Thursday, January 29, 2015

Filem PK Untuk Relevanisma

Tulisan Santai
29 Januari 2015

Filem PK Untuk Relevanisma

Lama sudah saya mencari filem ini, seolah-olah tidak melepasi tapisan untuk tayangan di Malaysia. Namun terlihat juga beberapa teman yang telah menonton filem ini di wayang. Mungkin saja saya terlepas sesuatu yang baik.

Namun ketika forum banjir anjuran SAMM dan sekutu NGO berlangsung, saya seronok bukan kepalang bila terjumpa folder tertera perkataan 'PK' dalam salah satu pendrive pengunjung forum yang mohon untuk cedok maklumat bencana banjir 2014 dari slide presentation profesor dan para panelis. 

Saya bertanya apakah folder tertera PK ini adalah filem PK lakonan Amir Khan, si pengunjung itu mengiayakan pertanyaan saya maka tanpa menunggu terus saja saya menyalinnya ke dalam drive saya. Ini bukan pertukaran sistem barter, tetapi atas dasar keikhlasan.

Sebelum saya menonton filem PK, teringat status teman-teman di Facebook yang mengatakan filem PK mampu menandingi kehebatan filem '3 idiot' yang juga dilakonan oleh Amir Khan, malah ada yang kata filem PK ini lebih baik. 

Saya adalah peminat tegar filem Amir Khan sejak dulu lagi walaupun ramai yang mengatakan wajah saya adalah seperti kembar tidak seiras Shahrukh Khan. Filem 'Lagaan' yang mengisahkan sejarah bermulanya permainan kriket di india/pakistan adalah antara yang paling saya minati selain filem '3 idiot'.

Selepas tamat menonton filem PK, dapat saya katakan filem ini cukup hebat dengan plot-plot yang kasar kepada kehidupan seharian kita khususnya dalam menjalankan ibadat keagamaan. 

Cuma secara jelas saya tidak setuju filem PK lebih baik dari filem '3 idiot'. Mungkin expectation saya untuk filem PK ini terlalu tinggi, meletakkan filem '3 idiot' sebagai benchmark. Filem '3 idiot' tetap terbaik walaupun tajuknya idiot.

Kedua-dua filem ini sebenarnya cuba menyerlahkan doktrin masing-masing yang harusnya sangat positif kepada penonton. Walaupun cara penyampaian filem PK sedikit radikal, tetapi konklusi filem PK cukup untuk memberi banyak kesedaran umum.

Jika filem '3 idiot' berkisar erti ilmu dan kepraktikalan, di mana Amir Khan dalam filem tersebut membuktikan kita perlu belajar di mana-mana institusi bukan semata-mata untuk sepapan frame sijil, tetapi mencari ilmu itu sebenarnya untuk dipraktikkan dalam kehidupan, termasuklah dalam mencari nafkah dan juga menemukan sesuatu yang memudahkan hidup. 

Sangat banyak pengajaran dalam filem '3 Idiot', garis pentingnya menuntut kita belajar di mana sudut dan dalam apa gaya sekalipun asalkan boleh menimba ilmu, bukan kerana mengejar nama tetapi mengambil ilmu tersebut untuk dipraktikkan.

Filem PK pula jika ditonton dengan mata kasar, kita mungkin akan melihat semua agama dalam dunia ini kena troll dan merasakan filem ini mengarut. Namun jika kita menghayati garis yang cuba disebatikan dalam pemikiran, kita harus melihat betapa positif dan tepatnya filem ini. 

Saya merasakan filem ini adalah antara filem yang paling berani untuk ditayangkan di sebuah negara yang amalkan keagaaman yang agak extreme seperti India. Mujurlah tiada panggung wayang yang dibakar di Mumbai atau Kerala (atau saya tidak tahu perkembangan di sana?)

Pencarian tuhan yang ditonjolkan dalam filem PK, bukan dilakukan oleh satu watak yang lahir di dunia ini, tapi ia adalah perspektif seorang makhluk asing yang mempelajari kehidupan bumi. 

Filem tersebut mengajar bahawa, 'Wrong Number' akan membawa kita ke jalan yang salah dan cukup memberi kesan yang sangat tidak baik. 'wrong number' juga akan memberi keuntungan kepada satu pihak yang tidak sepatutnya, malah tidak mustahil mampu memberi kuasa untuk memerintah negeri ataupun negara, jika kita tidak mengendahkan 'wrong number' yang kita lalui. 

Apa maksud 'wrong number' itu tidaklah ingin saya perjelas di sini, tontonlah dulu maka akan tahu ertinya. Saya cuba berlaku adil kepada mereka yang masih belum menonton filem ini.

Satu adengan yang sangat lucu dalam filem PK, ialah apabila PK (Amir Khan) cuba membuktikan bahawa perniagaan paling mudah dan paling menguntungkan adalah, perniagaan agama, jual agama. Ia cukup sinonim dengan apa yang berlaku dalam negara ini, contohnya menjual 'air terapi sarang anai-anai yang makan 22 juzuk alQuran bersama air hujan malam jumaat 10 Muharam'.

Rumusan paling bermakna filem PK mengikut telahan peribadi saya ialah, janganlah extreme dalam menjalankan ibadah agama dan harus mencari kebenaran dalam sesuatu yang disuapkan benar sejak lahir. Setiap agama ada tuhan masing-masing, setiap insan ada hak untuk yakin dengan kepercayaan masing-masing. Kita sebagai umat islam percaya kepada iman yang enam, dan harus amalkan kepercayaan itu secara betul dan berhemah. Walaq hanya kepada tuhan yang satu, jangan taksub kepada manusia lain, melainkan RasulNya.

Di hujung filem PK, Amir Khan (PK) yang juga alien itu turut mengakui wujudnya tuhan yang satu, yang mencipta alam semesta, lantas menjadikan filem PK ini releven kepada mereka-mereka yang berfikiran terbuka dan mengamalkan relevanisma.

Edy Noor Reduan 
Aktivis Blogger 
Solidariti Anak Muda Malaysia 

No comments:

Post a Comment