Friday, August 8, 2008

Anwar Yakin Tubuh Kerajaan 16 September !

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar, apabila Pakatan Rakyat memerintah, rakyat tidak perlu lagi "takut terhadap penahanan dan perbicaraan yang sewenang-wenangnya."

Tegasnya, penggunaan kuasa polis dan peguam negara untuk menghukum musuh politik, akan diharamkan bagi memastikan demokrasi yang sihat.

Anwar juga mendakwa, perbicaraan ke atasnya adalah bermotifkan politik dan "dengan izin Allah merupakan yang terakhir".

Mantan timbalan perdana menteri itu juga yakin Pakatan Rakyat akan mendapat bilangan ahli Parlimen yang mencukupi pada 16 September depan untuk mengambil alih kerajaan.

Sebelum ini, mantan timbalan perdana menteri berkata, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan melompat menyertai pakatan pada tarikh tersebut.

Bercakap dalam sidang akhbar di pejabat PKR di Petaling Jaya, Anwar juga yakin akan mencapai kemenangan dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos depan.

Semalam, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan penghujung Jun lalu.

Dia dituduh melakukannya antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, No 99, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Anwar dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Beliau juga meminta supaya dijamin keselamatan Dr Mohamed Osman Abdul Hamid yang sebelum ini telah melakukan pemeriksaan ke atas Saiful.

Dr Mohamed Osman telah membuat akuan berkanun yang bertarikh 1 Ogos lalu bahawa beliau tetap berpegang kepada hasil pemeriksaannya ke atas Saiful yang mendakwa diliwat oleh Anwar.

Dalam laporan perubatannya, yang dibocorkan kepada media, doktor tersebut menyatakan beliau tidak menemui sebarang bukti berlaku liwat.

1 comment:

  1. Pemimpin kebenaran itu selalunya,berkelana tidak punya apa-apa, yang suka terlalu kasih, yang tidak suka terlalu benci. Sumber rezeki tidak menentu, hidup macam orang kaya, kerana tidak pernah meminta-minta.Badannya dengan manusia. Hatinya dengan Tuhannya.

    ReplyDelete