Saturday, January 11, 2014

Yang Menang Tidak Menang Semua, Yang Kalah Tidak Kalah Semua

Bacaan Umum
10 Januari 2014

Yang Menang Tidak Menang Semua, Yang Kalah Tidak Kalah Semua

Menginjak tahun 2014, negara kita masih terus bergelut dalam isu-isu agama. Agama merupakan satu perkara yang penuh dengan sensitiviti yang boleh mengancam asas keharmonian dan kerukunan ukhwah di antara masyarakat dalam Negara ini sekiranya tidak diuruskan dengan penuh hikmah. Ia tidak boleh ditangani dengan kegopohan untuk menjadi hero.

Berzaman hidup dlm Negara majmuk penuh warna warni agama, budaya dan bahasa. Kenapa kita masih terus ingin bermain dgn isu sebegini. Belajar dari sejarah. Pertembungan antara agama dan bangsa yang akhirnya menyaksikan kemusnahan keharmonian malah lebih buruk lagi ketamadunan sesuatu Negara bangsa itu turut musnah.

Mengapa perlu ada tindakan-tindakan provokasi dari satu pihak kepada pihak yang lain. Celaan demi celaan, hinaan demi hinaan, tindakan demi tindakan terus dilakukan. Apa yang ingin dibuktikan? Agama itu lebih supreme dari agama lain? Atas alasan mempertahankan agama masing-masing kita menghalalkan tindakan-tindakan yang akan terus melahirkan prejudis dan buruk sangka antara satu sama lain?

Perlembagaan kita telah menggariskan 2 artikel berhubung agama iaitu Artikel 3 Agama Rasmi Persekutuan dan Artikel 11 Kebebasan Dalam Mengamalkan Ajaran Agama bukan untuk menjadi bahan bacaan semata-mata tetapi sebaliknya untuk mengelak perkara sebegini dari terus mengancam keharmonian antara kita. Nenek moyang kita telah mewariskan Negara ini bukan untuk melihat kita bergaduh atas nama agama dan bangsa. Mereka berjuang bermandi darah membebaskan Negara ini untuk melihat kita semua hidup berkasih sayang antara satu sama lain.

Dalam menghadapi isu agama ini, kita perlu tangani dengan penuh toleransi, berhikmah tanpa rasa syak wasangka diantara satu sama lain. Dalam realiti dunia seharusnya kita tidak mengamalkan prinsip "winner takes all". Prinsip itu hanya berlaku di Las Vegas saja. Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua. Bagi penganut Islam mungkin menang dengan penghakiman tetapi ia hanya di Semenanjung. Manakala bagi Kristian mungkin kalah dalam penghakiman tetapi pengumuman 10 perkara oleh PM bagi Sabah dan Sarawak tidak menyebabkan mereka kalah semuanya.

Perdana Menteri harus segera melaksanakan pelan rekonsiliasi nasional yang ditaja beliau. Jangan berlengah-lengah lagi. Seharusnya sidang meja bulat yang menghimpunkan pihak-pihak berkepentingan perlu diadakan segera bagi mencari titik pertemuan yang dapat menyatukan kesemua rakyat. Jangan terus berdiam dan membiarkan sahaja pelbagai bentuk provokasi agama berlaku di dalam Negara.

Politisi-politisi juga tidak harus menjadi jaguh. Menjadikan agama sebagai medan meraih popularity politik tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada kestabilan dan kerukunan Negara. Cukuplah menjadikan agama sebagai alat untuk kepentingan hayat politik masing-masing. Agama perlu dicerna sebagai medium yang memandu setiap daripada kita untuk terus kekal berada dalam kebenaran yang hakiki dan akhlak yang baik. Cukuplah mengadu domba rakyat dengan bersandarkan agama. Tiada untungnya.

Rakyat juga tidak harus terperangkap dalam permainan sentiment yang cuba ditonjolkan bagi terus memastikan kita sentiasa berpecah belah dan tiada kesepakatan. Isu agama dan bangsa akan kekal dimainkan bagi memastikan perhatian kita akan terpesong dari isu-isu lain yang sedang menjerut leher kita. Percayalah, selagi kita terus terpecah kerana sentiment agama dan bangsa ini, mereka-mereka yang sedang memegang kuasa sedang menari gembira kerana perhatian kita telah Berjaya mereka pesongkan.

Ahmad Anwar Asyraf (Comrade AAA)
Penyelaras SAMM Kebangsaan

No comments:

Post a Comment