Wednesday, September 3, 2014

APAKAH MENOLAK BN CENDERUNG KEPADA PENGHARAMAN?

Kenyataan Media
03 September 2014

APAKAH MENOLAK BN CENDERUNG KEPADA PENGHARAMAN?

Deretan pendakwaan Akta Hasutan 1948 yang telah dijanjikan pemansuhannya oleh Perdana Menteri semenjak 2012, tangkapan PPS dan amaran tangkapan terhadap Unit Amal PAS adalah merupakan tindakan opresif dan desperado Putrajaya dalam berhadapan dengan suara-suara atau kelompok yang tidak senada dengannya.

Ini merupakan satu lagi bentuk intimidasi politik dan ini juga merupakan satu bentuk kemusnahan demokrasi yang sedang dialami negara.

Tindakan desperado ini hanya satu sifat yang terzahir ekoran daripada kelirunya Menteri berkait amalan demokrasi. Tidak lagi dapat membezakan antara pentadbiran Kerajaan dengan sentimen politik kepartian.

Apa saja yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat akan dilihat sebagai haram dan membahayakan. Apa saja organisasi sama ada bernaung di bawah Pakatan Rakyat atau pun cenderung kepada menolak Barisan Nasional akan dicop haram, subversif dan sebagainya.

Menteri KDN seharusnya melihat kewujudan badan-badan sukarela seperti PPS dan Unit Amal PAS ini sebagai satu bentuk organisasi atau gerakan yang boleh dijadikan platform kepada anak muda Malaysia untuk terlibat dalam aktiviti kesukarelaan.

Adakah Menteri KDN tidak suka melihat sekumpulan anak muda yang sukarela melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan juga dididik untuk mempunyai pegangan agama dan akhlak yang baik? Sejak bilakah membuat amal merupakan satu kesalahan jenayah?

Adakah Menteri KDN gemar melihat pewaris masa depan negara ini terkinja-kinja di kelab-kelab malam ataupun ditangkap di dalam bilik-bilik hotel murah setiap kali menjelang ambang Merdeka dan Tahun Baru? Inikah citra pelapis yang diinginkan oleh Menteri Dalam Negeri?

Dan dalam masa yang sama, Menteri KDN membisu terhadap PERKASA, ISMA dan Ridhuan Tee yang sering mencetuskan api perkauman seolah-olah mempunyai agenda sulit yang ingin memecahbelahkan negara.

Malahan, Menteri KDN sendiri sering bermain dengan ucapan rasis. Apakah PDRM akan membuka kertas siasatan terhadap Zahid Hamidi?

Menteri KDN sepatutnya menjadi seorang individu yang sangat bertanggungjawab dalam memelihara keselamatan dan kesejahteraan dalam negara.

Adalah menyedihkan selama 57 tahun Merdeka ini, kita masih lagi mempunyai Menteri Kabinet yang keliru dan penuh prasangka jelek terhadap rakyat yang berlainan warna kulit.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia

1 comment:

  1. bagaimana PDRM nak buka krtas siasatan tiada seorang pun yang membuat repot polis, Pembangkang hanya berteriak macam anjing salak bukit, bukit masih megah,lihat bagaimana perkasa bertindak dengan pantas membuat repot polis kepada merekax yang menghasut.mana maruah pembangkang dalam tindakan sedemikian, tunggu sempati dari raayat sahaja.

    ReplyDelete