman' Arumugam!! Russia 2018 tunggu, pasukan Malaysia akan hadir mewakili Asia Tenggara buat kali pertama !! 

Untuk semua ini, menangkan dulu perlawanan akhir kedua yang bermula jam 8 malam nanti.

Sama-samalah kita doakan, semuga hayat ini berjaya menyaksikan bolasepak negara berjaya di arena antarabangsa. Ini satunya peluang, yang luas terbuka dan terhidang untuk sebuah sejarah satu permulaan.Ini satu permulaan bagi menempa sejarah - Kemunculan Semula Harimau Asia !!


EDYES @ edyesdotcom - blogger sukan anda !

sila klik di sini untuk melihat kembali klip video gol-gol Malaysia dalam perlawanan sebelum ini!

No comments:

Post a Comment