Monday, October 21, 2013

Sempena Hartal 66 tahun, Ayuh Kita Susun Gerakan Ampuh

Tulisan Terbuka
20 Oktober 2013

Sempena Hartal 66 tahun, Ayuh Kita Susun Gerakan Ampuh

Tanggal hari ini, 66 tahun yang lalu menyaksikan semangat penyatuan rakyat di seluruh negara berada di kemuncaknya. Demi membantah Perlembagaan Persekutuan yang diusulkan oleh Penjajah British, Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) telah melancarkan Hartal di seluruh Malaya. Inilah kekuatan demokrasi rakyat sebelum dilembikkan oleh 'subsidi' kerajaan selama hampir 60 tahun. Dari dasar pecah perintah, hingga ke dasar 'kalimah Allah', rakyat terus cuba dipisahkan dari bersatu.

Hari ini, selepas 5 bulan rakyat dinafikan demokrasi melalui penipuan PRU13, kita terus terperosok menghitung nasib ketika satu demi satu musibah berlaku hasil dari kekalnya pemerintah legasi penjajah. Kemenangan penuh penipuan dengan sokongan minoriti kurang '47 peratus' ini, rompakkan siang hari terus berlaku dan rakyat terus diperah keringat untuk kemewahan tidak terperi kaum kerabat serta kroni.

Aspirasi perubahan yang cuba diterjemah dalam PRU13 telah digagalkan dengan penipuan. Mungkin ramai di antara kita sudah akur keputusan PRU13 dengan alasan kita gagal mengekang penipuan tersebut. Tetapi saya tetap tidak berganjak untuk tidak menyerah dan terus lawan kebobrokan ini hingga ke akhirnya. Gagal mengekang penipuan pilihanraya bukan bermaksud kita perlu akur, kerana saya percaya jika kita akur berserah kepada penipuan ini bermakna kita telah bersubahat. Noktah.

Apabila kerajaan yang terbentuk itu terhasil dari penipuan, ia sama sekali tidak berkat khususnya buat rakyat. Lihatlah bagaimana kerajaan terus menipu dengan menaikkan harga RON95 setelah berjanji ia tidak akan dinaikkan. Telah dijanjikan hanya RON97 sahaja yang diselaraskan mengikut pasaran harga petrol dunia, bukan RON95. Apakah kita begitu mudah terlupa? Maka domino kenaikkan rantaian harga keperluan asas berlaku dan rakyat menjadi mangsa. 

Malah ketika saya menulis ini juga, subsidi gula sedang dalam perjalanan untuk diturunkan. Alasan menteri 'ayam' berbunyi - demi rakyat sejahtera harga gula dinaikkan. Perdana menteri juga acap kali menyebut 'rakyat perlu ubah gaya hidup' ketika ada anak menteri yang didakwa beli banglo RM7.2 juta. Rakyat diminta untuk berkorban demi keluarga 'mereka'.

Saya tidak mahu menyebut soal audit yang harus menjadi polemik besar, ia terlalu panjang untuk dihuraikan. Cukuplah jika saya menyentuh soal kualiti hidup rakyat menjunam merentasi masa. Percayalah bahawa rakyat hari ini terpaksa beralah untuk memilih keperluan asas jenama yang kurang berkualiti berbanding sebelumnya demi penjimatan. Dulu minyak masak botol berjenama, kini hanya minyak masak paket iaitu minyak masak kitar semula dari restoran KFC dan McD. Sos cili yang berplumbum, kicap yang terlebih masin, beras yang hancur berderai, semua ambil jenama murah, kualiti dipinggirkan. Rakyat tidak sihat asalkan pemimpin terus sihat.

Tanahair juga bakal ketandusan modal insan. Kini kedengaran banyak kes anak derhaka, ibu ditinggalkan, bapak dipukul secara 'royal rumble'. Mengapa ini terjadi dalam negara yang rakyatnya kaya budi bahasa? Semua ini berlaku kerana ayah dan ibu telah menjadi pencuri, mencuri masa emas yang sepatutnya bersama anak-anak. Detik tersebut telah disalahguna kerana kesempitan hidup. Ibu bapa mencari lebihan wang untuk berniaga di sebelah malam, menyertai MLM, kerja lebih masa hingga melibatkan sabtu dan ahad. Maka anak akan berpeleseran tanpa kasih sayang yang cukup. Akhirnya rasa hormat dalam sistem kekeluargaan akan berkurang. Kes anak derhaka mungkin terpencil hari ini, bagaimana dalam tempoh 10 tahun lagi? Tanpa modal insan, negara akan lahirkan generasi anak muda sumbang yang tidak menyumbang.

Apa yang saya sebut di atas bukanlah pilihan sebenar rakyat Malaysia. Ibu bapa pasti mahukan masa yang lebih banyak untuk anak-anak, mereka juga mahukan kualiti hidup dengan keperluan asas yang berkualiti. Tetapi rakyat tiada pilihan, terpaksa melalui detik sukar ini ketika pembaziran berleluasa - lihat sahaja laporan audit. Rakyat Malaysia layak untuk kehidupan yang lebih baik, percayalah. Untuk kualiti dan negara yang lebih baik, rakyat telah memilih perubahan, namun kematian demokrasi menghalang. Ini hakikat.

Maka sesuatu perlu dilakukan. Pakatan Rakyat telah melancarkan #Black505 sejurus selepas PRU13 namun memenui jalan buntu. Malah ia tidak terkesan secara menyeluruh kerana tiada hasil yang nyata. Akhirnya rakyat letih untuk meneruskan perlawanan di jalanraya kerana telah masak dengan 'endingnya' - ceramah, ceramah, ceramah! Ini meletihkan, ceramah tidak membawa perubahan.

Rakyat perlukan satu aksi yang mampu membawa perubahan. Tidak keterlaluan jika saya katakan di atas kesedaran betapa penipuan PRU berlaku, rakyat mahu pilihanraya semula jika berpeluang. letih dengan perhimpunan berbentuk ceramah, hasil keputusan yang tidak merubah apa2, tiada kesan mendalam.

Sekiranya satu perhimpunan dianjurkan oleh parti politik, menolak GST contohnya, saya pasti ia tidak akan mendapat sambutan yang besar. Bukan kerana PR tidak mampu menghimpun penyokongnya, bukan kerana PR tidak punya sokongan besar, tetapi seperti saya katakan tadi rakyat letih membayangkan 'ending'nya. Rakyat memang letih hingga merasakan tidak guna untuk melawan kerna 'brengsek' yang menipu pilihanraya ini punya kuasa dan segala kekuatan untuk terus bertahan memerintah

Namun begitu, jauh di sudut hati rakyat yang terluka, mereka menantikan sesuatu yang besar, mereka menunggu satu detik yang paling ideal untuk menunjuk sepenuh kekuatan. Rakyat menunggu kembalinya himpunan demonstrasi penuh bersejarah kembali dijadualkan dalam arena perlawanan jalanraya. Rakyat bersedia untuk kembali ke jalanraya demi demokrasi kemenangan rakyat yang dicuri 5 Mei lalu. 

Bersih 4.0 adalah yang dinanti-nanti. Segala yang dipendam akan diluahkan sehabisnya, bagaikan tiada hari esok. Pilihanraya semula akan dituntut. Percayalah bahawa walau sejauh manapun keletihan itu, rakyat cukup bertenaga untuk satu lagi aksi asalkan ia mempunyai potensi demi membawa perubahan.

Kali ini, Dataran Merdeka harus menjadi sasaran. Dataran Merdeka harus ditawan dengan aksi 'duduk dan terus bantah' hingga keputusan pilihanraya ke-13 diumumkan tidak sah. Harus diingat, salah satu tuntutan Bersih iaitu perlaksanaan sistem dakwat kekal telah diperuntukkan sebagai satu syarat wajib untuk mengesahkan keputusan PRU13. Namun dengan ratusan ribu kes dakwat tidak kekal bersama 1500 laporan polis, bagaimana BN boleh ishtihar menang PRU-13 dan dibenarkan terus memerintah negara ini dengan memijak-mijak rakyat?

Sempena 66 tahun Hari Hartal meninggalkan kita, ayuhlah kita bersatu melawan penindasan dan penipuan ini. Sudah sampai masanya rakyat bangun melawan, bersama semua golongan masyarakat. Semua NGO, semua orang parti, orang bukan parti, rakyat biasa dan luar biasa, aktivis dan pejuang muka buku, ayuh kita susun gerakan ampuh turun ke jalanraya tawan Dataran Merdeka. 

Di atas nama Bersih yakni sebuah gerakan rakyat, di atas nama anak-anak kita, di atas nama bangsa dan agama, tanahair ini perlu diselamatkan segera. Letaklah tarikh, rakyat bersedia untuk sekali lagi, untuk sekali lagi!


Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger, Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:

Post a Comment