Friday, November 26, 2010

Kongres PKR ke-7 bakal dicemari protes?

Oleh Jamilah Kamarudin

PETALING JAYA: Kongres Nasional 2010 Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ketujuh yang bermula esok sehingga Ahad (28 November) bakal dicemari dengan protes daripada sekumpulan ahli parti itu sendiri bagi membantah kepincangan sepanjang proses pemilihan berlangsung.

Melaungkan slogan ‘Kempen Selamatkan Keadilan’, kumpulan yang dikenali sebagai Suara Anak Muda itu difahamkan akan memakai baju T berwarna hitam, selain riben ‘headband’ dan ‘armband’ yang sama warna sebagai tanda protes.

FMT juga difahamkan kira-kira 100 penyokong Suara Anak Muda akan mula mengedarkan risalah kepada perwakilan, pemerhati, media dan orang ramai sepanjang Kongres PKR yang dijadualkan berlangsung di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bermula esok.

Selain risalah, riben, ‘armband’ dan ‘headband’ yang tertera perkataan ‘Selamatkan Keadilan’ turut diedarkan di perkarangan dewan bagi meraih sokongan.

"Risalah itu mengandungi fakta serta bukti kepincangan sepanjang proses pemilihan Majlis Pimpinan Pusat dan juga Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC).

"Dalam kempen risalah itu juga, kita mahu Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim diselamatkan dari terus dikellilingi oleh individu berkepentingan yang menjadi penasihat tidak rasmi (campur tangan) Anwar sehingga menimbulkan banyak keputusan yang tidak sepatutnya daripada beliau dan Biro Politik," kata sumber dalaman kumpulan itu.

Tidak timbul benci terhadap perjuangan PKR

Kempen itu katanya, bertujuan untuk menarik perhatian pemimpin tertinggi termasuk Presiden PKR dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) supaya mendengar keluhan mengenai proses pemilihan MPP yang dikatakan sebagai demokrasi namun didapati tidak bersifat telus.

"Kerunsingan Pemilihan 2010 ini sedikit pun tidak menimbulkan rasa benci terhadap perjuangan PKR, cuma perasaan benci yang meluap-luap itu hanyalah terhadap penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam JPP.

"Lebih menjengkelkan apabila ianya seolah-olah dibiarkan berlaku. Apabila keadilan itu dinafikan dalam parti yang berlandaskan Keadilan – apakah makna Keadilan?," soal beliau.

Ditanya jika protes itu didalangi pemimpin tertentu untuk menggagalkan perjalanan Kongres PKR, beliau menafikannya.

Malahan beliau menganggap ia sebagai satu kempen untuk menyedarkan orang ramai supaya mendesak pemimpin parti memandang serius segala aduan dan masalah yang berlaku di setiap cabang dan sepanjang proses pemilihan.

"Saya menyeru kepada semua anggota parti terutamanya anak muda menyertai kumpulan kami untuk bersama-sama mencari keadilan yang kian terperosok.

"Jika Pemilihan 2010 adalah satu punca kepada barah yang bakal merosakkan parti, maka kitalah yang menjadi ubatnya untuk melawan barah tersebut," katanya.


edyes wrote:

Untuk pengetahuan saudara, artikel di atas telah dimuatkan dalam laman Free Malaysian Today (FMT). Kalau yer pun ambik sumber dari blog edyesdotcom, sepatutnya penulis artikel ini menghubungi edyes terlebih dahulu untuk at least untuk dapatkan kepastian. Ini dah tulis semua perkara berdasarkan entri di sini, tapi langsung tak kredit dari mana asalnya sumber tersebut.

Jika berlaku protes sekalipun, apa masalahnya? Kita protes bukan tidak bersebab, kita protes bukan tidak berasas. Apabila laporan-laporan penyelewengan dan kepincangan Pemilihan 2010 oleh JPP tidak langsung di ambil perhatian, apa lagi yang boleh kita lakukan selain daripada mengekspresikan diri.

Saya difahamkan, status kertas laporan 6 muka surat yang dihantar oleh Chegubard kepada Presiden parti kini berada dalam tangan JPP. Laporan tersebut sedang diteliti, diperhalusi dan disiasat oleh JPP.

Ini membuatkan saya atau sesiapa sahaja menjadi lebih tidak faham !

Persoalan : Mengapa JPP sebagai badan yang dituduh melakukan penyelewengan, kepincangan dan penipuan, diberi mandat untuk menyiasat perkara ini ? 

Ia seumpama kes yang melibatkan salahlaku polis sepertimana kes adik Aminurashid contohnya, disiasat oleh polis sendiri, bukan oleh suruhanjaya siasatan yang bebas waima suruhanjaya siasatan diraja.

Walaubagaimanapun, bagi saya jika ini sahajalah jalan yang kita ada, saya tetap optimis dan mengharapkan keadilan di dalam parti keadilan! Kongress ke-7 ini akan menjadi medan untuk kita sekali lagi mendapatkan keadilan, jadi hadirlah beramai-ramai ke kongress Parti Keadilan dengan mengenakan baju hitam sebagai tanda tidak setuju dengan sebarang ketidak-adilan berlaku.

Hari ini kongress untuk AMK, esok untuk pusat. Samada anda ahli atau bukan ahli, sila hadirkan diri sebagai pemerhati. Kiranya, harapannya, kehadiran anda semua dengan mengenakan baju hitam menjadi signal yang jelas kepada kepimpinan parti bahawa orang dalam dan orang luar Parti Keadilan mahukan kepincangan yang berlaku itu diatasi dengan telus dan bijaksana.

Ayuh hadir ke Kongress Parti Keadilan ke-7 dengan pakaian hitam menawan pada hari kemuncaknya iaitu hari Sabtu. InsyaAllah ramai yang akan bersama kita, kerana ahli parti ini sememangnya bencikan penipuan dan kepincangan terancang !

No comments:

Post a Comment