Monday, January 27, 2014

Protes Turun Dataran Merdeka: Rumah Chegubard dan Edy Noor Diserbu Sepasukan Anggota Polis

Kenyataan Media
27 Januari 2014 

Protes Turun Dataran Merdeka: Rumah Chegubard dan Edy Noor Diserbu

Sekitar jam 8 malam, rumah Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan di Setia Alam dan rumah Pengasas SAMM, che'GuBard di Bukit Chedang telah didatangi pihak polis dari IPK Kuala Lumpur bagi tujuan menghantar sapina. Pihak polis hadir dengan kekuatan lebih kurang 10 anggota dengan tiga kenderaan polis hampir serentak di kedua-dua rumah pimpinan SAMM.

Menjadi persoalan, mengapa begitu ramai anggota polis yang diguna untuk menghantar sapina? Lebih 20 anggota polis untuk hantar sapina di dua lokasi adalah pembaziran sumber tenaga, sepatutnya boleh mengekang lebih banyak jenayah malam ini.

che'GuBard dan Edy Noor yang berada di rumah masing-masing menerima sapina tersebut, telah diminta hadir ke Mahkamah Jalan Duta pada 29 Januari 2014 pada jam 8 pagi bagi menjawab pertuduhan kononnya telah menganjurkan sebuah himpunan di Dataran Merdeka pada malam 31 Disember. 

Menurut sapina yang dikemukakan, ia bersangkutan perlanggaran seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, kesalahan seksyen 9(5) dibaca bersama seksyen 34 kanun kesiksaan. 

SAMM sekali lagi menegaskan bahawa himpunan protes Turun pada malam ambang tahun baru adalah anjuran rakyat yang terkesan dengan kenaikan berangkai kos sara hidup, mengapa ini sukar difahami?

Perhimpunan pada malam tersebut juga berlangsung dengan aman, tidak seperti yang digambarkan secara melampau oleh pihak polis kononnya ada kerajaan yang bakal terguling, kononnya terdapat bom tangan. SAMM minggu lalu telah membuat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Polis KL yang menabur tomahan dan telah mendesak supaya PDRM mendedahkan hasil siasatan 'himpunan guling kerajaan' tetapi sehingga hari ini pihak polis masih berdiam diri.

Justeru itu, che'GuBard dan Edy Noor juga telah menyatakan kesediaan untuk hadir perbicaraan Rabu ini di Mahkamah Jalan Duta. Pengamal media dijemput hadir bagi membuat liputan.

Rakyat yang menyokong penurunan kos sara hidup juga diminta untuk terus bersama dalam perjuangan membebaskan tanahair ini dari segala bentuk penindasan. 

Sekian

Isamuddin Sanusi
Pengarah Sekretariat
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:

Post a Comment